Rabu, 20 Ogos 2014

CINTA ALLAH MENGATASI SEGALANYA

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Dunia adalah Ujian
ALHAMDULILLAH, dalam kehidupan kita sentiasa diuji sementelah lagi dunia ini sebagai tempat ujian terutama pautan dunia dan harta benda. Dengan semangat menginsafi akan hakikat kita sebagai khalifah Allah di muka bumi, sewajarnya kita memahami tugasan kita sebagai pendakwah dalam meninggikan syiar agama-Nya.

Dalam ruangan tafsir pada kali ini penulis menukilkan tafsiran daripada surah al-Taubah ayat 24 yang bermaksud: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan Keputusan-Nya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya, Apa Ertinya Saya Menganut Islam berkata: “Orang-orang yang terdahulu daripada kita benar-benar mengetahui dan memahami bahawa dakwah mereka tidak akan mencapai kejayaan kecuali dengan jihad, pengorbanan, penyerahan harta kekayaan dan jiwa raga, lantas mereka pun mengorbankan diri dan harta benda mereka untuk perjuangan.”

Mereka berjihad pada jalan Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Mereka mendengar seruan Allah SWT ini.

Sebaik sahaja mendengar seruan yang berupa ugutan itu, mereka pun terus menyambutnya. Mereka membebaskan diri mereka daripada segala sesuatu yang mereka cintai dengan penuh kerelaan hati, malahan mereka bergembira dan merasa bahagia dengan janji setia yang mereka berikan kepada Allah SWT.

Ada daripada kalangan mereka yang bertarung dengan maut tetapi masih menyeru: “Maralah menuju Allah yang tidak membawa sebarang bekalan.”

Ada juga dalam kalangan mereka yang mengorbankan seluruh harta benda mereka dengan berkata: “Aku tinggalkan untuk keluargaku Allah SWT dan Rasul-Nya.”

Ada juga antara mereka yang bermadah, sedangkan mata pedang sedang berada di leher mereka: “Aku tetap tidak peduli, asalkan aku seorang Muslim, biarpun diriku dibunuh mati, untuk Allah kematian pasti.”

Jihad yang benar

Demikianlah yang telah berlaku kepada mereka yang berjihad dengan jihad yang benar, pengorbanannya besar, menyerah diri dengan bersungguh-sungguh dan kita juga akan melakukan perkara yang sama (dengan izin Allah SWT).

Atas dasar inilah selayaknya umat Islam menjadikan Ramadan lalu sebagai bulan tamrin dan latihan dalam mengatur dan menyusun langkah kehidupan di atas asas syariat Allah SWT.

Dalam saat kita baru melabuhkan tirai Ramadan dan sedang seronok diulit kemenangan Syawal, sudah pasti semangat Ramadan ini hendaklah kita bawa bersama sebagai mukadimah perubahan hidup kita ke arah yang lebih baik mengikut kehendak Allah SWT.

Begitu juga, Syawal menjadikan kita lebih bersyukur kepada Ilahi atas nikmat kurniaan kemampuan untuk melaksanakan ibadah-Nya dengan jaya. Amin.

Selain itu, terdapat banyak lagi catatan sejarah yang menunjukkan kemenangan tentera Islam pada bulan Ramadan. Justeru, sewajarnya bagi umat Islam mengambil semangat Ramadan yang mulia yang baru kita lepasi ini untuk meraih kemenangan, sama ada menentang hawa nafsu atau benar-benar menjadi hamba Allah SWT yang soleh.

Tidak dapat kita lupakan bahawa turunnya al-Quran yang menjadi mukjizat sepanjang zaman sehingga menjana perubahan dan membina peradaban ummah juga diturunkan, bermulanya pada bulan Ramadan. Ini merupakan tanda cahaya ilmu dan Islam diasaskan pada bulan penuh keberkatan itu.

Semoga Allah kurniakan kepada kita dengan kasihkan kepada-Nya dan cinta semata-mata untuk-Nya sahaja.

http://epondok.wordpress.com/2014/08/19/cinta-allah-mengatasi-segalanya/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...