Isnin, 3 Oktober 2011

Persoalan Agama: Pendakwah mesti guna hadis sahih, hasan


Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

ASSALAMUALAIKUM ustaz, saya ada terbaca kitab atau majalah lama mengenai hadis seperti berikut: 

1. Sabda Nabi: “Ada dua golongan, jika ia baik maka baiklah masyarakat dan jika buruk maka buruklah masyarakat. Dua golongan itu adalah pemerintah dan ulama.
2. Sabda Nabi: “Akhir zaman nanti akan wujud golongan lebih teruk daripada dajal.” Sahabat bertanya “Siapakah dia” dan Nabi menjawab “mereka ialah ulama yang jahat.”
3. Sabda Nabi: “Ada lima musuh orang Islam (mukmin dan muslim). Mereka ialah orang syaitan, nafsu, orang fasiq, munafik dan kafir.

4. Sabda Nabi: “Aku adalah bapa kepada kalian.” 



SOALAN:
Kemusykilan saya ialah, adakah semua hadis di atas hadis sahih? Jika ia sahih maka adalah wajar ulama menghebahkannya dalam setiap perbincangan berkaitan masalah kepincangan masyarakat.
JAWAPAN:
Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apa juga perintah yang dibawa Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa juga yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa (bagi orang yang melanggar perintah-Nya). (Surah Hasyr, ayat 7)

Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim menyebut bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya berdusta keatasku (menggunakan namaku) bukan seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.

Dalam ilmu hadis, sekiranya hadis itu dihukumkan sahih dan hasan, maka wajib ia diterima. Manakala sekiranya dihukumkan daif, maka sebahagian ulama berkata sekiranya tidak seberapa daifnya boleh digunakan untuk menyatakan Targhib dan Tarhib (galakan dan ancaman) serta fadilat amal dengan syarat tidak meyakini ia sabda baginda SAW dan dinyatakan kedaifannya.

Namun sekiranya ia termasuk hadis yang terlalu daif seperti matruk, mungkar dan maudu’, maka wajib ditolak.

Dalam Islam, berdusta menggunakan nama Nabi adalah kesalahan besar kerana Nabi Muhammad SAW adalah sumber pengambilan agama. Maksud berdusta iaitu menyandarkan perkataan atau perbuatan atau pengakuan kepada Nabi SAW sedangkan Baginda tidak berkata atau berbuat atau mengakui sebagai mana dalam hadis itu. Ini adalah jenayah besar dalam Islam kerana seolah-olah mahu mewujudkan agama baru.

Apabila pendakwah mahu menyampaikan sesuatu hadis, selayaknya ia memilih hadis dihukum sahih atau hasan agar orang lain dapat menerima kebenaran yang diyakini. Namun sekiranya sesuatu hadis itu berada pada kedudukan daif, pendakwah harus menyatakan hukum bagi hadis itu agar orang lain tidak menganggapnya khabar yang diyakini daripada Nabi SAW.

Sebagai contoh, hadis pertama yang saudara nyatakan itu, menurut al-Hafiz al-Iraqi sanadnya adalah daif, teks hadisnya berbunyi: “Sinfani min ummati, iza saluhaa, saluhan naas. Wa iza fasadaa, fasadan naas: As-Sultaan wal Ulama.’ Yang bermaksud: Dua golongan daripada umatku, jika keduanya baik maka baiklah semua manusia dan jika keduanya buruk, maka buruklah semua manusia; (Dua golongan yang dimaksudkan itu ialah) pemerintah dan ulama.’

Manakala hadis kedua pula daripada riwayat Ahmad daripada Abu Zar dengan sanad yang baik. Teksnya yang saya temui adalah: “La ana min ghairid dajjal Akhwafu ‘alaikum minad dajjal. Faqiil: Wa ma zalika? Faqala: Minal a immatil mudhilliin. Maksudnya Benar-benar saya lebih takut menimpa kamu daripada Dajal. Sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Ia adalah kalangan pemimpin yang menyesatkan.

Sebenarnya ada banyak lagi hadis yang patut dihebahkan dalam masyarakat supaya kehidupan masyarakat berpandukan jalan selamat, bahagia dan harmoni sebagai mana yang dikehendaki oleh syariat Islam. Demikianlah, Wallahua’lam.


Sebarang kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...