by-Rosli Ibrahim
Ibadah berterusan biarpun sedikit beri lebih ganjaran..
SETIAP amalan baik akan mendapat balasan pahala di sisi Allah. Sebaiknya amalan itu mesti dilakukan berterusan. Amalan dilakukan umat Islam adalah ibadah ke arah membentuk keperibadian Muslim sejati.
Daripada Aisyah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. Amalan paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Menurut ‘Aun al-Ma’bud, Allah tidak jemu memberikan ganjaran sesuatu amalan selagi seseorang tidak jemu beramal.
Seterusnya, sahih Muslim menyatakan amalan sedikit tetapi berterusan lebih baik daripada amalan banyak tetapi terputus kerana seorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingkan diri kepada Allah secara berterusan.
Amalan dalam Islam meliputi ibadat solat, zakat, puasa, haji dan umrah serta amalan lain seperti sedekah, amal kebajikan, kebersihan dan berkorban kerana agama mesti dilakukan berterusan.
Konsep ibadat dalam Islam merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohani dan jasmani. Setiap orang Muslim dapat mencampurkan kehidupan antara dunia dan akhirat. Ia adalah kombinasi indah dalam Islam yang tidak terdapat dalam agama lain.
Orang yang sembahyang kerana mengikut perintah Allah semata-mata akan mendapat keredaan-Nya begitu juga ibadat lain. Bukhari dan Muslim menceritakan, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya segala amal itu hendaklah dengan niat.”
Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka tidak diperintahkan selain menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5) Umat Islam tidak digalak melengahkan amalan baik. Nabi SAW bersabda bermaksud: “Siapa yang melambatkan amalan, keturunannya tidak akan bersegera untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Sementara itu ‘Aun al- Ma’bud menyatakan, seseorang yang amalan buruknya menyebabkan penangguhan dan pengabaian amalan baik, maka keturunannya tidak dapat memberikan manfaat di akhirat. Ada beberapa amalan baik seperti menjaga kesihatan dan kebersihan, menghentikan tabiat berlebihan, merokok, selalu beribadah serta tidak minum minuman keras.
Amalan yang boleh mendekatkan diri dengan Allah ialah solat berjemaah, membaca al-Quran sementara bermuhasabah serta memperjuangkan Islam juga boleh meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang benda yang tidak disukai adalah sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya, melakukan amalan secara berterusan memerlukan proses pendidikan sejak kecil. Imam Al-Ghazali berkata: “Kesempurnaan yang hakiki ialah ilmu dan amal. Selain dua hal ini adalah kesempurnaan bayangan, sebab pasti akan lenyap selepas yang memilikinya itu meninggal dunia.”
Melakukan sesuatu ibadah mesti ikhlas hanya kerana Allah supaya amalan itu diterima.
Wallahuaklam. ..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan