Sabtu, 1 Jun 2013

Zun Nun al-Misri, Tokoh Sufi abad ke-3 Hijrah

Zun Nun al-Misri, Tokoh Sufi abad ke-3 Hijrah
Gambar hiasan
Nama penuh sufi besar ini ialah Abu Faidh Zun Nun al-Misri. Beliau hidup pada abad ke-3 Hijrah. Beliau berasal dari Naubah yang terletak di antara Sudan dan Mesir. Beliau membuang segala kemegahan dunia dan sentiasa meletakkan dirinya di atas garis panduan yang ditentukan dalam kitab ALLAH dan Sunnah Rasulullah saw. 

Beliau pernah berkata, “Tanda cinta kepada Tuhan ialah dengan menuruti jejak Saiyyidina Nabi Muhammad saw”. 

Zun Nun meninggal dunia di Giza pada tahun 245 Hijrah. Jenazahnya terpaksa dibawa dengan sampan kerana terlalu ramai yang mengiringi beliau sehingga dikhuatiri jambatan akan runtuh. Diriwayatkan orang ramai yang mengiringi jenazah Zun Nun dapat melihat bagaimana burung-burung hijau mengibarkan sayap di atas jenazahnya hinggalah ke liang lahad. Jenazahnya lalu dikebumikan di satu kawasan yang bernama Basatin. Terdapat banyak kisah-kisah menarik tentang tokoh sufi besar ini. Salah satunya ialah kisah di bawah,

Pada satu hari, ada seorang pemuda mendatangi Zun Nun dan bertanya kepadanya: "Tuan, saya tidak mengerti kenapa orang seperti tuan mesti berpakaian seperti begini, amat sangat sederhana. Bukankah di zaman sekarang berpakaian baik amat perlu, bukan hanya untuk penampilan tetapi juga untuk kehidupan lain."

Sang sufi hanya tersenyum, lalu ia melepaskan cincin dari salah satu jarinya, dan berkata : "Sahabat muda, akan kujawab pertanyaanmu, tetapi lebih dahulu lakukan satu hal untukku. Ambillah cincin ini dan bawalah ke pasar di seberang sana. Cubalah kamu jualnya dengan harga satu keping emas".
Melihat cincin Zun Nun yang kotor, pemuda tadi merasa ragu-ragu dan tidak yakin lalu berkata : "Satu keping emas? Saya tidak yakin cincin ini dapat dijual dengan harga sedemikian". "Cubalah dulu sahabat muda. Mana tahu kamu berjaya", jawab Zun Nun.

Pemuda itu pun bergegas ke pasar. Ia menawarkan cincin itu kepada pedagang kain, pedagang sayur, penjual daging dan ikan, serta kepada yang lainnya. Ternyata, tidak ada seorang pun yang berani membelinya dengan harga satu keping emas. Mereka menawarnya dengan harga satu keping perak. Tentu saja pemuda itu tidak berani menjualnya dengan harga satu keping perak. Ia pun kembali berjumpa Zun Nun dan memberitahunya: "Tuan, tidak ada seorang pun yang berani membelinya dengan harga tidak lebih dari satu keping perak".

Sambil tersenyum Zun Nun berkata : "Sekarang pergilah kamu ke kedai emas di belakang jalan ini. Tunjukkan cincin ini kepada pemilik kedai atau tukang emas disit. Jangan tetapkan harga. Dengarkan saja, bagaimana ia membuat penilaian".

Pemuda itu pun pergi ke kedai emas yang dimaksudkan. Ia kembali kepada Zun Nun dengan raut wajah yang berlainan. Pemuda itu memberitahu Zun Nun : "Tuan, ternyata para pedagang di pasar tidak tahu menilai cincin ini. Pedagang emas menawarnya dengan harga seribu keping emas. Rupanya nilai cincin ini seribu kali lebih tinggi dari yang ditawar oleh para pedagang di pasar".

Zun Nun tersenyum simpul sambil berkata : "Itulah jawapan atas pertanyaanmu tadi sahabat muda. Seseorang tidak boleh dinilai dari pakaiannya. 

Hanya "para pedagang sayur, ikan dan daging di pasar" yang menilai demikian. Namun tidak bagi "pedagang emas". 

Emas dan permata yang ada dalam diri seseorang, hanya dapat dilihat dan dinilai jika kita mampu melihatnya sehingga ke lubuk jiwa. Untuk melihat ke lubuk jiwa, ia memerlukan masa dan kearifan, wahai sahabat mudaku.

Kita tidak dapat menilainya dengan hanya melihat sepintas lalu atau mendengar kata-kata orang. Adakalanya yang disangka emas itu dalam diri kita itu sebenarnya loyang yang tidak berguna dan adakalanya loyang yang disangka tidak berguna sebenarnya emas di mata orang lain."

http://maptam.blogspot.com/2009/07/kisah-3-zun-nun-al-misri-tokoh-sufi.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...