Sabtu, 17 Ogos 2024

JABIR BIN ABDULLAH

  Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

·       Jabir bin Abdullah, sang perawi hadith. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang kehidupannya didedikasikan untuk menegakkan kalimah Allah SWT dan hadith Rasulullah SAW. 

·       Siapakah Jabir Bin Abdullah?

·       Jabir bin Abdullah al-Ansari merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW dari kaum Ansar. Beliau juga dikenali dengan nama julukan Abu Abdullah. Beliau dilahirkan di Madinah. Ayahnya bernama Abdullah bin ‘Amr bin Haram dan merupakan pemimpin suku Khazraj. Ibunya pula bernama Nasiba Binti Uqba bin Uddi.

Jabir Bin Abdullah Memeluk Islam

Jabir bin Abdullah memeluk Islam ketika beliau masih muda, iaitu sebelum mencapai umur 14 tahun. Kisah pengislaman Jabir bermula apabila beliau mengikuti ayahnya, Abdullah bin ‘Amr untuk menyertai rombongan penduduk Madinah yang ingin pergi memberi bai’ah kepada Rasulullah SAW dalam bai’ah al-Aqabah yang kedua.

Pada awalnya, ayahnya Abdullah bin ‘Amr hanya berniat untuk menunaikan haji. Namun, mendengar perkataan yang baik dari rombongan yang ingin berbai’ah kepada Rasulullah SAW, hati Abdullah terkesan dan beliau memutuskan untuk memeluk Islam. Maka Abdullah bersama anaknya, Jabir mengikuti rombongan tersebut dan berbai’ah kepada Rasulullah SAW. Abdullah juga telah dilantik oleh Rasulullah SAW sebagai salah seorang dari 12 orang pemimpin untuk mewakili kabilah mereka.

Jabir Bin Abdullah Selepas Memeluk Islam

Apabila turun perintah hijrah ke Madinah oleh Allah SWT, Jabir merupakan antara orang-orang yang menyambut kedatangan Rasulullah SAW dengan gembira. Setelah itu, beliau menyertai semua peperangan bersama Rasulullah SAW kecuali Perang Badar lantaran umurnya yang masih muda. Beliau juga tidak menyertai Perang  Uhud untuk menunaikan perintah ayahnya, Abdullah untuk menjaga tujuh orang saudara perempuannya sepanjang ketiadaan ayahnya yang pergi menyertai perang tersebut. 

Beliau juga sentiasa menyertai Rasulullah SAW untuk menimba ilmu, petunjuk dan akhlak baginda. Beliau melihat, mendengar dan merasakan pembelajaran kenabian (al-Madrasah an-Nabawiyah) daripada Rasulullah SAW dalam pelbagai permasalahan kehidupan merangkumi masalah ibadah, muamalah sosial, jihad di jalan Allah SWT mahupun masalah-masalah yang berkaitan dengan ritual keagamaan. Dedikasinya dalam menuntut ilmu menjadikan beliau sebagai seorang hafiz, imam besar, mujtahid, mufti dan termasuk antara sahabat yang paling banyak hafalannya terhadap  al-Quran serta paling banyak meriwayatkan hadith Nabi SAW.

Keutamaan Dan Kelebihan Jabir Bin Abdullah

Jabir bin Abdullah dikenali dengan sikap itsar, iaitu lebih mementingkan orang lain daripada dirinya sendiri. Setelah ayahnya, Abdullah syahid dalam Perang  Uhud, Jabir menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk menjaga saudara-saudara perempuannya. Justeru, beliau rela mengahwini seorang janda daripada seorang gadis, agar isterinya dapat menjaga dan mendidik saudara-saudara perempuannya.

Selain itu, beliau juga memiliki sifat yang murah hati. Hal ini dapat dilihat semasa Perang Khandaq. Ketika Rasulullah SAW bersama kaum muslimin sedang menggali parit untuk mempertahankan Madinah dalam Perang Khandaq, Jabir melihat baginda sangat kelelahan kerana menahan rasa lapar. Maka, beliau pergi menyembelih ternakannya yang masih kecil dan menyuruh isterinya untuk menggiling gandum yang ada di rumahnya untuk diberikan kepada Rasululullah SAW. 

Kerana bilangan makanan yang sedikit, isterinya berpesan agar Jabir menjemput Rasulullah SAW serta sebilangan kaum muslimin sahaja. Setelah menyampaikan pesanan tersebut, Rasulullah SAW memanggil seluruh kaum muslimin yang bersama baginda untuk pergi makan ke rumah Jabir. Kemudian, baginda SAW meludahi dan mendoakan adunan roti serta makanan yang telah disediakan oleh isteri Jabir. Kesannya, 1000 orang kaum muslimin yang makan di rumah Jabir pulang dalam keadaan yang kenyang serta makanan dan adunan roti di rumahnya masih dalam keadaan sedia kala tanpa berkurang sedikitpun. Demikianlah berkat rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hambanya yang pemurah.

Seterusnya, beliau juga merupakan sosok peribadi yang sangat berdedikasi dalam meriwayatkan hadith. Beliau sentiasa mendampingi Rasulullah SAW semasa hayatnya untuk menuntut ilmu dan menjadi rujukan bagi para sahabat dan tabi’in selepas kewafatan baginda. Diriwayatkan juga bahawa beliau sanggup mengembara dari Madinah ke Syam untuk memperoleh satu hadith daripada Abdullah bin Unais. Dedikasi tersebut menyebabkan beliau berjaya meriwayatkan sebanyak 1540 hadith secara keseluruhannya dan menduduki tempat keenam antara tujuh sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith.

Dalam perjalanan jihad ke negeri Rom, Jabir berjalan kaki sambil memegang tali keldainya. Ketua pasukan kaum muslimin pada ketika itu, Malik bin Abdillah Khath’ami bertanya sebab beliau tidak menunggang keldainya dan rela berjalan kaki. Maka, Jabir menjawab pertanyaan tersebut dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa kedua kakinya berdebu di jalan Allah, nescaya Allah mengharamkan neraka ke atasnya”. Mendengar jawapan Jabir, kaum muslimin yang lain melompat turun dari kenderaan mereka untuk meraih pahala besar tersebut. Begitulah kelebihan Jabir, sahabat yang mendedikasikan hidupnya untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW.

Wafatnya Jabir Bin Abdullah

Jabir bin Abdullah dikurniakan umur yang panjang dan hidup sehingga zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin dan seterusnya pemerintahan Bani Umayyah. Pada akhir hayatnya, beliau telah kehilangan penglihatannya. Diriwayatkan bahawa beliau wafat ketika menghampiri usia 90 tahun di Madinah. 

Dalil Yang Berkaitan Dengan Jabir Bin Abdullah

Riwayat sahih menceritakan bahawa Rasulullah SAW pergi menziarahi Jabir setelah mendengar berita bahawa beliau telah jatuh sakit. Kemudian, Jabir meminta keizinan Rasulullah SAW untuk berwasiat dan memberi hartanya untuk saudara perempuannya. Berikutan pertanyaan Jabir, Allah SWT telah menurunkan firmanNya yang berbunyi:

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلاَلَةِ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ وَهُوَ يَرِثُهَآ إِن لَّمْ يَكُن لَّهَا وَلَدٌ فَإِن كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ وَإِن كَانُواْ إِخْوَةً رِّجَالاً وَنِسَاء فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الأُنثَيَيْنِ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ أَن تَضِلُّواْ وَاللّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿١٧٦﴾

Maksudnya: Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (yaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara-saudara laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara laki-laki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.(Surah al-Nisa’: 176)

Setelah turunnya ayat tersebut, Rasulullah SAW pergi ke rumah Jabir dan bersabda, “Aku jangka kamu tidak akan mati kerana penyakitmu ini. Dan Allah SWT telah menurunkan wahyuNya kepadaku, yang menjelaskan pembahagian waris bagi saudara-saudara perempuanmu, iaitu dua pertiga”.

Jangkaan Rasulullah SAW ternyata benar kerana Jabir dikurniakan umur yang panjang. Kehidupannya yang panjang dihabiskan dengan ketaatan, ilmu, dakwah, pengorbanan dan jihad selayaknya seorang mukmin yang mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT.

Jabir Bin Abdullah: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...