Rabu, 14 Ogos 2019

AL-FIQH - HIKMAH DIPERINTAH SUJUD DUA KALI


See the source image




SOALAN 1: Apakah hikmah di sebalik perintah supaya melakukan sujud dua kali tidak seperti rukun yang lain hanya sekali sahaja?
JAWAPAN: Perbuatan sujud dengan meletakkan dahi ke lantai sebagai tanda merendah diri seorang hamba di hadapan Penciptanya. Syarak juga menjelaskan berdoa ketika sujud adalah waktu paling mujarab untuk diperkenankan. Maka, sebab itulah dijadikan dua kali sujud supaya sujud pertama itu untuk berdoa manakala sujud kedua adalah sebagai mensyukuri serta memuji al-Rahman kerana memperkenankan doa.

SOALAN 2: Ketika melakukan sujud, semua jari dimestikan untuk mengenai lantai atau memadai hanya sebahagian sahaja?
JAWAPAN: Memadai jika hanya sebahagian jari kaki sahaja yang mengenai lantai. Perlu diingatkan, yang dimaksudkan dengan jari kaki itu ialah perut anak jari, bukan hujungnya. Sebab itu, memadai jika sekiranya perut ibu jari kaki dan beberapa perut anak jari yang lain mengenai lantai dan tidak perlu semua anak jari.
Bagaimanapun, apa yang berlaku dalam kalangan sebilangan daripada kita adalah apabila sujud, mereka hanya memacakkan hujung ibu jari kaki sahaja ke lantai, bahkan kadang-kadang ada juga yang mengangkat kakinya ketika sujud sehingga tidak ada langsung anak jari yang mengenai lantai. Jika itu berlaku, maka sujudnya tidak sah dan solatnya juga tidak sah kerana sujud adalah rukun solat.

SOALAN 3: Ada pendapat mengatakan , ketika membaca tasyahud disunatkan supaya menggenggam semua anak jari tangan kecuali jari telunjuk. Yang lebih afdal adalah dikembarkan ibu jari dengan jari telunjuknya. Perbuatan itu dinamakan sebagai akad lima puluh tiga dan kebanyakan yang lain pula menamakannya sebagai akad lima puluh Sembilan. Apakah yang dimaksudkan dengan akad lima puluh Sembilan?
JAWAPAN: Maksudnya adalah jari telunjuk ada tiga ruas manakala ibu jarinya ada dua ruas. Setiap ruas dikira sepuluh, maka jadilah jumlah semuanya lima puluh tiga. Adapun yang mengatakan lima puluh sembilan ialah anak jari yang digenggam itu ada sembilan ruas semuanya, tiap-tiap ruas dikira tiga. Maka, jumlahnya sembilan dicampurkan dengan lima puluh, maka jadilah jumlah semuanya lima puluh sembilan. (Hasyiah Jamal).

SOALAN 4: Apakah syarat untuk menjadikan salam itu sah dan sempurna?
JAWAPAN: Antara syaratnya;
1.       Hendaklah mendatangkan huruf alif dan lam pada kaimah salam (as-salam) dan mendatangkan ganti nama huruf kaf dan mim pada kalimah ‘ala menjadikan ‘alaikum.
2.       Ketika menyebutnya pula hendaklah sekurang-kurangnya didengari oleh telinga sendiri.
3.       Berturut-turut antara dua kalimah ‘as-salam’ dan ‘alaikum tanpa memisahkan atau  menjarakkan antara kedua-duanya.
4.       Jangan sesekali berniat untuk memberi salam kepada seseorang.
5.       Hendaklah ucapan salam itu dilafazkan ketika masih duduk dan masih lagi menghadap ke arah kiblat.
6.      Hendaklah dengan bahasa Arab selagi ia mampu.
7.       Tidak boleh menambah atau mengubah perkataan seperti kata, ‘as-salamu wa’alaikum’ iaitu dengan menambah huruf waw. (Rujuk Bujairimi).

Sumber: Furu al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan disusun semula oleh Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...