Sabtu, 1 Oktober 2011

Persoalan Agama: Janin dalam ternakan sembelihan halal dimakan


Oleh Ustaz Zahazan

Soalan: ASSALAMUALAIKUM ustaz. Bagaimana hukumnya haiwan ditemui mati yang dalam perutnya ada janin. Adakah anak dalam perut binatang itu dikira bangkai.
Jawapan: Pada dasarnya, haiwan boleh dibahagikan dua jenis berdasarkan tempat hidupnya iaitu di darat dan laut. Haiwan laut semuanya halal sekalipun binatang itu mati dan menjadi bangkai. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda menjawab pertanyaan seorang nelayan mengenai ketika kurangnya air untuk minum, adakah boleh berwuduk dengan air laut atau sungai? Nabi SAW menjawab: “Ia suci airnya dan halal bangkainya.” (Riwayat Malik daripada Abu Hurairah)
Kalau janin (binatang) sudah tumbuh bulunya, maka penyembelihan mengikut induknya. - Hadis riwayat Ahmad

Binatang darat juga pada dasarnya halal dimakan kecuali apabila ada dalil al-Quran atau hadis yang mengharamkannya. Ini tentu saja selepas disembelih sepeti petunjuk syariat. Sekiranya binatang itu mengandung, ada tiga kemungkinan bagi keadaan janinnya.


  • Pertama, janin itu hidup normal walaupun selepas ibunya disembelih. Dalam kes ini janin (anak binatang) itu tidak halal dimakan kecuali setelah disembelih. Tidak boleh digabung dengan sembelihan induknya.

  • Kedua, janin itu hidup tetapi dalam keadaan sangat sukar contohnya sekadar bergerak.

  • Ketiga, janinnya meninggal selepas induknya disembelih.

    Keadaan kedua dan ketiga turut dibangkitkan ulama. Menurut mazhab as-Syafi dan Hambali, janin itu tidak perlu disembelih berdasarkan sabda Nabi SAW ketika ditanya sahabat: “Wahai Rasul, kami menyembelih unta, sapi atau kambing dan kami mendapati dalam perutnya ada janin. Apakah janin itu kami buang atau kami makan? Baginda SAW menjawab: “Makanlah, jika kamu semua mahu kerana penyembelihannya mengikut penyembelihan induknya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud).

    Hadis yang senada juga diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Imam Malik, walaupun berpendapat seperti di atas, namun mensyaratkan sempurnanya anggota janin itu dan sudah tumbuh bulu pada badan janin itu. Syarat ini berdasarkan beberapa riwayat, antaranya daripada sahabat Nabi, Ibnu Umar yang menyatakan: “Kalau janin (binatang) sudah tumbuh bulunya, maka penyembelihan mengikut induknya.” (Hadis riwayat Ahmad).

    Pendapat ketiga dianut sekelompok ulama mazhab Hanafi. Mereka tidak membenarkan janin yang mati atau masih bergerak untuk dimakan. Hadis yang disebut di atas mereka fahami dalam erti penyembelihan janin seperti penyembelihan induknya. Maksudnya bukan bergabung dengan penyem-belihan induknya (bukan bergabung dengan penyembelihan induknya).

    Saya lebih cenderung kepada pandangan Imam Syafie dan Imam Hambali kerana syarat tambahan Imam Malik hadisnya lemah. Demikianlah, wallahua’lam. 

  • Persoalan Agama: Dedah aurat dorong wanita jadi perosak rumah tangga


    Oleh Ustaz Zahazan


    Islam larang guna kecantikan goda lelaki selain suami 

    Soalan: APAKAH hukum wanita yang rajin beribadat seperti solat dan mengerjakan puasa tetapi tidak menutup aurat atau memakai pakaian ketat? Bilakah wanita dikatakan nusyuz.

    Jawapan: Alhamdulillah wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Ibadat seperti solat dan puasa Ramadan adalah wajib. Begitu juga menutup aurat. Menurut Syeikh Mutawalli as-Sya’rawi dalam kitab beliau Anta Tas’al wal Islamu Yujiib iaitu: “Ada sebahagian wanita Muslimah yang menganggap pakaian menutup aurat mengekang kebebasannya dalam berdandan, bahkan dalam pergaulannya.” 

    Sebenarnya banyak hikmah di sebalik perintah menutup aurat. Sebagai contoh, bertujuan melindungi dan memelihara diri mereka ketika memasuki usia tua. Tanda usia tua bagi wanita iaitu berhentinya haid (menopaus). 
    Ketika itu kecantikan wanita beransur pudar, tubuh tidak lagi padat dan kulit mula kendur. Ketika ini wanita banyak merenung dan berasa putus asa kerana tidak lagi mampu melakukan hubungan seksual secara optimum untuk memuaskan keperluan suami. 

    Dia memerlukan kesetiaan, pengertian, dan kasih sayang suami. Islam dengan ajaran yang sempurna melindungi diri dan memelihara tubuhnya yang tidak lagi cantik dan menarik dengan mencipta kebahagiaan dan ketenteraman bagi rumah tangga. 

    Seseorang gadis perlu menyedari dia tidak dapat mempertahankan kecantikan dan daya tarikannya. Jika suaminya keluar rumah dan melihat ramai wanita muda cantik dan berdandan menarik dengan mempamerkan rambut, lengan dan betis yang menawan, pasti suami tergoda dan membandingkan dengan isterinya yang tua di rumah. 

    Setiap hari suami melihat keadaan itu dan setiap kali itulah dia membandingkan dengan isterinya di rumah. Keadaan ini membuatkan cinta terhadap isteri makin berkurang kerana perwatakkannya itu selalu menggoda nafsu seksnya. Ini menyebabkan kurangnya keharmonian keluarga, serta cinta dan kasih sayang semakin pudar. 

    Justeru, Islam melarang wanitanya terutama yang masih muda untuk mempamerkan kecantikan dan keindahan tubuh agar dia dilindungi daripada perbuatan wanita muda lain yang akan mengganggu rumah tangganya. 

    Wanita cantik yang selalu mengganggu lelaki dan disukai ramai pemuda, kelak tiba masanya banyak lelaki membencinya. Tidak ada lagi lelaki yang memandangnya, bahkan mereka akan menjauhinya sambil mencemuhnya. 

    Untuk soalan kedua, perlu difahami pengertian nusyuz yang bererti meninggalkan kewajipan bersuami isteri, misalnya nusyuz daripada suami yang bersikap kasar dan keras terhadap isteri, tidak mahu menggaulinya dan tidak memberi haknya. 

    Nusyuz daripada isteri misalnya meninggalkan rumah tanpa izin suami. Allah SWT berfirman dalam ayat 34 surah an-Nisa’ bermaksud: “...dan wanita yang kamu bimbangkan nusyuznya, nasihatilah mereka dan pisahkanlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya...” 

    Tindakan di atas sekadar memberi pelajaran. Jika terpaksa, pukul dengan ringan yang tidak meninggalkan bekas. Apabila cara pertama (nasihat) ada manfaatnya, jangan digunakan cara lain yang dapat menyusahkan isteri. 

    Allah SWT berfirman pada surah an-Nisa ayat 128 bermaksud: “Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar...” 

    Misalnya, suami yang sihat, tiba-tiba diserang gangguan jiwa sehingga selalu marah, memukul isteri dan berbuat perkara aneh yang membuat kehidupan rumah tangga seperti di neraka. Bolehkah si isteri meninggalkan suaminya dan meminta cerai? Boleh, isteri mengajukan perceraian kepada Mahkamah Syariah. 

    Demikianlah, wallahua’lam. 

    Persoalan Agama: Berzikir tidak terbatas selepas solat


    Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

    KITA sememangnya maklum zikir menjadi sebahagian proses memantapkan diri sebagai seorang Muslim. Persoalannya, apakah yang dinyatakan kitab suci al-Quran mengenai zikir ini.
      FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat ke-35 , maksudnya: “Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah SWT banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah SWT banyak-banyak, Allah sudah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”
    Berdasarkan ayat ini di kalangan ulama, contohnya Mulla 'Ali al-Qari muhaddith menjelaskan bahawa berdasarkan hadis, ibadat yang paling utama dilakukan selepas membaca al-Quran dan mempelajari hadis ialah berzikir. 

    Hebatnya kedudukan orang yang berzikir ini turut dinyatakan dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud: “Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Aku sentiasa bersama hamba-Ku apabila dia mengingati-Ku dan selagi bibirnya menyebut-Ku”. Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah.

    Dalam sebuah hadis sahih yang lain Nabi saw bersabda yang maksudnya: “Tidaklah berhimpun sesuatu golongan itu untuk mengingati Allah SWT melainkan Allah SWT akan mengelilingi mereka dan rahmat menyelaputi mereka dan ketenangan turun kepada mereka dan disebut-sebut oleh Allah SWT pada setiap yang ada disisi-Nya”. 
    Muslim hendaklah menjadikan setiap kesempatan dilalui sebagai zikrullah. Tetapi soalan yang timbul ialah bagaimana boleh berlaku begitu? Al-Imam An-Nawawiy, seorang pakar fiqah bermazhab Syafie yang masyhur memperjelaskan dalam kitab al-Azkar, betapa mudahnya amalan zikir ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. 

    Beliau berkata, bahawa segala tindak tanduk yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah SWT adalah zikir. Jika difahami perkara ini maka bukan saja pertuturanmempunyai nilai zikir, malah tidur, bersembang, ziarah menziarahi juga termasuk dalam zikir . 

    Penjelasan ini berteraskan kepada hadis dan al-Quran yang menjelaskan perkara berkenaan. Hal ini sekali gus menafikan tanggapan sempit masyarakat bahawa zikir hanya terbatas dalam persekitaran ibadat khusus seperti selepas solat atau pada waktu tertentu.

    Al-Imam Al-Ghazali menyebut dalam Al-Ihya’, setiap episod yang dilalui dari pagi hingga malam hendaklah dipastikan menjadi ibadat kepada Allah SWT. Lantaran itu, agenda kehidupan itu mesti bermula dengan hubungan langsung dengan Allah SWT. Alangkah baiknya jika hari itu dimulakan solat tahajud diikuti sunat hajat.

    Selesai solat Subuh, Muslim menuju ke tempat kerja dan kerja itu adalah peluang beribadat kepada Allah SWT dengan menepati syarat ditetapkan Islam. Pada waktu pagi, lebih kurang tiga jam selepas matahari terbit, Muslim jangan melepaskan peluang untuk beribadat dengan menunaikan solat duha atau menunaikan keperluan seseorang Muslim yang lain. 

    Pada hari bekerja pula, waktu ini digunakan untuk bekerja dalam erti kata yang sebenarnya. 

    Menjelang waktu Zuhur pula, seseorang hamba itu boleh meneruskan pekerjaannya sebaik tamat solat Zuhur. Sekiranya kerja sudah selesai maka dia boleh berehat iaitu tidur untuk membolehkannya Qiamullail. Apabila masuk waktu Asar, tugasnya ialah bersolat seperti biasa kemudian berzikir dan berwirid, seterusnya aktiviti berbentuk kekeluargaan bersama anak dan isteri menerusi aktiviti rekreasi, riadah dan kreativiti.

    Waktu antara Maghrib dan Isyak hendaklah diisi dengan sebaiknya, sama ada untuk menghadiri majlis ilmu atau membaca al-Quran atau bertasbih, berzikir dan solat sunat.

    Seterusnya selesai solat Isyak, eloklah kiranya diisi dengan program al-Quran seisi keluarga. Antara surah digalakkan untuk dibaca setiap malam adalah surah Al-Waqi’ah. 

    Sebelum tidur, alangkah baiknya jika dibacakan surah penyelamat dari seksa kubur, iaitu surah al-Mulk. Akhir sekali dikerjakan solat sunat witir sebagai penutup solat pada malam itu. 

    Wallahua'lam

    ABU DZAR R.A. berkata: Nabi s.a.w. bersabda:
    “ALLAH S.W.T  berfirman : Seorang yang berakal bijaksana seharusnya membahagi 3 bahagian waktunya, SATU BAHAGIAN untuk berkhalwat, berzikir dan berdoa kepada ALLAH,  SATU BAHAGIAN untuk muhasabah diri sendiri ( menghitung akan diri sendiri ), dan SATU BAHAGIAN lagi untuk kepentingan makan dan minumnya”.
    Wallahua’lam

    SEPULUH menolak SEPULUH…….


    Sebuah hadits menyatakan bahawa RASULULLAH S.A.W bersabda,
    “SEPULUH macam yang menyebabkan TERTOLAKNYA SEPULUH perkara:

    1.       SURAH AL-FATIHAH        -              Tertolaknya murka ALLAH.
    2.       SURAH YASSIN                 -              Tertolaknya haus dahaga di HARI QIAMAT.
    3.       SURAH AD-DUKHAN       -              Tertolaknya huru-hara di HARI QIAMAT.
    4.       SURAH AL-WAQIAH        -              Terhindar dari kefakiran dan kemiskinan di dunia.
    5.       SURAH AL-MULK             -              Terhindar azab kubur.
    6.       SURAH AL-KAUTHAR      -              Menolak segala dendam kasumat dan permusuhan.
    7.       SURAH  AL-KAFIRUN      -              Menolak kekufuran ketika nazak.
    8.       SURAH AL -IKHLAS         -              Menolak sifat kemunafikan.
    9.       SURAH AL-FALAQ           -              Menolak sifat hasad dengki dan iri hati.
    10.   SURAH AN-NASS             -              Menolak segala macam bentuk was-was di dalam hati.

    Wallahua’lam

    Rahsia syaitan MEMPERDAYA MANUSIA


    NABI Muhammad S.A.W  bertanya: “Wahai Iblis! Bagaimanakah caranya kamu memperdayakan manusia?”
    Jawab Iblis-“Ya Nabi Allah, pertama sekali hamba palingkan imannya supaya manusia itu berubah iktikadnya daripada mukmin kepada musyrik, sama ada dari segi perbuatan, perkataan dan niatnya.

    “Kalau hamba tidak dapat memalingkannya daripada Iktikad, maka hamba akan mencari jalan supaya mengurangkan pahalanya dalam ibadah . LAMA KELAMAAN dia akan terjerumus juga ke dalam perangkap hamba.
    “ Sebenarnya hamba tidak pernah lalai dan letih dalam melaksanakan kerja-kerja hamba ini.”

    Wallahua’lam

    SAHABAT...itu

    SAHABAT itu ialah pengingat kepadamu ketika engkau melakukan kesilapan,
    SAHABAT itu penyuluh ketika engkau berada dalam kegelapan, memimpin engkau di kala kebingungan,
    SAHABAT itu bergembira ketika engkau memperoleh sesuatu kemenangan kegembiraan,
    SAHABAT itu turut berduka ketika engkau ditimpa bencana dan dugaan,
    SAHABAT itu sanggup menyatakan yang pahit, walau mungkin memakan DIRINYA tapi akan terus menyatakan kebenaran demi AMANAH TUHAN.
    SAHABAT itu apabila melihatnya, engkau berasa gembira,
    SAHABAT itu apabila menatap wajahnya, teringat engkau akan hari Akhirat, terpaling wajahmu dari dunia,
    SAHABAT apabila menatap wajahnya akan tersirat kebesaran Allah,
    SAHABAT itu di wajahnya tergambar sinaran keimanan, gambaran ketaatan.





    Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

    Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada sultan d...