Khamis, 21 Disember 2017

Beza Antara Ujian Dengan Musibah

Ustaz Ghouse Khan Suratee

SOALAN - Apakah perbezaan antara musibah dengan ujian dan adakah ia mengangkat darjat kita?
JAWAPAN - Sebelum menjawab, kita perlu menganalisis penggunaan lafaz 'musibah' agar tepat digunakan dalam perbincangan ini.

Lafaz 'ibtilaa', 'imtihan', 'fitnah' (bahasa Arab) mempunyai pengertian hampir sama, iaitu dugaan daripada Allah swt ke atas sebahagian hamba-Nya untuk menilai kadar keimanan mereka.
Begitu juga perkataan musibah, bala dan bencana (bahasa Melayu) masih diertikan sebagai ujian dan dugaan Allah ke atas hamba-Nya.
Kata lawan bagi ujian Allah ini ialah 'uquubah', 'azab' dan 'iqaab' (bahasa Arab) yang bermakna hukuman dan balasan.
Terdapat perbezaan antara ujian dan hukuman, seperti berikut:
1. Ujian itu bersifat sementara. 
Ujian bersifat sementara dan tidak kekal. Ia wujud hanya untuk menduga keimanan orang yang beriman.
Hukuman atau uquubah adalah balasan kepada mereka yang melakukan dosa dan bersifat kekal abadi.
Biasanya ujian datang dalam bentuk ketakutan, kelaparan, kekurangan wang atau harta dan makanan dan kematian.
Allah swt berfirman: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah: 155).
Dalam sejarah para nabi, beberapa perkara berlaku:
·         Nabi Ibrahim as dicampak ke api oleh Namrud.
·         Nabi Ayub as pernah ditimpa sakit berpanjangan.
·         Nabi Yusuf as dimasukkan ke dalam penjara.
·         Nabi Yahya as juga pernah dimasukkan ke dalam penjara.
·         Nabi Yunus as dimasukkan ke dalam perut ikan.
·         Nabi Muhamad saw pernah diboikot oleh kafir Quraisy di Makkah selama tiga tahun.
Semua ini adalah ujian Allah bagi para hamba-Nya yang beriman. Ia berlaku dalam beberapa ketika sahaja, bukan hukuman atau balasan pedih daripada Allah selama-lamanya.
2. Ujian baik buruk sebagai peringatan atau menyedarkan Mukmin.
Ada juga ujian yang menimpa orang Mukmin berbentuk bencana supaya mereka cepat bertaubat dan sedar daripada kelalaian atau kecuaian yang menghinggapi mereka.
Ada kala ujian ini tidak berbentuk bencana tetapi nikmat yang diberi kepada seorang Mukmin untuk menduga sama ada dia tetap bersyukur kepada-Nya seperti sebelumnya atau kalah dengan perasaan baru yang timbul iaitu berasa bangga dengan pencapaiannya seperti termaktub dalam Al-Quran (Al-Anbiya': 35).
Contoh ujian nikmat daripada Allah yang akhirnya berjaya disyukuri adalah ujian Allah ke atas Nabi Sulaiman yang sangat agung kerajaannya sehingga pengikutnya dapat memindahkan istana Puteri Balkis secepat kerlipan mata seperti yang diterangkan dalam Al-Quran (rujuk Al-Naml: 40).
Contoh ujian nikmat daripada Allah yang akhirnya tidak disyukuri adalah ujian Allah ke atas Qarun yang diberikan harta yang banyak tapi dia mengatakan kesemua kekayaan itu adalah disebabkan oleh ilmunya semata-mata. (Al-Qasas: 78).
3. Ujian itu menjadi azab jika menimpa ahli maksiat.
Sebahagian ulama menyatakan ujian Allah jika ditimpakan ke atas orang yang banyak dosa dan melakukan maksiat dan jika mereka tidak menyedarinya itu sebagai ujian dan tidak bertaubat dengan segera atau gagal dengan ujian-Nya, maka ia bukan lagi ujian tetapi telah menjadi azab yang menimpa seperti yang menimpa Qarun.
Allah menjelaskan bahawa tiada suatu azab menimpa seseorang melainkan kerana pilihan manusia itu sendiri, iaitu tidak berjaya dengan ujian Allah, seperti firman Allah:
"Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah daripada Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah daripada (kesalahan) dirimu sendiri." (Al-Nisaa: 79).
4. Ujian Allah menggugurkan dosa supaya manusia bertaubat.
Ujian itu ada kala bermaksud menghapuskan dosa si Muslim supaya dia cepat bertaubat.
Azab yang menimpa pula adalah kerana banyak dosa dan maksiat.
Nabi saw bersabda: "Tiada seorang Muslim yang ditimpa gangguan sebesar duri sekalipun atau lebih berat daripada itu, melainkan dengan ujian itu Allah swt menghapuskan perbuatan buruknya serta menggugurkan dosa-dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daun-daunnya." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).
Al-Quran juga menjelaskan bencana yang menimpa seorang Mukmin itu bukanlah azab kekal atau balasan atas perbuatannya yang salah, tetapi ia seperti penghapus dosa-dosanya dan penyebab dia melakukan taubat - "Dan demi sesungguhnya, Kami akan berasakan mereka sedikit daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat." (Al-Sajadah: 21)
5. Ujian menaikkan darjat dengan kesabaran.
Ada sebahagian hamba Allah melihat ujian sebagai satu keuntungan untuk meraih darjat di sisi Allah dengan bersabar.
Allah berfirman: "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali"." (Al-Baqarah : 155-6).
Allah juga berfirman mengenai pencapaian pahala dan darjat yang tinggi daripada ujian-Nya (Al-Zumar: 10).
Hanya dengan ilmu pengetahuan dan takwa diri dapat mengenal mana ujian dan mana azab Allah.
Jangan sampai seseorang yang ditimpa azab menyangka ia ujian.
Tidak rugi pula jika setiap ujian disangka azab supaya manusia insaf dan segera bertaubat daripada segala kesalahannya.
Penulis Imam Eksekutif Masjid Al-Firdaus.

Isnin, 11 Disember 2017

۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

❝Termasuk faedah yang paling besar dalam diam adalah kewibawaan, ketenangan dan perkataan hikmah. Setiap seseorang yang diam nya lebih banyak, maka hikmah dihatinya terus bertambah banyak.❞

[Habib Muhammad Bin Abdurrahman As-Segaf]
۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞
❝Jikalau anda sekalian ingin memanfaatkan sisa umur anda, maka manfaatkanlah untuk ketaatan kepada-Nya. Kesempatan tak akan datang untuk kedua kalinya. Kian lama umur kita semakin berkurang dan kita semakin mendekati kematian. Mari kita perhitungkan umur kita! 
Apa yang telah kita lakukan selama ini❞

[Imam Habib Ali bin Muhammad Al-Habsyi ‎رحمه الله تعالى]
۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

❝Jika hatimu belum remuk dengan kehidupan ini, maka dirimu masih belum berada dalam wilayah cintaNya. Dia melihat hatimu belum bersedia untuk diremukkan lantaran cintamu padaNya belum benar-benar murni. Fahamilah bahasa cinta Tuhan melalui nikmat dan musibah.❞

[Walid Al-Malik ‎رحمه الله تعالى]

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...