Jumaat, 16 Ogos 2024

KHABBAB BIN AL ARAT

 Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

·       Khabbab bin al-Arat, bekas hamba yang menjadi pendekar Islam. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang tidak pernah berpaling dari agama walaupun disakiti tanpa empati.

·       Siapakah Khabbab Bin Al-Arat?·       Khabbab Bin Al-Arat berasal dari kabilah Bani Tamim. Pada waktu kecilnya, beliau ialah anak yang cerdik dan hidup penuh berkat bersama keluarganya. Namun, apabila kabilah lain menyerang kabilahnya, Khabbab bersama kanak-kanak yang lain diambil untuk dijadikan hamba. Beliau berpindah dari satu tangan ke tangan yang lain sehingga beliau tiba di Mekah.

·       Ketika berada di Mekah, keadaan fizikal Khabbab yang sihat dan kecerdikannya telah mendorong Ummu Anmar al-Khuza’iyyah untuk membelinya dari pasar hamba sahaya. Ummu Anmar kemudian membawa Khabbab ke rumahnya dan menyerahkannya kepada seorang tukang besi untuk mengajarinya membuat pedang.

·       Khabbab tidak mengambil masa yang lama untuk menguasai kemahiran membuat pedang. Keahliannya dalam membuat pedang menyebabkan Ummu Anmar membuka sebuah kedai untuk Khabbab bekerja dan mengaut keuntungan daripada hasil pendapatan kedai tersebut. Di samping keahliannya dalam membuat pedang, masyarakat juga menaruh kepercayaan kepada Khabbab disebabkan oleh sikapnya yang jujur, amanah dan berakhlak mulia dalam melakukan pekerjaannya.

·       Khabbab Bin Al-Arat Memeluk Islam

·       Khabbab menjalani kehidupannya dengan bekerja untuk Ummu Anmar. Namun begitu, beliau sering berharap agar muncul cahaya yang menerangi kegelapan Jahiliyah yang membelenggu kehidupannya. Oleh sebab itu, apabila beliau mendengar tentang seorang pemuda yang mengaku sebagai Nabi dan membawa ajaran untuk menyembah Allah Yang Esa daripada pelanggannya, beliau memutuskan untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW.

·       Mendengar ajaran Rasulullah SAW, beliau menghulurkan tangannya tanpa ada rasa ragu dan mengucapkan dua kalimah syahadah kepada Rasulullah SAW. Beliau merupakan orang yang keenam memeluk Islam dan antara orang yang terawal mengakui keimanan kepada Allah SWT dan RasulNya secara terang-terangan.

·       Kisah Penderitaan Khabbab Bin Al-Arat Yang Diseksa Oleh Kafir Quraisy

·       Apabila khabar pengislaman Khabbab sampai kepada Ummu Anmar, wanita tersebut pergi menemui Khabbab bersama saudaranya Siba’ bin Abdil ‘Uzza dan diiringi oleh beberapa pemuda kabilah Khuza’ah. Setelah memastikan kebenaran khabar tersebut, mereka memukul Khabbab dan menyeksanya tanpa belas kasihan. Mereka membawa Khabbab ke tanah lapang, memakaikannya baju besi dan menjemurnya di bawah panas matahari yang terik tanpa diberikan setitik air minum. Apabila melihat keadaan Khabbab yang mulai lemah, mereka memintanya untuk berpaling dari agama Muhammad SAW dan memuji Lata dan ‘Uzza. Namun, Khabbab menolak untuk melakukan perkara tersebut. 

·       Pengakuan Khabbab sebagai seorang Muslim secara terang-terangan dan kedudukannya sebagai hamba menyebabkan beliau sering menjadi sasaran kepada kafir Quraisy. Mereka menarik rambutnya dengan sangat kuat, meletakkan kepalanya di atas arang yang panas berkali-kali dan meletakkan batu di atas dadanya sehingga beliau tidak dapat berdiri. Malah, semua besi yang ada di kedainya digunakan oleh orang-orang kafir untuk membuat rantai besi, yang kemudiannya dipanaskan untuk melilit badan, kedua tangan dan kedua kaki Khabbab. 

·       Khabbab bukan sahaja mengalami penderaan fizikal, malah turut mengalami sekatan kewangan daripada kaum musyrikin. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Khabbab pernah menagih pembayaran kepada al-‘As bin Wa’il yang memesan pedangnya, namun dia tidak ingin membayar Khabbab selagi tidak kafir kepada Muhammad SAW. Maka Khabbab berkata, “Aku tidak akan pernah kafir kepada Muhammad SAW sampai engkau mati dan engkau dibangkitkan”. Betapa dahsyatnya keteguhan iman Khabbab, tidak gentar dan tidak goyah walaupun bermacam-macam bentuk seksaan dikenakan ke atasnya oleh kafir Quraisy. 

·       Namun, Allah SWT itu Maha Adil dan tidak akan meninggalkan hamba yang beriman kepadaNya. Berkat doa Rasulullah SAW yang ingin menolong Khabbab, Ummu Ansar mengalami sakit kepala yang teramat dahsyat sehingga dia melolong seperti anjing. Satu-satunya cara untuk mengubati rasa sakitnya ialah dengan menempelkan besi panas di kepalanya. Ummu Ansar, pada akhirnya mengalami seksaan yang sama dihadapi oleh Khabbab. Demikianlah balasan Allah SWT kepada orang yang angkuh dan kejam.

·       Peranan Khabbab Bin Al-Arat Dalam Peristiwa Pengislaman Umar al-Khattab

·       Dalam fasa dakwah yang pertama, Khabbab tidak berasa cukup dengan hanya beribadah dan solat semata-mata. Oleh itu, beliau turut memanfaatkan kemampuannya untuk mengajar al-Quran kepada para sahabat yang beriman secara bersembunyi, kerana khuatir diseksa oleh orang-orang musyrikin. Khabbab memperoleh kemahiran dalam mempelajari al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur. Abdullah bin Mas’ud berkata, “Barangsiapa ingin membaca al-Quran yang betul sebagaimana yang diturunkan, hendaklah dia meniru bacaan Ibnu Ummi ‘Abdin (Khabbab)!”

·       Khabbab juga mengajarkan al-Quran kepada Fatimah binti Khattab dan suaminya Sa’id bin Zaid ketika mereka ditemui oleh Umar al-Khattab yang berniat untuk membunuh Rasulullah SAW pada ketika itu. Namun, selepas Umar al-Khattab membaca ayat al-Quran yang digunakan oleh Khabbab untuk mengajar mereka, hatinya tersentuh dengan ayat tersebut. Khabbab muncul dari tempat persembunyiannya dan memberitahu Umar tentang doa Rasulullah SAW yang berbunyi, “Ya Allah, kuatkanlah agama Islam dengan salah seorang antara dua lelaki yang engkau suka, Abdul Hakam bin Hisyam dan Umar bin Khattab”. Mendengar perkara tersebut, Umar segera bertemu dengan Rasulullah SAW dan memeluk Islam.

·       Wafatnya Khabbab Bin Al-Arat

·       Khabbab dikurniakan umur yang panjang dan beliau hidup sehingga zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin. Beliau wafat di Kufah tahun 37 H pada usia 73 tahun. Ali bin Abi Talib mensolatkan jenazahnya selepas pulang dari Siffin. Semasa berdiri di tepi kuburnya, Ali RA berkata, “Semoga Allah merahmati Khabbab. Dia masuk Islam kerana berharap, berhijrah kerana taat dan hidup sebagai mujahid”.

·       Dalil Yang Berkaitan Dengan Khabbab Bin Al-Arat

·       Semasa menghadapi seksaan yang dahsyat dari kafir Quraisy, Khabbab pernah mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai penderitaan yang dialaminya. Maka, Rasulullah SAW bersabda;

·       قد كان من قبلكم يؤخذ الرجل فيحفر له في الأرض، فيجعل فيها، ثم يؤتى بالمنشار، فيوضع على رأسه فيجعل نصفين، ويمشط بأمشاط الحديد ما دون لحمه وعظمه، ما يصده ذلك عن دينه

·       Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu, salah seorang daripada mereka ditangkap, dia ditanam di dalam tanah lalu sebuah gergaji diletakkan di ubun-ubunnya sehingga tubuhnya terbelah menjadi dua, dia disisir dengan sisir besi sehingga dagingnya terkelupas daripada tulangnya, namun semua itu tidak menghalanginya daripada agamanya. (Hadith Riwayat Bukhari)

·       Mendengar ucapan Rasulullah SAW, keimanan Khabbab menjadi semakin utuh. Ketabahannya dalam menghadapi kesulitan dakwah memuliakan darjatnya di sisi Allah SWT. Ibarat emas yang tidak akan menjadi berharga tanpa pengujian, jiwa manusia juga tidak akan meraih kemuliaan tanpa cubaan Allah SWT.

·       Khabbab bin Al Arat: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...