Amal Zikir, Hadir Majlis Ilmu Reda Tekanan Jiwa
Zamanuddin Jusoh
http://epondok.wordpress.com/2013/04/09/amal-zikir-hadir-majlis-ilmu-reda-tekanan-jiwa/
Zamanuddin Jusoh
Tekanan perasaan adalah masalah yang biasa dihadapi dan ia memberi kesan kepada personaliti, reaksi tubuh serta mental seseorang. Persekitaran pekerjaan atau kehidupan memberi desakan serta tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.
Ramai mengalami tekanan jiwa dan mental jika tidak diurus dengan sempurna. Tekanan juga mengundang sakit jiwa dan gangguan pemikiran. Hanya mereka yang beriman dapat menanganinya secara tenang serta sabar.
Tidak dinafikan segala-galanya sudah tertulis sejak azali seperti dikhabarkan Baginda SAW. Namun, ALLAH Subhanahu watala sebagai perancang dan penyusun, semestinya berkuasa mengurang atau menghilangkan tekanan dirasai akibat ujian dan bencana mengikut kehendak-Nya.
Daripada Abdullah bin ‘Amr, katanya: “Aku ada mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah memerintahkan supaya ditulis segala qadar takdir sekalian makhluk sebelum ia menjadikan langit dan bumi dengan tempoh masa yang amat lanjut.”
(Riwayat Muslim dan Tirmizi)
Islam meletakkan usaha dan ikhtiar sebagai jalan terakhir sebelum diserahkan segala urusan kepada Maha Pencipta. Justeru, penyerahan sepenuhnya kepada ALLAH Subhanahu watala endaklah diiringi doa dan bertawakal.
Namun, masih ada masyarakat Islam yang meletakkan sesuatu urusan semata-mata kepada ALLAH Subhanahu watala dengan menyerahkan kepada takdir dengan alasan bahawa ALLAH yang menentukan segala-galanya, manusia menerima segala ketentuan itu dengan reda.
Kesan daripada fahaman ini, mereka yang diuji suasana genting dan mencabar akan meletakkan kesalahan kepada ALLAH Subhanahu watala serta mengeluh terhadap nasib diterimanya. Walau bagaimanapun, Islam memberi ruang berusaha menghindarkan serta mengurangkan tekanan daripada ujian itu.
Saidina Umar Al-Khattab pernah melafazkan doa ketika bertawaf: “Ya ALLAH, jika Engkau mentakdirkan aku tergolong dalam golongan orang bahagia, tetaplah aku dalam keadaan aku.
Sebaliknya jika Engkau tetapkan aku dalam golongan orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”
Ulama’ meletakkan beberapa perkara sebagai alternatif apabila kita ditimpa ujian dan bencana. Antaranya, meletakkan agama dan petunjuk Allah SWT serta ikhlas beribadah sebagai benteng supaya diringankan musibah dan ujian itu.
Firman ALLAH Subhanahu watala “Dengan kitab itulah (al-Quran) Allah menunjukkan orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, dan dengan kitab itu juga ALLAH mengeluarkan orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya, dan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”
(Surah al-Maidah, ayat 16)
Mencari ilmu sebenar adalah pedoman untuk mencari kebenaran dan keyakinan diri. Pencarian ini hendaklah melalui cara yang betul dengan menghadiri majlis ilmu dan tazkirah yang diadakan di masjid, surau atau di mana saja.
Mendengar dan mempelajari ilmu daripada guru yang arif dan muktabar pula menjadikan segala-galanya akan terkesan dengan hasil amalan dipraktikkan melalui ilmu yang dipelajari.
Dorong beramal
Imam Asy-Syatiby menyatakan: “Ilmu muktabar menurut syarak adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu itu, yang membawa pemiliknya mematuhi arahan ALLAH Subhanahu watala dalam semua keadaan.” (Al Muwafaqot)
Bertaubat daripada dosa dan kesalahan selaku hamba yang tidak sunyi daripada kesilapan. Tiada amalan lebih besar daripada memohon keampunan daripada segala noda dan dosa kerana satu dosa dilakukan akan membentuk satu titik hitam pada hati kita.
Apabila terlalu banyak dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak, maka titik hitam itu akan menjadi banyak dan menjadi hitam pekat. Akhirnya menjadi hijab daripada ALLAH Subhanahu watala dan jauh daripada petunjuk.
Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang melakukan dosa lalu meminta ampun kepada ALLAH nescaya ALLAH akan menjadikan baginya jalan keluar daripada kesempitan dan menjadikan keringanan baginya daripada setiap kesusahan serta ALLAH memberi rezeki kepadanya daripada punca yang tidak disangka-sangka.”
Amalkan zikirullah dan hadiri majlis ibadat kerana ia sifat mukmin yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan mengingati ALLAH Subhanahu watala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan