Sabtu, 17 Ogos 2013

Antara Ilmu dan Makrifat

Antara Ilmu dan Makrifat - Habib Ahmad
Dalam bahasa Melayu, ilmu sendiri digunakan seerti dengan pengetahuan, kepandaian dan sebagainya. Ia sememangnya berasal dari bahasa Arab lalu digunakan sebagai kalimah dalam bahasa Melayu juga.

Para ulama’ berbeza pendapat dalam memberi definisi terhadap ilmu. Bahkan, ada yang mengatakan bahawanya, ia tidak boleh didefinisikan sama sekali. Namun, kita tidak perlu masuk ke dalam perbahasan-perbahasan mendalam dan perselisihan mengenai definisi ilmu tersebut. Apa yang dipegang oleh ramai para ulama’ dan menjadi suatu definisi yang muktabar adalah: Dapatan yang kukuh lagi tetap (al-Idrak al-Jazim) yang bersesuaian dengan realiti berasaskan dalil.

Perbezaan Antara Ilmu dengan Makrifat
Dalam tradisi Islam, ilmu dan makrifat (al-Ma’rifah) mempunyai perbezaannya. Sebahagian ulama’ membezakan ilmu dengan makrifat dari sudut bahawa, ilmu itu tidak didahului oleh kejahilan sedangkan makrifat itu didahului oleh kejahilan. Namun, perbezaan ini tidak tepat kerana ilmu bagi manusia dan makhluk memang bersifat didahului oleh kejahilan. Maka, ilmu dan pengenalan (makrifat) digunakan secara sama.

Menurut Sheikh Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani:

“Ma’rifah (pengetahuan) adalah apa sahaja dapatan (idrak) bagi imej benda-benda, sifat-sifatnya, ciri-cirinya atau tanda-tandanya, ataupun makna-makna yang tersendiri, samada ianya betul-betul ada di luar minda ataupun tidak.

Maka, Ma’rifah yang sempurna ialah, dapatan itu bersesuaian pula dengan perkara yang didapati itu dari sudut realiti perkara tersebut, sama ada imejnya, sifatnya, ciri-cirinya, tanda-tandanya, ataupun kewujudan atau ketiadaannya, hak atau batil, ataupun sebagainya yang berkaitan dengan sesuatu tersebut.”[1]

Sedangkan ilmu pula adalah: “Dapatan sesuatu atau makna mengikut apa yang sebenarnya ia pada realitinya.” Dengan definisi ini, ianya hampir sama dengan makna Ma’rifah. Itulah yang berkembang dalam tradisi Islam silam.

Cuma, dalam tradisi ilmu tasawwuf, makrifat digunakan secara khusus iaitu dalam mengenal Allah s.w.t. dan hakikat diri. Maka, makrifat ini lebih halus dan lebih tinggi berbanding perkataan ilmu yang bersifat umum, kerana makrifat itu adalah ilmu mengenai hakikat diri dan ilmu mengenai hakikat Tuhan. Oleh yang demikian, para ulama’ tasawwuf menggelar mereka yang mencapai kemuncak penguasaan dalam ilmu tasawwuf dan ketuhanan sebagai al-Arifin atau mereka yang mengenal.

Lafaz ilmu berkembang dalam peredaran zaman. Dalam tradisi Barat, ilmu dikenali sebagai knowledge atau science. Namun, pada kurun ke-19, dunia Inggeris terutamanya, membataskan kalimah science kepada ilmu Sains sahaja, atau ilmu-ilmu yang bersifat kebendaan dan boleh dikaji di makmal. Atau, dalam erti kata yang lain, pada kurun ke-19, knowledge dengan science sudah digunakan secara berbeza, kerana kalimah science merujuk kepada ilmu khusus tentang ilmu atau maklumat yang didapati melalui metodologi saintifik yang merangkumi fizik, kimia, geologi dan biologi.

Bahkan, dalam penggunaan bahasa Melayu juga, ada yang membezakan antara ilmu dengan pengetahuan. Ia kembali kepada dua jenis pengetahuan bagi manusia iaitu: [2]

1) Pengetahuan Biasa (ordinary knowledge) iaitu pengetahuan tentang hal-hal seharian yang biasa seperti memasak dan sebagainya.

2) Pengetahuan Ilmiah (scientific knowledge) iaitu pengetahuan yang tersusun atau sistematik, serta mempunyai kaedah atau metodologi tertentu ,yang mana ia dapat disebut sebagai ilmu.

Dalam pandangan Islam, ilmu yang berkembang melalui metodologi saintifik, yang menjelaskan tentang alam persekitaran, walaupun ianya mempunyai nilai maklumat, tetapi tidak lengkap kerana ilmu dalam pandangan Islam lebih bersifat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan menambah keimanan dan pengetahuan tentang Allah s.w.t.. Ia disebut sebagai ilmu yang bermanfaat.

[1] Sheikh Abd al-Rahman Hasan Habannakah, Dhowabit al-Ma’rifah, Dar al-Qalam, Damsyiq, Syria, cetakan m/s: 123

[2] Dr. Abdul Rahman, Tradisi Falsafah Ilmu, m/s: 85. Pustaka Ilmi, Batu Caves Selangor, Cetakan Pertama 2002.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...