Sabtu, 26 Mac 2011

MALAM DITURUNKAN AL-QURAN


Kilauan cahaya yang ada di bumi tidak dapat menandingi keindahan cahaya yang diturunkan Allah pada malam al-qadr.

SHEIKH al-Maraghi berkata: Surah al-Qadr termasuk surah Makkiyyah yang terdiri daripada lima ayat dan ia diturunkan selepas surah Abasa. Walaupun begitu, al-Dahhak berpendapat ia termasuk surah Madaniyyah, begitu juga apa yang dinyatakan oleh al-Waqidi bahawa surah al-Qadr ini adalah surah yang pertama diturunkan di kota Madinah.

Hubungan surah ini dengan surah al-'Alaq yang terdahulu: surah al-'Alaq, Tuhan memerintahkan nabi SAW membaca al-Quran dengan menyebut nama Tuhan yang mencipta kemudian menyebut nama Zat yang mengajar manusia sesuatu yang tidak diketahui.

Dalam surah ini, Allah SWT menerangkan penurunan al-Quran dan kepentingannya.

Surah ini juga menerangkan bahawa al-Quran diturunkan pada suatu malam yang bersifat agung dan sempurna.

Tafsiran ayat

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.

Ibn Jauzi mengemukakan lima pendapat berkenaan dengan nama malam qadr itu:

i. Dengan maksud agung. Inilah pendapat al-Zuhri.

ii. Dengan makna sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.

iii. Dengan makna hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.

iv. Kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar al-Warraq.

v. Kerana diturunkan pada malam tersebut kitab yang mempunyai kemuliaan di samping rahmat dan malaikat juga turun pada malam tersebut. Inilah pendapat guru kami Ali bin Ubaidillah.

Sayid Qutub berkata: Ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.

Al-Maraghi berkata: Malam itu adalah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik di kalangan manusia.

Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan.

Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik, menyembah berhala dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.

Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun.

Pemilihan tempat dan waktu yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri.

Kemuliaan apa lagi yang lebih agung daripada suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada manusia setelah berlalunya abad kaum Quraisy berada dalam kesesatan menyembah berhala.

Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan! Malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi (langit), yang membimbing umat Islam ke arah yang baik.

Petikan:Mingguan Malaysia
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...