Gambar hiasan |
Amal Soleh mesti melalui 8 tapisan
http://www.almerzem.com/photos/albums/userpics/10001/normal_Pleiades_final_noiseweb.jpg
Ringkasan dari Hadis Muaz dengan Rasulullah SAW tentang Isra’ dan Mikraj:
1-Apabila amal soleh melalui langit pertama, Malaikat akan menilai agar amal soleh tersebut suci dari nilai-nilai Ghibah, atau mengumpat.
2-Apabila amal soleh tersebut berjaya melalui langit pertama, maka Malaikat dilangit kedua telah ditugaskan agar amalan tersebut suci dari nilai-nilai Matlamat dunia, jika amalan terebut suci dan selamat dari sifat-sifat matlamat dunia , maka dibenarkan meneruskan perjalanan dan akan naik ke langit ke tiga.
3-Semasa amal soleh tersebut melalui langit ketiga, Malaikat akan menilai dan menapis amalan tersebut agar suci dari sifat bangga diri.
4-Apabila amalan tersebut tidak memilki unsur-unsur bangga diri, maka amalan tersebut akan dibenarkan melangkah ke langit kelima, semasa amalan soleh melalui langit kelima, Allah SWT mengarahkan agar amalan tersebut dinilai agar suci daripada nilai-nilai hasad.
5-Apabila amalan tersebut berjaya melepasi langit keempat, amalan soleh akan melalui langit kelima, semasa dilangit ke lima , amal soleh akan dinilai agar suci daripada sifat Ujub atau berbangga dengan kelebihan diri sendiri.
6-Apabila amal soleh telah berjaya melepasi langit ke lima, amal tersebut akan melalui langit keenam, semasa amal soleh melalui langit keenam, Malaikat yang bertugas dilangit keenam akan menilai agar amal soleh tersebut mengandungi sifat kasihan belas kepada orang lain, tidak menzalimi orang lain dalam semua perkara.
7-Apabila amal soleh telah berjaya melepasi langit keenam, maka amal soleh tersebut akan diarak oleh ribuan para malaikat sehingga mengeluarkan bunyi seperti lebah dan apabila sampai dilangit ketujuh, Malaikat yang menjaga langit ketujuh akan menilai agar amal soleh tersebut suci daripada sifat Riya’, iaitu amal soleh yang tidak disertakan dengan harapan agar amalannya diiktiraf oleh manusia serta disanjung dan diagung-agungkan.
8-Apabila amal soleh telah berjaya melepasi langit ketujuh, amal soleh tersebut akan diiringi oleh ribuan para Malikat. Apabila amal soleh tersebut telah berada dihadapan Allah SWT. Malaikat berkata kepada Allah SWT dengan kata mereka : Ya Allah inilah amal yang terbaik yang telah melepasi segala tapisan, tetapi Allah SWT berfirman : Sesungguhnya masih ada lagi tapisan yang perlu dilakukan kerana Aku lebih mengetahui sesuatu amalan yang terbaik ” Maka Allah SWT akan menilai agar amal soleh tersebut dilakukan adalah benar-benar Ikhlas demi Allah SWT”, setelah amal soleh tersebut benar-benar dilakukan kerana Ikhlas kepada Allah SWT, Maka Allah SWT bersetuju memberi pahala dan dimasukkan kedalam Syurga.
Nota: Setiap amal soleh yang tidak melepasi tapisan-tapisan para Malaikat, amal soleh tersebut akan dihumban ke muka pemilik amal soleh tersebut.
Sumber Rujukan:
Imam Abdullah bin Al Mubarak lah.a telah meriwayatkan di dalam kitab Al Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki (iaitu Khalid bin Maadan) yang pernah berkata kepada Muaz bin Jabal: “Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah s.a.w.”
Berkata Rawi hadis tersebut (Khalid bin Maadan) lalu Muaz menangis sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata. Aku mendengar Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadaku: Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu menceritakan kepada kamu sebuah hadis jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat akan dikau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan Tuhan pada hari kiamat nanti.
Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjadikan 7 orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi kemudian lalu ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit yang pertama.
Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak lalu bekata malaikat penjaga langit pertama itu bagi malaikat Hafazhah: “Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik ke atas.”
Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (Malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama) sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang kedua itu:”Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia menghendaki dengan amalannya akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, solat, puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata malaikat penjaga langit ketiga itu:”Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takkabur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takkabur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, solat, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke langit pintu yang keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu: “Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ujub (bangga dengan diri sendiri). Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ujub terhadap dirinya.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya amalannya itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima: “Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad ia sangat hasud kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya. Ia hasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasud ini melintasi aku.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada solat, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut: “Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia tidak belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini dapat melintasi aku.”
Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu ialah solat, puasa, nafkhah, jihad dan warak. Baginya bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu 3000 orang malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit tersebut:
“Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat sum’ah (ingin masyhur). aku akan menghalang amalan orang yang riak dari sampai kepada Tuhanku. Ia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namaya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa solat, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam (daripada yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikatnya: “Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya dan aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hambaKu ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas kepadaKu dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu aku. Aku adalah Maha Mengetahui”.
“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagiKu apa sahaja yang terlindung. PengetahuanKu atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuanKu atas apa yang bakal terjadi”.
“PengetahuanKu atas orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuanKu atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hambaKu ini menipu aku dengan amalnya ini?”
“Ia sebenarnya tidak menghendaki akan aku dengan amalan tersebut. Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu. Oleh kerana itu maka aku turunkan ke atasnya akan laknatKu.”
Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata, “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknatMu dan laknat kami sekelian bagi mereka.”
Dan semua yang di langit turut berkata, “Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat”.
Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis teresak-esak dan berkata, “Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dan apa yang diceritakan ini?”
Sabda Rasulullah saw., “Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan”.
Muaz bertanya kembali, “Ya, tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanya si Muaz bin Jabal (hamba Allah bukan Rasul), bagaimana saya boleh selamat dan boleh lepas dan bahaya tersebut?”
Bersabda Rasullullah, “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain”.
“Jangan riak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabbur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut kepadamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan merobekkan (pecah belah) peribadi orang lain dengan mulutmu kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing api neraka jahanam”.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Di neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia”.
Muaz berkata, “Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?”
Jawab Rasulullah SAW., “Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar”.
Wallahu’alam….
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat Muslim)
Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Az-Zumar: 53)
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin (hati) yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.” (Surah Yunus: ayat 57).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan