Biodata & Kisah Hidupnya
· Ka’ab bin Malik, sang
penyair yang memperoleh keampunan. Artikel ini akan membincangkan biodata salah
seorang sahabat Rasulullah SAW yang sabar dan tawakal dalam menanti keampunan
Allah SWT.
· Siapakah Ka’ab Bin Malik?
· Ka’ab bin Malik
al-Khazraji merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW daripada kaum Ansar
dan berasal dari suku Khazraj. Beliau juga digelar dengan nama al-‘Aqabi kerana
merupakan antara 70 orang yang hadir dalam Bai’ah al-‘Aqabah. Beliau turut
digelar dengan nama al-Uhudi kerana telah menyertai Perang Uhud. Pada zaman Jahiliyah
pula, beliau dikenali dengan nama Abu Basyir.
· Ka’ab Bin Malik Selepas
Memeluk Islam
· Ka’ab bin Malik merupakan
salah seorang dari 40 orang sahabat yang telah memeluk Islam lebih awal, iaitu
sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Selepas memeluk Islam, beliau digelar
dengan nama Abu Abdullah. Disebabkan oleh rasa cinta kepada Allah SWT dan
RasulNya, beliau mengerahkan seluruh kemampuannya untuk kepentingan dakwah.
· Sang Penyair Rasulullah
· Antara kelebihan Ka’ab bin
Malik ialah kemampuannya untuk bersyair. Beliau merupakan salah seorang dari
tiga sahabat yang digelar sebagai para penyair Rasulullah SAW, di samping Hasan
bin Thabit dan Abdullah bin Rawahah. Kemampuan mereka untuk bersyair
dimanfaatkan bagi penyebaran dakwah dan jihad di jalan Allah SWT.
· Ibnu Sirin menceritakan
bahawa Hasan bin Thabit menggunakan syairnya untuk menghina keburukan dan aib
kaum kafir di medan perang, manakala Abdullah bin Rawahah menggunakan syairnya
untuk mengejek kekufuran mereka. Berbeza dengan para penyair yang lain, Ka’ab
bin Malik menggunakan syairnya dengan tujuan mengancam dan menyerang mental
kaum kafir sebagai senjata di medan perang.
· Kehebatan Ka’ab bin Malik
dalam bersyair dapat dilihat dalam peristiwa pengislaman kabilah Daus. Ketika
berhadapan dengan kabilah Daus, Ka’ab membacakan syair kepada mereka. Syair
tersebut berbunyi;
·
Kami menghabiskan daripada Tihamah dengan segenap keraguan
·
Dan juga daripada Khaibar, kemudian mengumpulkan pedang-pedang
·
Kami memberinya pilihan, andai dia berbicara pasti mengatakan
·
Dia memilih memerangi suku Daus dan Thaqif
· Selepas mendengar bait
syair yang berbaur ancaman tersebut, kabilah Daus berasa gentar, lantas segera
memeluk Islam tanpa ada yang terkecuali. Begitu dahsyatnya syair Ka’ab,
sehingga mampu menggetarkan jiwa kabilah Daus dan mendorong mereka untuk
beriman kepada Allah SWT.
· Kisah Taubat Ka’ab Bin
Malik Kerana Tidak Menyertai Perang Tabuk
· Kisah taubat Ka’ab bin
Malik kerana tidak menyertai Perang Tabuk diceritakan dalam sebuah Hadith
Bukhari. Kisah tersebut bermula apabila turun perintah Allah SWT kepada kaum
muslimin untuk memerangi pasukan Rom yang merancang untuk melenyapkan Islam.
Perang tersebut berlaku pada bulan Rejab tahun 9 Hijrah dan digelar
sebagai Ghazwatul ‘Usrah,
yang bermaksud perang dalam masa yang sukar. Hal ini kerana, Rasulullah SAW
bertolak dari Kota Madinah dalam keadaan cuaca yang panas terik dan kering.
Tambahan pula, banyak persiapan perang yang perlu dilakukan disebabkan oleh
perjalanan perang yang panjang dan bilangan musuh yang ramai.
· Maka, Rasulullah SAW
bersama para sahabat dan kaum muslimin pergi memenuhi seruan jihad dalam Perang
Tabuk tanpa disertai oleh Ka’ab bin Malik. Hal ini disebabkan oleh sikap Ka’ab
yang lalai dan sering bertangguh dalam membuat persiapan perang sehingga
ditinggalkan oleh pasukan perang Rasulullah SAW. Malah, Ka’ab pada ketika itu
tidak mempunyai sebarang keuzuran, tidak tua dan tidak sakit. Beliau juga
bukanlah dari kalangan munafik yang tidak menyertai perang kerana ingkar kepada
Rasulullah SAW.
· Setelah pasukan Rasulullah
SAW pulang dari peperangan, Ka’ab mula memikirkan pebagai alasan bagi
menyelamatkan dirinya di hadapan Rasulullah SAW. Ketika orang-orang yang tidak
menyertai peperangan muncul dengan pebagai alasan dan sumpah di hadapan
Rasulullah SAW, Ka’ab pula memutuskan untuk berkata jujur dan mengakui tidak
mempunyai sebarang alasan untuk tidak menyertai Perang Tabuk, kerana bimbang
akan kemurkaan Allah SWT Yang Maha Mengetahui. Tindakan berlaku jujur itu turut
dilakukan oleh dua sahabat yang juga tidak menyertai Perang Tabuk, iaitu Murarah
bin al-Rabi’ al-‘Umri dan Hilal bin Umayyah al-Waqifi.
· Rentetan peristiwa itu,
Rasulullah SAW memerintahkan agar Ka’ab bersama dua sahabat tersebut menunggu
keampunan Allah SWT. Rasulullah SAW juga melarang para sahabat dan kaum
muslimin untuk bercakap dengan mereka selama 50 hari. Maka dalam tempoh
tersebut, Murarah al-Rabi dan Hilal bin Umayyah memilih untuk diam menangis di
rumah mereka. Ka’ab pula tetap keluar dari rumah untuk menghadiri solat bersama
kaum muslimin dan pergi ke pasar, namun tiada sesiapapun yang menegur atau
bercakap dengannya. Malah, pada hari ke-40, Ka’ab diperintahkan oleh Rasulullah
SAW untuk menjauhi isterinya. Ka’ab redha dan taat akan perintah baginda.
· Setelah mengerjakan solat
Subuh pada hari ke-50, Rasulullah SAW menyampaikan berita gembira bahawa Allah
SWT telah menerima taubat Ka’ab bersama Murarah al-Rabi dan Hilal bin Umayyah.
Rasulullah SAW dengan wajah yang senang bersabda,
· “Bergembiralah dengan sebaik-baik hari
yang engkau lalui sejak ibumu melahirkanmu”.
· Para sahabat yang lain
turut berkumpul dan mengucapkan kesenangan mereka di atas penerimaan taubat
Ka’ab. Sejak kejadian tersebut, Ka’ab menghabiskan hidupnya dengan berkata
jujur, beribadah dan berjihad di jalan Allah SWT.
· Dalil Yang Berkaitan
Dengan Ka’ab Bin Malik
· Berikutan peristiwa
penerimaan taubat Ka’ab bin Malik bersama Murarah al-Rabi dan Hilal bin
Umayyah, Allah SWT berfirman:
·
لَّقَد تَّابَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلنَّبِىِّ وَٱلْمُهَٰجِرِينَ
وَٱلْأَنصَارِ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ فِى سَاعَةِ ٱلْعُسْرَةِ مِنۢ بَعْدِ مَا
كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِّنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّهُۥ
بِهِمْ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ (117). وَعَلَى ٱلثَّلَٰثَةِ ٱلَّذِينَ خُلِّفُوا۟
حَتَّىٰٓ إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ
أَنفُسُهُمْ وَظَنُّوٓا۟ أَن لَّا مَلْجَأَ مِنَ ٱللَّهِ إِلَّآ إِلَيْهِ ثُمَّ
تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ
(118).
· Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menerima taubat
Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar yang mengikuti Nabi dalam
masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian
Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang kepada mereka. Dan
terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga
apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka (kerana mereka dipulaukan),
padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun terasa sempit (kerana menanggung
dukacita), serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari
(seksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka
agar mereka kekal dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima
taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Taubah: 117-118)
· Demikianlah ganjaran yang
diperoleh oleh orang yang berkata jujur, sabar dan tawakal dalam memohon
keampunan Allah SWT. Tiada nikmat yang lebih besar daripada taubat yang
membuahkan keampunan Allah SWT di dunia dan rahmatNya di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan