Rabu, 20 Ogos 2014

HiAs DiRi DengAn SiFaT SaBaR

Marah itu mudah, Sabar itu indah.
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ajal adalah rahsia yang tak seorang pun daripada kalangan manusia mengetahuinya, kecuali Allah SWT dan malaikat-Nya. Ketika, tiba-tiba nyawa tercabut daripada jasad, apakah kita sudah bersedia untuk bertanggungjawab terhadap hidup kita jalani di dunia.

Kehidupan dunia yang selama ini kita tempuh adalah ujian Ilahi untuk membezakan siapakah manusia yang baik dan buruk amalnya. Manusia yang baik amalnya, maka jaminannya adalah syurga penuh kenikmatan, manakala yang buruk amalnya, akan dihumbankan ke dalam neraka penuh kesengsaraan.

Hidup di dunia diibaratkan ladang untuk mencari bekalan terbaik menghadap Allah yang Maha Besar. Untuk itu, ada sejumlah bekalan yang seharusnya dipersiapkan setiap insan yang beriman kepada Allah SWT. Pertama, bekalan paling utama untuk menghadap Allah adalah takwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa iaitu memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Surah al-Baqarah, ayat 197)

Bekalan takwa

Takwa adalah bekalan setiap insan yang beriman. Tanpa takwa, Allah SWT tidak akan reda dan tidak akan memberikan pertolongan kepada hamba-Nya. Tanpa takwa juga, Allah SWT tidak akan menerima amalan hamba-Nya.

Kedua, bekalan ilmu kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” (Surah Fathir, ayat 28)

Menuntut ilmu kewajipan bagi setiap Muslim dan Muslimah. Jika kita enggan belajar dan menuntut ilmu, maka kita akan mudah melakukan kesilapan, tidak pula melakukan kebaikan, malah tidak bermanfaat kepada orang lain, tidak akan berjaya dalam hidupnya dan yang pastinya akan mudah tersesat.

Apatah lagi, orang rajin beramal tetapi tidak disertai dengan ilmu yang benar, maka dia adalah seperti seorang yang berjalan bukan pada jalannya. Pendek kata, kita kena beringat supaya jangan sampai amalan dilakukan hanya sia-sia kerana tidak didasari ilmu yang benar.

Ketiga, bekalan tawakal. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Thalaq, ayat 3)

Tawakal akan menanamkan dalam hati insan sifat kesungguhan, menggantungkan harapan hanya kepada Allah Yang Maha Esa. Setiap insan hanya berdaya berusaha, berikhtiar dan berdoa, manakala natijah dan hasil segala sesuatu itu Allah SWT yang menentukan.

Keempat, bekalan selanjutnya adalah syukur. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepada- Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).” (Surah al-Nisa’, ayat 147)

Bentuk syukur

Bentuk rasa syukur itu meliputi syukur dengan lisan, hati dan tindakan kita.

Ingatlah bahawa sesungguhnya nikmat itu akan lestari kerana syukur kita kepada Ilahi, sebaliknya ia akan hilang dengan kufur kita kepada nikmat dikurniakan.

Kelima, bekalan sabar. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.” (Surah al- Baqarah, ayat 153)

Apa pun pekerjaan dan di mana juga berada, setiap insan sangat perlu menghiaskan diri dengan sifat sabar. Seorang guru sudah tentu dituntut bersabar mengajar anak didiknya. Begitu juga majikan mestilah bersabar berdepan pelbagai kerenah anak buahnya.

Bahkan, orang yang ditimpa musibah juga harus sentiasa bersabar. Jadikanlah sabar sebagai penolong kita kerana yakinlah bahawa Allah SWT bersama dengan orang yang bersabar terhadap ujian hidup di dunia ini.

Zuhud

Bekalan yang seterusnya adalah zuhud iaitu tidak mencintai dunia. Rasulullah SAW bersabda: “Zuhudlah kamu terhadap dunia, nescaya Allah akan mencintaimu dan janganlah kamu mencintai apa yang dimiliki manusia, nescaya sekalian manusia akan mencintaimu!” (Riwayat Ibnu Majah)

Mengutamakan akhirat adalah bekalan yang bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.” (Surah al-Isra’, ayat 19)

Demikianlah antara bekalan penting yang harus kita siapkan sebelum Allah SWT memanggil kita untuk menghadap-Nya. Yakinlah, bekalan inilah yang menolong kita memikul taklif kewajipan syariat dalam kehidupan dunia ini, mudah-mudahan kita beroleh kebahagiaan dunia akhirat.

http://epondok.wordpress.com/2014/08/20/hias-diri-dengan-sifat-sabar/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...