Sabtu, 15 November 2025

HIDAYAH PETUNJUK

إِنَّكَ لَا تَهۡدِی مَنۡ أَحۡبَبۡتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ یَهۡدِی مَن یَشَاۤءُۚ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)" [Surah al-Qaṣaṣ 56] #Allah swt memberitahu Nabi Muhammad saw bahawa baginda tidak dapat memberi hidayah kepada manusia walaupun kepada orang-orang yang baginda sayang. Ini kerana yang boleh memberi hidayah adalah Allah swt sahaja. Kuasa beri hidayah kepada manusia bukan pada Nabi atau pada sesiapa sahaja, hanya ada pada Allah swt. Maka jika ada orang yang kita sayang dan kita ingin selamatkan dia pun, kita tidak boleh masukkan terus hidayah kepada mereka. Kita hanya boleh sampaikan apa sahaja berkaitan Islam dan iman, namun hidayah milik Allah swt. #Dalam ayat yang Allah swt berfirman: لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ "Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allahlah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendakiNya" [Surah al-Baqarah 272] #Dalam sirah Rasulullah saw yang mulia, ada satu kisah yang menggembirakan dan rasa takjub membacanya. Kisahnya tentang seorang pemuda atau budak Yahudi yang berkhidmat dan menolong Nabi saw di rumah baginda; ada ketika pemuda itu menyediakan wudhuk untuk baginda, dan ada ketikanya dia menyediakan selipar untuk dipakai baginda. Begitulah rutin pemuda Yahudi itu dalam berkhidmat kepada baginda hinggalah tiba suatu hari, pemuda itu tidak lagi datang ke rumah baginda. Apabila ditanya, rupanya pemuda itu jatuh sakit. Baginda pun pergi ke rumah pemuda Yahudi itu untuk menziarahinya. Apabila sampai di rumah pemuda itu, baginda masuk dan duduk di dekat kepalanya. Bapa kepada pemuda itu juga ada di situ. Sakit yang menimpa pemuda Yahudi itu sudah tidak boleh disembuhkan. Hanya sedikit masa yang tinggal sebelum kematian menjemputnya. Di saat-saat akhir tersebut, Nabi saw berdakwah kepadanya: “Ya ghulam, masuklah Islam. Ucapkanlah La Ilaha illallah,” kata Baginda saw. Budak Yahudi itu tidak menjawab, sebaliknya dia melihat kepada ayahnya, seolah-olah meminta pendapatnya. Maka ayah budak itu pun memberikan persetujuan: “Taatlah kepada Abu al-Qasim". Budak Yahudi itu pun mengucap kalimah syahadah dan memeluk Islam. Tidak lama selepas itu dia meninggal dunia. Nabi saw pun keluar dan berkata: “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan dia daripada api neraka.” Baginda pun berkata kepada para sahabat: “Solatlah (jenazah) saudara kalian.” #Kisah ini diriwayatkan dengan sanad sahih dalam Sahih al-Bukhari, Musnad Imam Ahmad, Sunan Abu Dawud dan al-Mustadrak. #Tugas Nabi saw adalah untuk menjelaskan kebenaran agama Allah swt melalui teladan, akhlak dan dakwah. Baginda saw mahu menyelamatkan manusia daripada azab neraka. Dengan misi itulah baginda saw berjuang hingga akhir hayatnya. ♡Berdakwah dan ajaklah semua manusia kepada agama Allah swt disamping mendoakan hidayah untuk kita dan mereka♡ ☆Tadabbur Kalamullah 16 Jamadil Awwal 1447H☆ 🐊Ust Naim -*Telegram Channel*-http://bit.ly/tadabburkalamullah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HIDAYAH PETUNJUK

إِنَّكَ لَا تَهۡدِی مَنۡ أَحۡبَبۡتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ یَهۡدِی مَن یَشَاۤءُۚ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ "Sesungguhnya engkau (...