Sabtu, 8 Disember 2012

TASBIH TANGAN


KISAH RENUNGAN: DAKWAH SOLAT

Kisah Renungan: Dakwah Solat



Tersebutlah kisah di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat liat untuk mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.
Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.

“ Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita” kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.

“ Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat ye “ jawab pemuda tersebut secara sinis.
Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.

“ Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya dirikan solat lima waktu?” sindir pemuda ini bila melihat ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.

Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab “ Sekadar ingin berkenalan.Tiada langsung niat saya ingin memaksa kamu seperti yang kamu sebutkan”.

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut berkenaan solat . Perkara yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk , terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat.

Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar di tempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut “ Ahmad, aku ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?”Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.

“Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada padaku inilah yang menghalang untukku melakukannya”jawab Ahmad memberikan alasan.

“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”
“Permintaan apa itu wahai tuan?”
“Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun sudah memadai, Boleh?”Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.

“Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.
“Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja” Jawab Syeikh sambil tersenyum.
“Baik ,dulu kamu pernah ceritakan kepadaku bahawa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
“Benar Tuan Syeikh”

”Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang kamu telah bangun setiap awal pagi , apa kata jika kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.

“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan.Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.

“Aku berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira bilamana melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya: “ Bagaimana dengan janjimu dulu Ahmad. Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal menunaikan solat subuh?”.Ahmad menjawab dengan yakin : “ Berkat doamu tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini”.

“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engaku benar-benar menunaikan janjimu.”
“Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”

“Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan .Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?”Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

“Benar apa yang tuan katakan.Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan”
“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
“Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan , kemudian aku sambung kembali kerja sehingga hampir Asar”
“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan ? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.

“Ya benar Tuan”
“Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wuduk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.
Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “ Betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.
Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib. Terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang setelah menunaikan solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.
“Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.
“Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”

“Baguslah begitu.Aku sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.”Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.
“Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.
“Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak menunaikannya”
“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?”Tanya Tuan Syeikh menguji.

“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh” jawab Ahmad dengan penuh semangat.
“Kalau begitu dirikanlah solat Isya’. Maka engkau tidak lagi kurang berbanding kami.Malah engkau akan menjadi lebih baik daripada kami” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.
Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad.Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.

Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap, harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan mengatakan bahawa semua sudah lari daripada jalan dakwah.Lari daripada jalan kebenaran.

From:Mohd Khaidir Abu Talib

Sumber: http://remy89.wordpress.com/2010/10/13/kisah-renungan-dakwah-solat/

KENAPA PERLU INGAT MATI ?

KENAPA PERLU INGAT MATI ?
PERINGATAN DI HENING MALAM.........


Gambar hiasan
SETIAP MUKMIN sepatutnya ingatkan mati pada setiap hari, ini kerana mengikut Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa an-Nihayah mengatakan bahawa MALAIKAT MAUT akan menjengok manusia itu sebanyak 5 kali sehari iaitu setiap kali selepas sembahyang fardhu... Oleh kerana rahmat Allah s.w.t., maka manusia tidak mampu untuk melihat malaikat maut itu.... 

Mengingati kematian ada banyak faedahnya kepada manusia. Antaranya ialah:

* Dengan mengingati kematian, hati manusia akan menjadi lembut dan akan menerima segala perintah Allah s.w.t dengan penuh keredhaan dan keikhlasan...

* Dengan mengingati kematian, membuatkan manusia akan rajin beramal di dunia ini, kerana mereka yakin bahawa segala amalan kebaikan mereka akan memberi faedah kepada mereka setelah mereka mati nanti...

* Dengan mengingati kematian, manusia akan meninggalkan segala maksiat, kerena mereka yakin segala maksiat yang dilakukan di dunia, ini akan mendapat pembalasan dari Allah s.w.t di akhirat nanti....

* Dengan mengingati kematian, akan memyebabkan manusia akan segera bertaubat dari segala kesalahan yang telah mereka lakukan.... Ini kerana kita tidak mengetahui bilakah masanya, dan di tempat manakah nyawa kita akan dicabut oleh malaikat maut...

* Dengan mengingati kematian juga manusia akan merasa cukup dan berpuas hati dengan harta atau rezeki yang halal, sambil berusaha lebih untuk mendapat yang lebih baik lagi.... tapi bukan dengan cara yang haram, seperti mengamalkan riba, rasuah, mencuri, merompak, menipu dan berbagai-bagai lagi....

* Dengan mengingati kematian juga, menyebabkan manusia akan RAJIN DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH di dalam menjalankan tugas hariannya.... Ini kerana mereka yakin bahawa setiap pekerjaan yang baik dan bersungguh-sungguh adalah merupakan ibadah dan akan mendapat pahala.....

APABILA ROH kita dicabut, tiada guna segala harta dunia , kereta mewah , rumah besar , isteri yang cantik, atau suami yang kacak, pangkat yang tinggi, harta bertimbun-timbun tidak lagi memberi manfaat, kecuali AMALAN YANG SOLEH soleh sahaja, yang akan BERSAMA-SAMA kita di dalam kubur yang sempit, sunyi dan gelap... TIDAK ADA RAKAN-rakan KARIB, TINGGALLAH ISTERI YANG CANTIK,suami yang kacak, TINGGALLAH ANAK-ANAK,TINGGALLAH FB..SIAPAKAH YANG AKAN MENEMANI KITA.... Fikir-fikirkan lah.........AMALAN ???...

http://jaksa-yadim.blogspot.com/2012/03/kenapa-perlu-ingat-mati.html


cikgusuhaimifb

Khamis, 6 Disember 2012

PENCARIAN INI


PENCARIAN INI


ku mencari akan diriMu
hingga ku terdampar kaku di pasiran
menangisi khilaf ku...  alpa ku.. egoisnya aku

ku menjejaki akan diriMu
walaupun pernah kita beriringan
mematuhi atur syariat hakMu..

namun kita berjauhan kerna khilaf ku..alpa ku..egoisnya aku

bisikan sang bayu mengejut akan aku
bingkisan ingatanMu jemputan berhemah
lembut menyapa dengan hebat suci ayatMu

tanpa sedar gugurnya gerimis syahdu
menzahirkan sesal hati sukar dimengerti
ku bersujud akan padaMU

tika doaku mendapat tempat disisiMu
pada waktu permintaanku tidak dinafikanMu
patuhku tunduk syukur nikmat kurniaanMu
kiriman sinar ,suluhan titian, pimpinan pedoman
bak kilauan kejora sayup di kelam malam
membentuk impian hati yang hampir tenggelam

kasih dan sayang ku padaMu
berkembang mewangi penuhi jambangan
bersiram rindu pautan hati
bingkisan misteri cintaMu kusanjungi
inginku bertaut ikatan hakiki

ku kini berserah akan janjiMU
Maha Mengetahui Maha Memahami

-nor

Selasa, 4 Disember 2012

Kebersihan Diri Tanda Kesucian Hati

Kebersihan diri tanda kesucian hati
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Gambar hiasan..
ISLAM adalah agama yang sangat mementingkan kebersihan dan kecantikan. Bahkan di sisi Islam orang yang menjaga kebersihan itu adalah mereka yang mempunyai iman yang tinggi. Umat Islam perlu menjaga ketrampilan dan penampilan diri agar sentiasa kelihatan anggun dan hebat selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam al-Quran, as-Sunnah dan ijtihad para ulama yang muktabar. Nabi Muhammad SAW adalah contoh yang terbaik untuk kita jadikan ikutan dalam menekankan aspek kebersihan dan kesucian, khususnya berkaitan penampilan diri dan berpakaian.

Sekiranya kita meneliti hadis-hadis berkaitan dengan pakaian Rasulullah SAW, kita akan mendapati bahawa baginda amat suka memakai pakaian yang berwarna putih. Warna putih menampakkan kebersihan dan kesucian, walaupun baginda tidak melarang untuk memakai pakaian berwarna lain.

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian mengenakan pakaian yang berwarna putih. Orang-orang yang masih hidup antara kalian hendaklah mengenakan pakaian berwarna putih. Dan orang-orang yang telah meninggal dunia, hendaklah dikafankan dengan kain yang berwarna putih. Sesungguhnya, pakaian yang berwarna putih itu merupakan bahagian pakaian yang paling baik.” 
(riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Pakaian baginda bukan sahaja amat bersih malah sangat kemas dan wangi. Walaupun mempunyai pakaian yang terhad dan sederhana harganya, ia tidak langsung menjadi alasan untuk baginda memakai pakaian yang kotor dan tidak kemas.

Baginda amat menjaga tubuh badan Baginda agar sentiasa dalam keadaan sihat dan bertenaga. Paling penting, orang-orang yang berada di sekeliling merasa selesa bersama baginda.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka bersugi setiap kali mereka hendak melakukan solat. (riwayat Muslim)

Anas ra pula meriwayatkan: Aku tidak pernah menghidu wangian anbar, kasturi dan apa jua wangian yang lebih wangi daripada bau Rasulullah SAW. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah beberapa kaedah menjaga penampilan diri yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Di samping kebersihan pakaian dan imej luaran ini, Islam juga amat mementingkan kebersihan dan kesucian hati. Hal ini kerana individu Muslim yang berjaya menyucikan hatinya, pasti akan memelihara zahir dan batinnya daripada melanggar perintah Allah SWT.

Peranan hati sangat penting dalam kehidupan manusia, khususnya dalam menentukan sikap dan perilaku. Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Individu yang bersih hatinya, akan menjaga tutur katanya agar tidak mengguris perasaan orang lain. Apa sahaja yang diungkapkan melalui lidahnya akan menggembirakan hati orang lain dan menambahkan manfaat dalam kehidupan dunia dan akhirat. Orang yang bersih hatinya akan berfikir sebelum berkata-kata. Dia juga akan menjaga hatinya daripada perasaan-perasaan keji seperti bongkak, iri hati, dendam dan sebagainya.

Dia juga akan merasa senang dengan kejayaan orang lain di samping meningkatkan prestasi diri agar beroleh kejayaan yang sama.

Di samping itu, dia akan merasa susah dengan kesusahan yang dialami oleh orang lain dan berusaha untuk membantu menyelesaikan masalahnya, bukan memberatkan lagi bebanan tersebut.

http://epondok.wordpress.com/2012/11/23/kebersihan-diri-tanda-kesucian-hati/

8 HADIAH BERHARGA UNTUK YANG TERSAYANG

8 HADIAH BERHARGA UNTUK YANG TERSAYANG
Pemberian material belum mampu tambat kasih

Gambar hiasan je..
KITA sering merasakan ingin dihargai tetapi pernahkah kita menghargai orang yang disayangi. Oleh itu, marilah kita menghargai saudara seagama menurut perspektif Islam tanpa menilai rupa, harta dan jagalah adab apabila bersama mereka.

Ada beberapa kepentingan yang harus kita pelihara supaya ukhuwah kekal dalam dakapan menuju reda Allah seperti menjaga sikap, saling menasihati, memahami dan bantu-membantu.

Tiap yang asas itu ada perhiasannya, begitu juga ukhuwah, ada perhiasan yang sesuai. Perhiasan bukanlah sesuatu kewajipan tetapi ia seolah garam dalam makanan dan gula dalam minuman. Apabila dipraktikkan, kekuatan ukhuwah itu makin terasa dan tembok perbalahan tidak akan terbina.

Cara kita menghargai saudara kita ialah dengan memberi hadiah dan antara hadiah itu ialah:

Kehadiran
Kehadiran orang yang dikasihi adalah hadiah yang tidak ternilai harganya. Memang kita boleh hadir dengan menghantar surat, e-mel, laman facebook, telefon, foto dan banyak lagi dengan teknologi canggih kini.

Namun, dengan berada di samping mereka kita akan dapat berbagi perasaan, perhatian dan kasih sayang secara lebih utuh. Oleh itu, jadikan kehadiran anda sebagai pembawa kebahagiaan.

Mendengar
Sedikit orang yang mampu memberikan hadiah seperti ini, kerana kebanyakan kita lebih suka dirinya didengari berbanding dia mendengar. Keharmonian hubungan antara manusia amat ditentukan oleh kesediaan saling mendengar.

Dengan mencurahkan perhatian pada segala ucapannya, secara tidak langsung kita juga menumbuhkan kesabaran dan kerendahan hati. Untuk mendengar dengan baik, pastikan anda dalam keadaan tenang supaya dapat memahami apa yang disampaikan.

Diam
Dalam diam juga ada kekuatan. Diam boleh digunakan untuk menghukum, mengusir atau membingungkan orang. Tetapi lebih dari segala-galanya, dia boleh menunjukkan kecintaan kita pada seseorang kerana memberi ruang.

Kebebasan

Mencintai seseorang bukan bererti memberi kita hak penuh untuk memiliki atau mengatur kehidupan orang disayangi. Bolehkah kita mengaku mencintai seseorang jika kita selalu mengekangnya? Memberi kebebasan adalah salah satu bukti cinta.

Makna kebebasan bukanlah bebas berbuat sesuka hati tetapi memberinya kepercayaan penuh untuk bertanggungjawab atas segala hal yang diputuskan atau dilakukan.

Keindahan
Siapa yang tidak bahagia, jika orang yang disayangi tiba-tiba tampil lebih kacak atau cantik? Tampil indah dan rupawan juga adalah hadiah. Bahkan tidak salah jika anda tampil cantik tiap hari begitu juga memastikan kediaman juga indah.

Tanggapan positif
Sedar atau tidak, kita sering memberi penilaian negatif terhadap fikiran, sikap atau tindakan orang yang kita sayang. Kali ini cuba hadiahkan tanggapan positif, nyatakan dengan jelas dan tulus. Cuba ingat berapa kali dalam seminggu anda mengucapkan terima kasih terhadap apa yang dilakukannya demi anda. Ingat pula, pernahkah anda memujinya. Ucapan terima kasih, pujian dan permintaan maaf adalah hadiah cinta yang sering dilupakan.

Kesediaan mengalah

Tidak semua masalah layak menjadi bahan pertengkaran, apalagi hingga menjadi perbalahan yang hebat. Semestinya anda pertimbangkan apakah ia perbalahan itu berbaloi dan apabila ini berlaku, mungkin ada baiknya anda mengalah.

Kesalahannya mungkin terlewat tiba untuk temu janji dan itu adalah kali pertama, jadi perlukah pertengkaran dibiarkan berlanjutan. Kesediaan untuk mengalah boleh menghilangkan perasaan sakit hati dan menyedarkan kita bahawa manusia tidak sempurna.

Senyuman
Kekuatan senyuman amat luar biasa lebih-lebih lagi senyuman diberi dengan tulus, boleh menghangatkan hubungan yang dingin dan menjadi semangat kepada yang berputus asa. Senyuman juga isyarat untuk membuka diri kepada dunia sekeliling kita. Senyum itu juga ibadah.

Mari bersama menilai hadiah apakah yang sudah kita beri kepada yang tersayang dan mana yang belum. Jadikan pemberian hadiah sebagai pengikat kasih sayang yang memperkukuhkan ukhuwah.

Pecahlah batu dipukul besi, berubah hanya dititis air, mana mungkin jiwa pendakwah dapat merubah sekeping hati melainkan ia bertakhtakan kasih.

http://my-mg61.mail.yahoo.com/neo/launch?.rand=8ffa3q3j6tqiv


Khamis, 29 November 2012

Rasulullah Dan Pendita Yahudi, Zaid bin Sanah

Rasulullah Dan Pendita Yahudi, Zaid bin Sanah 


Diriwayatkan oleh At-Thabrani dari Abdullah bin Salam r.a bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w keluar bersama sahabat-sahabat baginda, di antaranya Ali bin Abi Thalib r.a.

Tiba-tiba datang menemui beliau seorang Badwi dengan berkenderaan, lalu berkata; "Ya Rasulullah. di kampung itu ada sekumpulan manusia yang sudah memeluk Agama Islam dengan mengatakan bahawa jika memeluk Islam, mereka akan mendapat rahmat dan rezeki dari Allah. Tetapi sesudah mereka semua peluk Islam, terjadilah musim kering dan panas yang bersangatan sehingga mereka ditimpa bahaya kelaparan.

Saya khuatir ya Rasulullah jika mereka kembali kufur meninggalkan Islam kerana soal perut, kerana mereka memeluk Islam juga adalah kerana soal perut. Saya ingin agar kepada mereka engkau kirimkan bantuan untuk mengatasi bahaya kelaparan yang menimpa mereka itu."

Mendengar keterangan itu. Rasulullah s.a.w lalu memandang Ali bin Abu Thalib. Ali mengerti maksud pandangan itu sambil berkata, "Ya Rasulullah, tidak ada lagi bahan makanan pada kita."

Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi yang turut mendengarkan laporan orang Badwi dan jawapan Ali bin Abu Thalib lalu mendekatkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w dan berkata, "Wahai Muhammad, kalau engkau suka, akan saya belikan kurma yang baik lalu kurma itu dapat engkau beli padaku dengan hutang dan dengan perjanjian begitu, begini."

Berkata Rasulullah s.a.w, "Jangan dibeli kurma itu sekiranya kau berharap aku berhutang kepadamu tetapi belilah kurma itu dan berilah kami pinjam dari engkau."

"Baiklah." jawab Zaid bin Sanah.

Zaid bin Sanah pun membeli buah kurma yang baik-baik lalu menyerahkan kepada Rasulullah s.a.w dengan perjanjian-perjanjian tertentu dan akan dibayar kembali dalam jangka waktu yang tertentu pula. Sebaik saja Rasulullah s.a.w menerima kurma itu, lalu diarahkan supaya buah kurma tersebut diserahkan dan dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung yang ditimpa bencana itu.

Berkata Zaid bin Sanah, "Dua atau tiga hari sebelum tiba tempoh perjanjian pengembalian pinjaman seperti yang ditetapkan dalam perjanjian itu, Rasulullah s.a.w keluar menziarahi orang mati bersama Abu Bakar, Umar, Usman dan beberapa orang sahabat yang lain.

Setelah selesai menyembahyangkan jenazah tersebut, Rasulullah s.a.w pergi ke suatu sudut untuk duduk lalu saya menghampirinya dengan memegang erat-erat bajunya dan berkata kepadanya dengan sekasar-kasarnya. "Hai Muhammad, bayar hutangmu kepadaku, aku tahu bahawa seluruh keluarga Abdul Mutalib itu selalu melengah-lengahkan masa untuk membayar hutang!"

Mendengar kata-kataku yang kasar itu, wajah Umar bin Khattab merah padam kemarahannya, lalu berkata, "Hai musuh Allah, engkau berkata begitu kasar terhadap Rasulullah dan berbuat tidak sopan. Demi kalau tidak kerana rasa hormatku terhadap Rasulullah s.a.w yang berada di sini, sungguh tentu akan ku potong lehermu dengan pedangku ini."

Rasulullah memandang Pendita Yahudi tersebut dalam keadaan tenang dan biasa saja, lalu berkata kepada Umar, "Hai Umar, antara saya dengan dia ada urusan hutang piutang yang belum selesai. Sebaik-baiknya engkau menyuruh aku membayar hutang itu dan menganjurkan kepadanya untuk berlaku baik menuntut hutangnya. Hai Umar, pergilah bersama dia ke tempat penyimpanan kurma, bayarlah hutang itu kepadanya dan tambahlah 20 gantang sebagai hadiah untuk menghilangkan rasa marahnya."

Setelah Umar membayar hutang itu dengan tambahan tersebut, lalu Zaid bin Sanah pun bertanya kepada Umar, "Kenapa ditambah hai Umar?" Berkata Umar, "Diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w tambahan ini sebagai imbangan kemarahan engkau."

"Hai Umar, kenalkah engkau siapa aku?" Tanya Zaid bin Sanah. "Tidak." Jawab Umar.

"Akulah Pendita Zaid bin Sanah."

"Engkau ini Pendita Zaid bin Sanah?" Tanya Umar agak terkejut. "Ya." Jawab Zaid bin Sanah ringkas.

"Kenapa engkau berlaku demikian rupa terhadap Rasulullah s.a.w? Engkau berlaku begitu kasar dan begitu menghina?" Tanya Umar lagi.

Zaid bin Sanah menjawab, "Hai Umar, segala tanda kenabian yang aku dapati dalam kitab Taurat sudah aku temui pada diri Rasulullah itu. Selain dua perkara yang aku sembunyikan dan tidak aku sampaikan kepada Rasulullah iaitu bahawa perasaan santunnya selalu mengalahkan perasaan marahnya.  Makin marah orang kepadanya, makin bertambah rasa kasih sayangnya terhadap orang yang marah itu.

Dengan kejadian itu hai Umar yang sengaja diatur, aku sudah tahu dan lihat sendiri kedua sifat itu terdapat pada diri Muhammad itu. Aku bersumpah di depanmu hai Umar, bahawa aku sungguh-sungguh suka dan redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai nabi dan ikutanku."

Umar dan Zaid bin Sanah pun kembali mendapatkan Rasulullah s.a.w. Sebaik saja berhadapan dengan Rasulullah s.a.w, lalu berkata Zaid bin Sanah, "Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan rasulNya."

Zaid bin Sanah turut berjuang dan bertempur bersama Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin hampir di setiap medan perang dan akhirnya mati syahid di medan Perang Tabuk.

Demikianlah caranya bagaimana Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi menganut Agama Islam , beriman dengan Rasulullah s.a.w dan bersumpah akan membela Islam sehingga akhir hayat.

Wallahua'lam


Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada sultan d...