Ahad, 27 Januari 2013

Wasiat Imam 4 Mazhab kepada Umat Islam

Gambar hiasan


Wasiat Imam 4 Mazhab kepada Umat Islam
Setiap seorang dari para imam mazhab yang empat telah berwasiat kepada umat Islam seluruhnya agar mentaati al-Qur’an dan al-Sunnah, bukannya ajaran atau pendapat mereka. Ini mereka tegaskan kerana menyedari akan hakikat sebenar diri mereka sebagai manusia yang ada kelemahan dan kekurangan. Walaupun para imam mazhab ini diiktiraf dan disanjung keilmuannya oleh orang ramai, mereka tetap dengan penuh keikhlasan hati dan rendah diri mengakui bahawa adakalanya mereka boleh tersilap atau kurang tepat dalam ajaran mereka.

Antara masalah paling kerap yang dihadapi oleh para imam mazhab, sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, ialah kesukaran memperolehi hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Para sahabat penghafal hadis banyak yang sudah meninggal dunia manakala anak murid mereka yang sempat menghafal hadis-hadis tersebut bertebaran di seluruh dunia Islam.

Atas faktor ini dan beberapa yang lain, kita dapati para imam mazhab berwasiat kepada umat Islam dengan wasiat yang masyhur:

Apabila sesuatu hadis itu sahih maka itulah mazhab aku.[1]

Berikut akan dikemukakan wasiat-wasiat para imam mazhab, dimulai dengan tumpuan khas kepada wasiat al-Syafi‘e memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia cenderung kepada Mazhab al-Syafi‘e.

Wasiat al-Syafi‘e

Pertama: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Sesuatu sunnah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kemungkinan akan sampai atau tidak sampai kepada seorang itu. Maka apabila sahaja aku menghuraikan pendapatku atau merumuskan sesuatu prinsip dan pada waktu yang sama wujud satu hadis yang sah daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan sebaliknya maka pendapat yang betul itu adalah apa yang Nabi katakan dan demikianlah juga akan menjadi pendapat aku.[2]

Kedua: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Setiap hadis yang sah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah juga merupakan ajaran aku walaupun engkau tidak pernah mendengarnya daripada aku sebelum ini.[3]

Ketiga: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Dalam setiap isu, apabila seseorang ahli hadis itu menjumpai sebuah riwayat yang sahih daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan riwayat itu pula bertentangan dengan ajaran aku maka aku menarik kembali ajaran aku yang asal tadi sama ada pada ketika aku masih hidup atau apabila aku sudah meninggal dunia nanti.[4]

Keempat: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:

Wasiat para imam maz-hab ini adalah benar akan tetapi perlaksana-annya tidaklah semudah yang disangkakan. Sese-orang itu tidak boleh menghukum imam maz-hab sebagai silap sema-ta-mata kerana satu atau dua hadis sahih yang baru ditemuinya.

Apabila kamu dapati di dalam bukuku sesuatu yang bertentangan dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam maka berpeganglah kepada Hadis tersebut dan tinggalkanlah apa yang telah aku katakan itu (atau tuliskan).[5]

Kelima: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:

Pertama, sesuatu berita itu daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam wajib diterima. Kedua, berita tersebut ataupun hadis tersebut wajib diterima jika ianya telah disahkan walaupun tiada di antara imam-imam sebelum ini yang mengamalkan atau mengajarkan sesuatu daripada hadis tersebut.

Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa jika tindakan salah seorang imam itu bertentangan dengan hadis daripada Nabi maka tindakan imam itu haruslah ditinggalkan dan diganti dengan petunjuk yang berasal daripada hadis Nabi.

Di samping itu, suatu hadis yang diyakini sah daripada Nabi adalah tegas dengan sendirinya tanpa memerlukan konformasi daripada tindakan seseorang lain selepas beliau.[6]

Keenam: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:

Pertama, pendapat boleh diterima bilamana tidak ada sunnah dalam hal itu. Akan tetapi jika sunnah menyatakan bahawa seseorang itu harus melakukan sesuatu perkara itu sebegini-sebegini, seseorang itu wajib meninggalkan apa yang dia telah atau sedang lakukan.

Seseorang itu wajib meninggalkan sesuatu amalan yang bertentangan dengan sunnah. Juga dia wajib meninggalkan pendapat yang mengatakan bahawa sunnah hanya boleh tertegak atas dukungan suatu berita yang datang menyusul. Dan seseorang itu patut akur bahawa sunnah itu tidak boleh dikebelakangkan oleh sesuatu apapun yang bertentangan dengannya.[7]

Wasiat Abu Hanifah

Berkata Abu Hanifah rahimahullah: 
Apabila aku mengeluarkan sesuatu pendapat yang bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka tinggalkanlah pendapat aku itu.[8]

Wasiat di atas diulas oleh al-Syuhnah di dalam kitabnya Syarh al-Hidayah:

Apabila sesuatu hadis itu sahih manakala ianya bertentangan pula dengan mazhab, perkara yang mesti dilakukan ialah beramal berdasarkan hadis tersebut. Demikian itu adalah Mazhab Abu Hanifah dan para pengikut mazhab tidaklah terkeluar dari kedudukannya sebagai pengikut Hanafi dengan mengamalkan hadis tersebut.

Terdapat suatu riwayat yang sahih daripada al-Imam Abu Hanifah menyebutkan bahawa beliau telah berkata “Apabila Hadis itu sahih, itulah mazhab aku.” Riwayat ini diceritakan daripada Ibn ‘Abd al-Barr daripada al-Imam Abu Hanifah dan juga daripada imam-imam lainnya.[9]

Wasiat Malik bin Anas

Pertama: Berkata Malik bin Anas rahimahullah:
Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah.[10]

Kedua: Berkata Malik bin Anas rahimahullah:
Tidak ada perkataan manusia selepas Nabi kecuali sama ada ianya diterima atau ditolak, melainkan perkataan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.[11]

Wasiat Ahmad bin Hanbal

Pertama: Berkata Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
Tidak ada perkataan sesiapapun melainkan boleh diterima perkataannya atau ditolak kecuali perkataan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.[12]

Kedua: Berkata Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
Pendapat al-Awza‘e, Malik dan Abu Hanifah, semuanya adalah pendapat semata-mata. Aku melihat semuanya sama di sisiku, yang mesti jadi rujukan hanyalah sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.[13]
———————
Demikian beberapa wasiat para imam mazhab kepada umat Islam keseluruhannya. Abu Hanifah, Malik bin Anas, al-Syafi‘e dan Ahmad bin Hanbal, secara jujur dan penuh ketaqwaan sentiasa menekankan agar yang ditaati ialah sunnah atau hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan bukannya ajaran mereka.

Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah merumuskan:

Daripada keterangan-keterangan para imam mazhab ini, adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walaupun jika ia bertentangan dengan pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang terkemuka.

Sikap yang lebih utama ialah mengamalkan hadis-hadis yang baru diketahui kesahihannya sepeninggalan mazhab kerana imam maz-hab itu sendiri berpesan sedemikian.

Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah yang sahih. Dan adakalanya bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi pesuruh Allah itu lebih mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah mana-mana makhluk lain.

Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu kerana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan silapnya, bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati bertentangan dengan ajaran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih.[14]

al-Sya’rani rahimahullah berkata:

Apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah bermaksud sebagai menghina kedu-dukan imam ikutan seseorang itu ke-rana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan si-lapnya, bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati berten-tangan dengan ajaran Nabi.

Kita meyakini seandainya para imam mujtahid (para imam mazhab) tersebut semasa hidupnya mengetahui kesahihan hadis-hadis yang tidak mereka pergunakan dan baru diketahui kesahihannya sepeninggalan mereka, tentu mereka akan mempergunakan hadis-hadis tersebut dan mengamalkannya. Kemudian mereka akan menghindari qiyas yang telah mereka lakukan dan meralat (membetulkan) semula pendapat yang telah mereka cetuskan terdahulu …… Sikap yang lebih utama ialah mengamalkan hadis-hadis yang baru diketahui kesahihannya sepeninggalan mazhab kerana imam mazhab itu sendiri berpesan sedemikian. [15]

Berkata al-Albani rahimahullah setelah mengemukakan wasiat-wasiat di atas:

Kenyataan tersebut menggambarkan ketinggian ilmu dan ketaqwaan para imam tersebut, di mana melalui perkataan seperti di atas mereka menegaskan bahawa mereka tidaklah menguasai sunnah keseluruhannya.

Kadang-kala terhasil daripada mereka ini (para imam mazhab) beberapa perkara yang menyalahi sunnah yang tidak kesampaian kepada mereka. Apabila mereka mengetahui akan sunnah tersebut, mereka memerintahkan kita agar berpegang teguh dengannya dan menjadikannya sebagai mazhab mereka. Semoga Allah memberi Rahmat kepada mereka semua.[16]

Catatan Penting:

Wasiat-wasiat para imam mazhab di atas adalah benar akan tetapi perlaksanaannya tidaklah semudah yang disangkakan. Seseorang itu tidak boleh mengubah ajaran mazhabnya atau menghukum imam mazhabnya sebagai tersilap semata-mata dengan satu atau dua hadis sahih yang baru ditemuinya. Ini kerana sesuatu mazhab itu tidak terbina di atas satu atau dua hadis tetapi himpunan ribuan buah hadis. Himpunan hadis-hadis ini pula difahami dan ditetapkan kandungan hukumnya berdasarkan kaedah-kaedah yang digariskan dalam ilmu usul fiqh.

Oleh itu perlaksanaan wasiat-wasiat di atas tertakluk kepada beberapa syarat sebagaimana yang diulas oleh al-Nawawi rahimahullah:

Perkataan (wasiat) al-Syafi‘e tersebut tidaklah bermaksud bahawa setiap seseorang yang menemui hadis yang sahih berhak berkata “Inilah ajaran Mazhab al-Syafi‘e” dan beramal dengan zahir hadis tersebut. Sesungguhnya yang berhak berkata sedemikian hanyalah seseorang yang memiliki darjat berijtihad dalam mazhab, baik yang telah sampai kepadanya atau yang menghampirinya.

Dan disyaratkan bagi orang tersebut dengan keyakinan yang mengatasi dugaan bahawa al-Syafi‘e rahimahullah tidak membicarakan hadis tersebut atau tidak mengetahui akan kebenarannya. Dan ini hanyalah dapat dilakukan setelah ditelaah semua kitab al-Syafi‘e dan juga kitab para sahabatnya (tokoh-tokoh al-Syafi‘eyyah) yang diiktiraf atau apa yang setaraf dengannya.

Syarat-syarat ini adalah sulit dan hanya segelintir kecil yang mampu mencapainya. Sesungguhnya sebab kami menyebut syarat-syarat ini hanyalah kerana al-Syafi‘e rahimahullah, berdasarkan penilaian dan ilmunya, seringkali meninggalkan pengamalan zahir sebuah hadis kerana di sisi beliau terdapat dalil lain yang melemahkannya atau yang membatalkannya (nasakh) atau yang mengkhususkannya atau kerana ditakwilkannya atau kerana beberapa sebab yang lain.[17]

Di atas adalah syarat-syarat yang perlu diperhatikan sebelum seseorang itu mengubah mazhab imamnya. Adapun atas tujuan selain itu, seseorang boleh berpegang dan beramal dengan hadis sahih yang ditemuinya sekalipun dia belum mencapai darjat seorang mujtahid. Asalkan dia mampu mengkaji dan menganalisa secara ilmiah dan menyeluruh. al-Zarkasyi rahimahullah menulis:

Sesiapa yang (pada mulanya) bertaqlid[18] kepada sebahagian imam (mazhab) lalu kemudian darjatnya naik sedikit sehingga mampu memahami dan mengkaji dalil-dalil syari‘at , maka apabila dia menemui sebuah hadis yang dapat digunakan sebagai hujah dan hadis itu pula digunakan oleh sebahagian orang namun berselisihan dengan pendapat imam mazhabnya, maka adakah dibolehkan dia berijtihad (dengan mengamalkan hadis tersebut dan meninggalkan pendapat imam mazhabnya) ?

Berkata Abu ‘Amr (Ibn al-Shalah): Dalam hal ini kami berpendapat, jika seseorang itu memiliki sarana untuk berijtihad secara mutlak atau (sekurang-kurangnya berijtihad) dalam sesebuah bab atau masalah tertentu, maka dibolehkan bagi dia beramal dengan hadis tersebut. (Juga dibolehkan) sekalipun jika dia tidak memiliki saranan untuk berijtihad secara sempurna dan wujud di hatinya keraguan terhadap hadis tersebut,[19] asalkan dia tidak mendapati hadis lain yang bertentangan dengan hadis yang ingin diamalkan itu. Jika terdapat seorang imam di luar mazhabnya yang beramal dengan hadis tersebut, maka dia boleh bermazhab kepadanya. Demikian merupakan alasan yang membolehkan dia meninggalkan pendapat imam mazhabnya (yang asal).[20]

Ibn Taimiyyah rahimahullah menguatkan lagi pendapat Ibn al-Shalah tentang tidak perlunya seseorang itu memiliki darjat mujtahid untuk beramal dengan hadis sahih yang ditemuinya:

Boleh berpegang dan beramal dengan hadis sahih yang dite-muinya sekalipun dia belum mencapai darjat seorang muj-tahid. Asalkan dia mampu me-ngkaji dan menganalisa secara ilmiah dan menyeluruh.

Urusan ijtihad bukanlah suatu perkara yang tidak dapat menerima pemecahan dan pembahagian. Bahkan mungkin sahaja wujud seorang yang memiliki keahlian untuk berijtihad di dalam satu bidang ilmu atau bab atau permasalahan dan tidak di dalam bidang ilmu atau bab atau permasalahan yang lain. Oleh itu setiap seseorang boleh berijtihad mengikut tahap kemampuan masing-masing.

Justeru sesiapa yang meneliti sesuatu permasalahan yang berselisih para ilmuan tentangnya lalu dia memperolehi beberapa nas (hujah) yang berada di luar nas-nas yang diperselisihan oleh kedua-dua pihak yang berbeza pendapat itu[21], maka bagi dia dua pilihan:

(Pertama), dia mengikut pendapat terakhir (terkuat dan termasyhur di dalam mazhabnya) dengan sebab ia adalah pendapat imam yang mazhabnya menjadi ikutan dia. Tindakan ini tidak memiliki hujah di dalam syari‘at[22] akan tetapi disebabkan kebiasaan yang ditentang oleh kebiasaan yang lain,[23] dia terikat kepada mengikut saja pendapat imam mazhabnya.

(Kedua), dia mengikut pendapat yang dikuatkannya berdasarkan penelitiannya terhadap nas-nas yang menjadi dalil ke atasnya. Dalam suasana seperti ini, (hendaklah dipastikan bahawa) pendapatnya selari dengan pendapat salah seorang imam sekalipun ia berbeza dengan pendapat imam (yang menjadi ikutannya) dan nas-nas tersebut selamat daripada sebarang pertentangan dengan nas yang lain untuk diamalkan. (Jika dapat dipastikan dua hal ini) maka (beramal dengan pendapat yang dikuatkannya itu) merupakan satu tindakan yang salih (baik).[24]

Justeru orang yang belum mencapai darjat mujtahid sepenuhnya, apabila dia menemui hadis sahih yang pada zahir kelihatan berselisihan dengan pendapat imam mazhabnya hendaklah memerhatikan beberapa perkara yang penting:

Tidak boleh menggunakan hadis tersebut untuk mengubah ajaran mazhabnya.

Dia boleh mengamalkan hadis tersebut dengan syarat dia dapat memastikan tidak ada dalil yang menentangnya, sama ada dalam bentuk yang membatalkannya (nasikh & mansukh), mengkhususkannya (am & khas), membataskannya (mutlak & muqayyad) dan sebagainya.

Dengan hadis tersebut dia boleh meninggalkan pendapat mazhabnya dalam masalah yang berkaitan. Namun lebih afdal jika pengamalan hadis tersebut adalah selari dengan pendapat salah seorang imam atau tokoh ilmuan yang lain.

Dia juga boleh mengajar pengamalan hadis tersebut kepada orang ramai akan tetapi tidak boleh memaksa atau bertindak keras jika sebahagian mereka masih ingin mengikut pendapat mazhab masing-masing. Ini kerana orang ramai bebas memilih kepada siapa mereka hendak rujuk berdasarkan keyakinan masing-masing.

Rujukan:

[1]Dari Abu Hanifah, diriwayatkan oleh Ibn ‘Abidin (1203H/1789M) di dalam al-Hasyiyah, jld. 1, ms. 63 dan Ibn al-Syuhnah di dalam Syarh al-Bidayah. Dari al-Syafi‘e, diriwayatkan al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 163 dan oleh al-Sya’rani di dalam al-Mizan, jld. 1, ms. 57. Riwayat-riwayat ini dan yang akan datang seterusnya dinukil drpd buku The Prophet’s Prayer Described oleh al-Albani.
[2]Riwayat Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimashq, 15/1/3.
al-Imam Ibn ‘Asakir lahir pada 499H/1106M di bandar Damsyik. Seorang ahli sejarah dan ahli hadis yang terkemuka bagi Mazhab al-Syafi‘e pada kurun ke 5 hijrah. Beliau yang nama asalnya ialah Abu al-Qasim ‘Ali bin al-Hassan meninggal dunia pada 571H/1176M.
[3]Riwayat Ibn Abi Hatim di dalam al-Adab, ms. 93-94.
[4]Riwayat Ibn al-Qayyim di dalam I’lam al Muwaqqi‘in, jld. 2, ms. 363.
[5]Riwayat al-Khatib al-Baghdadi di dalam al-Ihtijaj bi al-Syafi‘e, jld. 8, ms. 2 dan al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 63.
al-Imam al-Nawawi ialah seorang imam mujtahid yang masyhur bagi Mazhab al-Syafi‘e. Beliau yang nama asalnya Abu Zakaria Yahya bin Syaraf lahir di Syria pada 631H/1233M. Antara karangan beliau ialah kitab fiqh Mazhab al-Syafi‘e berjudul al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dan Syarh Shahih Muslim. Meninggal dunia pada 676H/1277M
[6]al-Risalah, para 423, sub-para 3.
[7]al-Risalah, para 426.
[8]Riwayat Salih al-Fulani di dalam Iqaz al-Himam, ms. 50.
[9]Dinukil drpd The Prophet’s Prayer Described, ms. viii.
[10]Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32.
Ibn ‘Abd al-Barr, beliau ialah al-Imam Yusuf bin ‘Abd Allah bin Muhammad bin ‘Abd al-Barr, lahir di Qordova, Sepanyol pada tahun 368H/978M. Seorang ahli hadis yang ulung dalam dunia Islam dan ahli fiqh yang masyhur dalam Mazhab Maliki. Meninggal dunia pada tahun 463H/1071M.
[11]Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 91.
[12]Riwayat Abu Daud di dalam Masa’il al-Imam Ahmad, ms. 276.
al-Imam Abu Daud ialah Sulaiman bin al-Asy’ath al- Sijistan, lahir pada 202H/818M. Beliau sempat berguru kepada Ahmad bin Hanbal bersama al-Bukhari dan Muslim. Kitabnya yang terkenal ialah Sunan Abu Daud, mengandungi 4800 buah hadith dan sudahpun diterjemahkan. Selain itu beliau ada mengarang belasan buah kitab yang lain sebelum meninggal dunia pada 275H/889M di Basrah, Iraq.
[13]Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 149.
[14]al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali, ialah seorang tokoh besar di dalam bidang hadis dan fiqh bagi Mazhab Hanbali. Beliau yang nama sebenarnya Abu al-Faraj ‘Abd al-Rahman bin Ahmad lahir pada 736H/1335M dan meninggal dunia pada 795H/1393M. Kata-katanya di atas dikutip oleh Salih al-Fulani (1218H/1804M) di dalam kitabnya Iqaz al-Himan, ms. 93; dinukil drpd The Prophet’s Prayer Described, ms. xv oleh al-Albani.
[15]al-Mizan al-Kubra, jld. 1, ms. 98.
[16]The Prophet’s Prayer Described, ms. viii.
[17]al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (ed: M. Najib Ibrahim; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2001), jld. 1, ms. 136. Ibn Taimiyyah rahimahullah telah menggariskan 20 sebab dan kaedah di mana sesuatu hadis itu boleh ditinggalkan pengamalannya. Lihat risalah beliau berjudul Rof’ul Malam ‘an A’immat al-A’lam (رفع الملام عن الأئمة الأعلام) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn.).
[18]Taqlid ialah mengikut pendapat seorang imam tanpa mengetahui alasan atau hujah di sebaliknya.
[19]Yakni keraguan kerana hadis tersebut berselisihan dengan pendapat imam mazhab yang diikutinya.
[20]Nukilan berpisah daripada al-Bahr al-Muhith (Dar al-Kitabiy, Beirut tp.thn.), jld. 8, ms. 343-344. al-Zarkasyi telah menukil beberapa pendapat, antaranya oleh al-Qarafi dan al-Nawawi yang meletakkan beberapa syarat ketat sebelum seseorang itu dapat mengubah mazhab seorang imam sesama-mata berdasarkan hadis sahih yang ditemuinya. Namun al-Zarkasyi juga menukil pendapat Ibn al-Shalah sepertimana di atas yang membolehkan orang perseorangan mengamalkan hadis sahih yang ditemuinya.

al-Zarkasyi, beliau ialah al-Imam Muhammad bin Bahadur bin ‘Abd Allah. Lahir di Kaherah pada tahun 745H/1344H, beliau merupakan seorang ahli usul fiqh yang ulung di dalam Mazhab al-Syafi‘e. Meninggal dunia pada 794H/1392M.

al-Imam Ibn al-Shalah, beliau ialah ‘Utsman ibn ‘Abd al-Rahman Shalah al-Din, lahir di Sharkhan pada 577H/1181M. Beliau ialah seorang ahli hadis yang tersohor di dalam Mazhab al-Syafi‘e. Kitabnya yang terkenal di dalam ilmu hadis, berjudul ‘Ulum al-Hadits menjadi rujukan semua 4 mazhab hingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia pada 643H/1245M.

[21]Yakni dia memperoleh dalil dan hujah yang dapat mengunggulkan satu pendapat di antara beberapa pendapat yang sedang diperselisihkan.
[22]Ini kerana kewajipan seseorang ialah mengikut dalil dan hujah yang diyakininya paling mendekati kebenaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Dalam penjelasan seterusnya, Ibn Taimiyyah menerangkan bahawa sekalipun pilihan yang pertama ini tidak memiliki dasar yang dibenarkan oleh syari‘at, ia tetap dibolehkan kerana orang tersebut tidak memiliki kelayakan yang secukupnya untuk berijtihad sepenuhnya. Ibn Taimiyyah menggelarnya sebagai satu “penurunan”, iaitu pelonggaran syarat. Pilihan pertama ini tidak dibolehkan jika seseorang itu memiliki kemampuan untuk berijtihad sepenuhnya.
[23]Yakni sudah menjadi kebiasaan dia dituntut mengikut mazhab asalnya sahaja. Jika dia meninggalkan mazhabnya, dia akan dikritik oleh masyarakat yang sudah biasa mengkritik orang yang meninggalkan mazhab asalnya.
[24]Majmu’ al-Fatawa, jld. 20, ms. 212-213.

Oleh: Ilmu Sunnah
Sumber : http://syahirul.com/wasiat-imam-4-mazhab-kepada-umat-islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...