Selasa, 27 Ogos 2013

Konsep mudah, sederhana tegakkan syiar Islam

Konsep mudah, sederhana tegakkan syiar Islam -Oleh Lokman Ismail

Sesungguhnya Allah SWT tidak bertujuan memberi kesusahan kepada hamba-Nya dalam melaksanakan ibadah. Setiap perintah berkaitan ibadah berdasarkan apa yang termampu dilakukan. Ini kerana konsep ibadah bukan satu hukuman atau satu bentuk penyeksaan.

Dalam Islam menekankan perkara yang mudah dan mendatangkan kebaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Terimalah yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik.” (Surah al-Araf, ayat 199).
Kemudahan, kelonggaran dalam beribadah

“Berikan kemudahan (kepada orang) dan janganlah menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadikan mereka menjauhkan diri (daripada Islam).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebenarnya perintah Allah SWT dalam semua suruhan memperlihatkan kemudahan dan kelonggaran. Tidak ada satu pun ibadah yang boleh dikategorikan sebagai sukar untuk dilakukan. Jauh sama sekali perintah melakukan ibadat yang boleh mendatangkan bahaya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah al-Hajj, ayat 78).

Ibadah puasa pada Ramadan umpamanya mempunyai kelonggaran yang diberikan kepada mereka menghadapi kesukaran atau keperluan yang diharuskan, meninggalkan ibadah yang diwajibkan itu.

Ini membuktikan Islam tidak mahu mendatangkan kemudaratan dalam melaksanakan ibadah. Sebab itu, dalam keadaan yang boleh menimbulkan mudarat, maka wajib seseorang tidak berpuasa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (boleh berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Kelonggaran itu jelas memberi kemudahan dalam pelaksanaan ibadah puasa. Islam mementingkan keselesaan kepada umatnya untuk melakukan ibadah dengan tenang, selesa, ikhlas dan selamat.

Justeru, sesiapa melihat pelaksanaan ibadah dalam Islam dari sudut yang sukar sebenarnya tidak memahami Islam secara menyeluruh. Amalan wasatiyyah dan istiqamah adalah lebih penting berbanding sikap ekstrem dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu.

Rasulullah SAW sentiasa menekankan kepentingan kesederhanaan dalam semua perkara, termasuklah dalam seruan dakwah.

Ketika mengutuskan Muaz bin Jabal dan Abu Musa al-Asyari ke Yamam, Rasulullah SAW berpesan yang bermaksud: “Berikan kemudahan (kepada orang) dan janganlah menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadikan mereka menjauhkan diri (daripada Islam).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Beri alternatif mudahkan ibadah

Konsep mudah dan memudahkan memberi alternatif untuk membolehkan sesuatu maksud dilaksanakan biarpun dalam keadaan ketiadaan sumber asal.

Sebagai contohnya, dalam soal menyucikan diri, ketika ketiadaan air atau air yang ada lebih penting untuk kegunaan lain, penyucian boleh dilakukan dengan tanah atau debu secara tayamum.

Firman Allah SWT bermaksud: “Lalu jika tiada air, hendaklah kamu tayamum dengan tanah yang bersih, iaitu sapu mukamu dan tanganmu dengan (tanah itu). Allah tidak hendak menyulitkan kamu tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, ayat 6).

Jelaslah tidak ada perkara sukar untuk dilaksanakan oleh setiap umat Islam dalam apa hal sekalipun. Sebab itu Rasulullah SAW menjelaskan keutamaan melakukan perkara mudah yang mampu dilakukan tanpa berlebih-lebih.

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Ahmad bermaksud: “Sebaik-baik (ajaran) agama kamu ialah yang paling mudah.”

Mengambil perkara mudah bukan pula bermakna tidak mempedulikan atau mempermainkan hukum agama. Sesuatu ketetapan hukum perlu dilaksanakan dengan sempurna dan ikut keperluan.

Perkara ini diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Aisyah: “Apabila Rasulullah SAW diberi pilihan, maka Baginda akan memilih perkara lebih mudah selama mana bukan perkara dosa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tentunya kita dapat perhatikan amalan dalam Islam tidak ada yang bertentangan dengan fitrah manusia. Setiap ibadah yang diperintahkan mempunyai banyak kebaikan yang memberi kebaikan kepada manusia sendiri.

Maka, tidak ada alasan untuk manusia ingkar daripada melaksanakan setiap ketentuan yang ditetapkan oleh agama.

Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui mengenai keupayaan manusia dan tentunya tidak akan menyusahkan hamba-Nya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan.

Firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 28 bermaksud: “Allah sentiasa hendak meringankan bebanan hukum-Nya daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

Bahkan Allah SWT menegaskan bahawa Dia ingin memberi kemudahan dan bukannya kesukaran kepada manusia. Maksud firman Allah SWT: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah, ayat 185).

http://epondok.wordpress.com/2013/08/26/konsep-mudah-sederhana-tegakkan-syiar-islam/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...