Selasa, 13 Ogos 2024

KHUBAIB BIN ADI: BIODATA & KISAH HIDUPNYA

 by Nabilah Rumainor

Khubaib bin Adi, syahid di kayu salib. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang keimanannya dapat menghancurkan batu karang dan meleburkan ketakutan.

Siapakah Khubaib Bin Adi?
Khubaib bin Adi merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW dari kaum Ansar. Nama lengkap beliau ialah Khubaib bin Adi bin Malik al-Awsi al-Ansari. Beliau ialah sosok peribadi yang amat dikenali di Madinah. Sejak Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Khubaib sentiasa menemui baginda dan seterusnya memeluk Islam.

Peribadi Khubaib bin Adi
Khubaib bin Adi dikenali dengan peribadi yang berjiwa bersih, bersifat terbuka, beriman teguh dan berhati mulia. Beliau juga ialah seorang yang rajin beribadah, di mana beliau mendirikan solat pada malam hari dan berpuasa pula di siang hari. Dalam menggambarkan peribadi Khubaib bin Adi, sang penyair Islam Hassan bin Thabit berkata, “Seorang pahlawan yang kedudukannya sebagai teras orang Ansar. Seorang yang lapang dadanya namun tegas dan keras tidak dapat ditawar-tawar”.

Kisah Kewafatan Khubaib Bin Adi Yang Syahid Di Kayu Salib
Khubaib merupakan antara sahabat yang menyertai Perang Badar bersama Rasulullah SAW melawan kaum kafir Quraisy. Dalam peperangan tersebut, beliau telah membunuh salah seorang pemimpin Quraisy, bernama al-Harith bin Amir bin Naufal.

Rentetan pembunuhan pemimpin mereka, Bani Harith mengingati nama Khubaib bin Adi dan menyimpan dendam terhadap beliau.
Setelah menewaskan kafir Quraisy dalam Perang Badar, kaum muslimin kembali ke Madinah untuk membina masyarakat baru. Pada suatu hari, Rasulullah SAW menubuhkan satu pasukan penyelidik untuk menyiasat rahsia orang Quraisy supaya dapat mengetahui gerak geri dan persiapan mereka untuk peperangan baru menentang kaum muslimin. Pasukan tersebut terdiri daripada sepuluh orang para sahabat termasuk Khubaib bin Adi dan dipimpin oleh Ashim bin Thabit.


Pasukan penyelidik tersebut bertolak ke tempat tujuan mereka sehingga sampai ke suatu tempat di antara Osfan dan Mekah. Namun, pergerakan mereka dapat dihidu oleh penduduk Hudzail yang didiami oleh suku Bani Haiyan. Maka, pasukan Bani Haiyan yang terdiri daripada 100 orang pemanah mahir menyusul pasukan penyelidik kaum muslimin. Pasukan Bani Haiyan hampir kehilangan jejak pasukan kaum muslimin sehingga mereka menemui biji-biji kurma yang ditinggalkan oleh mereka.

Dengan menjejaki biji-biji kurma yang berciciran di atas tanah, pasukan Bani Haiyan berjaya menemui pasukan kaum muslimin yang dicari. Maka, mereka mengepung pasukan kaum muslimin dan menghujani mereka dengan anak-anak panah. Lapan para sahabat termasuk pemimin pasukan kaum muslimin, Ashim bin Thabit telah mati syahid dibunuh oleh pasukan Bani Haiyan.

Khubaib bin Adi dan Zaid bin Dithinnah yang masih hidup dibawa oleh pasukan Bani Haiyan ke Mekah. Kaum Quraisy telah menyeksa Zaid bin Dithinnah dengan menyulanya dari dubur sehingga ke bahagian atas badannya. Manakala, Khubaib bin Adi pula telah dibeli oleh keluarga Harith bin Amir sebagai hamba untuk melepaskan dendam kebencian mereka terhadap Khubaib, yang telah membunuh Harith bin Amir dalam Perang Badar.

Khubaib telah diseksa dan dikurung oleh keluarga Harith bin Amir. Namun, perkara tersebut tidak menghalang beliau untuk beribadah dan menyerahkan dirinya kepada Allah SWT. Diriwayatkan bahawa salah seorang puteri Harith yang menjenguk Khubaib di tempat kurungannya melihat beliau sedang menggenggam dan memakan setangkai anggur walaupun tangannya terikat dengan besi dan tidak terdapat sebarang anggur di Mekah pada ketika itu. Maka puteri Harith berkata, “Aku merasa itu rezeki yang diberikan Allah kepada Khubaib”. Demikianlah pertolongan Allah SWT kepada hambanya yang soleh.

Khabar mengenai Zaid yang mati akibat disula dengan kejam oleh kaum musyrikin telah disampaikan kepada Khubaib untuk menakutkan dan melemahkan keimanannya. Mereka turut memujuk Khubaib untuk mengingkari Allah SWT dan Muhammad SAW dengan janji pembebasan. Namun, pujukan bahkan ancaman tersebut tidak mampu untuk menggoyahkan keutuhan jiwa Khubaib yang dipenuhi dengan iman dan sakinah. Justeru, kaum musyrikin memutuskan untuk membunuh beliau dan membawanya di suatu tempat yang bernama Tan’im.

Sebelum dibunuh, Khubaib meminta untuk menunaikan solat dua rakaat. Beliau melakukan solat tersebut dengan khusyuk, dengan hati yang tenang dan pasrah. Selepas menunaikan solat, Khubaib berkata, “Demi Allah, kalau bukan kerana nanti ada sangkaan bahawa aku takut mati, nescaya aku akan meneruskan lagi solatku”. Kemudian beliau berdoa, “Ya Allah, kurangkanlah bilangan mereka, musnahkanlah mereka sehingga binasa”.

Kaum musyrikin membuat sebuah salib besar menggunakan pelepah-pelepah tamar, lalu mengikat badan Khubaib di atasnya. Kemudian, para pemanah bergilir-gilir melepaskan anak panah mereka terhadap Khubaib. Melihat keadaan Khubaib yang semakin tidak berdaya, putera Harith, Uqbah bin Harith berkata, “Sukakah engkau jika Muhammad menggantikanmu dan engkau sejahtera bersama keluargamu?”. Menggunakan kudrat yang tersisa, Khubaib menjawab, “Demi Allah, aku tidak mahu menikmati kesenangan dunia bersama keluargaku sedangkan Rasulullah terkena musibah walaupun dengan sepotong duri”.

Ucapan Khubaib tersebut menyebabkan Uqbah bin Harith untuk membunuhnya. Maka, syahidlah Khubaib di atas kayu salib. Burung-burung yang menunggu untuk meratah bangkai tubuhnya di atas salib tiba-tiba berterbangan menjauhi tubuh tersebut seolah-olah tercium jasad seorang soleh. Semasa Khubaib diikat di kayu salib, beliau berdoa kepada Allah SWT, “Ya Allah, kami telah menyampaikan tugas RasulMu, kami mohon disampaikan pula kepadanya esok tentang tindakan orang itu terhadap kami”.

Doa Khubaib tersebut dimakbulkan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW mempunyai firasat buruk tentang para sahabat dan mengarahkan Miqdad bin Amar dan Zubair bin Awwam untuk menyusul mereka. Dengan petunjuk Allah SWT, mereka tiba di tempat pembunuhan Khubaib. Maka, mereka menurunkan dan mengebumikan mayat Khubaib. Sehingga sekarang, tiada yang mengetahui di mana terletaknya kubur beliau. Demikianlah pengakhiran sang pahlawan, tidak gentar dek ancaman, tidak juga berpaling dek kesakitan.

Dalil Yang Berkaitan Dengan Khubaib bin Adi
Diriwayatkan bahawa selepas menunaikan solat dua rakaat sebelum dibunuh, Khubaib membacakan syair kepada kaum musyrikin:

وَلَسْتُ أُبَالِي حِينَ أُقْتَلُ مُسْلِمًا
عَلَى أَىِّ شِقٍّ كَانَ لِلَّهِ مَصْرَعِي وَذَلِكَ فِي ذَاتِ الإِلَهِ وَإِنْ
يَشَأْ يُبَارِكْ عَلَى أَوْصَالِ شِلْوٍ مُمَزَّعِ

Maksudnya: Khubaib kemudian membaca ayat syair, “Aku syahid sebagai seorang Muslim, aku tidak kisah bagaimana aku terbunuh kerana pembunuhanku adalah kerana Allah SWT. Dan jika Dia mengkehendaki, Dia akan memberkati bahagian badan yang terpotong”.

(Hadith Riwayat Bukhari)

Ucapan Khubaib dalam hadith tersebut menunjukkan keutuhan iman, ketetapan pendirian, keteguhan hati serta kecintaannya kepada Sang Pencipta. Disebabkan oleh kekuatan imannya, beliau telah dikurniakan syahid dan kedudukannya dimuliakan di sisi Allah SWT. Malah, perlakuannya untuk menunaikan solat dua rakaat sebelum dibunuh menjadi tradisi umat Islam yang diamalkan sehingga kini.


https://akumuslim.asia/khubaib-bin-adi/

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...