BAPA saudara Nabi MUHAMMAD s.a.w. yang bernama Saiyidina Hamzah adalah seorang yang sangat gagah dan berani. Semasa kecil, Nabi MUHAMMAD s.a.w. dan Saiyidina Hamzah adalah dua saudara yang paling rapat hubungannya. Malah Saiyidina Hamzahlah orang yang paling banyak sekali mengetahui akan kelebihan yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w.
Sebelum beliau memeluk agama Islam, Saiyidina Hamzah adalah seorang penyembah berhala dan kegemarannya ialah berburu binatang. Hampir setiap hari Saiyidina Hamzah menghabiskan masnya dengan berburu di padang pasir.
Meskipun Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Islam, Saiyidina Hamzah adalah seorang penyembah berhala, namun ini tidak menjejaskan hubungan mereka berdua. Saiyidina Hamzah tidak begitu terburu-buru memeluk agama Islam meskipun dia tahu agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. itu adalah benar. Dalam pada itu walaupun mereka berbeza anutan tetapi Saiyidina Hamzah tidak suka diri Rasulullah s.a.w. dimaki hamun oleh kaum Quraisy musyrikin.
Diriwayatkan , pada suatu hari sekembalinya Saiyidina Hamzah dari berburu salah seorang pembantu rumahnya berkata kepada beliau: “Tuan…tadi saya baru saja melihat anak saudara tuan MUHAMMAD duduk-duduk di kaki bukit Safa bersendirian, tiba-tiba datanglah Abu Jahal dan terus memukul MUHAMMAD dan ditariknya sekuat-kuat hatinya kemudian dihempasnya ke tanah sehingga anak saudara tuan itu tidak berdaya”. Saiyidina Hamzah berasa terkejut, kemudian dia bertanya: “Apakah benar engkau melihat peristiwa itu dengan mata kepala engkau sendiri?”. “Benar tuan, saya melihat dengan mata kepala saya sendiri dan tidak ada seorang pun yang menolong MUHAMMAD. Saya berasa kasihan melihat anak saudara tuan itu kerana dia tidak bersalah apa-apapun.”
Sebaik saja mendengar berita itu, secara tiba-tiba muka Saiyidina Hamzah bertukar menjadi merah padam. Dengan perasaan marah yang meluap-luap Saiyidina hamzah terus keluar untuk mencari Abu Jahal. Sepanjang perjalanan itu hatinya berkata: “Kalau aku diamkan saja perbuatan Abu Jahal ini, nescaya akan matilah anak saudaraku itu. Aku tidak akan membiarkan sesiapa pun melakukan sebarang kekerasan terhadap MUHAMMAD”.
Dengan perasaan yang geram, dia terus pergi ke Masjidil Haram untuk mencari orang yang telah menzalimi anak saudaranya itu, kerana dia takut Abu Jahal akan mengulangi perbuatannya itu. Saiyidina Hamzah tahu biasanya Abu Jahal suka duduk-duduk di sana.
Setelah sekian lama berjalan di bawah terikan panas cahaya matahari akhirnya dia pun sampai ke Masjidil Haram. Sebaik saja dia sampai di muka pintu masjid, lantas dia pun ternampak orang yang dicari-carinya itu. Pada ketika itu Abu Jahal masih belum tahu bahawa Saiyidina hamzah menyebelahi Nabi MUHAMMAD meskipun pada masa itu dia belum lagi beragama Islam. Pada sangkaannya tentulah Saiyidina Hamzah menyukai perbuatannya memukul Nabi MUHAMMAD.
Melihat kedatangan Saiyidina Hamzah , dia menyangka bahawa Saiyidina Hamzah ingin bertemu dengannya, lantas sambil tersenyum dia menyambut Saiyidina Hamzah dengan gembira. Tanpa membuang masa Abu Jahal terus menceritakan apa yang dilakukan terhadap Nabi MUHAMMAD s.a.w.
Dengan perasaan marah yang sedia ada dan ditambah pula dengan cerita terbaru yang didengarinya itu maka bertambah-tambahlah api kemarahannya terhadap Abu jahal. Dengan secepat kilat Saiyidina Hamzah menyambar anak panah yang terselit di pinggangnya.lantas menekan anak panah yang terselit di pinggangnya. Lantas menekan anak panah itu ke kepala Abu Jahal dengan sekuat hatinya. Abu Jahal menjerit-jerit kesakitan.
Rakan-rakan Abu Jahal yang tercengang melihat kejadian yang tidak disangka-sangka. Mereka tidak menyangka bahawa pemimpin yang mereka hormati itu boleh diperlakukan sedemikian rupa. Dengan marah Saiyidina Hamzah berkata kepada Abu Jahal:”Ingat, kalau kau ganggu anak saudaraku MUHAMMAD lagi, aku akan bunuh engkau”.
Mendengar gertakan dari Saiyidina Hamzah, Abu Jahal berasa terlalu takut sehingga dia tidak berani berkata walaupun sepatah perkataan. Sementara itu kepala Abu Jahal berdarah akibat di cucuk oleh Saiyidina Hamzah dengan anak panahnya. Kemudian Abu Jahal pun pulang ke rumah dengan perasaan geram. Mulai hari itu para pengikut dan sahabat-sahabat Abu Jahal mulai sedar betapa pemimpin yang mereka hormati selama ini takut kepada Saiyidina Hamzah.
Mulai dari kejadian itu Saiyidina Hamzah telah mengistiharkan dirinya sebagai pengikut Nabi MUHAMMAD dengan mengucapkan dua kalimah syahadah. Saiyidina Hamzah telah meninggal semasa bertempur dalam perang Uhud. Beliau telah meninggal sebagai seorang syuhada dalam membela dan menegakkan agama Islam. Jenazahnya telah dikebumikan di Bukit Uhud iaitu tidak jauh dari tempat berlakunya peperangan itu.
Wallahua’lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan