Khamis, 30 Jun 2011

CERITA TAULADAN

Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang alim ulamak yang tersohor kerana ilmu dan amalannya. Beliau adalah seorang penghafal Al-Quran dan juga penghafal beribu - ribu hadith sahih semenjak kecil lagi. Dan semenjak kecil lagi, beliau telah di hantar oleh kedua ibu dan bapanya untuk menuntut di Mekkah dan Madinah selama berpuluh tahun lamanya. Bapanya juga adalah seorang alim ulamak yang pernah mengembangkan agama Islam sampai ke negara selatan Siam.

Mengikut ceritanya, bapanya adalah orang pertama di zaman moden ini yang bukan daripada warga Arab Saudi diberi penghargaan mengimamkan solat fardhu di Masjidil Haram, Mekkah. Nak dijadikan cerita, pada suatu masa, alim ulamak tersebut telah jatuh sakit lalu tidak dapat untuk mengimamkan solat fardhu di suraunya.

Maka tiba - tiba datanglah seorang yang berpakaian buruk ( seolah - olah kelihatan tidak siuman ) sejurus sebelum solat fardhu di laksanakan. Alim ulamak tersebut telah meminta supaya orang yang berpakaian buruk tersebut untuk menggantikannya menjadi imam! Setelah solat fardhu selesai, maka orang yang berpakaian buruk tersebut telah memohon untuk mengundur diri.

Kelihatan senyuman terukir pada wajah murid – murid alim ulamak tersebut kerana semasa sembahyang fardhu tadi, orang yang berpakaian koyak tersebut tidak membaca surah fatihah dan surah yang lain dengan tajwid yang betul.

Mereka tidak biasa dengan keadaan sebegitu kerana guru mereka, yaitu alim ulamak tersebut, adalah seorang yang fasih dalam berbahasa arab serta mempunyai bacaan tajwid yang sungguh baik sekali (maklumlah seorang al-hafiz dan sudah berpuluh tahun belajar di Mekkah).

Maka alim ulamak tersebut telah bersalaman dan berpelukan dengan orang yang berpakaian buruk tersebut sebelum orang yang berpakaian buruk meninggalkan surau. Setelah itu, alim ulamak memanggil keseluruh muridnya berkumpul di hadapannya lalu beliau telah bercerita :

Pernah berlaku di suatu kampung di timur tengah dimana terdapat seorang pengembala kibas yang sangat alim, sangat suka merendahkan diri dan suka menolong penduduk kampung sekiranya diminta pertolongan. Cuma yang peliknya, ternakan kibasnya yang di kurung di dalam sebuah kandang yang serdehana besar itu tidak pernah luak walau banyak mana sekalipun orang datang untuk membeli kibas daripadanya.. Belilah sampai seratus ekor sekalipun, setelah kibas-kibas tersebut di bawa keluar daripada kandang, yang tinggal di dalam kandang tetap kelihatan sama banyak bilangannya seperti sebelum seratus ekor di bawa keluar daripada kandang!

Maka seluruh alim ulamak penduduk kampung telah beranggapan bahawa pengembala kibas tersebut adalah seorang aulia' Allah dan mereka telah bermuafakat untuk pergi berjumpa dengan pengembala kibas tersebut dan memohon supaya dia mengimamkan solat di masjid kerana mereka mahu mengambil berkat menjadi makmum kepada pengembala kibas tersebut.

Hasrat mereka telah di persetujui oleh pengembala kibas. Sembahyang pun di laksanakan di masjid, dan pengembala kibas telah menjadi imam. Malangnya, semasa membaca surah fatihah dan surah berikutnya, bacaan beliau tidak sempurna tajwidnya. Maka setelah selesai sembahyang, seluruh penduduk kampung telah pulang ke rumah masing - masing sambil ketawa terbahak - bahak kerana mereka berfikiran bahawa tanggapan mereka terhadap pengembala kibas sebelum ini sebagai aulia' Allah telah jauh meleset.

Pada malam tersebut, seluruh alim ulamak penduduk kampung telah bermimpi, dan mereka mendapat mimpi yang sama. Datang seorang lelaki yang tinggi dan kacak di dalam mimpi mereka dan lelaki tersebut telah mengatakan bahawa seumur hidup mereka bersembahyang, itulah baru kali pertamanya sembahyang mereka telah diterima Tuhan! Subhanallah!

Keesokan harinya, kesemua alim ulamak penduduk kampung berkumpul di masjid untuk menunaikan sembahyang subuh dan setelah selesai sembahyang subuh mereka terus menuju ke kandang pengembala kibas. Malangnya, pengembala kibas telah tiada, kandang dan kibasnyapun telah tiada. Bekas kandangpun tiada, seolah – olah kandang kibas tidak pernah wujud!

Setelah selesai menceritakan kisah pengembala kibas, maka kebanyakan anak muridnya telah menangis kerana mereka tahu mereka telah membuat kesalahan kerana telah mendahului Allah dengan merendahkan amalan makhluk Allah yang lain, sedangkan mereka sendiri tidak tahu akan kedudukan mereka di sisi Allah.

Allah Ta'ala telah berfirman yang bermaksud :

"Janganlah engkau semua melagak-lagakkan dirimu sebagai orang suci.  Allah adalah lebih mengetahui kepada siapa yang sebenarnya bertaqwa."
(SurahAn-Najm : 32)

"Janganlah engkau memalingkan muka dari para manusia sebab kesombongan dan janganlah berjalan di bumi dengan takabbur, sesungguhnya Allah itu tidak suka kepada setiap orang yang sombong dan membanggakan diri."
(Surah Luqman 18)
Wallahua’alam.

IMAM DAN 20 SEN


BEBERAPA tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.

Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.

Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.

"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya.

"Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," kata Imam tersebut.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti.

Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.

"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.

Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"

Sahabat-sahabatku sekalian...

Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam.

Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan yang baik.
Rujukan: iluvislam

Rabu, 29 Jun 2011

Manusia dihisab di akhirat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Allah SWT sentiasa menerima taubat hamba-Nya, cuma manusia sering alpa.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Apabila langit terbelah. Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan. Dan apabila lautan pecah bercampur-baur. Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan. (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

Wahai manusia! apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, ia menyusun kejadianmu. (al-Infitar: 1-8)

Mukadimah
Surah al-Infitar termasuk dalam kategori Surah Makkiah, ia berjumlah 19 ayat dan diturunkan selepas surah al-Nazi'at. Persamaan surah ini dengan surah al-Takwir.

Firman Allah SWT: Apabila langit terbelah. Al-Maraghi berkata: Ketika langit terbelah dan susunan planet-planetnya berubah, maka tidak ada lagi bintang yang beredar pada orbitnya sebagaimana yang kita lihat sekarang.

Firman Allah SWT: Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan.

Syed Qutb berkata: Andainya bintang-bintang itu gugur dan terlepas daripada ikatan peraturan yang selama ini mengikat dan memelihara perjalanannya, sebagaimana yang akan berlaku pada hari kiamat yang menamatkan ajalnya, maka ia akan hancur lebur di angkasa raya sebagaimana hancurnya atom yang terlepas daripada ikatannya.

Firman Allah SWT: Dan apabila lautan pecah bercampur-baur. Ibn Abbas r.a berkata: Allah SWT menghamburkan air di lautan ke atas sebahagian yang lainnya.

Firman Allah SWT: Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan. Ibn Abbas r.a berkata: Iaitu dikeluarkan dan al-Suddi berkata: Perkuburan itu bertaburan dan bergerak sehingga keluarlah orang yang ada di dalamnya.

Firman Allah SWT: (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

Al-Maraghi berkata: Ayat ini mendorong agar melakukan ketaatan dan meninggalkan perbuatan dosa.
Firman Allah SWT: Wahai manusia! apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?

Syed Qutub berkata: Inilah kecaman secara langsung dari Allah SWT. Dia memanggil manusia, lalu berdiri di depan-Nya sebagai seorang yang cuai, berdosa, terpedaya, tidak menghargai kebesaran Allah SWT dan tidak beradab sopan terhadap-Nya.

Kemudian Allah SWT mengingatkan nikmat-Nya yang agung, kemudian mengingatkan kecuaian manusia, kebiadapannya dan kekeliruan dan keterpedayaannya.

Firman Allah SWT: Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya.

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menyebut zat-Nya dengan karim (pemurah), bukan qahhar (pemaksa), sebab sifat pemurah itu tidak layak menjadikan manusia membiarkan dirinya digoda oleh syaitan.

Sebagai contoh pernyataan: Kerjalah semahumu kerana Tuhanmu Maha Pemurah. Dia telah bermurah hati kepadamu di dunia dan akan berbuat begitu di akhirat.

Namun, maksud yang tepat untuk pengertian ini adalah untuk menyatakan kesungguhan dalam menerima cahaya keimanan dan ketaatan para hamba-Nya.

Firman Allah SWT: Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, ia menyusun kejadianmu.

Ikrimah berkata: Jika berkehendak, Dia akan menciptakan dalam bentuk kera, dan jika mahu Dia akan menciptakan dalam bentuk babi.


 
Penutup
Dalam penutup ini suka dinyatakan sedikit pendapat Syed Qutub berkenaan dengan manusia, antara lain katanya: Katakanlah segala apa yang ditanggap itu sampai ke otak melalui alat-alat saraf yang seni itu, tetapi di manakah hendak disimpankan semua hasil tanggapan itu?

Andainya otak itu sebagai tali pita rakaman nescaya manusia memerlukan selama umur hidupnya, purata 60 tahun kepada ribuan juta meter pita tersebut untuk merakam sekian banyak gambaran, kata-kata, makna perasaan dan kesan-kesannya untuk diingatkan kembali setelah melalui masa puluhan tahun.

Kemudian bagaimana otak itu menyusun di antara kata-kata, makna, peristiwa dan gambaran yang tunggal untuk menjadikannya satu budaya yang terkumpul.

Seterusnya meningkatkannya daripada maklumat kepada ilmu seterusnya tanggapan kepada kefahaman dan pengalaman kepada pengetahuan.

Inilah salah satu ciri manusia yang membezakannya daripada makhluk yang lain. Yang lebih daripada ciri ini adalah roh yang dikurniakan Allah SWT, iaitu roh manusia khusus untuknya yang menghubungkan dengan keindahan alam oleh Pencipta-Nya.

Itulah roh yang memberikan kepada manusia detik yang gemilang menghubungkan dengan zat yang mutlak tidak terbatas setelah berhubung dengan pancaran keindahan alam ini.

Begitulah roh yang tidak diketahui oleh manusia. Itulah roh yang memberi nikmat kesukaan dan kebahagiaan yang tinggi walaupun ia berada di bumi dan menghubungkannya dengan alam al-Malaul a'la dan menyediakannya untuk hidup di dalam syurga yang kekal abadi

Posted by muhd@live.com.my at 8:25 PM

Selasa, 28 Jun 2011

BATU TERAPUNG .Menakjubkan . Subhanallah!

Tahukah anda fenomena 'batu terapung' di Baitulmaqdis yang berada tidak jauh dari Masjid Al-Aqsa. Mesti ramai yang tidak tahu menahu tentang perkara ini. Inilah kebesaran Allah. Apabila Dia mengatakan jadi maka jadilah ia. Perkara ini bukan satu dongeng cerita malam untuk anak-anak. Ia satu pedoman dan pengajaran untuk kita selami jiwa dan rohani kita untuk menjadi lebih dekat dengan Allah s.w.t.
Dalam pendidikan sains dan paparan dokumentari di televisyen pernah memaparkan batu terapung di dalam air. Penjelasan sains ada untuk itu di mana apabila batu menjadi kurang tumpat dari air, maka batu itu tadi akan terapung. Perkara tersebut adalah sama seperti manusia ketika mandi di laut atau sungai dimana kita akan terasa ringan seakan terapung disebabkan badan kita kurang tumpat dari air.
Namun 'batu terapung' di Masjid Al-Aqsa bukan terapung di dalam air, tapi terapung di udara. Seperti tergantung begitu sahaja, tidak bertali atau bertongkat!
  Batu terapung Israq Mikraj :Sunhanallah

Batu terapung tersebut berhubung kait dengan peristiwa Israk Mikraj. Pada saat Rasulullah s.a.w hendak Mikraj batu tersebut hendak ikut bersama, tetapi Rasulullah s.a.w menghentakkan kakinya pada batu tersebut sebagai isyarat batu tersebut tidak dibenarkan ikut. Dari sejak peristiwa Israk Mikraj hingga kini batu tersebut masih terapung hingga kini.
                                           
Foto ini menurut sumber diperolehi dari seorang hamba Allah sewaktu melawat Al Aqsa di Jerusalem, Subhanallah … !! Foto ini dapat dibolosi kerana tidak diketahui oleh pihak Israel yang berkawal dan menjaga tempat tersebut dengan ketat.
Sampai sekarang kawasan batu terapung tersebut ditutup untuk umum, dan Yahudi telah membuat masjid lain iaitu Al Sakhrah tidak jauh di sebelahnya dengan kubah “emas” ( yang sering terlihat di poster-poster yang disebarkan ke seluruh dunia yang disebut sebagai Al Aqsa). Ini adalah strategi jahat Yahudi untuk mengaburi umat Islam tentang masjid Al Aqsa yang sebenarnya.
Nabi Muhammad SAW pernah menyebut Al Aqsa sebagai “Masjid Kubah Biru”. Masjid Al Aqsa yang sebenarnya kini sudah diambil alih oleh Israel dan Israel merancang memusnahkannya bagi digantikan dengan tempat ibadah mereka yang dakwanya Masjid Al-Aqsa dibina atas tapak ibadah Yahudi 2000 tahun dahulu.
Di manakah Negara-negara Islam yang lain? Apa fungsi OIC sebenarnya? Kita sering dipaparkan tentang puluhan rundingan damai dan pelbagai perjanjian. Percayalah walaupun sejuta kali rundingan dan perjanjian dimeterai, tidak akan ada keamanan di Timur Tengah.
Wallahua’alam.

Isnin, 27 Jun 2011

AIR TANGAN ORANG TAK SOLAT

Sumber: http://myzinedine.blogspot.com/

 Assalamualaikum. ..buat santapan sahabat semua ..
Moga dapat manfaat dari apa yang dibaca dan moga kita termasuk ke dalam golongan yang disayanggi NYA ... Aminnnnnn

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat tu, adalah dosa besar, dan malahan lebih hina daripada khinzir ..


Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa AS:

Begini kisahnya ... pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tak ada zuriat lalu, terdetik dalam hati dia (nazar), 'kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam.'

 

Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Bila dah dapat anak, laki ni pun runsinglah .. . Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam.

Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat, tapi kena denda (dam) atau sedekah .. Tapi, kalau zaman Nabi Musa, barang siapa bernazar, walaupun haram, tetap kena laksanakan nazar tu .. lalu, si lelaki yang dapat anak tu, dengan susah hatinya, pun pergilah bertemu dengan Nabi-Allah Musa .. Dan menceritakan apa yang terjadi ke atas dirinya .. lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki itu tak payah minum air kencing anjing hitam, tapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam.  

                                                                                                      

           Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan sembahyang dan minum air tu. lalu, lelaki tu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi ...

 LIHAT .. betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dr bumbung rumah dia, lebih hina dari air kencing anjing hitam .. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi ..

 Menyentuh bab air tangan ni, selalu kita suka makan masakan ibu, isteri kita. Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat, sebab kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan, nasi, dsb .. anak-anak, suami pulak yang akan makan makanan yang dimasak. takkan nak biarkan suami & anak-anak gelap hati minum air tangan orang tinggalkan solat .. tak gamakkan?

 Tapi .. lain pulak halnya dengan kita ni .. pagi petang .. mamak!! teh tarik satu, roti canai satu .. ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat .. kita pun makan bekas air tangan dia ... gelap lah hati kita .. sebab tu liat nak buat kerja yang baik. beware apa yang kita makan ... betapa beratnya amalan solat ni, hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra 'Mikraj, sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril a.s. Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (& untuk umat Islam), 'As-solah as Solah wa amalakat aimanukum. ' maknanya, 'Solat, solat JANGAN sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu.

 


Wallahua'alam

Renungan

  • " Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian mahu lari? Demi Allah, apa yang kalian miliki hanya kejujuran dan kesabaran" ~ Tariq bin Ziyad
  • "Denyutan jantung seseorang berkata padanya, Sesungguhnya hidup ini hanya sejumlah minit dan saat, Maka angkatkan nama baik sebelum kematian, Kerana nama baik adalah umur kedua bagi insan..." ~Penyair Arab
  • "Ilmu yang berguna itu seperti permata di dalam timbunan kaca. Sinarnya sukar untuk dibezakan. Carilah ia walaupun jemarimu luka. Sentiasa suburkan hidupmu sebagai insan yang cintakan ilmu."

Ahad, 26 Jun 2011

Syaidina Ali bin Abi Thalib a.s. berpesan kepada Kumail bin Ziyad:

‘’Tenanglah, jangan bercita-cita untuk dikenal, sembunyikanlah keperibadianmu jangan sampai disebut-sebut di depan orang lain. Belajarlah, nescaya engkau akan mengetahui dan diamlah, nescaya engkau akan selamat. Tidak buruk bagimu jika Allah telah memahamkan… agama-Nya kepadamu meskipun engkau tidak mengenal orang lain dan mereka juga tidak mengenalimu’’.

Jumaat, 24 Jun 2011

Antara fakta saintis barat dan fakta Al-Quran

Fakta Saintis Barat
1. Jarak di antara Nabi Adam dan kita cuma di antara 10,000-20,000 tahun dan fossil manusia perempuan tertua dijumpai berusia 4.4 juta di Ethiopia.
2. Manusia dahulu hidup bercawat, tidak tahu memasak, bertani dan tinggal di dalam gua (maksudnya tidak bertamaddun).
3. Manusia dahulu tidak mempunyai bahasa dan berpakaian tidak sempurna.
4. Manusia berevolusi melalui pelbagai zaman ais/batu
Fakta Al-Quran-1
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”
Allah  berfirman bermaksud:
“Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Allah berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar”. Malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”. Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
(Al-Baqarah- Ayat 30-34)
BERDASAR AYAT DI ATAS BODOHKAH MANUSIA PERTAMA YANG BERNAMA ADAM ITU. KEPANDAIAN BAGINDA TENTANG BUMI MELEBIHI MALAIKAT DI ATAS KUNIAAN ILMU ALLAH.
Fakta Al-Quran-Kisah Habil dan Qabil.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang. Pertama lahirlah pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama “Iqlima”, kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi nama “Lubuda”. Kerana Qabil tetap berkeras kepala tidak mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri Iqlima maka Nabi Adam seraya menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang dapat menimbulkan perpecahan di antara saudara serta mengganggu suasana damai yang meliputi keluarga baginda secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu kepada Allah untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing- masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan dengan catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu diterima korbannya ialah yang berhak menentukan pilihan jodohnya.
Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk tanamnya yang rosak dan busuk kemudian diletakkan kedua korban itu kambing Habil dan gandum Qabil di atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis korban itu.
BERDASAR KISAH DI ATAS MASIH BODOHKAH MANUSIA GENERASI KEDUA SEHINGGA MEREKA MAMPU MENTERNAK HAIWAN DAN TERLIBAT DI DALAM BIDANG PERTANIAN GANDUM?     BUKANKAH ITU HASIL DIDIKKAN ILMU DARI MANUSIA PERTAMA YAKNI NABI ADAM A.S YANG JUGA MENDAPAT ILMU DARI ALLAH S.W.T JUGA.
Fakta Hadith Hadis al-Bukhari yang berbunyi : Abu Dzar telah meriwayatkan: saya telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah masjid yang pertama dibina di atas muka bumi ini?, Rasulullah SAW menjawab: “Masjid al-Haram”, saya bertanya lagi: “kemudiannya…?”, balas Rasulullah SAW: “Masjid al-Aqsa”. Saya bertanya lagi: “Berapakah jarak di antara keduanya (tempoh dibina kedua-duanya), balas Rasulullah SAW: “empat puluh tahun, di mana sahaja kamu dapat bersolat pada keduanya, maka bersolatlah (di sana), di sana ada kelebihan (untuk mereka yang bersolat dikedua-dua masjid tersebut)”.Nabi Adam a.s adalah manusia pertama membina Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa di dalam selang waktu 40tahun.

MASIH BODOHKAH MANUSIA PERTAMA ITU WALAUPUN DI DALAM ILMU PEMBINAAN ?
Fakta Sejarah Islam Nabi Idris dianugerahi kepandaian dalam berbagai disiplin ilmu, kemahiran, serta kemampuan untuk mencipta alat-alat yang dapat mempermudahkan pekerjaan manusia, seperti pengenalan tulisan, matematik, ilmu astronomi.

SEDARKAH PEN, TULISAN, HURUF, ANGKA, DAN ILMU CAKRAWALA ITU ADALAH HASIL TAMADDUN MANUSIA DAHULU LAGI YANG KAMU KATAKAN BERCAWAT ITU. MASIH BODOHKAH MANUSIA TERDAHULU ITU?
Sekarang terserah kepada anda sendiri. Fakta mana mahu dijadikan pegangan aqidah/iman. Jika kamu jadikan Saintis Barat kiblat kamu kerana kemampuan mereka menonjolkan teknologi untuk meyakinkan kamu, terserahlah. Tapi bagiku, mukjizat AlQuran itu lebih hebat daripada segalanya. Hati-hati dengan program National Geography yang terkadang menyesatkan.
Fikirkan dengan aqalmu…

HAYYA ALASS SOLAHHHH

SEORANG professor fizik di Amerika Syarikat membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam.


Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan, menyebabkan kita merasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.



Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh. Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang daripada kerja, kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya. Timbul persoalan di fikiran professor tersebut mengenai solat Isyak yang mengandungi empat rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat di dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam digalakkan tidur awal supaya mampu bangun untuk menunaikan tahajud (sembahyang malam) pada sepertiga malam.

Ringkasnya, solat Isyak sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun pada waktu malam untuk beribadat (qiamullail).
Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini.


 Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun daripada tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat beberapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat. Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas.

Sewaktu solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai-bagai kelebihan. Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita, akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan - sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda beliau, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama. Hasil kajiannya mendapati, bilangan rakaat yang berbeza dalam solat bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita.
Katanya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.
Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.
Wallahua'alam

Nabi Bercakap Dengan Mayat Kaum Musyrikin

Sumber : http://hasnulhadiahmad.blogspot.com
ALLAH SWT mengirimkan seribu bala tentera dari kalangan malaikat, bukanlah untuk menghancurkan tentera musyrikin Makkah pimpinan Abu Jahal. Kalau atas tujuan tersebut, tidak perlu Allah SWT menghantar seribu malaikat, sebaliknya dengan satu malaikat sahajapun sudah cukup.

Sejarah mencatatkan hanya kira-kira tujuh puluh orang saja tentera musyrikin Quraisy yang terkorban, di samping sejumlah itu juga yang tertawan oleh tentera Islam pimpinan Nabi s.a.w..

Tentulah tidak padan jika seribu bala tentera malaikat yang membantu tentera muslimin di medan Badar, hanya berjaya menumpaskan tujuh puluh orang sahaja serta memberkas tujuh puluh yang lain. Jika ikut lojik akal, semestinya semua tentera musyrikin terbunuh.

Justeru itu Allah SWT menegaskan tujuan utama penghantaran seribu malaikat itu sebagaimana yang ditegaskan oleh firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bantuan bala tentera malaikat itu) melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanya dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Anfal ayat 10).

Amat jelas firman Allah SWT itu, bahawa pengiriman seribu tentera malaikat ialah dengan maksud: Pertama; sebagai khabar gembira (busyro).

Dalam diri manusia, Tuhan kurniakan pelbagai perasaan, antaranya ialah perasaan gembira dan perasaan dukacita. Sememangnya manusia itu suka kepada sesuatu yang menggembirakan hati, mereka tidak suka dengan perkara-perka yang mendukacitakan.

Justeru itu sifat orang mukmin ialah suka mendatangkan perasaan gembira kepada orang lain, sifat demikian yang menyebabkan orang lain suka bermasyarakat dengan orang mukmin, kerana mereka tidak suka melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan rasa dukacita dan meyusahkan orang lain.

Allah SWT datangkan seribu malaikat, dengan tujuan semata-mata untuk mendatangkan rasa gembira kepada Nabi s.a.w. dan kaum muslimin di medan Badar. Dengan bantuan seribu malaikat itu, pasti akan melenyapkan rasa cemas dan rasa gementar yang mungkin terbit di dalam hati, ketika menghadapi peperangan pertama itu. Apatah lagi dalam saat-saat menghadapi cabaran yang sengit, terpaksa berdepan dengan musuh tiga kali ganda, sama ada dari segi jumlah mahupun dari sudut persiapan perang.

Tujuan kedua Allah SWT kirim seribu malaikat ialah untuk memberikan rasa ketenangan di dalam hati Nabi s.a.w. serta kaum muslimin di dalam perang Badar. Apabila hati tenang akan memudahkan tugas mengatur strategi peperangan, seterusnya berdepan dengan musuh di medan perang.

Tetapi jika hati kaum muslimin dilanda resah gelisah dan penuh debar ketika menghadapi musuh yang besar, keadaan resah itulah yang menjadi sebahagian dari halangan untuk menghadapi cabaran yang hebat itu.

Melalui ayat 10 surah al-Anfal itu Allah SWT menyampaikan mesej penting bahawa kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah jua. Ini bermakna bahawa kemenangan kaum muslimin di medan Badar, bukan disebabkan bantuan dari para malaikat, sebaliknya ia datangnya dari Allah SWT sendiri. Jika ditakdirkan kemenangan berpihak kepada tentera muslimin yang kecil jumlahnya itu, pasti bahawa seribu tentera musyrikin tidak upaya mengatasinya.

'Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana' dengan Kebijaksanaan Alla SWT, yang memberikan kemenangan di medan Badar, kepada Nabi-Nya dan kaum muslimin yang berjuang menentang musuh Allah SWT dengan ikhlas dan penuh kesabaran.

Seperkara lagi yang patut direnung dan diambil iktibar ialah kehidupan alam barzah khususnya yang membabitkan tentera musyrikin yang terkorban di medan Badar.

Sesungguhnya kematian itu hanyalah suatu perpindahan, roh yang dulunya ditempatkan oleh Allah SWT di dalam jasad manusia. Terpaksa berpisah dari jasad disebabkan kematian. Namun pada hakikatnya roh itu terus hidup hingga ke hari qiamat kekal buat selamanya. Sekalipun akhirnya mereka ditakdirkan tercampak di dalam api neraka sepanjang zaman, roh terus hidup dalam api neraka yang menyala. Apatah lagi mereka yang dimasukkan ke dalam syurga, kekallah mereka untuk menikmati kehidupan dan kebahagiaan yang abadi tanpa penghujung.

Pada pandangan orang awam bahawa mati itu adalah mati, tetapi di sisi Islam mati adalah suatu kehidupan, iaitu kehidupan selepas ajal. Ataupun kehidupan setelah melalui tempoh tertentu di muka dunia, kehidupan yang sesuai dengan alam benda yang bersifat sementara.

Selepas ajal, manusia menempuh kehidupan fasa berikutnya, disebut sebagai kehidupan barzah atau kehidupan alam kubur. Kehidupan barzah adalah kehidupan roh, keadaannya amat berbeza dengan kehidupan alam jasad.

Imam Al-Ghazali membuat perbandingan tentang kehidupan roh selepas ajal, ibarat kehidupan di alam mimpi. Dalam kehidupan mimpi manusia melalui pelbagai pengalaman suka duka, masam manis dan pahit getir. Merasa bahagia dengan kehidupan yang senang, merasa derita dengan kesengsaraan. Tetapi yang merasainya hanya roh, sedangkan jasad dalam keadaannya yang sedia ada.

Kehidupan alam barzah adalah merupakan pengalaman khusus yang hanya dilalui oleh roh, keadaan jasad yang telah terpisah dari roh ibarat sangkar yang telah ditinggalkan oleh penghuninya. Jasad kehilangan fungsinya, namun roh terus hidup buat selamanya.

Peristiwa di Badar menjadi dalil tentang kehidupan roh di alam barzah, di mana mayat kuffar musyrikin telah dicampakkan ke dalam sebuah telaga yang tidak digunakan lagi. Ketika itu Nabi s.a.w. berdiri dipinggir lubang telaga tersebut, lalu Nabi bercakap dengan mayat musyrikin yang sedang bergelimpangan di dalam perigi dengan sabdanya yang bermaksud:

"Adakah kamu telah menemui kebenaran apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu?"
Saidina Umar yang mendengar Nabi s.a.w. bercakap di pinggir telaga, lalu bertanya kepada Nabi: "Adakah Nabi sedang bercakap dengan orang yang telah mati?" Nabi memperakui apa yang ditanya oleh Saidina Umar Al-Khattab, malah Nabi menegaskan bahawa telinga orang yang hidup tidak semestinya lebih terang pendengarannya dari mereka yang telah mati. Ini bermakna bahawa orang-orang musyrikin yang dihumban di dalam lubang perigi buta itu tetap mendengar, tetapi yang mnedengar bukan telinga yang melekat pada jasad yang telah menjadi mayat, sebaliknya yang mendengar ialah rohnya.

Tiada siapa yang tahu hakikat bagaimana Nabi s.a.w. bercakap dengan mayat-mayat tentera musyrikin itu. Bagaimanapun Nabi s.a.w. menegaskan bahawa roh-roh orang yang mati sentiasa berlegar di sekeliling jasad mereka, mendengar segala kata-kata yang ditujukan kepadanya.

Wallahu'alam....

[Tuan Guru Hj. Nik Abd. Aziz Nik Mat]

Khamis, 23 Jun 2011

Ustaz Harun Din Tumpaskan Mubaligh Hindu

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din

Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.Lelaki itu menonton TV dan kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr. Haron Din.

Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.

Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: "Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."

Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima?


 Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard. Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu tekad untuk berjumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.


Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.

Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.

Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.

Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.

Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.

Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.

Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.

Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.

Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.

Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.

Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.

"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?

"Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?"

Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.


Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.

Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.

Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir."

Mohammad Fitri Abdullah


"Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam," jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.

Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.

"Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau," jelasnya.

Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.

"Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.

"Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.

"Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din," kata Fitri lagi.

Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.

Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.

"Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.

"Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

Wallahu'alam.... 

Dipetik Dari: halaqah.net

SIFAT KEMURAHAN ALLAH

D i antara nama dan sifat Allah SWT adalah “Rahman”, “Rahim”, "Hannan", "Mannan", "Kareem" yang menunjukkan pa...