Ahad, 23 September 2012

KEMARAU MADINAH


Pemandangan perjalanan ke Madinah
Ujian ALLAH telah datang. Kali ini kota Madinah benar-benar dilanda kemarau. Sudah beberapa purnama hujan tidak menitis ke bumi. Binatang ternak semakin kurus dan tanam-tanaman pula banyak yang rebah menyembah bumi.

Penduduk Madinah mula merasa kesempitan hidup yang bukan sedikit. Apatah lagi bekalan makanan kian berkurangan. Malah, ada ahli keluarga yang nyaris-nyaris di ambang kebuluran.

Ketika penderitaan tiada lagi tertahan, mereka datang mengadu nasib kepada khalifah kesayangan mereka, Saidina Abu Bakar ra. Sedangkan khalifah ketika itu juga sudah buntu memikirkan nasib yang menimpa kota Madinah.

“Ya Abu Bakar, tidak adakah jalan keluar untuk kita ini? Sudah beberapa lama kemarau menimpa bumi kita. Adakah kau tahu bagaimana ingin mengatasi semua ini? Apakah ada pertolongan yang akan Tuhan berikan kepada kita?” tanya mereka dengan penuh harapan.

“Sabarlah…sabarlah kamu semua dengan ujian ini. Bertenang dan baliklah ke rumah masing-masing. Aku mendapat khabar yang Utsman bin Affan sedang dalam perjalanan ke sini bersama kafilah dagang dari Syam. Esok, dengan izin ALLAH, dia  akan sampai ke Madinah. Berdoalah agar kedatangannya itu membawa berkah kepada kita semua,” ujar Saidina Abu Bakar.

Sesungguhnya, janji Saidina Abu Bakar adalah benar. Esoknya, sebaik matahari menyinar bumi, rombongan kafilah Utsman  sudah tiba dengan seribu unta yang membawa bekalan makanan yang melimpah ruah. Banyak sekali gandum, minyak zaitun, rempah ratus dan sebagainya yang terus dimuatkan di dalam gudang Utsman.

Penduduk yang mendengar khabar itu merasa lega yang amat sangat. Tetapi rupanya khabar itu begitu cepat tersebar. Ramai pula pedagang dan pemborong yang datang terus kepada Utsman. Niat mereka cuma satu, ingin mendapat keuntungan daripada jual beli dengan Utsman.

“Wahai Utsman, banyak sekali bekalan makanan yang kau bawa. Bolehkah kau menjualnya pada kami? Kami ingin menjualnya kepada penduduk yang memerlukan,” tanya salah seorang daripada pedagang itu.
“Benarkah begitu? Dengan senang hati sekali aku terima tawaran itu. Berapakah keuntungan yang boleh kalian berikan padaku?” tanya Utsman menduga.
“Dua atau tiga dirham,” jawab mereka.
 “Tidak cukup,  bolehkah ditambah lagi?” tanya Utsman memancing lagi.
“Bolehkah kalau lima dirham?” ujar mereka.
“Jumlah itu  masih kurang,kamu berani menambah lagi,” usul Utsman pula.
“Cukuplah Utsman. Di sini tidak ada pedagang lain. Tiada siapa yang boleh memberi padamu keuntungan yang lebih tinggi selain dari kami. Adakah kau masih belum puas hati?” tanya mereka yang sudah mula naik angin.

“Beginilah, ALLAH SWT telah memberiku keuntungan  sepuluh dirham untuk setiap satu dirham. Apa kalian berani mempertaruhkan harga sebegitu padaku?” tanya Utsman.
Mereka hanya menggelengkan kepala.

“Jika begitu, saksikanlah dengan nama ALLAH, aku mensedekahkan semua barang dagangan dan makanan yang kubawa dari Syam ini kepada seluruh penduduk Madinah yang memerlukan. Ketahuilah, aku sedekahkan ini kerana ALLAH SWT semata-mata,” akui Utsman tanpa ragu-ragu.

Para pedagang yang berada di hadapannya hanya tertunduk malu. Mereka tidak layak sama sekali berdepan dengan Utsman yang cukup pemurah. Siapa lagi yang sanggup mendermakan hasil dagangan yang dibawa satu ribu unta?

Kemudian, keluarlah penduduk Madinah mengambil bahagian masing-masing. Berakhirlah sudah sengsara mereka sehingga setiap satu keluarga mendapat bekalan makanan yang secukupnya.

Sesungguhnya, apa yang diinfakkan oleh Utsman pada hari itu tercatat di dalam sejarah sebagai pengorbanan yang dikenang oleh seluruh penduduk Islam Madinah.

Mencari Kebahagiaan Hidup 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...