Sabtu, 17 Ogos 2024

HASAN BIN ALI

 Biodata dan Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

 

Saidina Hasan Bin Ali, pemimpin yang mencintai kedamaian. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang cucu Rasulullah SAW yang rela meninggalkan kuasa bagi menjamin perdamaian kaum muslimin.

Siapakah Hasan Bin Ali?

Hasan Bin Ali merupakan cucu Rasulullah SAW. Beliau merupakan putera sulung kepada puteri Rasulullah SAW Sayyidatina Fatimah az-Zahra’ dengan suaminya, Sayyidina Ali bin Abu Talib. Beliau lahir pada bulan Ramadhan tahun ke-3 Hijrah. Pada waktu kelahirannya, Rasulullah SAW sendiri mengalunkan azan ke telinganya dan kemudian menyembelih akikah untuknya. Malah, nama Hasan juga diberikan oleh Rasulullah SAW pada hari ketujuh selepas kelahirannya.

Sifat-sifat Hasan Bin Ali

Sifat fizikal Hasan lebih menyerupai datuknya Rasulullah SAW berbanding ayahnya, Sayyidina Ali. Dalam menggambarkan paras rupa Hasan, Anas bin Malik berkata, “Hasan serupa dengan Rasulullah SAW daripada dada sampai ke kepala”.

Abdullah at-Tabari turut menggambarkan bahawa Hasan mempunyai bibir yang merah, mata yang hitam, janggut yang lebat, berwajah indah, bahu yang lebar, badan yang tidak tinggi dan tidak rendah dan rambut yang ikal, serta tiada yang lebih menyerupai Rasulullah SAW selain darinya. 

Disebabkan oleh kemiripannya dengan Rasulullah SAW, para sahabat akan pergi kepadanya apabila mereka rindu untuk melihat wajah Rasulullah SAW setelah baginda wafat. Selain dari sifat fizikal, Hasan turut mewarisi sifat derwaman dan kewibawaan Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “Sesungguhnya Hasan mewarisi kewibawaan dan kedermawananku”.

Keutamaan dan Kelebihan Hasan Bin Ali

Rasulullah SAW sangat menyayangi Hasan bin Ali. Kasih sayang baginda dapat dilihat daripada riwayat Abu Bakar as-Siddiq yang menceritakan bahawa Hasan sewaktu kecil pernah memanjat ke belakang Rasulullah SAW ketika baginda sedang sujud dalam solat. Maka, Rasulullah SAW bangun dari sujud secara perlahan dan lembut. Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Yang paling aku cintai dari kalangan Ahli Baitku ialah (kedua-dua cucuku) Hasan dan Husain”.

Rasulullah SAW menjanjikan syurga kepada kedua-dua cucunya Hasan bin Ali dan Husain bin Ali. Baginda pernah bersabda, “Sesungguhnya Hasan dan Husain termasuk nama-nama yang terdapat di dalam syurga dan kedua-dua nama tersebut tidak terdapat pada zaman Jahiliyah”. Jabir bin Abdullah yang turut menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Barangsiapa yang ingin melihat penghulu penghuni syurga, maka lihatlah kepada Hasan bin Ali”.

Kisah Hasan Bin Ali Yang Menyerahkan Jawatan Khalifah Demi Maslahah Umat

Setelah Sayyidina Ali wafat dibunuh oleh seorang Khawarij, orang-orang Iraq khasnya penduduk Kota Kufah bersepakat melantik Hasan untuk menjadi khalifah yang kelima untuk menggantikan ayahnya. Maka, beliau telah dilantik menjadi khalifah umat Islam yang kelima pada 25 Ramadhan tahun ke-40 Hijrah dan menjadikan Kota Kufah sebagai pusat pemerintahannya.

Pada zaman pemerintahan beliau, kaum muslimin telah berpecah-belah menjadi empat golongan; golongan pertama taat kepada Khalifah Ali bin Abu Talib, golongan kedua menyokong perjuangan Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah, golongan ketiga menyokong perjuangan Mu’awiyah Abu Sufyan, manakala golongan keempat ialah umat Islam yang menjadi kaum Khawarij. 

Pelantikannya sebagai khalifah mendatangkan rasa tidak senang kepada Mu’awiyah Abu Sufyan. Mu’awiyah merupakan pasukan musuh yang terlibat dalam Perang Siffin menentang pasukan Sayyidina Ali. Setelah menjadi khalifah, Hasan cuba untuk memujuk Mu’awiyah untuk memberi baiat kepadanya bagi menyatukan semula kaum muslimin yang telah berpecah-belah. Namun, pujukan tersebut tidak dihiraukan oleh Mu’awiyah, malah beliau cuba memujuk Khalifah Hasan untuk menyerahkan jawatan khalifah kepadanya dengan menjanjikan kekayaan kepadanya. Namun, Khalifah Hasan menolak tawaran tersebut.

Penolakan Khalifah Hasan terhadap tawaran tersebut menyebabkan Mu’awiyah mengambil keputusan untuk menyerang Kota Kufah dari negeri Syam. Maka, Khalifah Hasan juga menyiapkan pasukan tenteranya dan melantik Panglima Ubaidullah bin Abbas untuk memimpin pasukan induk tersebut, dengan dibantu oleh Panglima Qais bin Saad. Manakala, Khalifah Hasan pula mengetuai pasukan bantuan. Apabila pasukan induk di bawah pimpinan Panglima Ubaidullah tiba di Maskin, pasukan Mu’awiyah tidak berani untuk memulakan peperangan kerana gentar akan kegagahan Panglima Ubaidullah dan pembantunya, Panglima Qais. Oleh itu, Mu’awiyah berusaha memujuk Panglima Ubaidullah untuk belot kepada Khalifah Hasan dan pasukannya dengan menawarkan harta kekayaan kepadanya. Panglima Ubaidullah termakan tawaran lumayan tersebut dan mengkhianati Khalifah Hasan.

Pengkhianatan Panglima Ubaidullah telah melemahkan semangat juang pasukan tentera induk yang kini dipimpin oleh Panglima Qais dan pasukan bantuan yang dipimpin oleh Khalifah Hasan. Bagi melemahkan lagi semangat juang tentera Kufah, Mu’awiyah menyebarkan berita palsu yang menyatakan Panglima Qais telah terbunuh. Pasukan bantuan di bawah pimpinan Khalifah Hasan yang tidak mengetahui situasi sebenar menjadi porak-peranda dan berputus asa selepas mendengar berita tersebut. Malah, sesetengah daripada tentera tersebut menceroboh khemah Khalifah Hasan dan merampas barang-barang yang ada di dalamnya serta melukai Khalifah Hasan.

Kesan daripada peristiwa tersebut, Khalifah Hasan memutuskan untuk memilih jalan perdamaian bersama Mu’awiyah Abu Sufyan kerana merasa jalan tersebut merupakan jalan yang terbaik untuk menyatukan semula umat Islam yang telah berpecah-belah dan berperang sesama sendiri sehingga umat menjadi semakin lemah. Mendengar keputusan Khalifah Hasan untuk berdamai dan menyerahkan jawatan khalifah kepadanya, Mu’awiyah meminta Khalifah Hasan untuk menyenaraikan semua tuntutan dan hasratnya sebagai isi perjanjian penyerahan jawatan khalifah kepada Mu’awiyah. Tuntutan Khalifah Hasan dilihat berfokus untuk menjamin keselamatan penyokong Sayyidina Ali di bawah pemerintahan Mu’awiyah.

Antara tuntutannya termasuklah;

  1. Pentadbiran yang dijalankan hendaklah berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah.
  2. Mu’awiyah tidak akan melakukan sebarang kekerasan kepada penyokong Khalifah Ali bin Abu Talib dan para pencinta Ahlu al-Bait.
  3. Mu’awiyah dikehendaki memberi pengampunan umum kepada semua orang yang pernah memusuhinya dan tidak akan melakukan perbuatan balas dendam.

 

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Khalifah Hasan dan Mu’awiyah pada bulan Jamadilawal tahun ke-41 Hijrah. Tahun tersebut dikenali sebagai ‘Am al-Jama’ah yang bermaksud Tahun Perdamaian. Selepas mendapat baiat dari umat Islam di Kufah, bermulalah pemerintahan kerajaan Umayyah di bawah pimpinan Khalifah Mu’awiyah dan Kota Damascus di Syam menjadi pusat pemerintahan kerajaan tersebut.

Wafatnya Hasan Bin Ali

Setelah Mu’awiyah memegang jawatan sebagai khalifah kaum muslimin, Hasan tidak terlibat dalam politik dan menghabiskan masanya kepada ilmu dan amal ibadat. Beliau wafat pada tahun ke-50 Hijrah ketika berusia 45 tahun. Jasadnya dimandikan oleh adiknya, Husain bin Ali dan jenazahnya disolatkan oleh Gabenor Madinah pada ketika itu, iaitu Sa’id bin al-‘As. Jenazahnya kemudian dikebumikan di perkuburan al-Baqi’ di Madinah.

Dalil Yang Berkaitan Dengan Hasan Bin Ali

Rasulullah SAW menyifati Hasan sebagai seorang yang sayyid, dengan sabda baginda yang berbunyi:

عن أبي بكرة، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: للحسن بن علي: “إن ابني هذا سيد، وإني أرجو أن يصلح الله به بين فئتين، من أمتي”.

Maksudnya: Abu Bakrah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang Hasan Bin Ali, “Sesungguhnya anakku ini sayyid (pemimpin), dengannya Allah akan mendamaikan dua kelompok yang bertikai dari umatku”. (Hadith Riwayat Abu Daud)

Hadith tersebut meramalkan penyatuan umat Islam yang terdiri daripada penyokong Sayyidina Ali dan penyokong Mu’awiyah, hasil daripada kemuliaan Hasan bin Ali yang rela menyerahkan kuasa dan jawatannya sebagai khalifah. Hal ini mengajarkan kepada kita bahawa kehebatan seseorang pemimpin tidak hanya ditentukan oleh kekukuhan kuasa dan autoritinya, tetapi juga ditentukan dengan kesanggupannya bertoleransi bagi menghasilkan kebaikan dan maslahah untuk umat. 

·       Hasan Bin Ali: Biodata dan Kisah Hidupnya - Aku Muslim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...