Sabtu, 20 April 2013

TOKOH TOKOH ISLAM - IBN TAUFAIL

Ibn Bajjah | Ibn Maskawaih | Ibn Haitham | Jabir Ibn Haiyan | Badi'uzzaman Sa'id Nursi | Ibn Rusyd | Al-Ghazali | Al-Farabi | Ibn Tufail | Ibn Qayyim | Al-Biruni | Al-Razi | Ibn Sina | Ibn Khaldun | Malik Ben Nabi

Ibn Tufail - Ahli falsafah yang mendahului zaman

Dunia Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat. Namun begitu, falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan barat jika dibandingkan dengan ahli falsafah Islam.

Walaupun beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi, dan Ibn Sina mendapat pengiktirafan dari Barat, tetapi mereka tidak mendapat tempat yang sewajarnya jika dibandingkan dengan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle. Kajian-kajian mengenai tokoh berkenaan masih belum memadai dan jauh daripada memuaskan.

Walaupun para sarjana, ilmuwan, dan ahli falsafah Islam telah menghasilkan sejumlah karya-karya yang besar tetapi kebanyakan tulisan mereka belum diterjemahkan.

Tidak kurang juga yang musnah disebabkan oleh peperangan dan penaklukan yang dilakukan oleh kuasa asing. Malahan kajian yang dibuat terhadap pemikiran falsafah beberapa tokoh terkenal seperti Ibnu Rusyd tidak diberikan penilaian yang adil. Kajian dan terjemahan yang dibuat oleh S.Van den Berg terhadap kitab "Lima Baida al-Thaan", tulisan Ibnu Rusyd mengenai metafizik misalnya tidak mendapat sorotan yang meluas wahal kajian tersebut dapat membantu kita memahami dan mendekati pemikiran ahli falsafah itu dengan lebih mendalam lagi.

Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibn Tufail tidak banyak diketahui oleh umat Islam sendiri. Ibn Tufail yang lahir pada tahun 1106 Masihi di Asya, Granada lebih dikenali sebagai ahli hukum, perubatan, dan ahli politik yang handal. Semasa pemerintahan al-Mu'min ibn Ali, Ibn Tufail atau nama asalnya, Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi pernah dilantik sebagai pembantu gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Maghribi.

Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya'kub Yusuf. Selepas bersara, tempatnya digantikan oleh anak muridnya iaitu Ibnu Rusyd. Semasa hayatnya, Ibn Tufail pernah dilantik sebagai menteri dan merupakan ahli politik yang dihormati oleh pihak pemerintah.

Selain itu, beliau juga melibatkan dirinya dalam bidang pendidikan, pengadilan, dan penulisan. Walaupun Ibn Tufail dikatakan telah menulis banyak buku tetapi hanya sebuah sahaja kitab yang diwariskan kepada generasi umat Islam hari ini. Kitab itu ialah "Hay ibn Yaqzan" yang memuatkan pandangannya secara umum, dengan gaya bahasa yang menarik dan imiginasi yang indah. Buku ini dianggap sebagai warisan paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam.

Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa dunia. Yang menarik dalam buku itu, Ibn Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah. Katanya, semua ini dapat dilakukan dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.

Menerusi buku itu, Ibn Tufail cuba merangka satu sistem falsafah berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia. Beliau berusaha mengungkap persoalan serta hubungan antara manusia, akal, dan Tuhan. Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hayibn Yaqzan yang hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran empat unsur penting dalam kehidupan iaitu panas, sejuk, kering, dan basah dengan tanah. Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera. Langkah Ibn Tufail menggunakan analog! watak tersebut dalam bukunya dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya yang berbentuk falsafah.

Watak itu tidak pernah mengenali kedua-dua ibu bapanya. Tetapi alam telah memberinya seekor kijang yang menyusu dan memberinya makan. Setelah dewasa, dia mengarahkan pandangannya terhadap perkara yang ada di sekelilingnya. Di sini dia mulai membahaskan tentang kejadian dan rahsia perubahan yang berlaku disekelilingnya. Pada anggapannya di sebalik alamnya terdapat sebab-sebab yang tersembunyi yang mentadbir dan membentuknya. Hay bin Yaqzan selalu membahas dan menganalisa sesuatu perkara sehingga dia mampu mengetahui bahawa kebahagian dan kesengsaraan manusia itu bergantung kepada hubungannya dengan Allah. Dengan watak "Hay" itu, Ibn Tufail berjaya membuat huraian yang menarik sekaligus membantu kita memahami pemikiran falsafahnya.

Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibn Tufail mengenai ilmu metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya. Ibn Tufail melihat alam ini sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh. Dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber dan asas kehidupan mereka di muka bumi ini. Falsafah Ibn Tufail bukan sekadar menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga sains tabii seperti fizik. Ibn Tufail mendapati bahawa lapisan udara yang tinggi lebih sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah. Hal ini disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi bukannya di ruang dan lapisan udara.

Beliau juga mendapati bahawa kepanasan boleh dihasilkan melalui geselan, gerakan cahaya sama ada daripada apt ataupun matahari. Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada hari ini tetapi pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala fenomena yang berkaitan dengannya. Pemikiran falsafah Ibn Tufail juga meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat. Beliau menyifatkan masyarakat terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas. Lantaran itu, mereka mudah terpengaruhi dan terikut-ikut dengan nilai yang sedia ada tanpa mahu memperbahaskannya.

Ibn Tufail hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah. Maka sebab itu beliau mudah menerima pandangan falsafah Ibnu Bajjah, al-Farabi, dan beberapa ahli falsafah Islam yang lain dengan baik. Menurut sesetengah pengkaji dan pemikir, Ibn Tufail banyak dipengaruhi oleh falsafah Ibnu Bajjah sebagaimana yang dapat diperhatikan pada pertengahan buku Hay bin Yaqzan yang banyak membawa saranan yang terdapat dalam kitab "al-Mutawwahid". Dalam buku itu, Ibnu Bajjah telah melakukan pembelaan  terhadap  tulisan-tulisan al Farabi dan Ibnu Sina.

Namun   begitu, Ibnu Tufail tidak menerima sarangan itu bulat-bulat melainkan selepas dibahaskan secara kritis. Selain itu beliau seorang yang berpegang kepada logik  dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia.

Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau tidak menyepi dan mengasingkan diri seperti mana yang dilakukan oleh segelintir ahli falsafah lain. Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam urusan pemerintahan serta kenegaraan. Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 1185 Masihi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...