Oleh:Dr.Arieff Salleh bin Rosman, Felo Fatwa
Gamabar hiasan |
Bulan Rejab merupakan salah satu daripada 'al-Ashur
al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah.
Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam
surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, "Sesungguhnya bilangan
bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah
ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya
empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama
yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan
yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)...." Abu Bakrah
melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya masa itu beredar
sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas
bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan
berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu
antara bulan Jamadilakhir dan Sya'ban." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam
Bukhari dan Muslim).
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah
agung (Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan
yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya
peristiwa Isra' dan Mikraj yang menurut majoriti ulama' ia berlaku pada 27
Rejab.
Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai
salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan
kepada laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis
sebagai hadis maudhuk.
Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru.
Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam. Masyarakat
Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya
sebagai perayaan. Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang
Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka berusaha
bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam
dengan sembahyang sunat Rejab.
Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan
dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu
amalan khusus di bulan Rejab. Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat
Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada
Rasulullah SAW dari hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab,
puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan
kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).
Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji daripada
sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian lama. Antara ulama terdahulu yang
membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi
Muhammad saw berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya,
antaranya ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab 'Umar bin Hasan ibn Dihyah (w.
633H) yang mengarang buku yang bertajuk 'Ada' ma wajab min bayan wad'
al-wadda'in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan
yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar
al-'Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi
ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa
yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)'.
'Ata; seorang ulama tabi'in menjelaskan, Nabi Muhammad saw
melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan
sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu
Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11). Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan,
"Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah
berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan
orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.
Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan
lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain,tidak
mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu,
maka amalan itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga dengan individu yang
menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada
malam bulan lain. Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab
sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang
dilarang." (Tabyin al-'ajab, hlm. 49).
Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan tujuan beliau
mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab':
"Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan
Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang
mana hadis yang sahih dan yang palsu." Kesimpulan daripada analisa yang
dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, "Langsung tidak terdapat hadis sahih
yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus
Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab...namun begitu terdapat
sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang
kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika
ia hadis mauduk."
ANTARA KELEBIHAN
BULAN REJAB DAN AMALAN KHUSUS PADANYA YANG BERSUMBERKAN LAPORAN/HADIS PALSU ialah:
i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah
muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana
ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai
seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
ii.Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan
Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor
hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar
Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat
individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.
iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti
kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh
seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong
iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah
menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari
ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka
baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah
menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya
keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab,
Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah.
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh
ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash.
Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari
di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar,
Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.
v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab,
kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali
salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah
al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka
oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang
pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka
menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat
tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang
bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin
Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai
sembahyang sunat Ragha'ib.
vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada
api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang
dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi
'Iyash.
HARAM MENYEBAR HADIS
PALSU
Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad saw
bersabda, "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak
sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat
pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya
di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari).
Syeikh Abu Asma'
Ibrahim bin Ismail Ali 'Asr menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan
karya Imam Ibn Hajar al-'Asqalani yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada
fi fadhl Rajab', ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib
yang tidak sensitif terhadap hadis maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya
kepada masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis. Perkara
merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan
hadis palsu dalam ancaman Nabi, "Sesiapa yang berdusta terhadapku, maka
bersedialah tempatnya di dalam api neraka". Walaupun mereka tidak berniat
untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka
menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu,
mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah saw.
Abu Hurairah
melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Cukuplah seseorang itu sudah
dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa
disiasat terlebih dahulu." (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim).
Umat Islam tidak
perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya
di bulan Rejab sahaja, sedangkan ia bersumberkan laporan/hadis palsu yang
merupakan pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw. Adalah amat baik kita dapat
melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang
bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang
kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir,
puasa sunat isnin khamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan,
puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.
Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram
seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu.
Wallahu a'lam.
Submitted by FatwaMalaysia on 4 May 2014 - 10:10pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan