Isnin, 21 Mac 2011

GARA-GARA TIDAK IKHLAS


Wahai diri. Carilah ikhlas dalam gerak lakumu, dalam tutur bicaramu, dalam amal perbuatanmu. Kukuhkanlah niat suci hanya kerana Dia, Allah Yang Esa.
Berjuanglah melawan hawa nafsumu. Gapailah keikhlasan...

Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan: "Ia adalah hati yang selamat daripada segala syahwat atau keinginan nafsu yang menyelisihi perintah dan larangan Allah serta bebas daripada segala syubhah yang menyelisihi berita yang dikhabarkan-Nya."
(Ighatsat al-Lahfan, hal. 15)

Ibnul Qayyim juga menyifatkan pemilik hati yang selamat itu dengan ucapannya;
Ia akan sentiasa berusaha mendahulukan keredhaanNya dalam keadaan apapun serta berupaya untuk selalu menjauhi kemurkaanNya dengan berbagai-bagai cara".
Kemudian, beliau juga mengatakan;
"Amal yang ikhlas kerana Allah, apabila dia mencintai maka cintanya kerana Allah. Apabila dia membenci maka bencinya juga kerana Allah. Apabila memberi maka pemberiannya itu kerana Allah dan apabila tidak memberi juga kerana Allah..."
(Ighatsat al-Lahfan, hal. 15)

Syaikh as-Sa'di rahimahullah berkata;
" Hati yang selamat itu adalah hati yang selamat daripada syirik dan keraguan serta terbebas daripada kecintaan kepada keburukan atau dosa dan jika tidak, perilaku akan terus-menerus berkubang dalam kebidaahan dan dosa. Apabila hati itu bersih daripada apa-apa yang disebutkan tadi, maka kesannya adalah ia akan menjadi hati yang diwarnai dengan lawan-lawannya iaitu; keikhlasan, ilmu, keyakinan, cinta kepada kebaikan serta kelihatan keindahan kebaikan itu di dalam hatinya sehingga keinginan dan rasa cintanya akan sentiasa mengikuti kecintaan Allah, dan hawa nafsunya akan tunduk dan patuh mengikuti apa yang datang daripada Allah."
(Taisir al-Karim ar-Rahman [2/812])


Ayat-Ayat Allah SWT yang Memerintahkan Keikhlasan

Allah SWT berfirman yang bermaksud;
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab dengan benar, maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan agama untukNya. Ketahuilah, sesungguhnya agama yang murni itu merupakan hak Allah."
(QS. az-Zumar: 2-3)

Firman Allah SWT yang bermaksud;
"Padahal, mereka tidaklah disuruh melainkan supaya beribadah kepada Allah dengan mengikhlaskan agama untuk-Nya dalam menjalankan ajaran yang lurus, mendirikan sholat dan menunaikan zakat. Demikian itulah agama yang lurus."
(QS. al-Bayyinah: 5)

Allah SWT berfirman, yang bermaksud:
"Berdoalah kepada Allah dengan mengikhlaskan agama dan amal untukNya, meskipun orang-orang kafir tidak menyukai."
(QS. Ghafir: 14)

Firman Allah SWT yang bermaksud;
"Dialah Yang Maha Hidup, tiada sembahan yang benar selain Dia, maka sembahlah Dia dengan mengikhlaskan agama bagiNya."
(QS. Ghafir: 65)

Hadis-Hadis yang Memerintahkan Keikhlasan Hati

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amalan kecuali yang ikhlas dan dilakukan demi mengharap wajahNya."
(HR. Nasa'i, dari Abu Umamah al-Bahili radhiyallahu'anhu, sanadnya hasan, dihasankan oleh al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya')

Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang paling berbahagia dengan syafaatku kelak pada hari kiamat adalah orang yang mengucapkan la ilaha illallah dengan ikhlas dari dalam hati atau dirinya."
(HR. Bukhari dari Abu Hurairah radhiyallahu'anhu).


GARA-GARA TIDAK IKHLAS

Sulaiman bin Yasar berkata: "Suatu masa, ketika orang-orang mulai bersurai meninggalkan majlis Abu Hurairah, maka Natil, salah seorang penduduk Syam, berkata kepadanya, "Wahai Syaikh, tuturkanlah kepada kami suatu hadis yang pernah anda dengar dari Rasulullah SAW."
Abu Hurairah menjawab; "Baiklah, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda": "Sesungguhnya orang-orang yang pertama kali diadili pada hari kiamat adalah:

1 - Seorang lelaki yang telah berjuang demi mencari mati syahid. Lalu dia dihadirkan dan ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang sekiranya akan diperolehnya, sehingga dia pun dapat mengenalinya.

Allah SWT bertanya kepadanya: "Apa yang telah kamu lakukan untuk mendapatkan itu semua?". Dia menjawab, "Aku berperang di jalanMu sampai aku menemui mati syahid."

Allah SWT berfirman;
"Kamu dusta, sebenarnya kamu berperang agar disebut-sebut sebagai pemberani, dan sebutan itu telah kamu peroleh di dunia."
Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya dalam keadaan meniarap di atas wajahnya sehingga akhirnya dia dilemparkan ke dalam api neraka.

2 - Seorang lelaki yang menimba ilmu dan mengajarkannya serta pandai membaca dan menghafal al-Quran. Lalu dia dihadirkan dan ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang sekiranya akan diperolehnya, sehingga dia pun dapat mengenalinya.
Allah SWT bertanya kepadanya; "Apa yang telah kamu lakukan untuk mendapatkan itu semua?". Dia menjawab, "Aku menimba ilmu dan mengajarkannya serta aku membaca dan menghafal al-Qur'an di jalanMu."

Allah berfirman;
"Kamu dusta. Sebenarnya kamu menimba ilmu agar disebut-sebut sebagai orang alim, dan kamu membaca al-Quran agar disebut sebagai qari'. Dan sebutan itu telah kamu dapatkan di dunia."
Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya dalam keadaan tertelungkup di atas wajahnya hingga akhirnya dia dilemparkan ke dalam api neraka.

3- Seorang lelaki yang diberi kelapangan oleh Allah serta mendapatkan kurnia berupa segala macam bentuk harta. Lalu dia dihadirkan dan ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang sekiranya akan diperolehnya, sehingga dia pun dapat mengenalinya.

Allah bertanya kepadanya; "Apa yang telah kamu lakukan untuk mendapatkan itu semua?". Dia menjawab, "Tidak ada satupun kesempatan yang Engkau cintai agar hamba-Mu berinfak padanya melainkan aku telah berinfak padanya untuk mencari redhaMu."
Allah berfirman;
"Kamu dusta. Sesungguhnya kamu berinfak hanya demi mendapatkan sebutan sebagai orang yang dermawan. Dan sebutan itu telah kamu dapatkan di dunia."

Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya dalam keadaan tertelungkup di atas wajahnya hingga akhirnya dia dilemparkan ke dalam api neraka."
(HR. Muslim [1903], Syarh Muslim [6/529-530])

Hadis ini banyak memberikan faedah bagi kita dalam mengenal erti sebenar keikhlasan, antaranya:

[1] Dosa riak- iaitu beramal kerana dilihat orang dan demi mendapatkan sanjungan-adalah dosa yang sangat diharamkan dan sangat berat hukumannya.
(Syarh Muslim[6/531]).

Riak merupakan bahaya yang sangat dikhuatiri Nabi SAW akan menimpa orang-orang soleh seperti para sahabat. Baginda bersabda; "Mahukah ku khabarkan kepada kalian mengenai sesuatu yang lebih aku takutkan menyerang kalian daripada al-Masih ad-Dajjal?".

Para sahabat menjawab, "Mahu ya Rasulullah." Baginda bersabda,"Iaitu syirik yang samar. Tatkala seorang berdiri menunaikan solat lantas menyempurnakan solatnya kerana merasa dirinya diperhatikan oleh orang lain."
(HR. Ahmad dan Ibnu Majah, al-Bushiri; at-Tam-hid, hal. 397, al-Qaul al-Mufid [2/55]).

Kalau Para Sahabat Berasa Demikian, Maka Bagaimana Pula dengan Manusia Biasa Seperti Kita?

[2] Saranan agar menunaikan kewajipan ikhlas dalam beramal. Hal ini sebagaimana yang telah diperintahkan Allah SWT dalam ayatNya yang bermaksud:"Tidaklah mereka diperintahkan melainkan agar menyembah Allah dengan mengikhlaskan amal untukNya dalam menjalankan agama yang lurus."
(QS. al-Bayyinah: 5)

[3] Hadis ini menunjukkan bahawa dalil-dalil lain yang bersifat umum yang menyebutkan keutamaan jihad itu hanyalah berlaku bagi orang-orang yang berjihad secara ikhlas. Demikian pula pujian-pujian yang ditujukan kepada ulama dan orang-orang yang gemar berinfak dalam kebaikan hanyalah dimaksudkan bagi orang-orang yang melakukannya ikhlas kerana Allah SWT.
(Syarh Muslim [6/531-532])

[4] Sesungguhnya ikhlas tidak akan berkumpul dengan kecintaan kepada pujian dan sifat rakus terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain.
Ibnul Qayyim rahimahullah berkata;

"Tidak akan bersatu antara ikhlas di dalam hati dengan kecintaan terhadap pujian dan sanjungan serta ketamakan terhadap apa yang dimiliki oleh manusia, kecuali sebagaimana bersatunya air dengan api atau dhaab, sejenis biawak dengan ikan, iaitu musuhnya juga."
(al-Fawa'id, hal. 143)

[5] Keikhlasan merupakan sesuatu yang memerlukan perjuangan dan kesungguhan dalam menundukkan hawa nafsu. Sahl bin Abdullah berkata; "Tidak ada sesuatu yang lebih sulit bagi jiwa manusia selain daripada ikhlas kerana di dalamnya sama sekali tidak terdapat jalan untuk memuaskan hawa nafsunya."
(Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, hal. 26).

Sebahagian salaf berkata;
"Tidaklah aku berjuang menundukkan diriku dengan perjuangan yang lebih berat daripada perjuangan untuk meraih ikhlas."
(Al-Qaul al-Mufid [2/53])

[6] Tercela dan diharamkanNya orang yang menimba ilmu agama tidak ikhlas kerana Allah. Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang menuntut ilmu yang semestinya dipelajari demi mencari wajah Allah akan tetapi dia tidak menuntutnya melainkan untuk menggapai kesenangan dunia maka dia pasti tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari akhirat kelak."
(HR. Abu Dawud dan disahihkan al-Albani,Jami' al-'Ulum wa al-Hikam,hal.22)

[7] Amalan yang dicampuri syirik, contohnya riak tidak diterima oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda, "Allah SWT berfirman: Aku adalah Dzat yang paling tidak memerlukan sekutu. Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang dia mempersekutukan diriKu dengan selainKu, maka akan Kutinggalkan dia bersama kesyirikannya."
(HR.Muslim, lJami' al-'Ulum wa al-Hikam, hal.23)

[8] Sebesar apapun amalan, maka yang akan diterima Allah hanyalah amal yang ikhlas. Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak menerima amalan kecuali yang dilakukan dengan ikhlas dan demi mencari wajahNya."
(HR. Nasa'i, Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, hal. 21)

Buah Keikhlasan

Di antara syafaat yang paling agung diperolehi orang-orang yang ikhlas adalah diharamkanNya tersentuh api neraka. Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah mengharamkan sentuhan api neraka kepada orang yang mengucapkan la ilaha illallah dengan ikhlas kerana ingin mencari wajah Allah SWT ."
(HR. Bukhari dan Muslim dari Itban radhiyallahu'anhu).

Orang yang ikhlas atau bertauhid akan selamat daripada hukuman kekal di dalam neraka, iaitu selama di dalam hatinya masih tersisa iman atau tauhid meskipun sekecil biji sawi. Dan apabila keikhlasan itu sempurna di dalam hatinya maka ia akan selamat dari hukuman neraka dan tidak masuk ke dalamnya sama sekali.
( al-Qaul as-Sadid, hal. 17)


Orang yang mendapatkan keutamaan ini hanyalah orang yang ikhlas dalam mengucapkan kalimah syahadah.

Hadis ini mengandungi bantahan bagi kaum Murji'ah yang menganggap bahawa ucapan ‘la ilaha illallah' itu sudah cukup walaupun tidak disertai dengan harapan untuk mencari keikhlasan.
Hadis ini juga mengandungi bantahan bagi kaum Khawarij dan Mu'tazilah yang beranggapan bahawa pelaku dosa besar kekal di dalam neraka, sementara hadis ini menunjukkan bahawa para pelaku perbuatan-perbuatan yang diharamkan tersebut dan tidak bertaubat sebelum matinya, tidak akan kekal di neraka, hanya pelakunya yang memang berhak menerima hukuman atau seksa di akhirat sana.
[Al-Qaul al-Mufid ‘ala Kitab at-Tauhid (1/46)]

Selain itu, orang yang ikhlas juga akan berasa ringan dalam melakukan perbagai ketaatan yang pada umumnya terasa berat, kerana orang yang ikhlas sentiasa menyimpan harapan untuk mendapat pahala daripada Allah. Demikian juga, ia akan berasa ringan dalam meninggalkan maksiat, kerana berasa takut akan hukuman Rabbnya yang tertanam kuat di dalam hatinya.

Orang yang ikhlas dalam beramal akan berusaha mengubah amalannya yang sedikit menjadi banyak pahalanya, sehingga ucapan dan amalannya akan membuahkan pahala yang berlipat ganda. Syaikh as-Sa'di rahimahullah mengatakan:

Amal-amal itu sesungguhnya memiliki keutamaan yang bervariasi dan pahala yang bergantung kepada keimanan dan keikhlasan yang terdapat di dalam hati orang yang melakukannya”.
( Bahjat al-Qulub al-Abrar, hal. 17).

Petikan www.iluvislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...