Sabtu, 16 Ogos 2014

Islam Kembali Dagang

Islam Kembali Dagang

Gambar hiasan
Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.

عَن اَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : بَدَأَ اْلِاسْلَامُ غَرِيْباً وَسَيَعُوْدُ كَمَا بَدَأَ غَرِيْباً فَطُوْبَى لِلغُرَبَاءِ

Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing).Dan ia akan kembali dagang. Maka berbahagialah (beruntunglah) orang yang bersama Islam ketika ianya dagang”. (Hadith riwayat Muslim)

Sejarah telah merakamkan bahawa Islam mulai tersebar di Mekkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Ini kerana pada ketika itu, bilangan mereka yang menjadi pendukung Islam terlalu sedikit jika dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasai ganjil dari pandangan dunia, bahkan dari pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Malah, seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Inilah akibatnya apabila memilih neraca hidup yang salah  supaya dipandang mulia dan dihormati oleh masyarakat tanpa mengambil kira nilaian hidup kehidupan yang diredhai oleh Allah.

Sebagai contoh, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan itu dianggap tidak sopan dan kurang ajar. Sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bergurau senda ketika orang lain bersembahyang tidak pula dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk. Antara lain, apa yang sering kita alami sendiri sekarang ialah masyarakat memandang serong terhadap mereka yang mengajak manusia kepada kebaikan dianggap asing dan pelik, sedangkan melakukan maksiat dan kemungkaran dianggap sebagai satu kebiasaan dan berbangga dengannya. Begitulah nasib umat Islam pada hari ini. Umat Islam pada hari ni ketandusan role model yang dapat dijadikan contoh teladan, lantas mengambil contoh budaya barat yang tidak bertamadun dan berakhlak mulia.

Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang menjadikan Islam kembali dagang buat kali pertama seperti faktor politik, sosial, ekonomi dan sebagainya. Tetapi harus diketahui, faktor terbesar yang menyebabkan Islam dagang ialah faktor akidah Islam yang berlawanan dengan jahiliyah atau kufur. Justeru, Islam mengajak kepada akidah yang sahih, serta kualiti hidup sejahtera yang bertentangan dengan kekufuran. Islam dan peperangan sentiasa berada dalam keadaan peperangan. Ini kerana, kekufuran tidak dapat menerima Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT. Kekufuran tidak menerima undang-undang dan hukum-hukum Allah SWT berkuasa di muka bumi ini. Inilah faktor terbesar yang wujud pada setiap zaman sehingga ke zaman sekarang. Dengan berkat bantuan Allah, segala usaha, pengorbanan dan jihad Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersama-sama para sahabat r.a yang sabar dan ikhlas, maka dagang tersebut telah hilang. Akhirnya rahmat dan petunjuk Allah SWT diterima, dihayati sepenuhnya di Madinah.

Allah SWT telah menerima dan meredhai semua pengorbanan dan jihad Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dan sahabat-sahabat baginda. Mereka addlah contoh ikutan bagi kerja-kerja dakwah untuk memartabatkan Islam. Mereka juga dikenali sebagai Generasi pertama iaitu Generasi Al-Quran yang unik kerana diiktiraf oleh Allah SWT sebagi sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Kerja-kerja mereka telah selesai, Cuma kelemahan umat Islam dan kepimpinan dalam generasi-generasi selepas mereka telah berlaku. Daulah Islamiyyah telah jatuh satu persatu dan yang terakhir dengan kejatuhan Daulah Turki Utmanniyyah di Turki. Lantas, pengaruh sekularisme yang ditaja oleh penjajah telah bertapak, menular dan berkembang pesat di seluruh negara Islam. Pengaruh itu terus luas merebak ke negara-negara Islam tanpa kecuali. Akibatnya Islam kembali dagang untuk kali kedua pada hari ini.

Sekiranya kita mengkaji di antara faktor yang menyumbang kepada dagangnya Islam buat kali kedua ini antaranya ialah faktor akidah umat Islam tidak lagi berfungsi akibat terpengaruh dengan selain daripada Islam. Sedangkan seperti mana kita ketahui, dakwah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam mengajak kepada akidah yang sahih, hidup dan berfungsi. Akidah yang menerima Allah SWT sebagai ilah dan Rabb. Antara lain, faktor kejahilan umat Islam tentang Islam baik dari segi tasawwur, tuntutan dan penghayatannya menyumbang kepada berlaku fenomena Islam kembali dagang. Begitu juga kejahilan tentang sifat-sifat Allah SWT ,sifat-sifat Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, hari pembalasan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.  Selain itu, sikap umat Islam sendiri yang melupai dan mengabaikan peringatan-peringatan Allah SWT. Ini kerana, umat Islam hanya beriman dengan sebahagian sahaja daripada kandungan Al-Quran dan menolak sebahagiannya yang lain. Tambahan pula cabaran untuk berhadapan dengan dugaan kemewahan dunia yang menguasai hati dan kehidupan umat Islam. Umat Islam cintakan dunia dan bencikan kematian. Begitu juga dengan penyakit perpecahan dan kedengkian yang menyerang hati orang Islam.

Oleh itu, untuk mengatasi masalah dagangnya Islam buat kali kedua ini, maka tidak ada jalan lain melainkan kita hendaklah kembali kepada jalan yang pernah dipimpin oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, yakni jalan yang telah terbukti berjaya menghilangkan dagangnya Islam kali pertama di Mekkah. Menegakkan kembali Islam adalah amanah yang besar dan ianya merupakan satu taklif rabbani. Manakala meninggalkannya adalah berdosa kerana sudah menjadi tanggungjawab setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah menjaga agar tidak dicerobohi oleh musuh Islam. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memikul tugas yang mulia ini mengajak masyarakat untuk kembali ke jalan Allah dengan penuh rasa tanggungjawab menjaga kesucian Islam daripada dicemari musuh Islam. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT agar memberi kekuatan dan kemampuan kepada kita untuk menjadi khalifahNya di muka bumi ini.

Susunan: Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Sarjana Muda Kepujian Usuludin (Al Quran & Hadith)
Universiti Malaya.
http://www.haluan.org.my/v5/index.php/topik-pilihan/modal-insan/533-islam-kembali-dagang 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...