Gambar hiasan |
بسم الله الرحمن الرحيم
Salah satu peristiwa yang menjadi ukiran sejarah ialah peristiwa kejam yang menimpa ke atas Sa'id bin Jubair ketika nama Iraq di bawah pemerintahan kerajaan Bani Umayyah, di bawah pentadbiran gabenor dari panglima perang yang kejam iaitu Al-Hajjaj bin Yusuf Aththaqafi. Beliau telah menghantar seorang panglima bernama Multamis bin Aswasy bersama 20 orang pegawai untuk menangkap Sa'id bin Jubair. Dalam perjalanan pulang, setelah Sa'id ditanggap, salah seorang daripada mereka mempelawa Sa'id dengan berkata:
Tentera Multamis : "Marilah masuk ke dalam gerejaku ini, kerana di sini terdapat banyak harimau". Lalu mereka semuapun masuk ke gereja itu, kecuali Sa'id bin Jubair. Lalu di antara mereka berkata, "Barangkali engkau hendak lari!.
Lalu Said bin Jubair menjawab, "Tidak, saya telah bersumpah selama hidup saya saya tidak akan masuk ke rumah berhala!"
Jawab tentera Multamis: "Ini bukan soal berhala, tetapi soal keselamatan dirimu ditangkap harimau dan singa"
Sa'id menjawab, "Saya ada Tuhan. Dia yang akan menghindarkan singa dan harimau itu daripada saya".
Tanya tentera Multamis lagi, "Adakah engkau ini Nabi?"
Jawab Sa'id. "Tidak, aku bukan Nabi. Aku hanya hamba ALLAH yang banyak dosa dan banyak kesalahan"
Lalu tentera Multamis bertanya lagi, "Mahukah engkau bersumpah tidak akan melarikan diri?"
Jawab Sa'id, "Demi ALLAH! saya tidak akan lari".
Lalu, mereka semua masuk ke dalam, tinggal Sa'id seorang diri di luar gereja. Tidak lama kemudian datang seekor ibu singa menundukkan kepada kepada Sa'id sambil menjilatnya. Kemudian datang pula seekor bapa singa, juga berbuat demikian. Paderi gereja tersebut yang menyaksikan kejadian itu amat hairan, terus bertanya tentang apakah ilmu yang ada pada Sa'id. Sa'id menerangkan, jika hati telah penuh iman kepada ALLAH, segala makhluk akan tunduk kepadaNya. Kerana tertarik hati dengan penerangan itu, paderi tersebut segera mengucap dua kalimah syahadah.
Setelah hampir memasuki negeri Wasit iaitu tempat kediaman Al-Hajjaj, Sa'id meminta izin sekadar satu malam untuk beribadat sebagai persediaan menghadapi mati, bersedia untuk menemui Munkar dan Nakir, mengingati seksa kubur dan sebagainya. Permintaannya itu diperkenankan. Sa'id bertafakur seorang diri sepanjang malam, mulutnya tidak henti-henti menyebut nama ALLAH. Kadang-kadang airmatanya bercucuran membasihi pipinya. Di waktu subuh, Sa'id membangunkan mereka untuk menunaikan solat subuh. Kemudian setelah dibawa masuk ke hadapan Al-Hajjaj.
Lalu Al-Hajjaj bertanya : "Siapa nama kamu?"
Sa'id : "Nama saya Sa'id bin Jubair (Bahagia bin Peneguh)"
Al-Hajjaj : "Tidak!. Namamu Syaqiy bin Kusair (Si Celaka bin Si Pecah)"
Sa'id : "Orang tuaku yang memberi namaku. Dia lebih tahu daripadamu"
Al-Hajjaj : "Engkau Celaka. Ibu bapamu yang memberi namamu juga celaka".
Sa'id : "Yang menentukan celaka bagi seseorang itu, bukanlah engkau, tetapi Tuhan".
Al-Hajjaj : "Diam!!. Akan aku tukarkan tempatmu dari dunia ke neraka!!"
Sa'id : "Kalau aku tahu, engkau yang berkuasa menentukan tempatku di akhirat, tentulah sudah lama aku jadikan engkau sebagai Tuhan".
Al-Hajjaj : "Apa pendapatmu tentang Nabi Muhammad?"
Sa'id : "Dia, Nabi yang membawa rahmat".
Al-Hajjaj : "Bagaimana pendapatmu tentang Ali bin Abi Talib? Adakah dia masuk syurga atau neraka?"
Sa'id : "Kalau saya telah pernah masuk syurga atau neraka, tentulah saya dapat memberitahu kamu siapakah yang saya lihat di dalamnya."
Al-Hajjaj : "Bagaimana pula pendapatmu tentang khalifah-khalifah yang lainnya?"
Sa'id : "Bukan kerja saya untuk menyelidiki amal dan kerja mereka".
Al-Hajjaj : "Siapakah di antara mereka itu yang engkau sukai?"
Sa'id : "Orang yang paling banyak berbakti dan tunduk kepada ALLAH, dialah yang saya sukai".
Al-Hajjaj : "Siapakah orang itu, mengikut pendapatmu?"
Sa'id : "Yang mengetahui semuanya itu ialah yang memiliki rahsia mereka iaitu Tuhan".
Al-Hajjaj : "Mengapa engkau tidak pernah ketawa?"
Sa'id : "Siapalah gerangan akan ketawa, kalau dia tahu dia berasal dari tanah yang akan dibakar api".
Al-Hajjaj : "Jadi, salahkah kami kalau kami tertawa?"
Sa'id : "Hati kita tidak sama".
Kemudian dibawa batu permata yang mahal-mahal ke hadapan Sa'id. Melihat itu Sa'id berkata : "Kalau harta ini boleh menebus dirimu daripada huru-hara hari kiamat, beruntunglah kamu dapat mengumpulnya. Tetapi satu gegaran hari kiamat, dapat menggugurkan anak yang masih di dalam kandungan dan dapat melepaskan anak dari pangkuan ibunya. Tidak ada gunanya mengumpul harta, kalau tidak dapat menolong di hari kiamat. Harta tidak berfaedah kecuali yang diperolehi secara baik dan bersih".
Kemudian Hajjaj menyuruh orang memainkan alat-alat muzik di hadapan Sa'id. Mendengar bunyi-bunyian itu, Sa'id menangis. Al-Hajjaj terus bertanya:
Al-Hajjaj : "Mengapa engkau menangis?"
Sa'id : "Kerana tiupan seruling ini mengingatkan aku tiupan sangkala hari kiamat yang maha dahsyat".
Al-Hajjaj : "Celakalah engkau Wahai Sa'id".
Sa'id : "Orang celaka ialah orang yang tidak dimasukkan ke syurga; tetapi dihumbankan ke neraka"
Al-Hajjaj : "Wahai Sa'id, pilihlah bagaimanakah cara pembunuhan ke atasmu?"
Sa'id : "Engkau sendirilah yang berhak memilihnya. Demi ALLAH !, walau apa cara engkau membunuh aku, engkau akan menerima balasan yang lebih dahsyat di akhirat nanti".
Al-Hajjaj : "Adakah engkau hendak meminta ampun? Aku sedia mengampunimu.
Sa'id : "Kalau ampun itu dari engkau, aku tidak akan memohonnya. Oleh kerana ampun itu daripada ALLAH lebih baik aku memohonnya terus daripada ALLAH"
Al-Hajjaj : "Bawalah dia, dan bunuhlah segera!!"
Sampai di pintu Sa'id tertawa. Hal itu diberitahu kepada Hajjaj. Sa'id dibawa semula mengadap Hajjaj lalu disoal,
Al-Hajjaj : "Mengapa engkau tertawa?"
Sa'id : "Aku hairan melihat engkau berani melawan ALLAH, dan aku ta'jub bahawa Tuhan sangat berlembut denganmu".
Al-Hajjaj : "Bunuhlah dia!!!!"
Sa'id sedikit pun tidak merasa takut. Dengan bulat hati dia menyerahkan dirinya kepada ALLAH, Wajahnya di hadapkan ke langit. Mulutnya menyebut-nyebut nama ALLAH dan kalimah suci. Melihat itu hati Hajjaj bertambah benci lalu berkata:
Al-Hajjaj : "Tundukkan dia, dan tekankan kepadanya ke bumi!!"
Mendengar itu Sa'id terus membaca:
Ertinya: "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada ALLAH yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain)".
Mendengar itu, Hajjaj bertambah benci lalu memerintah : "Jangan hadapkan mukanya ke arah kiblat".
Mendengar perintah itu Sa'id membaca pula ayat yang lain:
Ertinya: Dan ALLAH jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap ALLAH ) maka di situlah arah yang diredhai ALLAH ; sesungguhnya ALLAH Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.
Lalu Hajjaj berkata: "Hadapkan mukanya itu ke tanah!!".
Sa'id lalu berkata: Ertinya: Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.
Hajjaj berkata :"Pancunglah lehernya itu dengan segera!!".
Ketika kepada Sa'id ditekan kedengaran dia berdoa : Wahai Tuhanku!! Biarlah aku sahaja orang yang penghabisan dibunuh dengan kejam oleh Al-Hajjaj. Selepas hari ini jangan ada lagi orang yang dibunuhnya. Lalu beliau mengucap dua kalimah syahadah.
Pedang pun dijatuhkan dengan derasnya ke batang leher Sa'id. Menceraikan kepalanya daripada tubuhnya dalam usianya 49 tahun. Sekalian yang hadir tercengang-cengang melihat kepala Sa'id yang telah tercerai daripada badannya itu. Ketika mulutnya akan terkatup masih kelihatan bibir mulutnya masih menyebut-nyebut nama ALLAH dengan mengukir senyum sinis dan mengejek dunia.
Moga-moga ALLAH mencucuri rahmatNya ke atas roh Sa'id bin Jubair. Mulai saat itu Al-Hajjaj diserang penyakit jiwa yang terlalu parah. Berkat doa Sa'id, Al-Hajjaj hanya sempat hidup selama 15 hari sahaja selepas peristiwa berdarah pembunuhan Sa'id bin Jubair yang kejam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan