Ahad, 19 Jun 2011

Persoalan Agama: Berakhlak Mulia, Bersabar Dengan Sikap Buruk Isteri

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

2011/06/12
ASSALAMUALAIKUM. Apa pandangan Islam mengenai seorang suami yang hanya menganggap isteri hanyalah tukang masak, kilang mengeluarkan anak dan tempat bersenang-senang apabila diperlukan. Tidak tahu menjaga perasaan isteri dan susah untuk senyum. Adakah tugas suami hanya memberi nafkah, tempat tinggal dan makanan.

Puan Atiqah, Selangor.

Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d.

Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21 bermaksud: Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai golongan lelaki), isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.

Dalam ayat ini dijelaskan matlamat pernikahan bagi mencapai ketenangan jiwa, cinta dan kasih sayang. Semua ini berkaitan dengan rohani bukan jasmani. Jika matlamat itu diabaikan, rumah tangga tidak bernilai dan pernikahan antara dua insan hanyalah pertemuan dua tubuh, sedangkan roh (jiwa) keduanya berjauhan.

Syariat Islam mewajibkan suami memenuhi tuntutan jasmani bagi isterinya seperti nafkah, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan lain-lain. Tuntutan isteri mestilah sesuai dengan keadaan suami. Kemudian syariat Islam tidak mengabaikan hak isteri dari sudut kerohaniannya kerana manusia tidak dinamakan manusia kecuali dengan adanya roh.
Tetapi ramai kalangan suami yang salah anggap, di mana mereka menyangka kewajipan mereka terhadap isteri hanyalah memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal. Tidak ada lagi kewajipan mereka selain daripada itu kerana mereka lupa bahawa wanita berhajat, bahkan lebih berhajat kepada kata-kata yang baik, senyuman manis, sentuhan kasih sa-yang, ciuman yang menyenangkan, perilaku yang lemah lembut dan gurauan yang menyenangkan hati, menghilangkan dukacita serta membahagiakan hidup. Semua ini sangat diperlukan wanita sebagai mana mereka berhajat kepada pakaian, nafkah, tempat tinggal dan keperluan material yang lain.

Imam al-Ghazali menyebut sebahagian hak suami isteri dan adab bergaul dalam rumah tangga dan dia menyatakan jika hak dan adab bergaul itu tidak diwujudkan dalam rumah tangga, maka rumah tangga akan hancur. Antara adab dinyatakan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW ialah:
·  Berakhlak mulia di hadapan isteri dan bersabar dengan sikap buruknya.
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 19 bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka dengan makruf (baik).
Imam al-Ghazali berkata: Ketahuilah bukanlah seseorang itu disebut berakhlak mulia kalau dia hanya menahan diri daripada menyakiti wanita, tetapi yang dimaksudkan dengan berakhlak mulia ialah orang yang menanggung keburukannya, dan lemah lembut kepada wanita ketika wanita berkeras dan marah.”
·  Hendaklah bergurau dengan isteri sebagai mana yang disebut Imam al-Ghazali: “Suami hendaklah bergurau dan bermain-main kerana ia akan menyenangkan hati wanita. Contohnya, meskipun Umar keras dan tegas peribadinya, namun beliau berkata: Sewajarnya suami seperti anak kecil, tetapi jika anggota keluarganya menghendaki sesuatu daripadanya, mereka mendapati dirinya seorang lelaki.”

Demikianlah, Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...