Gambar hiasan |
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur.
Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi
yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya
mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi
itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, “Esok engkau
dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau
dikehendaki berbuat, pertama; apa
yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua;
engkau sembunyikan, ketiga; engkau
terimalah, keempat; jangan engkau
putuskan harapan, yang kelima;
larilah engkau daripadanya.”
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya
menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar
berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, “Aku diperintahkan memakan
pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat
dilaksanakan.”
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan
hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu
mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun
mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis
bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula
dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya
disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan
mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu
terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali
berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, “Aku telah melaksanakan
perintahmu.” Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu
yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor
burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung
kecil itu berkata, “Wahai Nabi Allah, tolonglah aku.”
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia
pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan
itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata,
“Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi
tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.”
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang
keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan
perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu
memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah
mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari
dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalanannya.
Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang
amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan
menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa
itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.
Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata,
“Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu
di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.”
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,
Yang pertama
engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi
pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu
pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal
kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah
seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya
demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
Kelima; bau yang
busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari
orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita
semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku
dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap
hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata
hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan
menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti
ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah
dikerjakannya. Lalu dia bertanya, “Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu
berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.”
Maka berkata Allah S.W.T., “Ini adalah pahala orang yang
mengata-ngata tentang dirimu.” Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun
apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan
diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang
walaupun ia benar.
Wallahua’lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan