Selasa, 18 Februari 2014

DUA Kejayaan SEBENAR Perlu DiCapai

DUA Kejayaan sebenar perlu dicapai - by epondok- MOHD SYAHMIR ALIAS
Gambar hiasan jah
Banyak kes bunuh diri yang berlaku berpunca daripada hilang rasa bahagia. Setiap insan pasti mengharapkan kebahagiaan iaitu fitrah insan yang timbul dalam jiwa datangnya daripada kegembiraan rohani.

Oleh itu, ia perlu dihubungkan dengan konteks ketaatan kepada Pencipta iaitu Allah SWT. Dalam Islam, kebahagiaan adalah manifestasi kejayaan. Terdapat beberapa terminologi disebutkan dalam al-Quran untuk menggambarkan kebahagiaan berkait dengan kejayaan seperti annajah (kejayaan), al-fawz (kemenangan), al-falah (kemakmuran) dan as-sa’adah (kegembiraan).

Secara umumnya, terdapat dua bentuk kejayaan atau kebaikan yang sering diminta dalam doa yang juga firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Dua Bentuk Kejayaan

Dua bentuk kejayaan menurut al-Quran, pertama adalah kejayaan di dunia yang bersifat sementara. Manusia tidak menginginkan kehidupan terumbang-ambing, ditindas, merasai kesakitan dan terancam dengan bala bencana.

Allah SWT mengingatkan manusia dalam firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah siapakah yang menyelamatkan kamu daripada bencana-bencana di darat dan di laut? Kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri dan secara bersembunyi: Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami daripada bencana ini nescaya jadilah kami daripada orang yang bersyukur. Katakanlah Allah jugalah yang menyelamatkan kamu daripada bencana itu dan daripada segala jenis kesusahan, namun, kamu masih mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah al-An’am, ayat 63-64)

Kejayaan kedua ialah yang kekal abadi di akhirat. Kejayaan hakiki ini hanya dapat diperoleh dengan tahap keimanan dan ketakwaan yang tinggi kepada Allah SWT. Hanya insan bertakwa (muttaqin) akan memperoleh kebahagiaan sebenarbenarnya iaitu pembebasan daripada seksa api neraka.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kemudian Kami akan selamatkan orang yang bertakwa dan Kami akan biarkan orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.” (Surah Maryam, ayat 72)

Membincangkan konsep kebahagiaan ini, ahli falsafah Islam, al-Farabi berpendapat, kebahagiaan adalah kebaikan yang mutlak dan suatu tahap kesempurnaan insan. Kebahagiaan tertinggi akan dialami ketika kehidupan di Hari Akhirat.

Konsep Kebahagiaan

Namun, ia juga bertitik tolak daripada kejayaan di dunia yang perlu dikecapi melalui empat pendekatan, menuntut ilmu dan memahami hakikat ilmu; mengamati setiap perkara yang baik dan buruk; menjadikan perkara baik sebagai akhlak diri dan bersungguh-sungguh mengamalkan kebaikan.

Justeru, al-Farabi menyarankan setiap manusia harus mempunyai guru yang sentiasa menasihati dan memberi tunjuk ajar kepada mereka untuk memperoleh kejayaan hidup di dunia. Selain itu, beliau menyatakan kebahagiaan di dunia dapat dirasai apabila seseorang itu terbabit bersama masyarakat.

Setelah mengecapi kebahagiaan yang bersifat sementara di dunia ini, Imam al-Ghazali berkata, kebahagiaan paling tertinggi adalah keupayaan insan untuk melihat Allah SWT secara terus di dalam syurga.

Imam al-Ghazali menyatakan, nikmat itu akan menyebabkan manusia lupa kenikmatan lain di syurga kerana melihat Allah SWT adalah kurniaan paling sempurna. Untuk mencapainya, manusia perlu mentaati perintah Allah SWT, sentiasa berbaik sangka dengan-Nya serta memohon keampunan.

Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan ketika hidup di dunia. Selain itu, menurut Imam al-Ghazali, kebahagiaan di akhirat dapat dicapai apabila seseorang itu mengenal dirinya sendiri, memahami fungsi dan tujuan diciptakan seterusnya mengenali Penciptanya, Allah SWT.

https://us-mg4.mail.yahoo.com/neo/launch?.rand=518sp22h3ln8c#mail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SIFAT KEMURAHAN ALLAH

D i antara nama dan sifat Allah SWT adalah “Rahman”, “Rahim”, "Hannan", "Mannan", "Kareem" yang menunjukkan pa...