Pernah suatu ketika Rasulullah SAW keluar untuk menunaikan solat subuh dari rumah isterinya Saidatina Juwairiyah dan Baginda dapati, Juwairiyah sedang duduk di tempat solatnya.
- Apabila selesai solat subuh (ketika waktu Dhuha), Rasulullah pulang
ke rumah dan mendapati Saidatina Juwairiyah masih di tempat duduknya (sama
seperti keadaan Rasulullah keluar dari rumah tadi).
- Lalu Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah kamu masih seperti ini
ketika aku keluar tadi?” Juwairiyah menjawab: Ya. Lalu Rasulullah
mengajarkan Juwairiyah satu zikir yang sekiranya diucapkan tiga kali
sahaja sudah sama pahalanya dengan apa yang Juwairiyah bacakan sepanjang
hari. Lafaz zikir tersebut ialah:
سُبْحَانَ اللَّهِ
وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ
كَلِمَاتِهِ
- Menurut al-Qastalani, zikir ini mengandungi empat elemen utama yang
meliputi (1) hitungan jumlah makhluk (2) keluasan redha Allah, (3)
timbangan Arasy (4) jumlah kalimahNya. Seakan-akan kita berharap tasbih
yang diungkapkan meliputi segenap aspek di atas.
- Mulla Ali al-Qari pula menjelaskan bahawa mereka yang mengungkapkan
zikir ini akan memperolehi pahala yang luas sepanjang hari (atau sepanjang
pagi atau lebih). Kata beliau:
لَتَرَجَّحَتْ تِلْكَ الْكَلِمَاتُ عَلَى
جَمِيعِ أَذْكَارِكِ وَزَادَتْ عَلَيْهِنَّ فِي الْأَجْرِ وَالثَّوَابِ
“kalimah zikir yang diajarkan Baginda
Nabi itu akan melampaui zikir-zikir yang dibaca oleh engkau (wahai Juwairiyah)
bahkan lebih banyak pertambahan dari sudut ganjaran dan pahala.” (Mirqah
al-Mafatih)
- Amalkan zikir yang diajarkan
oleh Baginda Nabi buat isterinya ini. Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam - www.indahnyaislam.my