SOALAN: Ada masjid yang saya kunjungi sewaktu solat Zuhur sering
mengadakan kuliah sebelum solat. Biasanya selepas tamat kuliah, iqamah terus
dilaungkan dan solat fardu Zuhur terus didirikan secara berjemaah. Adakah lebih
baik solat terus tanpa solat badiah Zuhur atau adakah saya patut beralih ke
belakang dan solat badiah Zuhur dan meninggalkan ceramah?
JAWAPAN:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam
kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda,
para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda
sehingga Hari Kiamat.
PERTAMANYA, kami beranggapan bahawa saudara/i yang
bertanya mungkin terkeliru dengan istilah qabliah dan badiah. Maklum dalam
Syarak bahawa disunatkan bagi seseorang itu untuk solat sunat qabliah (sebelum)
Zuhur dan badiah (selepas) Zuhur. Paling afdal ialah
empat rakaat qabliah dan empat rakaat badiah manakala paling kurang ialah dua
rakaat bagi qabliah dan badiah. Hal ini berdasarkan hadith, Aisyah R.Anha
meriwayatkan bahawa:
Maksudnya: “Nabi SAW tidak meninggalkan empat rakaat solat
sunat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sebelum solat Subuh.” Riwayat al-Bukhari (1127).
Hadith seterusnya: Maksudnya: “Baginda bersolat di rumahku
empat rakaat sebelum Zuhur, kemudian Baginda keluar bersolat bersama-sama orang
ramai. Selepas itu Baginda masuk semula bersolat pula dua rakaat.” Riwayat Muslim (730).
Baginda juga menambah solat dua rakaat lagi selepas itu. Hal
ini berdasarkan hadith, daripada Ummu Habibah R.Anha katanya, aku mendengar
Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat empat rakaat sebelum solat
Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, Allah memeliharanya daripada neraka.”
Riwayat Abu Daud,
al-Tirmizi, al-Nasaie, Ibn Majah dan Ahmad dan disahihkan oleh al-Tirmizi (427
& 428)
KEDUA, adalah lebih baik masjid tersebut tidak
meninggalkan azan kerana azan adalah syiar Islam. Ia juga merupakan pemberitahu
kepada masyarakat sekeliling bahawa waktu solat sudah masuk. Apatah lagi jika
kejadian itu berlaku di masjid yang merupakan pusat kepada aktiviti keagamaan
masyarakat setempat. Daripada sudut fiqh, azan itu sunat muakkad hukumnya bagi
solat yang hendak dilakukan atau yang sudah luput. (Rujuk Fiqh al-Manhaji, 1/114).
Ertinya, tiada masalah sekiranya selepas habis kuliah, azan
dilaungkan. Namun, kami cadangkan sebaiknya dihentikan seketika kuliah untuk
azan Zuhur, kemudian disambung yang berbaki daripada kuliah. Dengan itu setiap
hak penceramah dan hak solat dapat diraikan dengan harmoni.
KETIGA, tiada masalah untuk solat qabliah dan
meninggalkan ceramah itu. Baik juga jika selesai solat dan ceramah masih
berlangsung, untuk bersama dengan jemaah mendengar ceramah tersebut. Berkenaan
dengan solat di belakang atau di sisi ruang solat, kami berpendapat perbuatan
tersebut lebih utama jika dengan itu sebagai adab dan mengelakkan gangguan
kepada penceramah sekiranya kita solat di hadapan mereka. Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah
fiqh menyebut:
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang
memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta
selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik
(2/746) dalam Muwattho’.
Kami juga menasihatkan agar imam dan jemaah tidak
meninggalkan solat sunat qabliah dengan terus didirikan solat selepas tamatnya
kuliah untuk meraih fadilat solat sunat. Abdullah bin Mughaffal al-Muzani RA
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Di antara setiap dua azan (yakni azan dan
iqamah) itu terdapat solat. Di antara setiap dua azan itu terdapat solat.”
Kemudian baginda menyebut pada kali ketiga: “bagi siapa yang ingin
melaksanakannya (menunjukkan hal itu sunat).” Hadis riwayat Imam Bukhari (627)
dan Imam Muslim (838).
Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan