Gambar Hiasan |
Posted by pakcikli00
Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Dan dirikanlah sembahyang bagi mengingati Aku! ( Ayat 14 : Surah Taha )
Sembahyang mengandungi perbuatan anggota zahir, perkataan yang dilafazkan dan penyertaan hati yang benar menghadap kepada Allah s.w.t dengan sepenuh jiwa raga. Mengingati Allah s.w.t melalui sembahyang merupakan zikir yang paling sempurna. Perbuatan menjadi zikir, perkataan menjadi zikir dan perasaan menjadi zikir. Sekalian maujud berada dalam suasana zikir.
Zikir dalam sembahyang menggabungkan pengakuan bahawa yang diingatkan itu adalah Allah s.w.t ; bahawa Allah s.w.t yang diingati itu adalah Tuhan; bahawa tiada Tuhan melainkan Dia; bahawa Allah adalah Tuhan yang disembah; bahawa menyembah Allah s.w.t adalah dengan perkataan, perbuatan dan perasaan; bahawa apa sahaja yang dilakukan adalah kerana mentaati-Nya dan kerana ingat kepada-Nya.
Zikir yang di dalam
sembahyang menjadi induk kepada zikir-zikir di luar sembahyang. Menyebut
nama-nama Allah s.w.t adalah zikir. Perkataan yang baik-baik
diucapkan kerana Allah s.w.t adalah zikir. Nasihat menasihati kerana Allah
s.w.t adalah zikir. Menyeru manusia ke jalan Allah s.w.t adalah zikir.
Semua itu merupakan zikir perkataan.
Zikir perbuatan pula meliputi segala
bentuk amalan dan kelakukan yang sesuai dengan syarak demi mencari keredaan
Allah s.w.t. Berdiri, rukuk dan sujud dalam sembahyang adalah zikir. Melakukan
pekerjaan yang halal kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi peraturan yang Allah
s.w.t turunkan, adalah zikir. Mengalihkan duri dari jalan kerana Allah s.w.t
adalah zikir. Apa juga perbuatan yang tidak menyalahi peraturan syariat jika
dibuat kerana Allah s.w.t maka ia menjadi zikir. Tidak melakukan apa-apa pun
boleh menjadi zikir.
Orang yang menahan anggotanya, lidahnya dan hatinya
daripada menyertai perbuatan maksiat sebenarnya melakukan zikir jika dia
berbuat demikian kerana Allah s.w.t. Semua itu menjadi zikir jika dibuat kerana
Allah s.w.t, kerana mematuhi perintah-Nya, kerana mencari keredaan-Nya dan
kerana ingat kepada-Nya. Jadi, perbuatan dan perkataan terikat dengan amalan
hati untuk menjadikannya zikir. Ia hanya dikira sebagai zikir jika ada zikir
hati iaitu hati ingat kepada Allah s.w.t, ikhlas dalam melakukan perintah-Nya
dan meninggalkan larangan-Nya Tanpa zikir hati tidak ada zikir-zikir yang lain,
kerana setiap amalan digantungkan kepada niat yang lahir dalam hati.
Zikir adalah mengingati Allah
s.w.t sebaik dan seikhlas mungkin. Mengingati nama-nama dan sifat-sifat-Nya
adalah zikir. Melihat matahari, bulan dan bintang di langit sambil mengenang
kebijaksanaan Allah s.w.t merupakan zikir. Melihat kilat memancar dan mendengar
guruh berdentum sambil mengenangkan keperkasaan Allah s.w.t adalah zikir.
Melihat fajar subuh, melihat dan mencium bunga yang indah lagi harum sambil
mengenang keelokan Allah s.w.t adalah zikir juga namanya. Jadi, zikir adalah
pekerjaan sepanjang masa, setiap ketika, semua suasana, pada setiap sedutan dan
hembusan nafas dan pada setiap denyutan nadi. Kehidupan ini merupakan zikir
daim (zikir berkekalan) jika mata hati sentiasa memerhatikan sesuatu tentang
Allah s.w.t.
Misalkan seorang sedang melakukan
zikir hati dan perkataan; menyebut dan mengingati nama-nama dan sifat-sifat
Allah s.w.t. Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak di hadapannya. Anak kecil itu
memegang sebotol racun. Anak kecil mahu meminum racun tersebut. Pada ketika itu
ahli zikir tadi berkewajipan meninggalkan pekerjaan zikir yang sedang
dilakukannya dan berpindah kepada zikir menyelamatkan anak kecil yang mahu
meminum racun itu. Perpindahan perbuatan tidak memutuskan zikir atau ingatannya
kepada Allah s.w.t.
Dia menyebut nama Allah kerana ingat kepada Allah. Dia
menyelamatkan anak kecil itu kerana mentaati perintah Allah. Allah yang
mentakdirkan anak kecil itu mahu meminum racun di hadapannya. Allah juga
mengadakan syariat yang mewajibkan membuang kemudaratan. Taat kepada perintah Allah
dan reda dengan takdir Allah yang datang serta bertindak menurut peraturan
syariat Allah merupakan zikir yang sangat mulia pada sisi Allah. Zikir yang
begini termasuk di dalam golongan zikir yang berkekalan atau zikir daim.
Zikir daim sukar diperolehi.
Kebanyakan manusia melakukan pekerjaan yang baik-baik yang seharusnya menjadi
zikir tetapi dilakukan tanpa ingatan kepada Allah s.w.t dan bukan dengan
penghayatan mematuhi syariat-Nya. Kekuatan dalaman perlu ditambah bagi
memperolehi zikir daim. Bagi tujuan tersebut perlulah dilakukan zikir sebutan
iaitu zikir nafi-isbat (ucapan kalimah “La ilaha illa Llah ”) dan zikir
nama-nama serta sifat-sifat-Nya.
Zikir yang seperti ini memberi kesan kepada
menguatkan rasa kecintaan dan ingatan kepada Allah s.w.t. Ia membuka
kesedaran-kesedaran dalaman seperti yang telah dinyatakan pada tajuk yang
membicarakan perjalanan Latifah Rabbaniah. Kekuatan kesedaran dalaman mendorong
seseorang melakukan sesuatu dengan ikhlas kerana Allah s.w.t yang dicintainya,
yang hampir dengannya. Zikir nafi-isbat dan sebutan nama-nama serta
sifat-sifat-Nya menjadi jalan kepada zikir dalam bentuk mentaati peraturan-Nya
tanpa lupa kepada-Nya. Jadi, perlu dilakukan zikir secara sebutan untuk
memudahkan zikir secara amalan atau perbuatan dan kelakuan. Mudah-mudahan terhasillah
zikir yang berkekalan.
Gambar hiasan |
Zikir atau mengingati Allah s.w.t haruslah dilakukan menurut kadar kemampuan masing-masing. Zikir yang paling baik diucapkan adalah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Ucapan zikir yang paling baik adalah yang aku dan sekalian nabi-nabi bawa. Itulah ucapan kalimah ‘La ilaha illa Llah ’ .”
Orang yang tidak pernah berzikir
adalah orang yang sangat keras hatinya dan kuat dikuasai oleh syaitan, hawa
nafsu dan dunia. Cahaya api syaitan, fatamorgana dunia dan karat hawa nafsu
membaluti hatinya sehingga tidak ada ingatannya kepada Allah s.w.t. Seruan,
peringatan dan ayat-ayat Allah tidak diterima oleh hatinya. Beginilah keadaan
orang Islam yang dijajah oleh sifat munafik.
Orang yang masih mempunyai
kesedaran perlu memaksakan dirinya untuk berzikir, sekalipun hanya berzikir
dengan lidah sedangkan hatinya masih lalai dengan berbagai-bagai ingatan yang
selain Allah s.w.t. Pada tahap pemaksaan diri ini, lidah menyebut Nama Allah s.w.t
tetapi hati dan ingatan mungkin tertuju kepada pekerjaan, harta, perempuan,
hiburan dan lain-lain. Beginilah tahap orang Islam biasa. Orang yang berada
pada tahap ini perlu meneruskan zikirnya kerana jika dia tidak berzikir dia akan
lebih mudah dihanyutkan di dalam kelalaian. Tanpa ucapan zikir syaitan akan
lebih mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin hatinya dan dunia
akan lebih kuat menutupinya.
Zikir pada peringkat ini
berperanan sebagai juru ingat. Sebutan lidah menjadi sahabat yang memperingatkan
hati yang lalai. Berlakulah pertembungan di antara tenaga zikir dengan tenaga
syaitan yang menutupi hati. Tenaga syaitan akan mencuba untuk menghalang tenaga
zikir daripada memasuki hati. Tindakan syaitan itu membuatkan orang yang ingin
berzikir itu menjadi malas dan mengantuk.
Oleh yang demikian perlulah
dilakukan mujahadah, memerangi syaitan yang menghalang lidah daripada berzikir
itu. Zikir yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan berjaya melepasi
benteng yang didirikan oleh syaitan.
Tenaga zikir yang berjaya
memasuki hati akan bertindak sebagai pencuci, menyucikan karat-karat yang ada
pada dinding hati. Pada peringkat permulaannya zikir masuk ke dalam hati
sebagai Nama-nama dan Sifat-sifat Tuhan yang diucapkan. Apabila karat pada
dinding hati sudah berkurangan ucapan zikir akan disertai oleh rasa kelazatan.
Hati yang sudah merasai nikmat zikir itu tidak perlu kepada paksaan lagi. Lidah
tidak perlu lagi berzikir. Zikir sudah hidup dalam hati secara diam, jelira dan
melazatkan. Perhatian bukan sekadar kepada nama-nama dan sifat-sifat yang
diingatkan malah ia lebih tertuju kepada Yang Empunya nama dan sifat. Inilah
kedudukan orang yang beriman.
Zikir yang lebih mendalam membawa
hati berhadap kepada Hadrat Tuhan, menyaksikan Tuhan pada setiap masa dan
suasana. Apa sahaja yang dilihat dan dibuat memperingatkannya kepada Tuhan.
Inilah peringkat zikir daim yang dikurniakan kepada mereka yang beriman dan
bersungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Kehidupan mereka
dipenuhi oleh zikir sepanjang masa. Tidur mereka juga menjadi zikir.
Zikir yang diucapkan dengan
perkataan membantu hati mengingati Tuhan. Bagi sebahagian manusia berzikir
secara kuat lebih memberi kesan daripada berzikir secara perlahan, terutamanya
bagi mereka yang baharu memulakan amalan zikir. Zikir secara senyap di dalam
hati adalah pergerakan perasaan. Hati menghayati apa yang dizikirkan dan
terbentuklah alunan perasaan sesuai dengan apa yang dihayati.
Pada tahap yang
lebih mendalam zikir bukan lagi sebutan atau ingatan kepada Nama, tetapi hati
menyaksikan Keperkasaan dan Keelokan Tuhan. Bila hati sudah boleh menyaksikan
Keelokan dan Keperkasaan Tuhan, itu tandanya seseorang itu sudah ada hubungan
semula dengan roh suci yang mengenal Tuhan. Pancaran cahaya makrifat daripada
roh suci membuat hati dapat melihat kenyataan sifat-sifat Tuhan.
Pada tahap kesedaran yang lebih
mendalam, ucapan serta ingatan dan perhatian yang berhubung dengan Tuhan
menimbulkan keghairahan atau zauk. Zauk itu terjadi kerana kuatnya tarikan
Hadrat Tuhan kepada hati. Ingatan dan penyaksian terhadap Hadrat Tuhan akan
memberi kesan yang sangat kuat kepada hati. Hati yang menyaksikan Hadrat Tuhan
Yang Maha Perkasa boleh menyebabkan seseorang itu menjadi pengsan kerana
takutnya hati kepada keperkasaan Allah s.w.t. Hati yang menyaksikan Hadrat
Tuhan Yang Maha Lemah-lembut akan mengalami rasa kenikmatan dan kebahagiaan
yang amat sangat.
Pada tahap kesedaran yang lebih
mendalam, hati diperkuatkan lagi supaya mampu menerima ‘sentuhan’ Hadrat Tuhan
itu. Penyaksian terhadap Hadrat Tuhan tidak lagi melahirkan keghairahan atau
zauk atau kegoncangan kepada hati. Hati mengalami suasana Hadrat Tuhan dalam
keadaan damai dan sejahtera. Pada tahap ini hati akan mengenali Tuhan sebagai
Raja Yang Maha Berkuasa. Berada pada sisi Raja tersebut membuat hati merasakan
kesejahteraan dan keselamatan yang tidak terhingga, hilang rasa takut dan
dukacita.
Pada tahap kesedaran yang paling
dalam hati berhadap kepada Hadrat Tuhan yang bernama Allah s.w.t, yang
menguasai semua Hadrat, yang melampaui segala nama dan sifat, segala kenyataan
dan ibarat. Hati sampai kepada tahap jahil setelah berpengetahuan. Ilmu gagal
menghuraikan tentang Allah s.w.t. makrifat gagal memperkenalkan Allah s.w.t.
Apa sahaja yang terbentuk, tergambar, terfikir, yang disaksikan dengan mata
luar dan juga mata dalam dan segala-galanya tersungkur di hadapan Hadrat Allah
s.w.t, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Maha Perkasa. Sesungguhnya tidak ada
sesuatu yang menyamai Allah s.w.t, Dia Maha Esa. Hati yang berhadapan dengan
Hadrat Allah s.w.t benar-benar mengalami dan mengenali maksud keesaan Allah
s.w.t. Hati pun tunduk, menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t, Tuhan Maha
Mencipta. Baharulah sempurna penyerahannya, baharulah lengkap perjalanan
Islamnya.
Setelah itu rohnya menjadi
seakan-akan roh yang baharu, seumpama baharu lahir. Roh yang baharu itu adalah
Roh Islam yang telah mengenal Allah s.w.t yang melampaui segala sesuatu tetapi
memiliki Hadrat-Nya, Nama-nama-Nya dan Sifat-sifat-Nya, menyata kepada Roh Islam,
iaitu Roh yang lebih tulen dan seni daripada semua roh-roh yang lain. Itulah
roh yang telah menemui Kebenaran Hakiki. Pada roh tersebut bercantum tahu
dengan tidak tahu, kenal dengan tidak kenal, nafi dengan isbat. Roh Islam
itulah yang benar-benar mengerti maksud nafi dan isbat pada Kalimah Tauhid: “La
ilaha illa Llah”.
Dia turunkan Roh dari urusan-Nya
kepada siapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi
peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min)
Roh Islam yang mengenderai
hati Islam dan memiliki nafsu Islam, akal Islam dan pancaindera Islam kembali
kepada kehidupan dunia untuk mengajak dan membimbing orang lain kepada Yang
Haq, Kebenaran Hakiki. Roh Islam mengeluarkan yang Islam sahaja. Jiwanya Islam,
perkataannya Islam, perbuatannya Islam, diamnya Islam, tidurnya Islam dan
segala-gala yang mengenainya adalah Islam. Roh Islam yang paling sempurna
adalah roh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w merupakan contoh tauladan Islam
yang paling sempurna, paling baik.
Zikir memainkan peranan yang
penting dalam melahirkan Roh Islam. Bagi orang yang inginkan kebenaran dan
melihat kebenaran, menjadi kewajipan baginya mengingati Allah s.w.t sebanyak
mungkin.
Lantas apabila kamu telah
selesaikan sembahyang (sembahyang di waktu perang ) itu, maka hendaklah kamu
ingat kepada Allah s.w.t sambil berdiri, dan sambil duduk, dan sambil
(berbaring) atas rusuk-rusuk kamu. Tetapi apabila kamu telah tenteram, maka
hendaklah kamu dirikan sembahyang (seperti biasa), kerana sesungguhnya itu adalah
bagi Mukminin satu kewajipan yang ditentukan mwaktunya. ( Ayat 103 : Surah
an-Nisaa’ )
Yang mengingati Allah sambil
berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring, dan memikirkan tentang kejadian
langit-langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Engkau tidak
jadikan (semua) ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau. Lantaran itu
peliharakanlah kami daripada seksa neraka”. ( Ayat 191 : Surah a-Li ‘Imran
)
Setiap Muslim seharusnya mencari
kehidupan berzikir; berzikir sambil duduk dan sambil berbaring; bekerja di
dalam berzikir; berehat di dalam berzikir dan tidur di dalam berzikir. Lidah
berzikir, anggota tubuh berzikir dan hati berzikir. Tentera Islam yang sedang
berperang dengan musuh pun dituntut berzikir, apa lagi kaum Muslimin yang
berada dalam suasana aman. Muslim sejati sentiasa berzikir, mengingati dan
mentaati Allah s.w.t
Tiada ulasan:
Catat Ulasan