Rabu, 13 Julai 2011

Dunia Dilaknat, kecuali...

Hadis riwayat Imam Tirmidzi:
“Dunia itu adalah dilaknat, dilaknat apa yang ada di dalamnya, kecuali zikrullah ‘azza wajalla, dan sesuatu yang dikasihi Allah, atau orang alim ataupun orang yang belajar.”
(Sunan At-Tirmidzi: 2244)
Dilaknat apa yang ada di dalamnya, kecuali sesuatu yang dikaitkan dengan keredhaan Allah.
(Sya'b al-Imam:10122)

Awasi Tutur Kata

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya seorang hamba menuturkan satu perkataan (sahaja) padahal dia tidak mengambil berat perkataan tersebut, dia akan terjun disebabkannya ke dalam neraka Jahannam sejauh jarak antara timur dan barat.”
 (Sahih Muslim: 5303 )

Selasa, 12 Julai 2011

KEKAYAAN YANG BERKAT

Sumber: http://www.iluvislam.com/

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman "Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?" Nabi Ayub mejawab "Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu".
Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah :
1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.
4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.
6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kerana Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya.(Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada sebahagiannya merupakan hak mereka.
7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi.
9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)
10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan).
Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%).
Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak.
Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.
11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.
Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru "Ya Tuhanku,kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)".


Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.
Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.


Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.

Sumber Text: Halaqah

Isnin, 11 Julai 2011

DOA KESELAMATAN & KESENTOSAAN DariPada SEGALA PENYAKIT

Kami berlindung dengan Mu ya Allah. Tuhan yang memiliki keagungan dan kekuasaan, kami berpaut pada-Mu ya Allah, Tuhan pemilik sekalian alam yang ghaib, dan kami bertawakkal kepada-Mu ya Allah, Tuhan yang hidup lagi tidak mati. Wahai Tuhan kami jauhkanlah kami dari wabak ini, lindungillah kami daripada kebinasaan yang dahsyat  dan peliharalah kami daripada segala penyakit yang berjangkit, ta’un dan bala bencana , dengan ihsan-Mu wahai Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.

KISAH DUA ORANG PEMUDA

Gambar Hiasan
Dalam sebuah hadis ada menceritakan tentang dua orang saudara, seorang darinya kuat beribadat kepada Allah manakala seorang lagi selalu berbuat maksiat dan kejahatan.
Pada suatu hari saudara yang kuat beramal ibadat kepada Allah telah bercita-cita untuk melihat iblis di tempat ibadatnya. Suatu hari ketika dia sedang duduk bersendirian, datanglah syaitan kepadanya lalu berkata: “Sayang sekali engkau, engkau telah menghabiskan dan mensia-siakan empat puluh tahun umurmu, kerana itu rasailah kesedapan dunia dan jamulah kehendak dan keinginan engkau. Kemudian kembalilah engkau bertaubat serta membuat ibadat kepada Allah pula. Jadi tiadalah engkau merugi di dunia dan akhirat.sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Mendengar kata-kata iblis yang lembut itu maka hati dan pendiriannya telah berubah,katanya: “Benar juga kata-kata syaitan itu, aku telahpun merugikan diriku beberapa lama. Baiklah aku turun ke bawah mendapatkan saudaraku supaya dapat aku besam-samanya memuaskan nafsu keinginan dan keduniaan selama dua puluh tahun, kemudian aku akan bertaubat dan ekmbali beribadat kepada Allah di dalam umurku yang dua puluh tahun lagi itu.”
Selepas itu dia pun turun ke bawah dengan niat untuk melakukan kejahatan dan kemaksiatan kepada Allah. Dalam pada itu saudaranya yang seorang lagi (penderhaka) yang selalu di dalam kancah kemaksiatan dan kejahatan itu mula menyedari kesilapan yang telah dilakukannya.  Pada suatu hari dia mendapati dirinya di dalam seburuk-buruk keadaan, badan serta pakaiannya telah kotor berlumuran najis serta terlantar pula di debu tanah. Sewaktu dia sedar itu, maka berkatalah hatinya : “Oh.. sia-sianya. Oh.. ruginya aku. Sudah habis umurku di dalam kancah maksiat, aku telah merosakkan diri sendiri serta berlaku bodoh, sedangkan saudaraku itu sedang mendapat kenikmatan beribadat kepada Allah dan akan memperolehi syurga Tuhan. Tetapi aku…nerakalah tempat tinggalku. Demi Allah, aku bertaubat .Aku akan naik ke atas bersama saudaraku untuk mengerjakan ibadat dan berbakti kepada Allah. Semoga Allah akan mengampuni segala dosanya”.
Maka diapun naiklah ke atas dengan niat untuk bertaubat sedangkan saudara itu pula turun dengan  niat untuk melakukan kerjaa-kerja maksiat dan kerja-kerja yang dimurkai Allah. Tiba-tiba sewaktu dia hendak turun maka dia tergelincir kakinya lalu jatuh ke atas adiknya bertimpa-timpa. Akhirnya kedua-duanya pun mati di situ juga.
Di hari akhirat nanti kedua-dua saudara itu akan  dibangkitkan menurut niatnya. Iaitu yang ahli ibadah akan dibangkitkan atas niat maksiat manakala adiknya pula akan dibangkitkan atas berbakti kepada Allah, sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Akan dibangkitkan tiap-tiap hamba menurut keperihalan
matinya” (baik  atau buruk).

Di samping itu sentiasa sedarlah bahawa syaitan itu adalah musuh yang paling ketat untuk selama-lamanya sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud: “ Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu”.

Semua orang tahu syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kita semua, tetapi adakah semua orang tahu bahawa pada hari ini ramai orang mengikuti langkah –langkah syaitan!
Allah s.w.t memberi kita akal untuk berfikir.
Terpulanglah kepada kita untuk memikirkannya atau membekukan fikiran kita.

 Wallahua’alam.

Khamis, 7 Julai 2011

PELBAGAIKAN NIAT..LILLAHITAALA



                                                           Semata-mata Kerana Allah
Golongan Salaf mengatakan bahawa ..” Dalamilah niat kalian sepertimana kalian mendalami ilmu pengetahuan”. 
Para sahabat tatkala hendak melakukan sesuatu amalan, mereka selalu mempelbagaikan niat. Sebagai contohnya; Apabila hendak makan. Diniatkan makan itu untuk mendapatkan tenaga bagi tujuan beribadah, niat untuk menjaga kesihatan badan (menjaga kesihatan itu amanah daripada Allah), mensyukuri nikmat makanan kurniaan Allah, mengamalkan sunnah Rasulullah, merapatkan ukhwah sesama muslim semasa makan bersama, dan banyak lagi.
Seseorang muslim yang hebat walaupun melakukan sesuatu amalan yang tampaknya mudah, tetapi di sisi Allah besar maksudnya dengan niat yang betul disertai dengan keikhlasan yang tinggi. Ini kerana dalam melaksanakan atau melakukan sesuatu amalan, keredaan Allah yang menjadi tujuan utama. 
Insyaallah.

KISAH PEMUDA YANG BERNAMA ‘UZAIR


Gambar Hiasan.
Pada suatu hari ketika’Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar, tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia  keindahan dan keajaiban ala mini.
Sesudah memetik buah-buahan dia pun pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya sudah tersesat jalan.  Setelah sekian lama  barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri.  Sebaik dia sampai di daerah itu dilihatnya kampung itu baru saja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak binasa sama sekali.
Di tapak atau bekas runtuhan itu terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu fikirannya mulai memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
“Bagaimanakah orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat”. Begitulah pertanyaan yang dating bertalu-talu dan tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalaman, tetapi dia telah tertidur terus menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah banyak lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu segala-galanya sudah berubah, manakala ‘Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tiada bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai.
Kemudian jasad ‘Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing lalu di ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga ‘Uzair hidup kembali seperti dahulu. “Uzair lalu duduk dan terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur, lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya yang diletakkannya di dalam keranjang dahulu.
Tidak lama kemudian, turun beberapa malaikat seraya bertanya” “Tahukah engkau ya ‘Uzair berapa lama engkau tertidur? Tanpa berfikir panjang ‘Uzair menjawab, “Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari”. Lalu malaikat pun berkata kepadanya: “Bahawa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Di sinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan hawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanak-makanan engkau tetap baik keadaannya.  Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, ia sendiri pun telah hancur, dagingnya sudah busuk”.
Berkata malaikat lagi: “Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati nanti di hari akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatan mereka. Hal ini diperlihatkan oleh Allah kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain itu tidak syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang hari akhirat itu”.
Setelah ‘Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka ‘Uzair pun berkata:”Sekarang tahulah saya bahawa Allah itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap suatu”. Tiba-tiba keldai yang sudah hancur dan bercerai berai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti mula, iaitu hidup kembali , bergerak dannberdiri sebagaimana sebelumnya. “Sekarang tahulah saya bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya”. Lalu dia pun terus mengambil keldainya, menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali.
Dilihatnya segala-galanya telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun berjaya sampai ke rumahnya.
Sebaik saja dia sampai, dilihat rumahnya telah pun buruk. Dinding-dinding rumahnya habis runtuh. Ketika itu dia ternampak seorang perempuan tua, lalu dia pun bertanya “Inikah rumah ‘Uzair?”. “Ya!, jawab perempuan itu.
“Inilah rumah ‘Uzair dahulu, tetapi “Uzair telah lama pergi dan tiada didengari beritanya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini sahaja”,kata perempuan itu sambil menitiskan airmata. “Sayalah ‘Uzair. Jawab ‘Uzair dengan pantas. “Saya sudah dimatikan Tuhan seratus tahun dahulu dan sekarang dihidupkan oleh Allah kembali.”
Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata “’Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan Allah, dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat”. Sambungnya lagi, “Saya ini adalah hambanya sendiri, saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan ‘Uzair. Kalaulah tuan ini ‘Uzair, maka cubalah tuan doakan pada Tuhan supaya mata saya ini terang kembali dan dapat melihat wajah tuan”.
‘Uzair pun menadah kedua-duaa belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata perempuan tua itu pun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi.
Tubuhnya yang lemah dan tua itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah ‘Uzair dia terus berkata : “Benar, tuanlah ‘Uzair, saya masih ingat”.
Hambanya itu terus mencium tangan ‘Uzair lalu kedua-duanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. ‘Uzair memperkenalkan dirinya sebagai ‘Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan saja mengejutkan bangsa Israil, tetapi juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya.  Walaupun ketika itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran ‘Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya berkata: “Saya masih ingat bahawa bapa saya (‘Uzair ) mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia ‘Uzair. Setelah diperiksa, tanda yang dikatakan itu memang ada pada ‘Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka. Akan tetapi sebahagiannya lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka kata mereka kepada ‘Uzair, bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan Negara Israel dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun di antara Bani Israel yang hafal isi Taurat kecuali ‘Uzair. Kalau benarlah tuan ‘Uzair cubalah tuan sebutkan isi Tauratbitu dengan betul “.
‘Uzairpun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancer serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu maka barulah mereka percaya bahawa sungguh benar itulah ‘Uzair. Ketika itu semua bangsa Israel pun percaya bahawa dialah ‘Uzair yang telah mati dan dihidupkan semula oleh Tuhan. Banyak di antara mereka bersalam dan mencium tangan ‘Uzair serta meminta dan panduan daripadanya.
Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap ‘Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak sama ada ‘Uzair mahupun Isa, kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka.
Janganlah kita ragu-ragu  tentang kekuasaan Allah, jika ada sesiapa yang masih ragu-ragu tentang kekuasaan Allah maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakannya.
Kalau masih ada orang-orang yang masih ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu sahaja, hendaklah dia membaca dan memahami Al-Quran, rasa ragu-ragu atau was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya datangnya dari syaitan.
Allah s.w.t. telah meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita itu untuk berfikir.
Wallahua’alam.
Sumber: Kisah-Kisah Benar 7. NurulHas

AKHiRAT DIDAHULUKAN...

 قال الامام القدوة عون بن عبد الله رحمه الله: إن من كان قبلنا كانوا يجعلون لدنياهم ما فضل عن آخرتهم، وإنكم اليوم، تجعلون لآخرتكم ما فضل عن د...