Ahad, 30 September 2012

Ucapan Sheikhna Yusuf di Sahah Turki Sempena Maulid Nabi s.a.w. AMANAT UNTUK PELAJAR ILMU AGAMA dan ISLAH UMAT



Sheikhna Sidi Yusuf Al-Hasani
Ucapan Sheikhna Sidi Yusuf Al-Hasani Untuk Para Penuntut Ilmu Sempena Majlis Sambutan Maulidu Rasul di Sahah Turki, Kaherah, Mesir.

Bismillahi Rahmani Rahim Alhamdulillah...Selawat dan Salam buat Rasulillah s.a.w…

 Amma ba'du…

Sesungguhnya, kita berada dalam bulan yang mulia. Saya hampir-hampir tidak mampu untuk bangkit dari pembaringan, kerana diuji oleh Allah s.w.t. dengan kesakitan. Namun, dengan izin Allah s.w.t., saya dapat bangun dari tempat pembaringan, untuk menuju ke majlis ini. Saya gagahkan kaki untuk melangkah ke majlis ini, kerana saya yakin dan percaya, bahawasanya dalam majlis selawat kepada Nabi s.a.w. inilah, adanya penawar bagi segala penyakit.

Para ahbab yang dimuliakan…

 Sesungguhnya, kita berhimpun di sini, di bulan yang mubarak ini (bulan Rabi'ul Awal), yang mana, berserta dengan kita juga, para-para penasyid (yang mendendangkan qasidah memuji Allah s.w.t. dan Nabi s.a.w.), dan para mursyid yang dimuliakan. Sesungguhnya, nasyid itu sendiri ialah irsyad (pembimbing). Nasyid-nasyid yang didendangkan sebentar tadi, jika hilang maknanya, maka tiada nilainya lagi. Ia akan menjadi satu kelalaian tanpa tujuan (pengabdian kepada Allah s.w.t.).

Sesungguhnya, para mursyid terdahulu, menyusun qasidah-qasidah dan nasyid ini, sebagai wasilah dalam pengabdian diri kepada Allah s.w.t., dengan ibadah zauqiyah (dalam bentuk perasaan), untuk mengeluarkan manusia daripada alam kelalaian kepada alam kehuduran (hadir Allah s.w.t. dalam hatinya). Mereka ingin mengeluarkan manusia dari alam ghaflah kepada alam musyahadah zauqiyah (melihat Allah s.w.t. dengan perasaan hati) di hadrah Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w..

Dalam kesempatan ini, saya ingin berbicara tentang ittiba' (mengikut sunnah Nabi s.a.w.). Sesungguhnya, kecintaan kepada Nabi s.a.w. tanpa ittiba' (mengikut perintah dan sunnah Nabi s.a.w.) merupakan satu perkara yang bid'ah. Bid'ah yang dimaksudkan di sini, bukanlah bid'ah yang sering diperbincangkan dalam buku-buku ulama' dari sudut takrifnya yang zahir, dalam bidang fiqh dan sebagainya.

 Sesungguhnya, di sisi AhluLlah, bid'ah ada makna yang lain. Sesungguhnya, bid'ah itu ialah, kamu tidak mengikut Nabi s.a.w.. Ini kerana, ibtida' (bid'ah) itu sendiri atas wazan (timbangan) ibti'ad (menjauhi Allah s.w.t.). Jadi, bid'ah itu bermaksud, kamu menjauhi Allah s.w.t. dengan tidak mengikut Nabi s.a.w..

Kalaulah kita yang hadir ke majlis ini, mengaku mencintai Nabi s.a.w., mengaku merindui Nabi s.a.w., maka hendaklah kita mengikuti Nabi s.a.w., kerana jika tidak, kita akan termasuk dari golongan yang sekadar mendakwa (menipu dalam mendakwa). Jika demikian, terjerumuslah kita dalam perkataan syair yang berbunyi: "Mereka menyelami lautan kecintaan, tetapi tidak pernah diuji" dan perkataan syair yang berbunyi: "dakwa berjela-jela, tetapi amalnya sedikit sahaja".

Wahai Para Ahbab…

Sesungguhnya alam umat Islam pada hari ini, berdepan dengan pelbagai cabaran. Saya bercakap di sini, di hadapan tuan-tuan yang merupakan dari kalangan para ulama yang mulia dan para penuntut ilmu yang disayangi. Ini bukanlah satu perkataan memberi tazkirah dan irsyad, kerana kamu semualah pada hakikatnya ahli irsyad dan tazkirah itu dan saya tidak layak untuk bertazkirah di hadapan kamu semua. Apa yang akan saya katakan ialah tentang risalah dan amanah kita, yang bakal ditanya oleh Allah s.w.t. di hari Akhirat kelak.

Kamu semua adalah nadi masyarakat. Kamulah (para ulama' dan penuntut ilmu) merupakan garam bagi umat Islam ini. Jika kita semua (para ulama' dan penuntut ilmu agama) pun sesat, maka seluruh umat Islam akan turut sesat. Jika kita membawa risalah petunjuk yang benar ke masyarakat, maka mereka juga akan berjalan di atas landasan yang benar. Bahkan, kitalah yang akan dipertanyakan oleh Allah s.w.t. terlebih dahulu, sebelum orang lain.

Ingatlah, seperti dalam syair (matan) Zubad berbunyi: "Orang alim yang tidak mengamalkan ilmunya, akan terlebih dahulu disiksa sebelum penyembah berhala."

Jika ditanyakan kepadaku, tentang rahsia ketinggalan umat Islam ini, maka jawapanku: "Ini kerana, para ulama' mereka terlebih dahulu telah jauh ketinggalan". Kalaulah para ulama' maju dalam bidang dakwah mereka, menunaikan hak-hak Allah s.w.t. dalam dakwah mereka, keluar dari belenggu "kerja" kepada tugas "dakwah" (tidak hidup sekadar memikirkan soal kerja bergaji semata-mata, tetapi menumpukan perhatian kepada kerja dakwah terhadap umat Islam dengan ikhlas) dan jujur serta ikhlas dalam berdakwah, maka keadaan umat Islam kita tidak seperti yang kita saksikan pada hari ini.

Ingatlah dengan merasa kaya daripada dunia ini (tidak bergantung harap kepada dunia), pasti dunia ini sendiri yang akan mendatangimu. Tetapi, jika kamu sendiri yang sibuk mengejar dunia ini, ia pasti akan meletihkanmu (kerana dunia sentiasa lari darimu).

Kalaulah kita sebagai penuntut ilmu agama, hendaklah kita tanyakan kepada diri kita, apakah tujuan kita belajar ilmu agama ini? Setiap orang duduk sejenak bersama dirinya, lalu bertanya semula, tentang matlamat menuntut ilmu agama itu sendiri.

Adakah matlamat kita daripada belajar ini, tidak lebih dari sekadar, ingin keluar dari universiti, kemudian mendapatkan kerja untuk memenuhi perut dengan makan dan minum semata-mata? Kalau demikian, kalaulah penuntut ilmu agama belajar agama kerana inginkan keduniaan, samalah nilainya seperti penuntut ilmu duniawi.

Bahkan, penuntut ilmu duniawi kerana keduniaan, lebih baik daripada penuntut ilmu agama kerana keduniaan, kerana mereka jujur, sememangnya belajar ilmu dunia untuk mencari kepentingan dunia, sedangkan penuntut ilmu agama kerana dunia, merupakan golongan hipokrit, yang mencari agama untuk dunia. Sesungguhnya, penuntut ilmu duniawi tidak memakan dunia dengan agama mereka, tetapi penuntut ilmu agama, memakan dunia dengan agama mereka! Dari sinilah timbulnya musibah. Dari sinilah timbulnya bahaya. Oleh yang demikian, hendaklah kita kembali membetulkan niat dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah s.w.t..

Para sahabat mempunyai kuantiti ilmu yang sedikit berbanding dengan kita yang hidup di zaman moden dan zaman ledakan maklumat dan IT ini. Bahkan, mereka juga mempunyai harta, dan teknologi yang sangat sedikit berbanding dengan apa yang umat Islam hari ini miliki, namun masih gigih dalam menyebarkan ilmu Islam sedangkan kita, yang hari ini mempunyai pelbagai alat-alat menuntut ilmu dan pembelajaran namun masih malas dalam menuntut ilmu. Kemudian, setelah begini keadaan kita, kita masih mengkhayalkan akan kegemilangan umat Islam?

Ini baru sedikit daripada senario yang berlaku dalam umat Islam. Masa terlalu sempit untuk membicarakan tentang masalah penuntut ilmu itu sendiri. Dari sudut perbahasan ilmiah itu sendiri, kita tahu punca ketinggalan umat Islam ini berpunca dari sifat malas mereka, sifat sambil lewa dan tidak bersungguh dalam melakukan sesuatu. Kenapa penuntut ilmu lebih bersifat sedemikian?

 Ingatlah pesan Imam Al-Ghazali yang pernah berkata: "Kami menuntut ilmu bukan kerana Allah, maka ilmu itu tidak mahu melainkan ianya dituntut kerana Allah s.w.t.".

Di sinilah neraca bagi penuntut ilmu. Sesungguhnya, neraca ilmu itu sendiri ialah dakwah. Kalaulah kamu tidak melakukan usaha dakwah, maka ilmu yang kamu miliki merupakan satu simbol kegilaan dalam diri kamu. Imam Al-Ghazali r.a. sendiri pernah berkata bahawasanya: "Ilmu tanpa amal menunjukkan seseorang itu gila, sedangkan amal tanpa ilmu maka ia menjadi sia-sia".

Ada dua perkara yang berlaku dalam masyarakat umat Islam, yang merosakkan institusi dakwah Islam itu sendiri. Pertama: Orang-orang jahil yang berdakwah. Kedua: Orang-orang 'alim yang tidak berdakwah.
Ada dalam golongan umat Islam ini, ada beberapa jemaah-semoga Allah s.w.t. membalas jasa mereka-, mencintai umat Islam, lalu sibuk dengan usaha dan gerakan dakwah. Kalau bukan kerana kecintaan mereka kepada umat, nescaya mereka tidak akan keluar berdakwah. Akan tetapi, mereka tidak mementingkan soal menuntut ilmu. Oleh yang demikian, tiada timbangan yang jelas bagi mereka, sehingga mereka boleh membawa fitnah bagi pihak umat Islam itu sendiri.

Dari sudut yang lain pula, kita dapati ada orang-orang yang alim hanya sibuk duduk dalam pejabat, dan memberi ceramah sekadar mana yang diberi upah, lalu meninggalkan masyarakat dalam kegelapan, dan duduk dalam rumah berehat sambil menimbunkan harta. Ada yang jadi imam, lalu setelah selesai, dia meninggalkan masjid dan terus ke rumah, tanpa membuat pengisian dan dakwah kepada masyarakat. Ini menjatuhkan lagi nilai-nilai para ulama' itu sendiri. Dengan fenomena yang sedemikian, akibat kecuaian kita sendiri, akhirnya kita sendiri yang menangis melihat hal umat Islam hari ini cukup membimbangkan? Mana bukti kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w.? Mana hakikat daripada sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sampaikanlah dariku walau satu ayatpun (yang telah kamu pelajari dariku)"

Persoalan yang paling penting di sini wahai kekasihku yang mulia, di manakah posisi kita di sekitar peranan dakwah itu?

Apa yang lebih penting dari itu, ketaqwaan kita dalam berdakwah. Di sana ada golongan manusia, yang ditenggelamkan oleh amal-amal lalu mereka melupakan Tuhan amalan tersebut. Ada dari kalangan manusia yang tenggelam dalam dakwah, sehingga menjadi hamba dakwah, bukan hamba Allah! Mereka jesteru tidak mengajak manusia kepada Allah s.w.t., tetapi sebaliknya mengajak manusia kepada diri mereka sendiri. Mereka tidak menunjukkan manusia jalan menuju Allah s.w.t., tetapi sebaliknya menunjukkan jalan menuju diri mereka sendiri (dan jemaah mereka).

Natijah daripada itu, timbullah sikap ujub seseorang terhadap pendapatnya sendiri lalu sering menyalahkan pendapat orang lain. Mereka menjadi hamba kepada diri mereka dan pendapat mereka. Ada hadis yang berbunyi: "Tiga perkara yang membinasakan: Sifat kedekut, hawa nafsu yang sentiasa diikuti, dan setiap orang ujub dan ta'asub dengan pendapat mereka sendiri"

Apa yang saya dapat fahami, punca utama kehancuran umat Islam adalah daripada masalah-masalah yang disebutkan sebelum ini.

Setiap orang tidak mahu menerima pendapat orang lain. Sehingga dikatakan: "Sama ada pendapat saya diterima, atau ribut taufan yang melanda!" "Akulah yang benar dan kebenaran ialah aku!"  Mereka mengingkari pendapat orang lain sedangkan pendapat mereka jauh lebih buruk dan salah dari sudut kebenaran itu sendiri. Mereka menutup ruang khilaf dan perbezaan pendapat yang positif, kerana ingin menjadikan agama mengikut selera nafsu mereka, bukan untuk memperhambakan diri kepada agama, tetapi untuk memperhambakan agama kepada dirinya sendiri.

Saya bercakap perkara ini di hadapan tuan-tuan, para ulama' dan penuntut ilmu yang bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t. sebelum manusia lain. Abaikan apa kata manusia terhadap kita, kerana yang penting apa yang Tuhan manusia memperkatakan tentang kita. "Lemparkanlah mereka ke dalam neraka, kerana merekalah yang dipertanggungjawabkan!"

Amalan itu disuruh mengerjakannya bukan kerana amalan itu sendiri memberi manfaat atau tidak, tetapi sebaliknya, ia merupakan satu simbol ketaatan kepada Tuhan amalan tersebut. Solat misalnya, tidak pernah disuruh mengerjakannya kerana solat itu sendiri, kerana itu satu syirik (jika kita menyangka solat ada memberi manfaat dan mudarat). Kalau kita yakini amalan itu yang menyebabkan kita masuk syurga, maka ia merupakan satu pegangan yang syirik (seperti dalam hadis yang berbunyi: "Tiada seseorangpun yang masuk syurga kerana amalannya"…).  Namun, kita mematuhinya, kita mengerjakannya kerana menunaikan "perintahNya", bukan kerana amal itu sendiri yang memberi sesuatu kepada kita. Allahlah satu-satunya yang memberi manfaat dan menolak kemudaratan, sedangkan amalan tidak ada berperanan sedemikian. Kenapa kita tenggelam di dalam amalan (sibuk melihat amalan diri dan menisbahkannya kepada diri kita) lalu melupakan Tuhan kita?

Dari satu sudut yang lain, ada golongan yang meninggalkan umat yang penuh musibah, lalu lari ke kawasan terpencil, dan meninggalkan usaha dakwah, untuk terus beribadah, tanpa memikirkan masalah umat, sedangkan dia bertanggungjawab melakukan pemulihan umat Islam dengan dakwah. Mereka inilah yang dikenali dengan golongan sufi pada dewasa ini, padahal hakikat sufi bukan sebegitu. Mereka merosakkan imej para sufi yang sebenar. Ini saya perlu katakan secara jelas, walaupun saya termasuk dari kalangan mereka (golongan pendokong kesufian) secara nisbah. Hal ini perlu dijelaskan supaya kita tidak menipu manusia lain.

Ada golongan ini yang meminggirkan diri kerana lari dari masyarakat, dan berputus-asa dari rahmat Allah s.w.t. ke atas umat Islam itu, lalu meninggalkan usaha dakwah sedangkan mereka mampu. Makin jauh mereka bersembunyi, makin tinggi ganjaran yang mereka terima dari pengunjung yang menziarahinya! Ini satu pendustaan terhadap golongan sufi itu sendiri dan merosakkan nama baik sufi. Mereka meninggalkan majlis ilmu kerana sibuk menanti kasyaf dan sebagainya, lalu membiarkan umat Islam semakin dalam kecelaruan.
Maafkan saya kerana terpaksa menjelaskan perkara ini, kalau-kalau ada yang terasa. Bak kata sya'ir, "Pukulan dari sang kekasih itu seperti memakan buah kismis" (atau dalam pepatah Melayu: "Sayang anak, tangan-tangankan…").

Bahkan, mereka (sesetengah golongan awam dari kalangan sufi) mendakwa, guru mursyid merekalah yang pernah menyuruh mereka menjauhi umat Islam dan kemelutnya, sedangkan para mursyid yang kamil tidak pernah menyuruh mereka melakukan hal yang sedemikian, jesteru sebaliknya, para mursyid merekalah yang menyuruh mereka melakukan usaha dakwah dan islah. Lalu, mereka meninggalkan amanat yang disuruh oleh guru mursyid mereka sebelum ini.

Sehinggakan, tasawwuf dan sufi dikenali umum pada hari ini, sebagai satu kelompok manusia yang boleh dipakai buang. Ia sekadar mewakili satu golongan yang berhimpun untuk meraikan hari-hari tertentu dengan pelbagai fasyen pakaian tertentu semata-mata. “Kita merosakkan nama tasawwuf itu sendiri, namun masih menyangka bahawa kita telah melakukan kebaikan.”

Semua berhimpun di sekeliling Sheikh, kemudian balik ke rumah dan duduk berehat tanpa mengajak manusia kepada mengamalkan agama. Lebih malang lagi, ada yang pergi beruzlah untuk menanti ilmu-ilmu hikmat, kerana merasakan sekarang sudah zaman fitnah dan tidak perlu bercampur dengan masyarakat lagi. Golongan ini telah mengabaikan konsep tanggungjawab dalam Islam dan rasa persaudaraan sesama umat Islam, bahkan, jika penuntut ilmu dan ulama' yang melakukan sedemikian, mereka telahpun mengabaikan amanah ilmu mereka.

Dari sudut yang lain, terutamanya dalam masalah menolak pendapat orang lain, saya sendiri merasa hairan, dengan sikap sebahagian umat Islam. Saya tinggal di Kanada selama 26 tahun untuk menjaga kebajikan orang-orang Islam di sana (sebagai pengarah Yayasan Islam di Kanada). Saya dapati, warga Kanada yang majoritinya bukan Islam, namun sifat toleransi dan keterbukaan mereka cukup tinggi. Mereka mampu berlapang dada dalam menerima pendapat orang lain, sedangkan kita yang hidup dalam negara Islam, yang mana Islam mnganjurkan sifat keterbukaan, namun kebanyakkannya bersikap jumud dan menolak pendapat orang lain dan menyalahkannya. Ini satu perkara yang bertentangan dalam memahami nas-nas Islam itu sendiri. Ini satu fenomena yang amat pelik dan bercanggah dengan kefahaman Islam itu sendiri.
            
Sehinggakan, pengalaman saya sendiri, bersama dengan seorang ahli ilmu di tempat saya. Beliau tidak mampu menerima kehadiran saya sendiri. Lalu, saya katakan kepadanya: "Lupakanlah saya ini dari jemaah mana dan kamu dari kelompok mana. Itu tidak boleh melahirkan perpecahan, jurang dan permusuhan. Cukuplah kamu menerima saya paling tidakpun selaku saudara seislamu" Beliau katakan: "Tidak boleh! Kamu dari kelompok fulan…"  Lalu saya menjawab: "Cukuplah dari perpecahan. Itu perkara khilaf. Bukankah zaman para sahabat juga ada khilaf, namun mereka masih menerima sesama mereka atas dasar ukhuwah Islamiah. Adakah kamu lebih baik dari para sahabat untuk menjadikan khilaf itu punca perpecahan?" Lalu beliau pun senyap.

Inilah yang perlu dijauhi khususnya oleh para penuntut ilmu, apatah lagi para ulama' yang mulia. Pertanyaan saya ialah, adakah kemusnahan umat Islam dan keterbelakangannya adalah natijah daripada kejahilan atau daripada natijah ilmu tanpa taqwa?

Fenomena hari ini memaparkan bahawasnya, golongan yang memadamkan kesucian Islam bukanlah dari kalangan orang yang jahil, tetapi dari kelompok golongan ilmuan.

Kejatuhan ekonomi umat Islam berpunca dari golongan ilmuan. Kejatuhan moral umat Islam berpunca dari golongan ilmuan Kejatuhan sektor politik umat Islam juga berpunca dari golongan ilmuan.

Musibah kita hari ini adalah, lambakan ilmu tetapi kecetekan taqwa dan takut kepada Allah s.w.t.. Masalah kita bukanlah pada ilmu pengetahuan itu sendiri, kerana sudah wujud pelbagai institusi pendidikan di negara-negara Islam, malah Al-Azhar merupakan institusi pendidikan yang tertua di dunia. Orang-orang Islam yang hidup di negara barat juga antara yang berjaya dalam masyarakat barat itu sendiri.

Oleh yang demikian, kita perlulah menyerapkan nilai-nilai taqwa dalam ahli ilmu terlebih dahulu, seterusnya dapat menjadi pemangkin bagi menerap nilai ketaqwaan dalam masyarakat awam Islam secara umumnya. Inilah manhaj yang diperlukan.

Kita memerlukan satu revolusi baru dalam manhaj tarbiah umat Islam di abad ke-21 ini. Manhaj tarbiah abad ke-21 sudah tentu tidak sama secara mutlak dengan manhaj tarbiah pada kurun ke -9 dan kurun ke-10. Beban dan cabaran di abad ini berbeza dengan bebanan dan cabaran di abad-abad terdahulu. Kalau tiada anjakan dalam metodologi tarbiah dan dakwah, maka kita (umat Islam) akan menjadi pemimpin dunia ke arah kemunduran dalam aspek ketamadunan.

Kerosakan umat berpunca daripada ilmu yang tidak diseiringkan dengan pembentukan akhlak, tarbiah dan ketaqwaan dalam ahli lmu sendiri. Hal ini berpunca dari pengaruh Sekularisme ilmu kebendaan yang menghalalkan segala yang membawa kepada keuntungan (falsafah Pragmatisme). Maka, dari sinilah punca musibah umat dan ahli ilmu itu sendiri.

Hatta, zaman ini, ada orang sanggup membeli sijil untuk mendapat sesuatu kepentingan duniawi. Bahkan, ada yang sanggup membeli sijil kelayakan dalam bidang ilmu agama untuk mendapat keduniaan dengan cara mudah, tanpa mahu belajar. Kalau inilah inilah penuntut ilmu, maka di mana nilai ilmu itu sendiri?

Sempena bulan yang mulia ini, hendaklah kita memperbaiki diri agar dapat bersesuaian dengan Nabi s.a.w. dari sudut perkataan, perbuatan mahupun hal hati. Suka saya akhiri ucapan ini dengan beberapa fokus penting iaitu:

Pertama: Cintailah kemuliaan dan maruah kehormatan diri sebagai penuntut ilmu, sebelum mencari ilmu. Janganlah kamu cemari maruah kamu sebagai ahli ilmu dengan menjual agama untuk kepentingan dunia. Ia akan meruntuhkan kehormatan diri kamu sebagai ahli ilmu dan menjatuhkan maruah ilmu itu sendiri.

Kedua: Percayalah bahawasanya, Allah s.w.t. tidak pernah menciptakan kamu untuk mensia-siakanmu. Ingatlah kata-kata Sidi Ibn 'Ato'illah: "Dia yang bakal memberikanmu nikmat imdad (bantuan untuk terus hidup), ialah Dia yang pernah memberikan kepadamu nikmat ijad (mewujudkan kamu dari tiada kepada ada). Yakinlah kepada Allah s.w.t. kerana padanya ada kerehatan.

Saya dapati selama ini, semalas-malas golongan yang menuntut ilmu, adalah golongan yang menuntut ilmu agama secara umumnya, walaupun tidak semua, tetapi kebanyakkannya.

Suka saya selitkan sebuah kisah dari pengalaman saya sendiri, sebagai iktibar untuk kita semua, sebelum saya menutup ucapan saya ini.
             
Saya pernah menziarahi satu institusi pengajian di sebuah tempat. Saya ada dua sesi ucapan dan ta'lim dalam dua fakulti yang berbeza, pada waktu yang berasingan.
             
Pada mulanya, saya memberi ta'lim di fakulti kejuruteraan dan fakulti perubatan. Saya dapati, yang hadir dalam dewan tersebut, melimpah ruah, terlalu ramai, yang mana rata-ratanya adalah dari kalangan penuntut ilmu kejuruteraan dan perubatan.
         
Namun, apabila saya menghadiri sesi ucapan dan ta'lim di dewan fakulti syariah, pada waktu yang berbeza, saya dapati tidak sampai satu perempat daripada kawasan dewan itu yang penuh, sedangkan penunut ilmu dalam fakulti tersebut sepatutnya lebih ramai dari fakulti sebelum ini.
             
Hakikatnya, golongan yang mempelajari ilmu kejuruteraan dan sebagainya, sanggup datang menghadiri majlis ilmu agama kerana merasa kekosongan dan jahil mengenai agama, dan berusaha untuk memahaminya dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Oleh yang demikian, maka kehadiran mereka di luar jangkaan. Akhirnya, mereka berjaya menghimpunkan kedua-dua bidang ilmu, iaitu ilmu duniawi dan ilmu agama sekaligus, dalam usaha untuk mengamalkan agama itu sendiri.
             
Adapun golongan yang mengaji ilmu syariah, maka kebanyakanya sudah merasakan diri mereka mengetahui segala-galanya berkaitan dengan agama, untuk tidak ingin menghadiri majlis-majlis ilmu tidak rasmi, kerana merasa cukup apa yang dipelajarinya dalam bilik kuliah semata-mata. Matlamat mereka hanyalah, ingin lulus periksa lalu mendapatkan sijil, kemudian setelah konvokesyen, pulang ke kampung dan mencari kerja, dengan ilmu agama tersebut.
             
Neraca dan pertimbangan sudah tidak seimbang, bagaimana kita boleh mengharapkan natijah umat yang gemilang?
             
Nasihat terakhirku buat penuntut ilmu, janganlah sesekali kamu semua terjebak kepada budaya berbual dalam perkara yang sia-sia sering berdebat dalam masalah-masalah khilafiyah yang membuang waktu kamu sebagai penuntut ilmu.
             
Isilah masa kamu sebaiknya dengan menuntut ilmu dan janganlah dibazirkan dengan perdebatan yang tidak pernah berkesudahan. Ini kerana, amanah kamu untuk menyebarkan agama Islam ini, dan ilmu-ilmunya. Oleh yang demikian, kumpulkanlah sebanyak mungkin agar kamu dapat memberi manfaat kepada umat Islam.         

Semoga Allah s.w.t. mengembalikan kita kepada petunjukNya, membantu kita dalam usaha dakwah menujuNya, membaiki kelemahan kita, mengampunkan dosa keterlanjuran kita, memberi keberkatan kepada kita dan kepada umat Islam, dengan berkat hari yang mulia ini, dengan bertawassul kepada Nabi Muhammad s.a.w. agar Allah s.w.t. menghimpunkan kita pada apa-apa yang membawa kepada keredhaanNya.

Wallahu a'lam…Wassalamu 'alaikum warahmatuLlah…

Disusun dan Diterjemah dengan bantuan Allah s.w.t. oleh: 
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Qadir
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...