Sabtu, 18 Jun 2011

SIFAT 20 ALLAH S.W.T

Adalah sifat-sifat yang wajib bagi Allah s.w.t. yang wajib bagi Allah yang wajib diketahui dengan tafsil ( satu persatu ) iaitu 20 sifat :

1 . Wujud  : Ertinya ADA
Iaitu tetap dan benar yang wajib bagi zat Allah Ta'ala yang  tiada disebabkan dengan sesuatu sebab.  Maka wujud ( Ada ) – disisi Imam Fakhru Razi dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi bukan ia a'in maujud dan bukan lain daripada a'in maujud ,  maka atas qaul ini adalah wujud itu Haliyyah ( yang menepati antara ada dengan tiada).
Tetapi pada pendapat Imam Abu Hassan Al-Ashaari wujud itu 'ain Al-maujud ,  kerana wujud itu zat maujud kerana tidak disebutkan wujud melainkan kepada zat.  Kepercayaan bahawa wujudnya  Allah s.w.t.  bukan sahaja di sisi agama Islam  tetapi semua kepercayaan di dalam dunia ini mengaku menyatakan Tuhan itu ada.
Firman  Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Dan jika kamu tanya orang-orang kafir itu siapa yang menjadikan langit dan bumi nescaya berkata mereka itu Allah yang menjadikan……………"
( Surah Luqman : Ayat 25 )
2.  Qidam  : Ertinya SEDIA

Pada hakikatnya menafikan ada permulaan wujud Allah s.w.t  kerana Allah s.w.t. menjadikan tiap-tiap suatu yang ada, yang demikian tidak dapat  tidak keadaannya lebih dahulu daripada tiap-tiap sesuatu itu.  Jika sekiranya Allah Ta'ala tidak lebih dahulu daripada tiap-tiap sesuatu,  maka hukumnya adalah mustahil dan batil.  Maka apabila disebut Allah s.w.t. bersifat Qidam maka jadilah ia qadim.  Di dalam Ilmu Tauhid ada satu perkataan yang sama maknanya dengan Qadim iaitu Azali.  

Setengah ulama menyatakan bahawa kedua-dua perkataan ini sama maknanya iaitu sesuatu yang tiada permulaan baginya.  Maka qadim itu khas dan azali itu am.  Dan bagi tiap-tiap qadim  itu azali tetapi tidak boleh sebaliknya, iaitu tiap-tiap azali tidak boleh disebut qadim.  Adalah qadim dengan nisbah kepada nama terbahagi kepada empat bahagian:

1) Qadim Sifati ( Tiada permulaan sifat Allah Ta'ala )
2 ) Qadim Zati ( Tiada permulaan zat Allah Ta'ala )
3) Qadim Idhafi ( Terdahulu sesuatu atas sesuatu seperti dahulu bapa nisbah kepada anak )
4) Qadim Zamani (Lalu masa atas sesuatu sekurang-kurangnya satu tahun)
Maka Qadim Haqiqi ( Qadim Sifati dan Qadim Zati ) tidak harus dikatakan lain daripada Allah Ta’ala.

3.  Baqa’ : Ertinya KEKAL
Sentiasa  ada, kekal ada dan tiada akhirnya Allah s.w.t .
 Pada hakikatnya ialah menafikan ada kesudahan bagi wujud Allah Ta'ala.
 Adapun yang lain daripada Allah Ta'ala , ada yang kekal dan tidak binasa selama-lamanya tetapi bukan dinamakan kekal yang hakiki ( yang sebenar ),  bahkan kekal yang aradhi         ( yang mendatang jua seperti Arasy, Luh Mahfuz, Qalam, Kursi, Roh, Syurga, Neraka, jisim atau jasad para Nabi dan   Rasul ).
Perkara-perkara  tersebut kekal secara mendatang tatkala ia bertakluq dengan Sifat dan Qudrat dan Iradat Allah Ta'ala pada mengekalkannya.  Segala jisim semuanya binasa melainkan 'ajbu Az-zanabi  ( tulang kecil seperti biji sawi letaknya di tungking manusia, itulah benih anak Adam ketika bangkit daripada kubur kelak ).  Jasad semua nabi-nabi dan jasad orang-orang   syahid berjihad  Fi Sabilillah yang mana ianya adalah kekal aradhi jua.  Disini nyatalah perkara yang diiktibarkan permulaan dan kesudahan itu terbahagi  kepada  tiga bahagian :
1)    Tiada permulaan dan tiada kesudahan iaitu zat dan sifat Allah s.w.t.
2)    Ada permulaan tetapi tiada kesudahan iaitu seperti Arash, Luh Mahfuz, Syurga dan lain-lain lagi.
3)    Ada permulaan dan ada kesudahan iaitu segala makhluk  yang lain daripada perkara di atas tadi ( no. 2 ).

4.  Mukhalafatuhu Ta’ala Lihawadith. Ertinya: BERSALAHAN ALLAH TA’ALA DENGAN SEGALA YANG BAHARU.
Pada zat, sifat atau perbuatannya sama ada yang baru , yang telah ada atau yang belum ada. Pada hakikat nya adalah menafikan Allah Ta'ala menyerupai dengan yang baharu pada zatnya , sifatnya atau perbuatannya.
Sesungguhnya zat Allah Ta'ala bukannya berjirim dan bukan aradh Dan tiada sesekali zatnya berdarah , berdaging , bertulang dan juga bukan jenis leburan , tumbuh-tumbuhan , tiada berpihak ,tiada bertempat dan tiada dalam masa.  
Dan sesungguhnya sifat Allah Ta'ala itu tiada bersamaan dengan sifat yang baharu kerana sifat Allah Ta'ala itu qadim lagi azali dan melengkapi  ta'aluqnya. Sifat Sama' ( Maha Mendengar ) bagi Allah Ta'ala berta'aluq ia pada segala maujudat tetapi bagi mendengar pada makhluk hanya pada suara sahaja.
Sesungguhnya di dalam Al-Quraan dan Al-Hadith yang menyebut muka dan tangan Allah s.w.t. , maka perkataan itu hendaklah kita iktiqadkan thabit ( tetap ) secara yang layak dengan Allah Ta'ala Yang Maha Suci daripada berjisim dan Maha Suci Allah Ta'ala bersifat
dengan segala sifat yang baharu.

5. Qiamuhu Ta’ala Binafsihi : Ertinya: BERDIRI ALLAH TA’ALA DENGAN SENDIRINYA.
Tidak  berkehendak kepada tempat berdiri ( pada zat ) dan tidak berkehendak kepada yang menjadikannya.  
Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan Allah s.w.t. berkehendak kepada  tempat  berdiri dan kepada yang menjadikannya.
Allah s.w.t itu terkaya dan tidak berhajat kepada sesuatu sama ada pada perbuatannya atau hukumannya.
Allah s.w.t menjadikan tiap-tiap sesuatu dan mengadakan undang-undang semuanya untuk faedah dan maslahah yang kembali kepada sekalian makhluk .
Allah s.w.t menjadikan sesuatu ( segala makhluk ) adalah kerana kelebihan dan belas kasihannya bukan berhajat kepada faedah.
Allah  s.w.t. Maha Terkaya  daripada mengambil apa-apa manafaat di atas kataatan hamba-hambanya dan tidak sesekali menjadi mudharat kepada Allah Ta'ala atas sebab kemaksiatan dan kemungkaran hamba-hambanya.

Apa yang diperintahkan atau ditegah pada hamba-hamba-Nya adalah perkara yang kembali faedah dan manafaatnya kepada hamba-hamba-Nya jua.
Firman Allah s.w.t. Allah s.w.t. yang  bermaksud :
" Barangsiapa berbuat amal yang soleh ( baik ) maka pahalanya itu pada dirinya jua dan barangsiapa berbuat jahat maka balasannya ( seksaannya ) itu tertanggung ke atas dirinya jua ".
( Surah Fussilat : Ayat 46 )

Syeikh Suhaimi r.a.h berkata adalah segala yang maujudat itu dengan nisbah berkehendak kepada tempat dan kepada yang menjadikannya ,terbahagi kepada empat bahagian :
1) Terkaya daripada tempat berdiri dan daripada yang menjadikannya iaitu zat Allah s.w.t.
2) Berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya iaitu segala aradh   ( segala sifat yang baharu ).
3) Terkaya daripada zat tempat berdiri tetapi berkehendak kepada yang menjadikannya iaitu segala jirim. ( Segala zat yang baharu ) .
4) Terkaya daripada yang menjadikannya dan berdiri ia pada zat iaitu sifat  Allah Ta’ala.

6.  Al-Wahdaniyyah. Ertinya : ESA ALLAH TA’ALA PADA ZAT, PADA SIFAT DAN PADA PERBUATAN.
Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan berbilang pada zat , pada sifat dan pada perbuatan sama ada bilangan yang muttasil ( yang berhubung ) atau bilangan yang munfasil ( yang bercerai ).
Makna Esa Allah s.w.t. pada zat itu iaitu menafikan Kam Muttasil pada Zat ( menafikan bilangan yang berhubung dengan zat ) seperti tiada zat Allah Ta'ala tersusun daripada darah , daging , tulang ,urat dan lain-lain. 
Dan menafikan Kam Munfasil pada zat  ( menafikan bilangan yang bercerai pada zat Allah Ta'ala )seperti tiada zat yang lain menyamai zat  Allah Ta’ala.
Makna  Esa Allah s.w.t pada sifat iaitu menafikan Kam muttasil pada Sifat ( menafikan bilangan yang berhubung pada sifatnya ) iaitu tidak sekali-kali bagi Allah Ta'ala pada satu-satu jenis sifatnya dua qudrat dan menafikan Kam Munfasil pada sifat ( menafikan bilangan – bilangan yang bercerai pada sifat ) iaitu tidak ada sifat yang lain menyamai sebagaimana sifat Allah s.w.t. yang Maha Sempurna.
Makna Esa Allah s.w.t. pada perbuatan iaitu menafikan Kam Muttasil pada perbuatan           ( menafikan bilangan yang bercerai –cerai pada perbuatan ) iaitu tidak ada perbuatan yang lain menyamai seperti perbuatan Allah bahkan segala apa yang berlaku di dalam alam semuanya perbuatan Allah s.w.t sama ada perbuatan itu baik rupanya dan hakikatnya seperti iman dan taat atau jahat rupanya tiada pada hakikat-nya seperti kufur dan maksiat sama ada perbuatan dirinya atau perbuatan yang lainnya ,semuanya perbuatan Allah s.w.t dan tidak sekali-kali hamba mempunyai perbuatan pada hakikatnya hanya pada usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas.
Maka wajiblah bagi Allah Ta'ala bersifat Wahdaniyyah dan ternafi bagi Kam yang lima itu iaitu :
1)  Kam Muttasil pada zat.
2)  Kam Munfasil pada zat.
3)  Kam Muttasil pada sifat.
4)  Kam Munfasil pada sifat.
5)  Kam Munfasil pada perbuatan.
Maka tiada zat yang lain , sifat yang lain dan perbuatan yang lain menyamai dengan zat , sifat dan perbuatan Allah s.w.t .  Dan tertolak segala kepercayaan-kepercayaan yang membawa kepada  menyengutukan Allah Ta'ala dan perkara-perkara yang menjejaskan serta merosakkan iman.

7. Al-Qudrah: Ertinya : KUASA QUDRAH ALLAH S.W.T. MEMBERI BEKAS PADA MENGADAKAN MENIADAKAN TIAP-TIAP SESUATU.
Pada hakikatnya ialah satu sifat yang qadim lagi azali yang thabit ( tetap ) berdiri pada zat Allah s.w.t. yang mengadakan tiap-tiap yang ada dan meniadakan tiap-tiap yang tiada bersetuju dengan iradah.

Adalah bagi manusia itu usaha dan ikhtiar tidak boleh memberi bekas pada mengadakan atau meniadakan , hanya usaha dan ikhtiar pada jalan menjayakan sesuatu .  Kepercayaan dan iktiqad manusia di dalam perkara ini berbagai-bagai Fikiran dan fahaman seterusnya membawa berbagai-bagai kepercayaan dan iktiqad.

1) Iktiqad Qadariah :
Perkataan qadariah iaitu nisbah kepada qudrat . Maksudnya orang yang beriktiqad akan segala perbuatan yang dilakukan manusia itu sama ada baik atau jahat semuanya terbit atau berpunca daripada usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri dan sedikitpun tiada bersangkut-paut dengan kuasa Allah s.w.t.
2) Iktiqad Jabariah :
Perkataan Jabariah itu nisbah kepada Jabar ( Tergagah ) dan maksudnya orang yang beriktiqad manusia dan makhluk bergantung kepada qadak dan qadar Allah semata-mata    ( tiada usaha dan ikhtiar atau boleh memilih samasekali ).
3) Iktiqad Ahli Sunnah Wal – Jamaah :
Perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaahialah orang yang mengikut perjalanan Nabi dan perjalanan orang-orang Islam  iaitu beriktiqad bahawa hamba itu tidak digagahi semata-mata dan tidak memberi bekas segala perbuatan yang disengajanya, tetapi ada perbuatan yang di sengaja pada zahir itu yang dikatakan usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas sebenarnya sengaja hamba itu daripada Allah Ta;ala jua.
Maka pada segala makhluk ada usaha dan ikhtiar pada zahir dan tergagah pada batin dan ikhtiar serta usaha hamba adalah tempat pergantungan taklif ( hukum ) ke atasnya dengan suruhan dan tegahan ( ada pahala dan dosa ).

8. Al-Iradah : Ertinya: MENGHENDAKI ALLAH TA’ALA
Maksudnya menentukan segala mumkin tentang adanya atau tiadanya.  Sebenarnya adalah sifat yang qadim lagi azali thabit berdiri pada Zat Allah Ta'ala yang menentukan segala perkara yang harus atau setengah yang harus atas mumkin . Maka Allah Ta'ala yang selayaknya menghendaki tiap-tiap sesuatu apa yang diperbuatnya.
Umat Islam beriktiqad akan segala hal yang telah berlaku dan yang akan berlaku adalah dengan mendapat ketentuan daripada Allah Ta'ala tentang rezeki ,umur ,baik ,jahat ,kaya , miskin dan sebagainya serta wajib pula beriktiqad manusia ada mempunyai nasib ( bahagian ) di dalam dunia ini sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Janganlah kamu lupakan nasib ( bahagian ) kamu di dalam dunia " .
( Surah Al – Qasash : Ayat:77 )
Kesimpulannya ialah umat Islam mestilah bersungguh-sungguh untuk kemajuan di dunia dan akhirat di mana menjunjung titah perintah Allah Ta'ala dan menjauhi akan segala larangan dan tegahan-Nya dan bermohon dan berserah kepada Allah s.w.t.

9. Al- Ilmu : Ertinya: MENGETAHUI ALLAH TA’ALA.
Maksudnya nyata dan terang meliputi tiap-tiap sesuatu sama ada yang Maujud (ada) atau yang Ma'adum ( tiada ). Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada ( thabit ) qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta’ala.
Allah Ta’ala Maha Mengetahui akan segala sesuatu sama ada perkara Itu tersembunyi atau rahsia dan juga yang terang dan nyata. Maka Ilmu Allah Ta'ala Maha Luas meliputi tiap-tiap sesuatu di Alam yang fana ini.

10. Al- Hayat : Ertinya: HIDUP ALLAH TA’ALA
Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta’ala .
Segala sifat yang ada berdiri pada zat daripada sifat Idrak ( pendapat ) Iaitu : sifat qudrat , iradat , Ilmu , Sama’ Bashar dan   Kalam.

11. Al – Samu’ : Ertinya : MENDENGAR ALLAH TA’ALA.
Hakikatnya ialah sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali berdiri pada Zat Allah Ta’ala. Iaitu dengan terang dan nyata pada tiap-tiap yang maujud sama ada yang maujud itu qadim seperti ia mendengar kalamnya atau yang ada itu harus sama ada atau telah ada atau yang akan diadakan. Tiada terhijab ( terdinding ) seperti dengan sebab jauh , bising , bersuara , tidak bersuara dan sebagainya. Allah Ta'ala Maha Mendengar akan segala yang terang dan yang tersembunyi. Sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :
" Dan ingatlah Allah sentiasa Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ".
( Surah An-Nisa'a -Ayat 148 ).

12. Al – Bashar : Ertinya: MELIHAT ALLAH TA’ALA.
Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali berdiri pada zat  Allah Ta'ala.  Allah Ta'ala wajib bersifat Maha Melihat sama ada yang dapat dilihat oleh manusia atau tidak , jauh atau dekat , terang atau gelap , zahir atau tersembunyi dan sebagainya. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

" Dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan ".
( Surah Ali Imran - Ayat 163 ).

13. Al – Kalam : Ertinya: BERKATA-KATA ALLAH TA’ALA.
Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada , yang qadim lagi azali ,berdiri pada zat Allah Ta'ala. Menunjukkan apa yang diketahui oleh ilmu daripada yang wajib, maka ia menunjukkan atas yang wajib sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :
" Aku Allah , tiada tuhan melainkan Aku .........".
( Surah Taha - Ayat 14 ).
Dan daripada yang mustahil sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :
" ........( kata orang Nasrani ) bahawasanya Allah Ta'ala yang ketiga daripada tiga..........".
( Surah Al-Mai'dah - Ayat 73 )
Dan daripada yang harus sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :
" Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu".
( Surah Ash. Shaffaat – Ayat 96 )
Kalam Allah Ta'ala itu satu sifat jua tiada berbilang.
Tetapi ia berbagai-bagai jika dipandang dari perkara yang dikatakan iaitu :
1) Menunjuk kepada 'amar ( perintah ) seperti tuntutan mendiri solat dan lain-lain kefardhuan.
2) Menunjuk kepada nahyu ( tegahan ) seperti tegahan mencuri dan lain-lain larangan.
3) Menunjuk kepada khabar ( berita ) seperti kisah-kisah Firaun dan lain-lain.
4) Menunjuk kepada wa'ad ( janji baik ) seperti orang yan taat dan beramal soleh akan dapat balasan syurga dan lain-lain.
5) Menunjuk kepada wa'ud ( janji balasan seksa ) seperti orang yang menderhaka kepada ibubapa akan dibalas dengan azab seksa yang amat  berat.

14. Kaunuhu Qadiran ; Ertinya: KEADAAN ALLAH TA’ALA YANG BERKUASA MENGADAKAN DAN MENTIADAKAN.
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala , tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat  Iradat.

15. Kaunuhu Muridan : Ertinya : KEADAAN ALLAH TA’ALA YANG MENGHENDAKI DAN MENENTUKAN TIAP-TIAP SESUATU.
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala , tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Iradat.

16. Kaunuhu ‘Aliman : Ertinya: KEADAAN ALLAH TA’ALA YANG MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala , tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat  Al-Ilmu.

17. Kaunuhu Haiyan : Ertinya : KEADAAN ALLAH TA’ALA YANG HIDUP.
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Hayat.

18. Kaunuhu Sami’an : Ertinya : KEADAAN ALLAH TA’ALA YANG MENDENGAR AKAN TIAP-TIAP YANG MAUJUD.
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum, iaitu lain daripada sifat sama’.

19. Kaunuhu Basiran : Ertinya : KEADAAN ALLAH TA’ALA YANG MELIHAT AKAN TIAP-TIAP YANG MAUJUDAT ( BENDA YANG ADA ).
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Bashar.

20. Kaunuhu Mutakalliman : Ertinya : KEADAAN ALLAH TA’ALA YANG BERKATA-KATA.
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Qudrat.
wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...