Sabtu, 17 Ogos 2024

MUAWIYAH BIN ABU SUFYAN

Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

 

·       Muawiyah bin Abu Sufyan, pengasas Daulah Umawiyah. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang menjadi pemimpin terulung dalam sejarah umat Islam.

·       Siapakah Muawiyah Bin Abu Sufyan?

·       Muawiyah bin Abu Sufyan merupakan pengasas kepada pemerintahan kerajaan Umayyah. Nama lengkap beliau ialah Muawiyah bin Abu Sufyan bin Harb bin Umayyah bin ‘Abdi Syams bin ‘Abdi Manaf bin Qushay bin Kilab. Ayahnya bernama Abu Sufyan bin Harb dan merupakan salah seorang pemimpin Quraisy pada zaman Jahiliyah. Manakala ibunya pula ialah Hindun Binti Utbah. Beliau dilahirkan 15 tahun sebelum Hijrah.  

·       Muawiyah Bin Abu Sufyan Memeluk Islam

·       Terdapat dua pendapat mengenai tahun keislaman Muawiyah. Pendapat pertama menyatakan bahawa beliau memeluk Islam pada hari pembukaan Kota Mekah. Pendapat kedua menyatakan beliau memeluk Islam lebih awal, iaitu selepas Perjanjian Hudaibiyah antara tahun ke 6 dan ke 8 Hijrah. Pendapat kedua lebih rajih (kuat) kerana terdapat riwayat yang menceritakan pengakuan beliau memeluk Islam sebelum pembukaan Mekah tetapi menyembunyikan keislamannya daripada ayahnya.

·       Keutamaan Dan Kelebihan Muawiyah Bin Abu Sufyan

·       Antara kelebihan Muawiyah ialah beliau merupakan sahabat yang telah diramalkan oleh Rasulullah SAW sebagai ahli syurga. Hal ini didasarkan dengan hadith sahih yang bermaksud, “Tentera pertama dari umatku yang berperang dengan meredah lautan sudah pasti mendapat syurga”. Diriwayatkan bahawa perang pertama kaum muslimin yang merentasi lautan berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, di bawah pimpinan Muawiyah.

·       Selain itu, Muawiyah juga ialah orang yang dilantik sebagai penulis wahyu dan surat-surat Rasulullah SAW. Pelantikan tersebut menunjukkan kepercayaan dan kedudukannya yang tinggi di sisi Rasulullah SAW. Beliau juga didoakan oleh Rasulullah SAW supaya menjadi pemimpin yang dipimpin oleh Allah SWT dalam sebuah hadith sahih yang bermaksud, “Ya Allah! Jadikanlah dia (Muawiyah) seorang pemimpin yang terpimpin dan pimpinlah (manusia) dengannya”. 

·       Para sahabat yang lain turut memberi kepercayaan dan keutamaan kepada Muawiyah. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab, beliau telah melantik Muawiyah sebagai Gabenor Syam. Sejarah telah menceritakan ketelitian Khalifah Umar dalam memilih gabenor dan beliau tidak teragak-agak memecat sosok yang tidak menepati standard yang telah ditetapkan. Beliau juga dilantik sebagai salah seorang panglima perang di bawah pimpinan utama Abu Ubaidah bin Jarrah dan berjaya menakluki Syria dan Mesir dari tangan Rom Timur.

·       Jawatan gabenor disandang oleh Muawiyah sehingga zaman pemerintahan Khalifah Uthman. Pada ketika itu, beliau bukan sahaja memimpin wilayah Syam, tetapi juga dilantik sebagai Gabenor untuk wilayah Syria dan Palestin, menggantikan Abu Ubaidah bin Jarrah. Dalam hal-hal pemerintahan, pendapat beliau juga sering dirujuk oleh Khalifah Uthman. Kepimpinan beliau diakui oleh Ibnu Abbas yang berkata, “Tidak pernah kulihat orang yang lebih layak memerintah daripada Muawiyah”.

·       Selain mahir dalam hal-hal kepimpinan, beliau juga mahir dalam hal-hal keagamaan. Hal ini dapat dilihat dalam satu riwayat yang menceritakan seseorang bernama Kuraib mengadu kepada Ibnu Abbas mengenai Muawiyah yang menunaikan solat witir satu rakaat sahaja. Maka Ibnu Abbas berkata, “Wahai anakku! Apa yang dilakukan oleh Muawiyah itu betul kerana tidak ada seorang pun di antara kami yang lebih alim daripadanya”. 

·       Kisah Kepimpinan Muawiyah Bin Abu Sufyan

·       Pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abu Talib, berlaku konflik antara Khalifah Ali dan Muawiyah dalam Perang Siffin. Ibnu Kathir berpendapat bahawa konflik tersebut berlaku kerana dasar ijtihad dan pendapat. Beliau berkata, “Kebenaran ada di pihak Ali, sedangkan Muawiyah dimaklumi menurut jumhur ulama’ Salaf dan Khalaf”. Meskipun begitu, peperangan antara mereka berakhir dengan perdamaian.

·       Rentetan peristiwa tersebut, terdapat golongan yang menyebut keburukan Muawiyah dan mencela beliau. Perlu diingat bahawa Muawiyah merupakan salah seorang sahabat yang diakui keutamaannya oleh Rasulullah SAW dan para sahabat yang lain. Bahkan Khalifah Ali sendiri pernah berkata, “Janganlah kamu benci kepada kepimpinan Muawiyah kerana kalau kamu kehilangannya nanti, kamu akan melihat kepala-kepala tergolek jatuh dari bahu bagaikan buah Hanzal yang jatuh dari pokoknya”.

·       Selepas Khalifah Ali dibunuh, anaknya Hasan bin Ali telah dilantik sebagai khalifah umat Islam. Selepas tiga bulan, Sayyidina Hasan mengundurkan diri sebagai khalifah dan menyerahkan jawatan tersebut kepada Muawiyah. Penyerahan tersebut berlaku di Kufah pada tahun yang dikenali sebagai Tahun Kesatuan (‘Am al-Jamaah) kerana bersatunya pengikut Sayyidina Ali dan pengikut Muawiyah yang telah berpecah-belah pada zaman pemerintahan Sayyidina Ali. Demikianlah tertubuhnya kerajaan Bani Umayyah yang dipimpin oleh Khalifah Muawiyah.

·       Muawiyah merupakan seorang pemimpin yang memiliki kebolehan diplomasi yang tinggi. Semasa menjadi Gabenor di Syam dan seterusnya menjadi khalifah, umat Islam tunduk dan patuh kepadanya. Dalam menggambarkan kepimpinan beliau, Al-Zahabi berkata, “Dia termasuk raja terbaik di mana keadilan mereka mendominasi kezaliman mereka, sekalipun dia tidak selamat daripada hal-hal yang mengundang kritik”.

·       Pada zaman pemerintahan beliau, kaum muslimin mencapai kemajuan yang pesat dari aspek penyebaran agama Islam dan penemuan ilmu-ilmu baharu. Diriwayatkan bahawa Muawiyah mengerahkan 1700 kapal perang kecil untuk mengusir tentera Bizantium dari wilayah kekuasaannya. Kaum muslimin juga berjaya menakluk pulau Cyprus dan Rhodus di Laut Tengah pada ketika itu. Pada tahun 50 Hijrah, Muawiyah melantik Uqbah bin Nafi’ sebagai Gabenor di Maghrib, dan beliau berjaya menakluk orang Rom, bangsa Barbar dan penduduk asli Afrika. Demikianlah kekuatan dan keutuhan empayar Umawiyah di bawah pimpinan Khalifah Muawiyah yang menjadi kebanggaan umat Islam selama ratusan tahun.

·       Wafatnya Muawiyah Bin Abu Sufyan

·       Setelah berkhidmat sebagai Gabenor Syam selama 10 tahun dan Gabenor Palestin selama 10 tahun, seterusnya menjadi Khalifah Daulah Umawiyah selama 20 tahun, Muawiyah wafat ketika berusia 78 tahun. Setelah beliau wafat, anaknya Yazid bin Muawiyah menjadi khalifah umat Islam.il Yang in Abu Sufyan

·       عن عبد الرحمن بن أبي عميرة، وكان من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال لمعاوية: اللهم اجعله هاديا مهديا واهد به

·       Maksudnya: Daripada Abdul Rahman bin Abi ‘Umayrah, dan beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW, menceritakan bahawa Rasulullah SAW berkata (berdoa) untuk Muawiyah, “Ya Allah, jadikanlah dia seorang pemimpin yang terpimpin dan pimpinlah (manusia) dengannya”. (Hadith Riwayat Tirmidzi)

·       Hadith tersebut menceritakan tentang doa Rasulullah SAW kepada Muawiyah agar menjadi pemimpin yang yang dapat membawa umat Islam kepada kebenaran. Ternyata doa Rasulullah SAW tersebut dimakbulkan oleh Allah SWT apabila beliau menjadi Gabenor Syam, Syria dan Palestin serta menjadi tiang kekukuhan pemerintahan Umar dan Uthman. Kemudian, beliau menjadi Amirul Mukminin mengasaskan empayar Umawiyah yang menjulang nama Islam di seantero dunia.

·       Muawiyah Bin Abu Sufyan: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...