Selasa, 24 Disember 2013

NiLAi hIDuP bErAsAsKaN sUmBaNgAn BuKAN uSIa

Nilai hidup berasaskan sumbangan, bukan usia- by epondok -Dr Buhanuddin Jalal



Masa terus berlalu dan umur kita kian meningkat. Sepanjang tempoh umur dianugerahkan Allah SWT kepada kita, sejauh manakah kita menguruskannya?

Bagaimanakah kita umat Islam melaksanakan amanah yang diberikan Allah dengan sebaik-baiknya? Ada yang umurnya singkat, tetapi namanya diabadikan hingga dikenang orang, yang lain lahir ke dunia ini, tetapi ditutupi sejarah tersendiri.

Usia seseorang tidak boleh ditentukan panjang atau pendek seperti mana anggapan ramai orang. Ia ditentukan oleh jasa atau karya besar dihasilkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133).

Iktibar nama besar dalam Islam

Dalam sejarah Islam terdapat beberapa nama yang boleh diambil menjadi iktibar sama ada muda atau tua kerana menyumbangkan kepada Islam. Antaranya ialah Usamah bin Zaid yang diberi amanah memimpin pasukan tentera Islam ketika berusia 16 tahun walaupun pada ketika itu, ada beberapa sahabat besar Rasulullah SAW yang lain.

Seorang lagi pemimpin muda Islam yang terkenal ialah Muhammad al-Fatih yang baru berusia 23 tahun apabila beliau berjaya menakluki Constantinople (Istanbul) yang tidak dapat ditawan oleh pasukan tentera Muslimin pada waktu sebelumnya.

Saad bin Mu’adz pula memeluk Islam pada usia awal 30 tahun dan meninggal dunia pada umur 37 tahun. Akan tetapi Rasulullah bersabda: “Arasy bergetar sebab kematian Sa’ad bin Mu’adz”. (Riwayat Muslim).
Betapa beruntungnya Saad bin Mu’adz. Apakah yang dilakukan olehnya dalam tempoh tujuh tahun sehingga mendapat penghormatan yang tinggi? Tentunya ia mengabdikan seluruh kehidupan, jiwa raganya terhadap agama Allah SWT.

Imam Nawawi, pengarang kitab Riyadhus Salihin, pula meninggal dunia ketika berumur 40 tahun dan belum sempat mendirikan rumah tangga lantaran kesibukannya mendalami dan menyebarkan ilmu pengetahuan.

Tahukah kita berapa jumlah judul buku yang ditulis Imam Nawawi? Imam Nawawi menghasilkan 500 judul buku. Bagaimanakah dalam kesibukan Imam Nawawi itu, beliau makan?

“Sesungguhnya aku tidak makan atau tidur kecuali aku terjatuh,” kata Imam Nawawi.

Disebabkan kesibukannya itu hampir-hampir beliau tidak mempunyai masa perkara itu sehingga ibunya berkata kepada Imam Nawawi: “Wahai anakku, aku menyiapkan makanan untukmu”. “Ibu, saya sedang sibuk dengan ilmu,” kata Imam Nawawi.

Ibunya menyuapkan makan ke mulut Imam Nawawi tanpa disedari oleh Imam Nawawi sendiri. Selepas azan Subuh berkumandang, Nawawi bertanya kepada ibunya: “Ibu di mana makanan yang disediakan tadi.”

“Aku telah menyuapkan ke mulutmu,” kata ibunya. “Oh, aku terlupa, oleh kerana kesibukanku ini,” kata Imam Nawawi.

Inilah antara contoh umat Muhammad yang berjaya di dunia dan di akhirat dan kita perlu melahirkan orang-orang seperti ini untuk memajukan umat.

Selain itu, Khalifah Umar al-Khattab pernah berkata yang menggambarkannya betapa prihatinnya beliau terhadap masa supaya ia tidak terbuang dengan sia-sia.

“Bila aku boleh memejamkan mata? Bila tidur di malam hari, aku mengambil hak tuhanku, dan apabila tidur di siang hari aku telah mengambil hak rakyatku,” kata Umar.

Ternyata semua mereka menjadi tokoh membina generasi Islam yang mantap dan kukuh dari segi fizikal dan mental membangun umat serta mampu membina generasi yang mampu bertahan selama 1,300 tahun.

Generasi muda kini

Namun demikian dalam tempoh 100 tahun kebelakangan ini, generasi muda yang ada hanyalah generasi yang banyak berbicara soal makan, sukan, hiburan serta aktiviti yang banyak membazir masa, tenaga dan wang serta kurang untuk membina generasi yang membina umat. Perkara ini perlu diubah dan generasi muda perlu sedar ke mana hala tuju mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133).

Dalam surah al-Hadid, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga (yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi), yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya. Yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia Yang besar.”

Pada asasnya kita disarankan untuk berlumba, mengejar melakukan kebaikan dan kebajikan. Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah melakukan kebajikan sebelum dihadapkan tujuh rintangan, adakah kamu sekalian menunggu kefakiran yang menyisihkan, kekayaan yang melupakan, penyakit yang menyukarkan, tua yang membuat ketidakupayaan, kematian yang pasti ataupun dajal kejahatan yang terburuk pasti datang atau kiamat yang amat dahsyat?” (Riwayat Tirmizi).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...