Selasa, 20 Januari 2015

BAH MUSIBAH TERSIRAT HIKMAH

-by epondok  
Sekedar Gambar Hiasan sahaja
Ia mengajak manusia untuk berfikir dan merenung
HIKMAH atau kebaikan di sebalik bencana atau musibah hanya Allah SWT yang mengetahuinya. Turun atau datangnya musibah seperti bah atau banjir pada baru-baru ini tentunya mengundang hikmah kepada mereka yang bersabar atas dugaan dan ujian yang Allah SWT berikan itu.

Sebagai seorang Muslim, itulah pegangan kita iaitu percaya bahawa qada dan qadar itu datangnya daripada Allah SWT. Berkaitan dengan ujian dan cubaan ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian dan cubaan. Sesungguhnya Allah SWT apabila menyenangi sesuatu kaum Allah menguji mereka. Barang siapa bersabar maka baginya manfaat kesabarannya dan barang siapa marah atau murka maka baginya murka Allah.” (riwayat at-Tirmizi)

Tiga negeri yang teruk dilanda banjir antaranya Kelantan, Pahang, Terengganu, manakala Perak dan Johor juga terbabit dengan banjir. Hikmahnya dalam menghadapi musibah ini kita bersatu menghadapi bencana besar ini terutama dalam usaha membantu dan memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir. Apa yang dapat dilakukan oleh mereka hanyalah bersabar dengan ujian yang menimpa.

Daripada segi musibah kepada mangsa banjir tentulah banyak kerugian dan kerosakan yang dialami. Rumah dan jalan raya musnah, sekolah juga turut mengalami kerosakan, manakala bagi ibu bapa yang ada anak-anak masih bersekolah, persiapan persekolahan seperti pakaian dan peralatan sekolah habis musnah dilanda banjir. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa dikehendaki Allah kebaikan baginya, maka dia diuji (dicuba dengan suatu musibah). (riwayat al-Bukhari)

Cintai alam
Jika dikaji daripada segi geografi Malaysia sudah berkurangan kawasan tanah tinggi. Kebanyakan kawasan tanah tinggi telah diratakan untuk projek perumahan dan pembangunan. Justeru, manusia sebagai khalifah Allah SWT sewajarnya merenung akan punca dan kesan banjir besar, baru-baru ini. Gunung-ganang dan bukit-bukau adalah menjadi pasak bumi begitu juga kepada pohon-pohon. Menunaikan amanah dengan menjaga dan mengurus alam dengan baik adalah sebaik-baik amanah.

Kepentingan bentuk muka bumi tanah tinggi, bukit-bukau, gunung-ganang sepatutnya diurus dengan baik dan terancang dan tidak ditarah sewenang-wenangnya. Selain itu, banjir yang selalu menimpa kawasan rendah di pantai timur sewajar dijadikan pengajaran diuruskan dengan cekap, betul serta seimbang.

Mendidik manusia mencintai alam adalah melalui pendidikan sepanjang hayat. Usaha dan pendidikan ini seharusnya dilakukan di peringkat sekolah dan juga dalam kalangan masyarakat.

Pohon-pohon besar seperti balak tidak ditebang dengan sewenang-wenangnya yang akan menyebabkan apabila hujan lebat turun tiada penampan dan mudah berlakunya banjir akan terus mengalir dengan deras ke kawasan rendah iaitu kawasan perumahan di pekan dan bandar. Jadikan banjir kali ini sebagai iktibar untuk kita semua memelihara dan memulihara alam dengan menanam lebih banyak pokok di kawasan yang mudah dilanda banjir.

JIKA tsunami 2004, yang sudah sedekad berlalu itu telah menjadi iktibar kepada penduduk dunia. Maka banjir yang melanda setiap tahun bagi negeri-negeri yang terlibat di Malaysia juga sewajarnya menjadi iktibar kepada penduduk negara ini.

Inilah iktibar untuk kita yang sukar untuk berpatah balik ke zaman lampau atau ke belakang. Kita tidak dapat menolak takdir. Tetapi bagaimanakah kita hendak mewariskan tanah air kita kepada generasi akan datang jika tidak selamat lagi untuk didiami? Inilah jawapan yang harus kita cari. Setiap negeri yang terlibat mestilah menyediakan Pelan Tindakan Banjir dan memperkemaskan prosedur standard operasi (SOP) bagi mengatasinya.

Justeru, kepentingan bentuk muka bumi terhadap apa juga kegiatan manusia mestilah diuruskan dengan penuh amanah. Kawasan hutan yang masih ada lagi perlu dikekalkan, terutamanya menghentikan kegiatan pembalakan bagi menyelamatkan bumi ini untuk generasi akan datang.

Sementara itu, bagi mereka yang tidak dilanda banjir berusahalah membantu mangsa banjir melalui doa, solat hajat, derma dan apa juga bantuan yang dapat meringankan beban kepada mereka yang mengalami kerugian dan malapetaka ini. Lantaran itu, hulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bagi Allah, ada hamba-hamba-Nya yang dikhususkan melayani keperluan orang ramai. Mereka berlindung kepadanya untuk memenuhi keperluan mereka. Orang-orang itulah yang aman daripada azab Allah.” (riwayat Ath Thabrani).

Lantaran itu, jauhi dan hindari segala kemurkaan Allah SWT kepada kita. Inilah iktibar dan pengajaran yang seharusnya kita lakukan. Hikmah di sebalik musibah kita perlu merenung dan berfikir untuk mencari kebaikan dan pengajaran di sebalik musibah dan usaha yang baik dan berkesan bagi mengatasinya kerana manusia diberikan akal fikiran. Laksanakan perintah amar makruf nahi mungkar.

https://epondok.wordpress.com/2015/01/18/bah-musibah-tersirat-hikmah/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...