Sabtu, 24 Ogos 2013

Amal TUJUH Sunnah Bentuk Jiwa Kental

Amal 7 sunnah bentuk jiwa kental -Oleh Zamanuddin Jusoh
Gambar hiasan sahaja
Tiga elemen penting dalam ibadat jana kekuatan, tingkat iman

Kehidupan manusia dipenuhi ribuan kisah sebagai pengalaman dan pedoman. Begitu juga al-Quran yang menghimpunkan antara 30 hingga 40 kisah kehidupan sebagai teladan untuk persediaan menghadapi hari kiamat.

Antara perkara diberi keutamaan oleh Allah SWT ialah jiwa manusia. Ada berjiwa kental dan ada sebaliknya. Sifat berani, pengecut, keterbukaan dan keakuan atau hanya melihat pada diri sendiri semata-mata, semuanya adalah daripada cetusan jiwa manusia.

“Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya mengikut hawa nafsu melainkan setelah datangnya wahyu” (Surah as-Syams, ayat 7-10)

Jelasnya, sifat berani, kental, keterbukaan dan ingin melihat kebahagiaan kepada semua manusia adalah sifat paling terpuji serta berkualiti tinggi.

Jiwa kental atau sebaliknya dapat dinilai melalui kemampuan seseorang. Kata hikmat pernah diungkapkan, “Jadilah seorang lelaki sehebat seribu lelaki, jika tidak mampu, maka jadilah seorang lelaki. Tetapi janganlah kamu menjadi separuh daripada lelaki kerana itu bukanlah lelaki sejati.”

Rasulullah SAW pernah membuat penilaian terhadap kualiti iman Abu Bakar dalam sabda Baginda: “Jika ditimbang iman Abu Bakar dan iman seluruh umat, maka beratlah timbangan Abu Bakar.”

Baginda SAW menjelaskan lagi dalam sabdanya bermaksud: “Abu Bakar tidak mendahului kamu dengan banyaknya solat ataupun puasa, tetapi beliau mendahului kamu dengan apa yang terpahat di hatinya.”

Sahabat bernama Amr As ketika membuka kota Mesir, memohon bantuan 4,000 tentera daripada Khalifah Umar Al-Khattab. Namun, Khalifah Umar hanya menghantar empat orang. Apabila ditanya, beliau menjawab: “Sesungguhnya aku menghantar seseorang yang lebih baik daripada seribu tentera. Demi Allah, Tuhan sekalian alam, suara yang dimiliki mereka adalah bersamaan 4,000 bala tentera.”

Wujud manusia berkualiti
Ini menjelaskan kewujudan manusia yang berkualiti dalam kalangan masyarakat bukanlah sesuatu yang mustahil. Namun, mereka yang memiliki jiwa pengecut juga ada seperti dijelaskan Allah SWT melalui kisah Nabi Musa dan Bani Israel.

Kisah bermula selepas Nabi Musa diselamatkan Allah SWT daripada kekejaman Firaun. Dalam keadaan kaki yang masih basah dengan air Laut Merah, Allah SWT berfirman: “Musa berkata, wahai kaumku, masuklah ke bumi yang suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah kepada kamu dan janganlah kamu berpaling kerana ia akan merugikan kamu. Mereka (Bani Israel) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya di dalamnya ada orang yang sangat kuat dan kejam. Kami tidak akan memasukinya selagi mereka berada di sana.” (Surah al-Maidah, ayat 21-22)

Kisah Talut dan Jalut yang dipaparkan melalui kisah penindasan terhadap Bani Israel. Antara mereka yang berani iaitu Talut. Mereka menuntut berjuang, namun hanya 313 yang melepasi ujian daripada Allah SWT, antaranya pemuda berumur 16 tahun iaitu Nabi Daud.

Hanya bilangan kecil berjaya bersama Talut adalah mereka yang berkualiti tinggi. Mereka menempah kejayaan ketika berhadapan tentera apabila Nabi Daud membunuh Jalut. Inilah kejayaan hasil daripada disiplin, kesabaran tinggi serta keberanian luar biasa.

Sayyid Qutb menekankan aspek pendidikan spiritual dalam pendidikan ketenteraan kerana ia adalah peradaban bagi manusia. Dunia hari ini didominasi perkara bersifat material. Ia hanya dapat dibendung dengan pendidikan rohani.

Untuk menjana kekuatan dan keberanian jiwa memerlukan beberapa panduan iaitu membina kekuatan melalui ibadat kerana amalan bersifat ubudi akan membina kekuatan jiwa. Setiap ibadat mesti mempunyai tiga elemen penting iaitu ilmu, kefahaman dan penghayatan.

Latihan bersaing antaranya istiqamah pada solat Subuh berjemaah, riadah harian untuk fizikal, susun jadual membaca setiap minggu, berdoa dan memasang niat sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.

Kita juga mestilah menjaga tujuh sunnah Nabi SAW setiap hari iaitu tahajud, membaca al-Quran, jangan tinggalkan masjid khususnya pada waktu Subuh dan Asar, menjaga solat Dhuha, bersedekah, memelihara wuduk dan beristighfar.

Melakukan kerja kemasyarakatan kerana ia amalan Nabi dan solihin. Nabi Musa membantu golongan yang lemah seperti kisah bantuan Baginda kepada dua wanita (anak Nabi Syuib) untuk mengambil air dari perigi yang dikerumuni kaum lelaki gagah perkasa.

Nabi Khidir pula membantu membangunkan tembok usang yang hampir roboh kepunyaan dua orang anak yatim untuk menyelamatkan harta itu daripada jatuh kepada mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sahabat Nabi Muhammad SAW pula, sentiasa melakukan kerja sukarelawan demi menyebarkan kebaikan dan menyeru manusia kepada agama umpama kisah pembinaan Masjid Quba’ di Madinah.

Tak tuntut balasan
Al-Arqam bin Abi al-Arqam menyediakan ruang rumahnya untuk Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwah Islamiah di Makkah tanpa menuntut sebarang balasan di dunia dan lain-lain kisah dalam al-Quran.

Jadikanlah diri ikhlas dalam semua perkara dan bersedia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tanpa mengharapkan ganjaran. Marilah kita berusaha meningkatkan keimanan supaya tidak terputus proses tarbiah.

http://epondok.wordpress.com/2013/08/21/amal-7-sunnah-bentuk-jiwa-kental/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...