Untuk menjadi Mukmin sejati, perlu kepada pengorbanan dan
usaha-usaha yang berterusan, iaitu berkorban dan berusaha untuk mendekatkan diri
kepada Allah s.w.t. Muraqabah terhadap Allah s.w.t adalah sifat jiwa seorang
Mukmin.
Ketika malaikat Jibril a.s. pada suatu kesempatan
mengunjungi baginda Rasulullah s.a.w. , baginda menanyakan hal mengenai Islam,
Iman dan Ihsan .Muraqabah adalah suatu jalan yang sangat berkaitan dengan
Ihsan—ketika kita beribadah kepada Allah, seakan-akan kita melihat Dia.
Walaupun kita tidak mampu melihat Dia; Dia pasti melihat kita. Ini adalah
bentuk tarbiyah untuk menjadi Ihsan.
Seorang Mukmin yang bermuraqabah terhadap Allah akan
sentiasa merasai dan yakin sepenuh hati bahawa Allah s.w.t mengawasi segala
perjalanan hidupnya, perasaannya, bisikan hatinya samaada dia berseorangan atau
bersama orang lain. Mukmin sejati yakin peristiwa di Padang Mahsyar tempat di
hisap dengan seadil-adilnya segala amalan dan perbuatannya ketika di dunia ini.
Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah s.w.t
nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap Allah s.w.t.
Ingatlah ketika di sana nanti lidah menjadi kelu, giliran
anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua
perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki bumi yang dipijak, hari
dan masa yang bejalan serta lainnya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika
itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan
sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!
Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' atau cctv
Allah s.w.t. yang merakamkan 24 jam tidak berhenti-henti semua perbuatannya
semasa di dunia. Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan
menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w membaca ayat ini: "Yang bermaksud:
'Pada hari itu bumi menceritakan beritanya'. Kemudian baginda bertanya:"
Adakah kamu tahu apakah yang akan diberitahu oleh bumi itu nanti?"
Para sahabat menjawab:" Allah s.w.t. dan Rasul-Nya yang
lebih mengetahui."
Baginda s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi
ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki
ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya." Bumi akan
berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita
yang akan diberitahu oleh bumi." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Orang yang muraqabah berperibadi tenang walau pun mendapat
nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa
bimbang sekiranya kehilangan redha dan pertolongan dari Allah s.w.t.
Nabi s.a.w pernah berpesan yang bermaksud :
"Seorang Mukmin itu tidak akan mencuri, ketika mana
melakukan perbuatan itu dia adalam Mukmin."
Maknanya , ketika dalam hati sesaorang itu ada iman atau
hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak
akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah s.w.t. Ini kerana, hati yang di
miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah s.w.t melihat serta
mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.
Hati orang Mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia
menerima tarbiyyah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu
seluruh anggata kita melakukan ketaatan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Oleh sebab itu
berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa,
ayat 9).
Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan
perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah s.w.t seperti firmanNya
yang bermaksud:
"Orang yang takut kepada Allah akan mendapat
pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).
Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah
menerusi ibadat solat. Apabila di dalam solat sesaorang itu merasai Allah s.w.t
mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan
tetap muraqabah.
Nabi s.a.w di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk
bersolat tahajud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah a.w.t.
Contoh peribadi mulia ini semestinya menjadi pedoman dan amalan setiap para
da'i untuk merapatkan hubungan dengan Allah s.w.t, mencari tenaga baru untuk
meneruskan kerja-kerja dakwah dan Tarbiyyah.
Sayyidina Umar al- Khattab r.a berkata,"Hisablah dirimu
sebelum dihisab pada hari Kiamat"
Setiap Mukmin perlu sentiasa muhasabah diri demi kebahagiaan
masa hadapan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah
dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang di usahakannya untuk
hari esok (hari kiamat), dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan" (Surah ai- Hasyr ayat 18).
Kecemerlangan hidup manusia sebagai hamba Allah s.w.t adalah
terletak kepada ketaatan pada perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya,
mematuhi tanpa soal Kitab Allah s.w.t dan sunnah NabiNya.
Nabi s.a.w bersabda maksudnya:
"Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya serta
beramal untuk kehidupan sesudah kematiannya, sedangkan orang yang lemah adalah
yang dirinya mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah
s.w.t"(Hadis Riwayat Imam at- Turmudzi).
Imam Mubarakfuri berkata:
"Orang yang lemah adalah bersambong dengan lemahnya
ketaatan kepada Allah s.w.t dan selalu ikut hawa nafsunya tidak pernah minta
ampun kepada Allah s.w.t bahkan selalu berangan-angan bahawa Allah s.w.t
mengampunkan doas-dosanya"
Panjang angan-angan atau berangan-angan adalah satu sifat
peribadi yang tidak disukai oleh Nabi s.a.w, mereka-mereka yang memiliki sifat
ini sebenarnya malas berusha, mengikut hawa nafsu dan terpengaruh dengan
pujukan syaitan laknatullah.Setiap barang yang berharga perlu di bayar dengan
harga yang mahal, kejayaan untuk mendapat sekeping ijazah perlu di sertakan
dengan usaha yang gigih dan berterusan, begitu juga SYURGA ALLAH S.W.T, untuk
memilikinya perlu pengorbanan, jihad yang berterusan, mujahadah,muraqabah dan
muhasabah.Di dalam Syurga yang penoh nikmat dan rahmat hanya layak di duduki
oleh mereka-mereka yang memiliki hati yang salim, hati yang bersih, hati yang
ikhlas dan hati yang bebas daripada syrik kepada Allah s.w.t.
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri kita daripada amalan
dan perbuatan yang mendatangkan murka Allah s.w.t dan kita berusaha untuk
beramal ibadah, amal soleh dan sentiasa memperbaruhi iman kita dan sentiasa
bermuraqabah terhadp Allah s.w.t. Ingtlah! Sifat Allah s.w.t. Maha Melihat dan
Maha Mendengar dan Dia sentiasa melihat dan memerhatikan diri kita dari tutur
kata, perbuatan hinggakan niat-niat dihati yang tersembunyi semuanya dapat
dilihat dan di dengar oleh Allah s.w.t.
Adakah kita tidak takut dan malu kepada Allah s.w.t
sedangkan terlalu banyak nikmat dan rezeki yang telah Allah s.w.t kurnikan
kepada kita? Adakah kita masih tidak mahu menjadi hamba-Nya yang bersyukur?
Rasulullah s.a.w mengajar kita untuk sentiasa berdo'a kepada
Allah s.w.t maksudnya :
" Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu
daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur.
Ya Allah berikanlah ketaqwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah
sebaik-baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah,
aku memohon perlindungan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang
tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan do'a yang tidak di
kabulkan"(Hadis Riwayat Muslim).