Ummi ZAR, seorang lagi contoh wanita yang setia kepada suami. Beliau berpeluang hidup pada zaman jahiliah dan sewaktu pemerintahan Rasulullah saw. Ummi ZAR seorang wanita seorang wanita yang bijak membuat penilaian. Beliau adalah isteri kepada ABU ZAR, iaitu ketua suku Ghifar, satu suku dalam masyarakat Arab jahiliah.
Ketika suami tersayang dilantik sebagai ketua kaum, beliau gembira apabila mendapat perkhabaran itu. Terbayang kesenangan dan kemewahan hidup yang bakal dikecapi. Mereka juga akan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Kegembiraan itu dipersembahkan kepada tuhan berhala yang dinamakan Nuhum. Tetapi Nuhum tidak mampu berkata-kata untuk mengongsi segala kegembiraan. Dia Cuma patung yang tidak bernyawa.
Sudah menjadi tradisi masyarakat Arab pada masa itu, sesiapa yang dilantik menjadi ketua suku mesti mempunyai tuhan berhala yang khusus.
Pada masa yang sama ,Rasululah SAW sedang giat menyebarkan ajaran Islam di Kota Mekah dan agama baru itu semakin mendapat perhatian daripada masyarakat Arab.
Pada peringkat awal, tidak terlintas di fikiran Abu Zar dan Ummi ZAR bahawa mereka akan menjadi pengikut anak muda keturunan Bani Quraisy itu dan meninggalkan agama nenek moyang yang dianuti sekian lama.
Sesungguhnya perancangan ALLAH tidak ada siapa yang boleh menjangka. Ummi ZAR dan suaminya adalah antara insane bertuah yang terpilih untuk diberi hidayah ketika sebahagian besar masyarakat Arab pada masa itu masih leka menyembah berhala.
Satu kejadian hina dan memalukan telah berlaku di hadapan mata Abu Zar, dan membuatkan dia terfikir bagaimana mereka boleh menyembah Nuhum, sedangkan patung itu tidak berupaya mempertahankan diri walaupun telah diperlakukan dengan keji.
Segala kejadian tersebut dimaklumkan kepada isteri. Diceritakan tentang peristiwa di mana dia membawa secangkir susu dan menyiramkannya kepada Nahum kemudian meninggalkannya.
“Apabila aku kembali ke tempat Nahum, kelihatan seekor anjing kurap menjilat-jilat susu itu. Setelah habis menjilat susu , anjing tersebut kemudian kencing di sisinya. Aku mengintai dari jauh,”kata Abu Zar.
Ummi ZAR hanya tersenyum mendengar penerangan suaminya itu lalu berkata;
“Wahai suamiku, carilah Tuhan yang mulia,pemurah hati dan mempunyai segala kelebihan. Adapun tuhan yang boleh diapa-apakan oleh anjing yang hina, tidak mempunyai kuasa untuk mempertahankan diri sebenarnya sesat.”
Cenderung Kepada Islam
Abu Zar memikirkan kata-kata isterinya itu dan mengakui kebenarannya. Sejak itu mereka berusaha mendekati Nabi Muhammad SAW. Minat mereka semakin membara untuk mengetahui tentang agama Islam.
Apabila nur melimpah di hati, segala-galanya boleh terjadi. Pasangan suami isteri itu sanggup meninggalkan kampung halaman dan berangkat ke Mekah untuk mengabdikan diri kepada agama ALLAH dengan mengakui keESAan Ilahi dan bahawa Muhammad adalah pesuruhNya.
Pengorbanan
Sesungguhnya penghijrahan itu amat besar ertinya dalam hidup mereka. Abu Zar sanggup melepaskan jawatan sebagai ketua kaum dan segala kemewahan untuk berada di bawah payung Islam serta mengharapkan redha ALLAH.
Ummi ZAR pula sanggup menempuh segala kesusahan bersama, di samping membantu dan mendorong suami untuk menegakkan ekbenaran. Selain itu, dia juga sering mengikuti Abu Zar pergi belayar.
Beliau juga seorang yang fasih berkata-kata dan berani menegakkan kebenaran tanpa menghiraukan risiko yang bakal dihadapi. Sebab itulah jarang sekali buah fikirannya tidak diterima oleh Abu Zar.
Ummi ZAR juga merupakan wanita yang gigih menimba ilmu, manakala Abu Zar semakin lantang memperkatakan tentang kebenaran dan menghapuskan segala kebatilan. Tautan di antara mereka boleh diibaratkan sebagai dua jiwa berpadu satu. Pasangan ini saling memerlukan di antara satu sama lain.
Suatu hari, Rasulullah SAW bertanyakan pendapat Abu Zar mengenai perbuatan pembesar yang mengambil ufti untuk kegunaan sendiri.
“Demi ALLAH akan kutebas kepala mereka dengan pedang ini,” balasnya.
“Bagaimana kalau engkau tunjukkan jalan yang lebih baik dari itu?”
“Apakah jalan tersebut wahai pesuruh ALLAH?”
“Bersabar., sehingga engkau menemuiku,” jawab Baginda.
Dengan sikap yang ada pada Abu Zar, Rasulullah SAW dapat melihat kesusahan yang bakal dialami akibat daripada ketegasannya.
Setelah kewafatan Rasulullah SAW, Abu Zar semakin berani menunjukkan penentangannya terhadap cara sesetengah khalifah Islam menguruskan harta. Untuk mengelakkan kekeruhan dan perang saudara yang mungkin timbul akibat daripada sikapnya itu, Khalifah Usman memerintahkan Abu Zar berpindah ke Rabazah.
Sekali lagi Ummi ZAR terpaksa mengikut suami berpindah. Jika dahulu perpindahan mereka untuk mencari kebenaran, tetapi kini perpindahan mereka untuk memenuhi tuntutan agama dan arahan khalifah.
Mereka nenerimanya dengan penuh redha walaupun usia semakin beransur senja. Tempat tersebut adalah kawasan terpencil, jauh di tengah padang pasir dan tiada tumbuhan untuk dijadikan sumber makanan. Perhubungan dengan manusia juga terlalu sukar. Seandainya mereka meninggal dunia, tiada siapa yang tahu.
Namun, Ummi ZAR sentiasa cekal dan tidak pernah menyalahkan takdir Tuhan, jauh sekali mengeluh atau kesal terhadap perintah Khalifah Usman. Beliau yakin semua itu adalah untuk kebaikan umat Islam dan dia harus menerima dengan penuh ketakwaan untuk mencari redha ALLAH.
Sesungguhnya jalan untuk mengecap kemanisan iman itu terlalu sukar dan penuh berliku, manakala jalan untuk ke neraka jahanam penuh dengan taman-taman indah yang sentiasa menggamit mereka yang alpa.
Kesetiaan Tak Berbelah Bagi
Seperti sebelum ini, Ummi ZAR sentiasa di samping suami, menjaga dan membelainya dengan penuh kasih sayang . Dia tidak mahu suaminya berputus asa dan menyalahkan takdir yang menimpa mereka.
Setelah beberapa lama di Rabazah, pasangan itu jatuh sakit. Ummi ZAR semakin hari semakin kurus dan pucat. Kulitnya menggelupas. Pada masa yang sama Abu Zar juga sakit. Mukanya pucat dan badan pula terlalu kurus sehingga menampakkan tulang temulang.
Wajah yang sudah sedia dimamah usia itu semakin cengkung. Ummi ZAR sentiasa berusaha untuk membahagiakan suami dengan berbagai cara, walaupun dia sendiri dimamah derita.
Seandai dirinya boleh menjadi tukaran, dia sanggup menanggung semua penderitaan yang dialami oleh suami. Jikaboleh , dia tidak mahu Abu Zar menghadapi semua ini.
Dari hari ke hari Abu Zar semakin tenat dan tiada tanda-tanda akan sembuh. Di saat itu mengalirlah air mata seorang isteri yang terlalu setia kepada suami kerana terlalu hiba melihat keadaan suami.
Apabila melihat keadaan isterinya, Abu Zar berkata: “Apa yang engkau tangiskan wahai isteriku? Padahal maut itu pasti datang?”
“Suamiku, engkau akan meninggal, sedangkan kita tidak punyai sehelai kain pun untuk mengafankanmu.”
Abu Zar terus memujuk isterinya supaya jangan terus menangis kerana dia yakin bahawa tempatnya di sisi Rasulullah SAW.
Katanya lagi, “ Suatu hari , ketika saya berada di sisi Rasulullah SAW baginda bersabda, pasti ada di antara kamu yang meninggal di padang pasir dan akan disaksikan oleh serombongan orang-orang beriman…
“Ternyata yang hadir di majlis Rasulullah SAW itu telah meninggal di kampong dan di hadapan jemaah kaum muslimin kecuali aku. Kini aku menghadapi maut di padang pasir. Maka perhatilah olehmu jalan…mana satu kalau-kalau rombongan itu sudah datang! Demi ALLAH, aku tidak berbohong dan tidak dibohongi.”
Pulang ke Rahmatullah
Sebaik sahaja selesai berkata-kata , Abu Zar pun menghembuskan nafas terakhir, kembali ke rahmatullah menemui kekasih agung yang dirindui selama ini.
Walaupun ketika itu Ummi ZAR Cuma bersendirian, tetapi dia tidak meraung atau menangisi kematian suami. Segala-galanya disertakan kepada Allah.
Tidak lama selepas Abu Zar menghembuskan nafas terakhir, kelihatan serombongan kafilah yang diketuai oleh Abdullah bin Mas’ud. Wanita solehah itu kemudian meminta pertolongan mereka untuk menguruskan jenazah suaminya.
Melihat kesetiaan dan ketabahan yang ditunjukkan oleh Ummi ZAR, Abdullah memuji wanita itu. Katanya; “Benarlah ucapan Rasulullah SAW ..Anda berjalan sebatang kara , mata sebatang kara dan dibangkitkan nanti sebatang kara…”
Ummi ZAR telah membuktikan kesetiaan dan pengorbanan terhadap suami tercinta. Jiwanya dididik supaya sentiasa zuhud. Kekayaan yang dikejar adalah kekayaan hakiki. Dia tidak akan menukar dan menggadakan akhirat untuk mengejar kemewahan duniawi.
Waallahua’lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan