Jumaat, 17 Jun 2011

PANDANGAN SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI TENTANG SOLAT ZAHIR DAN BATIN.

Solat difardukan kepada setiap orang Islam yang waras akal dan cukup umur pada waktu-waktu yang khusus, lima kali sehari semalam. Inilah perintah Allah s.w.t.

Firman Allah:

"Peliharalah segala solatmu dan solat wusto. Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk." (al-Baqarah:238).


Solat zahir ini ialah berdiri, membaca al-fatihah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan seterusnya dan sebagainya. Pergerakan dan lakuan solat ini melibatkan anggota-anggota badan.  Inilah solat diri jasmani atau diri fizikal.  Oleh kerana pergerakan atau lakuan badan dalam solat ini banyak dan diulang-ulangi banyak kali dalam solat lima waktu itu, maka itulah sebabnya ayat tadi menyebut solawati (segala solat) iaitu disebut plural atau lebih dari satu. Bukan solat tetapi solawaati (solat-solat). Itulah bahagian pertama tentang solat dalam ayat tersebut.

Bahagian kedua pula dalam ayat tersebut ialah tentang solat wusto.
Solat ini bermaksud solat hati. Wusto itu boleh dimaksudkan sebagai pertengahan atau tengah. Maka oleh kerana hati itu terletak di tengah diri, maka itulah dikatakan solat wusto itu sebagai solat hati.
Tujuan solat ini ialah untuk mendapatkan hati yang damai dan tenteram. Hati itu terletak di tengah antara kiri dan kanan, antara depan dan belakang, antara atas dan bawah dan antara baik dan jahat. Hati itu titik tengah, point perimbangan, point neraca atau median.  
Pernah Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

"Hati anak Adam itu antara dua jari al-Rahman (iaitu Allah). Ia dibolak-balikkan ke mana sahaja yang Allah kehendaki."

Maksud dua jari al-Rahman itu ialah sifat Allah s.w.t.yang bernama `Yang Menghukum dan Mengazab' dan sifat yang bernama `Yang Indah Yang Kasih Sayang, Yang Lemah Lembut'.

Solat dan ibadat yang sebenar ialah solat dan ibadat hati. Kalau hati lalai dan tidak khusyuk atau tidak ada tumpuani dalam solat, maka solat zahir iaitu solat badaniah akan kelam kabut dan kucar-kacir.
Apabila ini berlaku kedamaian diri jasmani atau badaniah yang diharapkan itu melalui solat zahir tidak akan tercapai.
Itulah sebabnya Nabi s.a.w bersabda:

"Ibadat (solat) zahir itu hanya mampu di lakukan dengan hati yang khusyuk."


Solat ialah doa si hamba kepada Tuhannya. Solat juga ialah pertemuan antara hamba dengan Tuhan. Tempat pertemuan itu di dalam hati. Jika hati itu tertutup, tidak endah dan tidak peduli ataupun mati, maka solatnya tidak memberi sebarang manfaat kepadanya. Solat yang tidak
khusyuk itu tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada diri jasmani, kerana hati itu adalah zat bagi badan. Yang lain itu bergantung kepadanya.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

"Ada sekeping daging dalam badan manusia, apabila keadaannya baik,seluruh diri jadi baik. Dan apabila ia tidak baik, seluruh diri jadi tidak baik. Sedarlah, daging itu ialah hati."

SOLAT ZAHIR itu dilakukan pada waktu-waktu tertentu, lima kali sehari semalam. Tempat paling baik melakukan solat ialah di masjid,berjemaah dan menghadap kiblat. Dalam solat berjemaah, makmum
mestilah menurut imam.

SOLAT BATIN tidak ada hujungnya dan tidak berwaktu-waktu.

Solat ini tidak tertakluk kepada tempat dan masa. Solat ini sentiasa ada dari dunia hingga ke akhirat. Masjid solat ini terletak di hati. Jemaahnya ialah anggota-anggota batin atau daya-daya ruhaniah yang berzikir dan membaca Asma-ul-Lah (nama-nama Allah) dalam bahasa alam ruhaniah (alam batin). Imam dalam solat ini ialah kemahuan atau keinginan (niat) yang kuat. Kiblatnya ialah kehadirat Allah s.w.t  – Keesaan Allah s.w.t  –iaitu menurut al-Quran di mana sahaja memandang di situ wajah-Nya –Yang Maha Kekal dan Maha Indah. Pendeknya kiblatnya ialah Allah s.w.t

Solat demikian boleh dilakukan oleh hati yang ikhlas, hati yang tidak tidur dan tidak mati. Hati dan jiwa seumpama ini kekal dan sentiasa beribadat atau bersolat sama ada dalam tidur atau dalam jaga. Ibadat hati ini ialah seluruh hayat dan seluruh hayat ini adalah ibadat baginya.  Di situ tidak ada lagi bacaan di mulut, tidak ada lagi berdiri, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan sebagainya.
Mursyid di sini ialah Nabi Muhammad s.a.w. Ia berkata-kata dengan Allah s.w.t :

"Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan." (al-Fatihah: 5).



Dengan kata lain, hayat hati kekal terus bersolat kepada Allah s.w.t. Setelah ibadat (solat) zahir dengan solat batin berpadu, berharmoni dan bersatu, maka sempurnalah solat seseorang itu dan ganjarannya amat besar. Hati atau ruh yang demikian membawa seseorang itu hampir dan masuk ke hadirat Ilahi. Hatinya bersatu dengan Allah dan badannya  atau keduniaannya mencapai tingkat yang tertinggi mungkin. Dalam alam nyata ini, ia jadi manusia atau hamba Allah s.w.t yang warak dan alim.
Firman Allah s.w.t ini ditafsirkan sebagai tanda ketinggian kesedaran Insan Kamil (Manusia Sempurna) iaitu mereka yang beberapa tingkat alam rasa dan pengalaman ruhaniah dan tenggelam dalam tauhid atau keesaan Allah s.w.t dan bersatu dengan Allah s.w.t .

Hati sebegini mendapat berkat dan rahmat dari Allah s.w.t . Satu daripada kelebihan hati yang sempurna ini ialah sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w:

"Para Nabi dan kekasih-kekasih (para wali) Allah s.w.t  terus solat dalam kubur mereka sebagaimana mereka bersolat di rumah mereka di dunia ini."
Dalam alam batin atau keruhanian, ia jadi ahli makrifat yang telah sampai ke peringkat kesempurnaan mengenal Allah s.w.t. Sekiranya ibadat zahir tidak bersatu dengan ibadat batin maka itu belum sempurna dan belum permai. Ganjarannya ialah hanya maju dalam peringkat dari segi pandangan manusia sahaja. Ianya tidak membawa seseorang itu hampir kepada Allah s.w.t.dan berpadu dengan-Nya.
wallahualam
Sumber: http://groups.yahoo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...