Biodata & Kisah Hidupnya
· Husain Bin Ali, gugur
syahid di Karbala. Artikel ini akan
membincangkan biodata salah seorang cucu Rasulullah SAW yang dikenang kisahnya
pada Hari
Asyura.
· Siapakah Husain Bin Ali?
· Husain Bin Ali merupakan
cucu Rasulullah SAW. Beliau merupakan putera bongsu Sayyidatina Fatimah az-Zahra’
dengan suaminya, Sayyidina Ali bin Abu Talib, dan merupakan adik kepada Hasan
bin Ali. Beliau dilahirkan pada bulan Syawal tahun ke-4 Hijrah, setahun selepas
kelahiran abangnya, Hasan.
· Rasulullah SAW menyambut
kelahiran Husain sepertimana baginda menyambut kelahiran Hasan. Baginda
mengalunkan azan ke telinganya, kemudian menyembelih akikah selepas tujuh hari
kelahirannya dan memberikan nama Husain kepadanya.
· Sifat-sifat Husain Bin Ali
· Dalam menggambarkan paras
rupa Husain, Anas bin Malik berkata, “Husain
serupa dengan Rasulullah SAW daripada dada sampai ke kaki”. Manakala,
wajahnya pula lebih mirip dengan ayahnya, Sayyidina Ali. Ahli-ahli sejarah
Islam menggambarkan bahawa Husain memiliki badan yang sama dengan Rasulullah
SAW, tidak tinggi dan tidak pendek, berbadan gagah, berbahu lebar, berdahi
luas, berjanggut lebat, kulitnya putih kemerah-merahan dan bersuara merdu.
Selain dari sifat fizikal, Husain turut mewarisi sifat berani dan pandai
pemimpin dari Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “… Husain, ia mewarisi keberanian dan kepimpinanku”.
· Keutamaan dan Kelebihan
Husain Bin Ali
· Kasih sayang Rasulullah
SAW kepada Husain sama seperti kasih sayang baginda kepada Hasan. Hal ini dapat
dilihat pada sabda Rasulullah SAW yang berbunyi, “Yang paling aku cintai dari kalangan Ahli Baitku ialah
(kedua-dua cucuku) Hasan dan Husain”.
· Diriwayatkan juga bahawa
Rasulullah SAW pernah mengucapkan kata-kata yang memperlihatkan kasih sayang
baginda kepada Husain, “Husain
daripadaku dan aku daripadanya. Allah akan mencintai sesiapa yang mencintai
Husain”.
· Kisah Pembunuhan Husain
Bin Ali di Karbala
· Peristiwa yang membawa
kepada pembunuhan Husain bermula dengan pelantikan Yazid bin Mu’awiyah sebagai
khalifah umat Islam, menggantikan ayahnya Mu’awiyah Abu Sufyan. Husain
menentang pelantikan tersebut kerana tidak didasari dengan sistem syura
(perbincangan) seperti yang telah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin
sebelumnya, tetapi didasari dengan sistem pewarisan keluarga. Maka, Husain
bersama Abdullah bin Zubair, serta pengikutnya yang lain melarikan diri ke
Mekah kerana enggan memberi baiat kepada Yazid.
· Sepanjang Husain tinggal
di Mekah, beliau telah menerima beratus-ratus surat dari penduduk Kufah yang
menyatakan sokongan penuh untuk menentang kekhalifahan Yazid dan menjemputnya
datang ke Kufah. Maka, Husain telah mengutus Muslim bin Aqil untuk berjumpa
dengan penduduk Kufah. Penduduk Kufah yang berkobar-kobar memusuhi pemerintahan
Khalifah Yazid datang memberikan baiah kepada Muslim yang mewakili Husain. Melihat
semangat penduduk Kufah, Muslim mengutus surat kepada Husain untuk memintanya
datang ke Kufah. Nu’man bin Bashir, gabenor Kufah pada ketika itu, tidak
menentang kedatangan Muslim tetapi cuba memadamkan api kebencian penduduk Kufah
terhadap Khalifah Yazid kerana bimbang akan berlaku pertumpahan darah.
· Berita tersebut sampai
kepada Khalifah Yazid di Syam. Kesannya, Nu’man bin Bashir telah dipecat dan
kedudukannya sebagai gabenor Kufah telah diganti oleh Ubaidullah bin Ziyad.
Ubaidullah memberi ugutan yang keras terhadap penduduk Kufah yang menyokong
perjuangan Husain dan menawarkan ganjaran kepada mereka yang berpaling dari
perjuangan tersebut. Kesannya, 18 000 penyokong Husain yang bersama Muslim
berkurang menjadi 40-50 orang sahaja. Muslim pula telah ditangkap dan dibawa
menghadap Ubaidillah. Sebelum dibunuh oleh Ubaidullah, Muslim menitipkan
pesanan kepada Umar bin Saad untuk memberitahu Husain agar tidak datang ke
Kufah, kerana penduduk Khufah telah mengkhianati beliau. Namun, surat tersebut
tidak sempat sampai kepada Husain yang telah bertolak dari Mekah ke Kufah.
· Walaupun keputusan Husain
untuk pergi ke Kufah telah dihalang oleh ramai sahabatnya, beliau tetap
meneruskan tekadnya untuk pergi ke Kufah. Semasa hampir tiba di Kufah, Husain
menerima khabar mengenai kematian Muslim dan pengkhianatan penduduk Kufah.
Ramai pengikutnya mencadangkan kepada Husain agar kembali ke Mekah. Namun,
mendengar semangat saudara-saudara Muslim yang ingin membalas dendam, Husain
memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke Kufah. Maka, rombongan Husain
berpecah kepada dua; sesetengah berpatah balik ke Mekah manakala 80 orang lagi
mengikuti beliau menuju ke Kufah.
· Sesampainya Husain di
Kufah, beliau telah dihalang oleh 1000 tentera utusan Ubaidullah di bawah
pimpinan al-Hur bin Yazid. Rombongan Husain meneruskan perjalanan ke satu
tempat yang dinamakan Karbala dengan diekori oleh
tentera al-Hur bin Yazid. 4000 tentera utusan Ubaidullah yang dipimpin oleh
Umar bin Saad juga tiba di Karbala. Pasukan Bani Umayyah yang kini dipimpin
oleh Umar bin Saad berunding dengan Husain untuk mencipta jalan perdamaian.
Husain menyatakan kesediaannya untuk pulang ke Mekah atau pergi menghadap
Khalifah Yazid untuk berunding. Hasrat Husain tersebut kemudiannya diberitahu
kepada Ubaidullah melalui utusan surat dari Umar bin Saad.
· Ubaidullah pada mulanya
bersedia untuk menerima permintaan Husain tersebut dan berdamai dengannya.
Namun, atas hasutan Syamir bin Zul Jausyan, dia mengubah fikirannya dan meminta
Husain untuk menyerah jika tidak ingin dibunuh. Maka, Syamir pergi ke Karbala
dan mengambil alih pimpinan Umar bin Saad terhadap tentera Bani Umayyah.
Keengganan Husain untuk menyerah menyebabkan satu persatu rombongan dan kaum
kerabatnya dibunuh, sehingga hanya tinggal beliau sahaja. Namun, tiada seorang
pun dari tentera Bani Umayyah yang berani membunuh Husain kerana bimbang tangan
mereka bergelumang dengan darah cucu Rasulullah SAW. Atas arahan Syamir,
seorang pemuda bernama Sinan bin Anas an-Nakha’i telah memancung kepala Husain.
Maka, gugurlah Husain sebagai seorang yang syahid.
· Apabila berita pembunuhan
Husain sampai kepada Khalifah Yazid, beliau menzahirkan rasa sedih dan mencela
Ubaidullah. Diriwayatkan bahawa Khaifah Yazid tidak mengarahkan Ubaidullah
untuk membunuh Husain, tetapi menghalang kekuasaannya di Kufah. Malah, Khalifah
Yazid membebaskan keluarga Husain yang ditawan oleh tentera Bani Umayyah untuk
dihantar pulang ke Madinah.
· Wafatnya Husain Bin Ali
· Husain wafat pada bulan 10
Muharram tahun ke-61 Hijrah. Pada ketika itu, beliau berusia 50 tahun. Hari
Asyura mengingatkan kita tentang peristiwa pembunuhan Husain
di Karbala. Diriwayatkan bahawa
kepala Husain dikebumikan di Karbala oleh anaknya, Ali Zainal Abidin.
· Dalil Yang Berkaitan
Dengan Husain Bin Ali
· Riwayat yang paling sahih
yang menceritakan peristiwa Karbala dilihat pada Hadith Bukhari yang berbunyi;
·
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أُتِيَ عُبَيْدُ
اللَّهِ بْنُ زِيَادٍ بِرَأْسِ الْحُسَيْنِ فَجُعِلَ فِي طَسْتٍ فَجَعَلَ يَنْكُتُ
وَقَالَ فِي حُسْنِهِ شَيْئًا فَقَالَ أَنَسٌ كَانَ أَشْبَهَهُمْ بِرَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ مَخْضُوبًا بِالْوَسْمَةِ
· Maksudnya: Anas bin Malik berkata, “Kepala Husain
dibawa dan didatangkan kepada Ubaidullah Bin Ziyad. Kepala itu diletakkan di
dalam bejana. Lalu Ubaidullah Bin Ziyad menusuk-nusuk (dengan pedangnya) dan
mengulas sedikit tentang ketampanan Husain”. Anas mengatakan, “Diantara Ahlul
bait, Husain adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW”. Saat itu,
Husain digilap rambutnya dengan wasmah (sejenis inai).
· Hadith tersebut
menceritakan tentang Ubaidullah yang menusuk-nusuk kepala Husain dengan
pedangnya setelah beliau dibunuh. Diriwayatkan bahawa sahabat Rasulullah SAW
yang terdiri daripada Zaid bin Arqam dan Anas Bin Malik meminta agar Ubaidullah
menyingkirkan pedang tersebut kerana tidak rela melihat cucu Rasulullah SAW
diperlakukan sedemikian rupa. Kesan daripada pembunuhan Husain, Ubaidullah
telah wafat dalam keadaan yang dahsyat. Demikianlah balasan Allah SWT kepada
orang yang zalim.
· Terdapat pelbagai
pandangan yang muncul rentetan peristiwa pembunuhan tragis Husain di Karbala. Pandangan Ahli Sunnal Wa
al-Jamaah menyatakan bahawa Husain tergolong sebagai orang yang terzalimi dan
syahid, dan bukanlah juga seorang pemberontak. Hal ini kerana, beliau tidak
mengerahkan penduduk Mekah yang sangat menyanjunginya untuk turut serta ke
Kufah. Sebagai umat Islam, kita dibolehkan untuk mengenang tragedi Karbala ini dengan menunaikan
puasa Asyura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan