Isnin, 3 Oktober 2011

RANGSANGAN BERAHI BOLEH BATAL PUASA

Soalan :

USTAZ, ada banyak rancangan di televisyen yang memaparkan wanita yang tidak menutup aurat, termasuk pada Ramadan. Dan kita, tanpa sedar, turut menontonnya. Persoalannya, adakah perkara ini akan mengurangkan pahala puasa?
Jawapan :

RASULULLAH SAW bersabda dalam satu hadis riwayat. Sudah jelas bahawa membuka atau mempertontonkan bahagian tubuh yang dapat menimbulkan rangsangan berahi adalah perbuatan yang haram dan haram pula untuk dilihat sama ada sengaja atau tidak sengaja.

Sememangnya melihat aurat perempuan sekiranya itu pandangan pertama atau pandangan awal, tidaklah berdosa, tetapi pandangan kedua iaitu melihatnya secara sedar atau sengaja iaitu dengan niat melihatnya, itulah yang diharamkan.

Justeru, duduk di hadapan TV atau menonton gambar hidup lainnya yang mengandungi tayangan yang menonjolkan aurat, meskipun tidak sepenuhnya sama ada dengan melihatnya dalam bentuk yang nyata di hadapan mata, namun menonton TV yang mengandungi aksi yang mendatangkan keghairahan atau menonjol aurat adalah perkara buruk yang seharusnya dihindari atau dijauhi.

Kalau kita melihat kepada takrif puasa iaitu menahan nafsu makan, minum, bersetubuh dan perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari yang disertai. Apatah lagi perkara yang haram.

Menonton tayangan yang menonjolkan aurat atau yang menimbulkan rangsangan bertentangan dengan makna puasa, walaupun ia tidak membatalkan puasa. Perkara yang membatalkan puasa dari segi hukum antaranya makan, minum dan melakukan hubungan seks pada siang puasa. Namun demikian, oleh kerana ia bertentang dengan makna puasa, sudah tentu ia mengurangkan pahala puasa.

Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap iaitu puasa umum, puasa al-Khusus dan puasa khusus al-Khusus. Tahap pertama adalah tahap puasa orang awam iaitu menahan perut dan kemaluan dari mengikut kehendak syahwat. Tahap kedua, puasa orang khusus iaitu orang yang menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota daripada perkara-perkara dosa. Tahap ketiga adalah puasa kalangan Nabi, as-Shiddiqin, orang salih dan seumpamanya.

Puasa mereka adalah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain Allah SWT secara sepenuhnya. Puasa akan terbatal pada tahap ini disebabkan memikirkan perkara-perkara selain Allah SWT dan Hari Akhirat.

Puasa tahap ketiga inilah puasa yang paling khusus kerana mereka bukan saja memelihara diri daripada daripada perkara membatalkan puasa tetapi juga yang membatalkan pahala puasa.

Rasulullah SAW bersabda: “Banyak orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh dari puasanya selain dari rasa lapar dan dahaga.”

Akhirnya, mari bertanya pada diri, apakah menonton tayangan TV itu benar-benar tidak sedar atau tidak tahu bahawa ia perkara yang dilarang atau sebenarnya ia sedar dan memang sengaja menontonnya?

Wallahua’lam.

Persoalan Agama: Niat puasa qada Ramadan perlu didahulukan kerana wajib Bersama Ustaz Zahazan

SOALAN :
ASSALAMUALAIKUM. Saya ingin bertanya mengenai puasa enam Syawal. Saya masih mempunyai puasa yang kena qada, tetapi bolehkah saya mengerjakan puasa enam terlebih dulu? Dan manakah yang lebih baik, puasa enam berturut-turut atau sebaliknya? 

JAWAPAN:AL-HAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Imam an-Nawawi RHM meletakkan satu bab dalam kitab Riadis Sholihin, iaitu bab mengenai sunat puasa enam hari pada Syawal. Hadis yang terkandung dalam bab ini yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayyub RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikutinya dengan puasa enam hari pada Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.

Begitulah tawaran besar yang diberikan kepada orang beriman bagi mereka yang melaksanakan puasa enam hari dalam bulan Syawal. Ini bererti bagi mereka yang tidak membuatnya, maka ia tidak akan memperoleh kelebihan itu. 

Sekiranya seseorang itu belum menyelesaikan qada puasa Ramadan yang ditinggalkannya, lalu dia berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal, maka perkara itu harus dilakukan cuma tidak mengikut susunan. Kerana sepatutnya ia hendaklah menyelesaikan dulu qada puasa Ramadan, barulah diikuti dengan puasa sunat enam hari Syawal. 

Ada juga ulama berpandangan sekiranya ia menyatukan niat puasa wajib dan puasa sunat seperti puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal, maka ia akan beroleh kedua-duanya. Sekiranya ia meniatkan satu daripada dua, maka ia akan memperoleh ganjaran puasa yang ia niatkan dan gugurlah ganjaran puasa yang satu lagi. Perkara itu dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatwanya, dalam kitab al-Fatwa al-Kubra. 

Walaupun ada pandangan yang mengatakan bahawa afdalnya dikerjakan puasa enam itu hendaklah berturut-turut selepas Aidilfitri seperti ungkapan dalam hadis kemudian dia susulinya, namun ganjaran puasa enam ini tetap diperoleh sekalipun dia tidak mengerjakannya secara berturut-turut selepas hari raya.

Imam an-Nawawi menyebut dalam Syarah Sahih Muslim, iaitu yang lebih utama dilaksanakan puasa enam itu berturut-turut selepas hari raya. Sekiranya dilewatkan sehingga akhir Syawal, maka ia tetap mendapat ganjaran itu. Syeikh Atiyyah Saqr, iaitu bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar apabila ditanya persoalan itu menjawab bahawa sudah cukup bagi orang yang melakukan puasa ganti (qada) dan puasa enam dengan berniat puasa qada pada Syawal. Ia akan diberi dua ganjaran sekiranya dia bertujuan demikian dengan syarat dia hendaklah mendahulukan niat puasa qada terlebih dulu. Puasa qada adalah wajib manakala puasa enam adalah sunat. 



Demikianlah, wallahualam. 

5 AMALAN MENDAPAT ANAK SOLEH SOLEHAH



Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud: “(Tetaplah atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. (Hukum-hukum) ciptaan Allah tidak dapat diubah. Itulah agama yang benar. Tapi sebahagian besar manusia tidak mengetahui.”

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah : “Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya yang menjadikannya seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Pertama - Perlu kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT agar anak meniru sikap yang kita paparkan. Jangan sekali-kali meninggalkan sembahyang atau apa-apa disyariatkan kita lakukan.

Kedua - Banyakkan memohon kepada Allah SWT dengan menggunakan doa yang ma’thur iaitu doa daripada al-Quran atau Hadis.Antaranya doa terbaik yang dipetik daripada al-Quran iaitu ayat 38 surah ali-Imran : “Rabbi Hab li Min Ladunka Zurriyatan Toiyibatan, innaka sami’ud du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”Begitu juga surah Ibrahim ayat 40: “Rabbij’alni muqiimas solati wamin zurriyati rabbana wa taqabbal du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankan doa permohonan ku.”

Ketiga - Suami isteri perlu hindarkan diri daripada sering bertengkar. Ini disebabkan, pertengkaran itu boleh menyebabkan wujud suasana tidak harmoni dalam hubungan suami isteri dan dibimbangi mempengaruhi anak.

Keempat - Jauhi daripada melakukan perkara fasik atau maksiat. Apabila ibu atau ayah sukakan perkara maksiat boleh membawa kerosakan besar dalam hubungan suami isteri, begitu juga anak. Berusahalah mewujudkan suasana baik sebagai mana firman-Nya dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati (Sakinah) dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah)…”

Kelima - Banyakkan membaca al-Quran ketika mengandung. Tidak semestinya membaca ayat pilihan seperti surah Yusuf dan surah Maryam. Sebaik-baiknya, baca sehingga khatam kemudian diulang. Begitu juga apabila anda ingin membesarkan anak, dengarkan anak dengan bacaan al-Quran kerana ia boleh mempengaruhi jiwanya.

Wallahua'lam

PERSOALAN AGAMA: LIMA PERKARA BANTU DIDIK ANAK SOLEH


Oleh Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

ALHAMDULILLAH, saya disahkan hamil tiga minggu. Ada pelbagai petua yang diberikan rakan dan saudara mengenai usaha mendapatkan anak sihat dan salih namun ada antaranya meragukan. Saya inginkan petua ustaz mengenai amalan ibu ketika hamil bagi memastikan zuriatnya sama ada lelaki atau perempuan, menjadi anak yang baik.

PENJELASAN:
Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud: “(Tetaplah atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. (Hukum-hukum) ciptaan Allah tidak dapat diubah. Itulah agama yang benar. Tapi sebahagian besar manusia tidak mengetahui.”

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah : “Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya yang menjadikannya seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Sebenarnya, setiap manusia yang lahir ke dunia dalam keadaan suci bersih dan yang membentuknya menjadi baik atau buruk adalah kedua ibu bapanya sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Namun, sebelum mahu membentuk anak menjadi salih, ibu atau bapa hendaklah berusaha menjadi ibu yang salihah dan bapa yang salih.

Justeru, pertama, perlu kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT agar anak meniru sikap yang kita paparkan. Jangan sekali-kali meninggalkan sembahyang atau apa-apa disyariatkan kita lakukan.
Kedua, banyakkan memohon kepada Allah SWT dengan menggunakan doa yang ma’thur iaitu doa daripada al-Quran atau Hadis.

Antaranya doa terbaik yang dipetik daripada al-Quran iaitu ayat 38 surah ali-Imran : “Rabbi Hab li Min Ladunka Zurriyatan Toiyibatan, innaka sami’ud du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”

Begitu juga surah Ibrahim ayat 40: “Rabbij’alni muqiimas solati wamin zurriyati rabbana wa taqabbal du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankan doa permohonan ku.”

Ketiga, suami isteri perlu hindarkan diri daripada sering bertengkar. Ini disebabkan, pertengkaran itu boleh menyebabkan wujud suasana tidak harmoni dalam hubungan suami isteri dan dibimbangi mempengaruhi anak.
 
Keempat, jauhi daripada melakukan perkara fasik atau maksiat. Apabila ibu atau ayah sukakan perkara maksiat boleh membawa kerosakan besar dalam hubungan suami isteri, begitu juga anak. Berusahalah mewujudkan suasana baik sebagai mana firman-Nya dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati (Sakinah) dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah)...”

Kelima, banyakkan membaca al-Quran ketika mengandung. Tidak semestinya membaca ayat pilihan seperti surah Yusuf dan surah Maryam. Sebaik-baiknya, baca sehingga khatam kemudian diulang. Begitu juga apabila anda ingin membesarkan anak, dengarkan anak dengan bacaan al-Quran kerana ia boleh mempengaruhi jiwanya.

Wallahua’lam.

Persoalan Agama: Pendakwah mesti guna hadis sahih, hasan


Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

ASSALAMUALAIKUM ustaz, saya ada terbaca kitab atau majalah lama mengenai hadis seperti berikut: 

1. Sabda Nabi: “Ada dua golongan, jika ia baik maka baiklah masyarakat dan jika buruk maka buruklah masyarakat. Dua golongan itu adalah pemerintah dan ulama.
2. Sabda Nabi: “Akhir zaman nanti akan wujud golongan lebih teruk daripada dajal.” Sahabat bertanya “Siapakah dia” dan Nabi menjawab “mereka ialah ulama yang jahat.”
3. Sabda Nabi: “Ada lima musuh orang Islam (mukmin dan muslim). Mereka ialah orang syaitan, nafsu, orang fasiq, munafik dan kafir.

4. Sabda Nabi: “Aku adalah bapa kepada kalian.” 



SOALAN:
Kemusykilan saya ialah, adakah semua hadis di atas hadis sahih? Jika ia sahih maka adalah wajar ulama menghebahkannya dalam setiap perbincangan berkaitan masalah kepincangan masyarakat.
JAWAPAN:
Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apa juga perintah yang dibawa Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa juga yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa (bagi orang yang melanggar perintah-Nya). (Surah Hasyr, ayat 7)

Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim menyebut bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya berdusta keatasku (menggunakan namaku) bukan seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.

Dalam ilmu hadis, sekiranya hadis itu dihukumkan sahih dan hasan, maka wajib ia diterima. Manakala sekiranya dihukumkan daif, maka sebahagian ulama berkata sekiranya tidak seberapa daifnya boleh digunakan untuk menyatakan Targhib dan Tarhib (galakan dan ancaman) serta fadilat amal dengan syarat tidak meyakini ia sabda baginda SAW dan dinyatakan kedaifannya.

Namun sekiranya ia termasuk hadis yang terlalu daif seperti matruk, mungkar dan maudu’, maka wajib ditolak.

Dalam Islam, berdusta menggunakan nama Nabi adalah kesalahan besar kerana Nabi Muhammad SAW adalah sumber pengambilan agama. Maksud berdusta iaitu menyandarkan perkataan atau perbuatan atau pengakuan kepada Nabi SAW sedangkan Baginda tidak berkata atau berbuat atau mengakui sebagai mana dalam hadis itu. Ini adalah jenayah besar dalam Islam kerana seolah-olah mahu mewujudkan agama baru.

Apabila pendakwah mahu menyampaikan sesuatu hadis, selayaknya ia memilih hadis dihukum sahih atau hasan agar orang lain dapat menerima kebenaran yang diyakini. Namun sekiranya sesuatu hadis itu berada pada kedudukan daif, pendakwah harus menyatakan hukum bagi hadis itu agar orang lain tidak menganggapnya khabar yang diyakini daripada Nabi SAW.

Sebagai contoh, hadis pertama yang saudara nyatakan itu, menurut al-Hafiz al-Iraqi sanadnya adalah daif, teks hadisnya berbunyi: “Sinfani min ummati, iza saluhaa, saluhan naas. Wa iza fasadaa, fasadan naas: As-Sultaan wal Ulama.’ Yang bermaksud: Dua golongan daripada umatku, jika keduanya baik maka baiklah semua manusia dan jika keduanya buruk, maka buruklah semua manusia; (Dua golongan yang dimaksudkan itu ialah) pemerintah dan ulama.’

Manakala hadis kedua pula daripada riwayat Ahmad daripada Abu Zar dengan sanad yang baik. Teksnya yang saya temui adalah: “La ana min ghairid dajjal Akhwafu ‘alaikum minad dajjal. Faqiil: Wa ma zalika? Faqala: Minal a immatil mudhilliin. Maksudnya Benar-benar saya lebih takut menimpa kamu daripada Dajal. Sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Ia adalah kalangan pemimpin yang menyesatkan.

Sebenarnya ada banyak lagi hadis yang patut dihebahkan dalam masyarakat supaya kehidupan masyarakat berpandukan jalan selamat, bahagia dan harmoni sebagai mana yang dikehendaki oleh syariat Islam. Demikianlah, Wallahua’lam.


Sebarang kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.


Elak kemarahan kuasai diri


Oleh Ashraf Muslim
Bersikap positif hadapi ujian boleh semai sikap sabar

ORANG yang lekas marah ialah orang yang tidak sabar dan apabila kurang sabar, selalunya kita akan cepat marah. Akibatnya, banyak perkara dilakukan atau keputusan dibuat didorong emosi bukan rasional akal fikir kita.
Rasa marah bukan saja kepada mereka yang ada di sekeliling kita disebabkan pelbagai punca, malah perasaan itu turut ditunjukkan kepada Allah terutama apabila kehendak dan permintaan tidak dipenuhi selepas puas berdoa memohon.
 
Ubat marah ialah sabar tetapi apabila apabila hendak marah juga kita akan kata, sabar memang sabar tetapi ada hadnya. Itulah kita manusia yang sentiasa berdepan dugaan dan bagaimana kita menghadapinya yang membezakan kita dengan orang lain

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Berwasiatlah kepadaku. Lalu Nabi SAW menjawab: Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah. Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi SAW menjawab: Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Berbeza dengan kebanyakan kita, apabila ada yang cuba mententeramkan jiwa yang sedang bergolak dengan perasaan marah, rasa itu bukan semakin berkurangan, sebaliknya terus membara hingga api kemarahan sukar dikawal.

Perubahan gaya hidup hari ini tidak dinafikan lebih mencabar berbanding dulu kerana masa yang bergerak pantas menuntut kita terkejar-kejar. Akibatnya, banyak benda membuatkan kita mudah dicuit rasa marah.

Kesesakan lalu lintas, buat kita marah. Beratur panjang untuk membayar bil, membeli makanan atau berurusan di bank juga selalu menimbulkan rasa hendak marah. Boleh kata, jika tiada kesabaran, agaknya kita asyik marah-marah saja.
Oleh itu, ubat marah ialah sabar tetapi apabila hendak marah juga kita akan kata, sabar memang sabar tetapi ada hadnya. Itulah kita manusia yang sentiasa berdepan dugaan dan bagaimana kita menghadapinya yang membezakan kita dengan orang lain.

Hakikatnya, bukan mudah untuk membina sifat sabar dalam diri tetapi nilai murni itu boleh dipupuk jika kita sentiasa berlapang dada apabila berdepan dengan ujian dan tidak mudah berputus asa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan itu.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Berfikiran positif juga boleh membantu kita menyemai sifat sabar terutama apabila kita menyedari hakikat ujian yang didatangkan Allah adalah untuk mengukur sejauh mana keimanan kita kepada-Nya bukan saja melalui tindakan tetapi juga perkataan.

Semuanya itu menuntut kesabaran dan yang pasti dalamnya ada ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT dengan syarat kita reda serta ikhlas.

Lagi satu, lawan bagi sabar ialah mengeluh dan ia perbuatan yang amat dilarang kerana mengeluh membuatkan semangat menjadi lemah, terbitnya perasaan kecewa dan putus asa. Mengeluh juga boleh menyebabkan kita suka menyalahkan keadaan.

Saya pasti semua kita biasa mendengar nasihat bahawa Allah tidak mendatangkan ujian kepada hamba-Nya yang di luar kemampuan mereka. Maknanya, ujian yang datang sebenarnya mampu kita tanggung berbekalkan ketabahan serta kesabaran.

Jika diteliti, setiap kesukaran dihadapi selalunya diakhiri dengan kemudahan dan nikmat dirasakan apabila kita berjaya mengatasi segala kesusahan tidak dapat digambarkan atau diluahkan dengan kata-kata.

Berserta dengan nikmat itu juga selalunya akan hadir perasaan syukur yang mendekatkan lagi kita dengan Allah kerana apabila berdepan musibah, kuasa yang paling layak kita berpaling memohon pertolongan ialah Allah SWT.

Alangkah bangganya perasaan kita sebagai hamba apabila doa serta permohonan dimakbulkan Allah. Itu tanda kita termasuk dalam golongan yang dikasihi kerana permintaan kita dipenuhi.

Oleh itu, biar betapa besar dugaan, kesusahan atau kesakitan yang terpaksa kita tanggung, jangan mudah marah. Sebaliknya, cuba tangani dengan sabar serta berusaha mencari jalan keluar kerana janji Allah setiap kesukaran akan ada jalan keluarnya.

Malah, ada antaranya yang kita tidak pernah terduga. Jadi bagi yang kecewa kerana doa masih belum makbul, jangan putus asa. Perancangan Allah adil untuk hambanya. Jika bukan di dunia, hadiahnya menanti di akhirat nanti. Bersamalah kita berusaha mengawal marah dan menyemai sabar.

Wallahua'lam

Persoalan Agama: Kiamat nama berbeza tetapi azab tetap sama Oleh Ustaz Zahazan


Gambar Hiasan

Manusia terima pembalasan ikut amalan ketika dibangkitkan semula

Soalan:
SAYA hendak tahu kenapa ada banyak nama kiamat, apakah faedah atau hikmah disebut nama kiamat yang pelbagai. Harap ustaz dapat jelaskan, terima kasih.


Sesiapa yang suka mengikuti isi al-Quran dan meneliti ayatnya, tentu dia mengetahui bahawa Allah SWT tidak mengemukakan hari kiamat dengan satu nama saja, tetapi menggunakan nama berlainan dan setiap nama itu menunjukkan pengertian apa yang terjadi pada hari terbabit. Semua berupa kesukaran dan kesengsaraan belaka.

Jawapan:
ALHAMDULILLAH wassolatuwassalam ‘ala rasulillah wa ba’d. Hari Kiamat iaitu hari yang didahului dengan kemusnahan alam semesta. Justeru, pada hari itu akan matilah seluruh makhluk yang masih hidup.

Bumi akan berganti iaitu bukannya bumi atau langit yang ada sekarang. Seterusnya Allah SWT mencipta alam lain yang disebut alam akhirat. Di situlah seluruh makhluk akan dibangkitkan, iaitu dihidupkan lagi selepas mereka mati. Rohnya dikembalikan dalam tubuhnya. Dengan itu mereka akan mengalami kehidupan yang kedua kalinya.

Selepas dibangkitkan (di ba’ats), lalu setiap jiwa akan dihisab (dihitung) seluruh amalannya, baik yang berupa kebaikan atau keburukan. Oleh itu, sesiapa yang kebaikannya dapat melebihi keburukan, Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga, sedangkan siapa yang keburukannya lebih banyak daripada kebaikannya, maka akan dimasukkan Allah ke dalam neraka.

Kitab al-Quran memberikan perhatian yang istimewa terhadap pemantapan keimanan pada hari Akhirat. Contohnya, dihubungkan beriman hari akhirat itu dengan keimanan kepada Allah SWT seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud: “Tetapi yang disebut kebaikan itu adalah seseorang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” Begitu juga surah al-Baqarah ayat 62 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman, orang Yahudi, orang Nasrani dan orang shabi’in (pengikut nabi-nabi terdahulu), sesiapa saja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mengerjakan kebaikan, mereka itulah yang memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tiada ketakutan atas mereka serta mereka tidak menaruh dukacita.”

Kedua, amat banyak sekali penjelasan hal hari kiamat yang disebut al-Quran, bahkan hampir tiada satu surah yang tidak memuatkan perbahasan mengenainya. Dihuraikan juga hal yang dapat mendekatkan pemahamannya untuk jiwa dan kalbu.

Kadang-kadang dengan menggunakan keterangan dan kupasan yang nyata, kadang-kadang dengan membuat contoh atau perumpamaan.

Ketiga, sesiapa yang suka mengikuti isi al-Quran dan meneliti ayatnya, tentu dia mengetahui bahawa Allah SWT tidak mengemukakan hari kiamat dengan satu nama saja, tetapi menggunakan nama-nama berlainan dan setiap nama itu menunjukkan pengertian apa yang terjadi pada hari terbabit. Semua berupa kesukaran dan kesengsaraan belaka.

Misalnya dinamakan hari kiamat dengan yaumul ba’ats (hari kebangkitan). Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 56 bermaksud: “Dan berkatalah orang yang diberi ilmu pengetahuan dan keimanan. `Sesungguhnya kamu semua telah menanti (sesuai dengan keterangan) dalam kitab Allah (dalam kubur atau alam barzakh) sampai hari ba’ats’ (kebangkitan atau bangkit dari kematian).”

Dinamakan juga dengan yaumul qiyamah (Hari Kiamat) seperti firman-Nya dalam surah az-Zumar ayat 60 yang bermaksud: “Pada yaumal qiyamah (Hari Kiamat), engkau lihat orang yang berkata bohong mengenai Tuhan itu, muka mereka hitam semuanya.”

Dinamakan juga dengan saa’ah (saat) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Qamar ayat 1 yang bermaksud: “Saat (Hari Kiamat) itu telah dekat dan bulan pun terbelah.”

Dinamakan juga akhirat seperti firman-Nya dalam surah al-A’la ayat 16 hingga 17 yang bermaksud: “Tetapi kamu semua lebih mengutamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.”

Dinamakan juga yaumiddin (Hari Pembalasan) seperti firman-Nya dalam ayat 3 surah al-Fatihah yang bermaksud: “(Allah) yang menguasai Hari Pembalasan (yaumiddin).” Dinamakan juga yaumul hisab (Hari Perhitungan)

Seperti firman-Nya dalam ayat 27 surah Ghafir yang bermaksud: “Sesungguhnya aku melindung diriku kepada Tuhanku dan Tuhanmu semua dari setiap orang yang sombong yang tidak mempercayai hari hisab (yaumul hisab).”

Dinamakan yaumul fathi (Hari Kemenangan) seperti firman-Nya dalam ayat 29 surah as-Sajdah yang bermaksud: “Katakanlah `pada hari fath (kemenangan) ini tidak berguna keimanan bagi orang kafir itu dan mereka itu tidak akan diperhatikan.”

Sebenarnya banyak lagi nama Hari Kiamat yang menunjukkan keadaan atau apa yang terjadi ketika itu seperti yaumuttalaaq, yaumul khuluud, yaumul khuruuj dan sebagainya yang tak dapat saya huraikan satu persatu.

Demikianlah, wallahua’lam.

Sebarang kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi
e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada sultan d...