Khamis, 29 Ogos 2013

Bersikap adil terhadap kawan dan lawan

Bersikap adil terhadap kawan dan lawan - Ahmad Shukri Yusoff
Gambar hiasan
Seseorang perlu seimbangkan hak diri dan tunduk terhadap tuntutan al-Quran

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.” (Surah Al-Hadiid, ayat 25)

Syeikh Mustafa Al-Maraghi ketika membuat huraian di atas menyebut manusia terbahagi kepada dua golongan, satu golongan dapat diatur dengan ilmu dan hikmat. Satu golongan lagi hanya boleh diatur dengan pedang dan tongkat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah, ayat 8)

Mereka yang tunduk kepada kekuasaan adalah lebih ramai berbanding yang tunduk kepada al-Quran. Sementara itu keadilan dan undang-undang harus ada pelindungnya. Kenyataan Al-Maraghi membayangkan kepentingan keadilan yang mesti ditegakkan sama ada melalui al-Quran atau undang-undang.

Antara nilai utama kemanusiaan yang dibawa oleh Islam ialah nilai keadilan. Ia akan menjadikannya sebagai pengukuh kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Al-Quran menegakkan keadilan di antara manusia sebagai matlamat semua risalah samawi sehingga diutuskan kepada mereka Rasul-rasul kerana faktor menegak keadilan dibangunkan langit dan bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.” (Surah al-Rahman, ayat 7-9)

Maksud keadilan
Maksud keadilan ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak sama ada individu atau kumpulan manusia. Islam memerintahkan setiap orang berlaku adil terhadap dirinya dengan menyeimbangkan antara hak dirinya, hak Tuhannya dan hak orang lain.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu ada haknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu adalah teguran Rasulullah SAW kepada Abdullah Ibnu Amru apabila dia mengabaikan hak dirinya dengan terus menerus berpuasa pada siang hari dan berqiamullail pada malam harinya.

Begitu juga Islam telah memerintahkan supaya berlaku adil pada keluarga, suami, isteri dan anak-anak.

Ketika Basyir ibnu Saad Al-Ansari hendak mendapatkan persaksian Rasulullah SAW terhadap hibah atau pemberian tertentu, dia mengutamakan pemberian itu kepada sebahagian anak-anaknya. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Adakah semua anak kamu berikan yang seumpama ini? Basyir menjawab: Tidak. Rasulullah SAW bersabda: “Carilah penyaksian ke atas pemberian itu selain dariku, aku tidak akan membuat persaksian atas ketidakadilan.” (Riwayat Nasaie)

Ini menggambarkan keadilan harus diberikan kepada yang disayanginya atau tidak supaya perasaan sayang seseorang itu tidak bersekongkol dengan kebatilan. Alangkah hebatnya perintah untuk berbuat keadilan ini sehingga al-Quran meminta berlaku adil walaupun terhadap orang dimusuhi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah, ayat 8)

Bentuk keadilan
Antara bentuk keadilan paling jelas ditekankan oleh al-Quran ialah keadilan sosial dalam pembahagian kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat, mendekatkan jurang luas antara kaya dan miskin, membataskan monopoli orang kaya dan mengangkat taraf hidup orang miskin.

Al-Quran turut menganjurkan supaya diberi perhatian penting kepada orang yang kurang bernasib baik dan pengabaian terhadap perkara ini dengan ancaman neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahim; selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! Sesungguhnya dia dulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar, Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.” (Surah al-Haaqqah, ayat 30-34)

Agama juga memerintahkan kepada kita untuk berlaku adil dalam perkataan. Kemarahan tidak boleh menjadi alasan untuk kita tidak berkata benar dan kerelaan kita kepada seseorang tidak menjadi pendorong untuk berkata suatu yang tidak benar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).” (Surah al-An’aam, ayat 152)

Begitu juga Islam memerintahkan kita berlaku adil dalam penyaksian. Kita tidak boleh menjadi saksi melainkan dalam perkara yang kita tahu, tidak boleh berlebih, tidak boleh berkurang, tidak boleh mengubah dan tidak boleh menggantikan dengan yang palsu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya) dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata).” (Surah at-Talaaq, ayat 2)

Tegak keadilan
Menegakkan keadilan antara seruan utama al-Quran kepada manusia, justeru menjadi kewajipan kepada kita memastikan diri termasuk dalam kalangan mencintai keadilan dan menegakkannya dalam seluruh sistem kehidupan.

Pengabaian terhadap nilai keadilan sebenarnya adalah pengabaian terhadap nilai Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan juga Rasul sebelum Baginda.

http://pondokhabib.wordpress.com/2013/08/25/bersikap-adil-terhadap-kawan-dan-lawan/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...