Selasa, 4 Oktober 2011

Angkuh Duniawi, Muflis di Akhirat


Oleh Hizbur Rahman
bhnews@bharian.com.my

Manusia semakin zalim, lupakan tanggungjawab kepada agama 

SEBAGAI orang Islam kita seharusnya bijak mengatur kehidupan mengikut petunjuk yang digariskan oleh al-Quran dan hadis supaya sentiasa berada dalam keampunan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Surah al-Hadid, ayat 21)
Banyak ayat al-Quran menggambarkan mereka yang melakukan dosa akan menjadi cemas, takut dan merana apabila dibentangkan buku catatan amalan mereka di padang Mahsyar. 

Insaflah bahawa segala amalan kita di dunia ini akan diadili di akhirat walaupun sekecil zarah. Ketahuilah setiap amalan dan tingkah laku kita semua dicatat oleh Malaikat yang ditugaskan Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Padal hal sesungguhnya, ada Malaikat yang menjaga dan mengawasi segala bawaan kamu, (mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal kamu).” (Surah al-Infitaar, ayat 10-11) 

Namun, hari ini ada dalam kalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurniaan Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur, mengabaikan tanggungjawab dan mengkhianati amanah sesama manusia. 
Dalam mengejar kemewahan, mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji. Selain itu, mereka juga tidak prihatin kepada hak sesama manusia, golongan fakir, miskin dan anak yatim. Malah ada yang menzalimi sesama manusia. 

Ketahuilah gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka muflis di akhirat. Nabi Muhammad SAW dalam hadis diriwayatkan Imam Muslim memberi amaran kepada kita mengenai gejala muflis dalam kalangan umatnya. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun harta benda. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan menerima pahala amal penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) 
sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim) 

Golongan yang muflis di akhirat berasal daripada mereka yang memiliki pahala tetapi semua pahala ibadah itu habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati atau dizalimi. Di samping mereka dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi. 

Oleh itu, kita perlu berhati-hati supaya tidak melakukan dosa terutama dosa sesama manusia. Bagaimanapun, masih ada segelintir yang melakukan kesalahan secara terbuka seperti mencabuli kehormatan dan harga diri melalui fitnah, mengumpat dan mencaci. 

Begitu juga jenayah yang berlaku hari ini, merosakkan harta benda, merompak, menyamun, mencuri, menipu dan sebagainya. Malah, isu rumah tangga semakin runcing dengan kisah perceraian serta keganasan dilakukan pasangan. 

Jika miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu tetapi bagaimana jika muflis di akhirat? Siapakah yang akan bersimpati dan dapat menyelamatkan kita daripada azab seksaan neraka Allah SWT. 

Justeru, kehidupan di akhirat lebih perlu diutamakan kerana ia adalah kehidupan yang kekal abadi. 
Kesejahteraan di akhirat memerlukan persiapan, usaha lebih terancang dan konsisten. Kita perlu banyak mengorbankan masa, fikiran dan tenaga mempersiapkan bekalan ke alam akhirat. 

Persiapan dan bekalan yang mencukupi dapat membantu menghadapi pelbagai rintangan dalam perjalanan menuju ke alam akhirat, bermula di alam kubur seterusnya di padang Mahsyar dan di negeri akhirat. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka dibawa masuk ke syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu dibuka pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam syurga ini dengan kekal.” (Surah Az-Zumar, ayat 73) 

Marilah bersama menghitung adakah kita sudah berada dalam gaya hidup yang diredai atau dimurkai Allah. Andainya kita berada dalam keredaan Allah, maka kita pertingkatkan dan gandakan lagi supaya mendapat rahmat dan keredaan-Nya. 

Andainya kita derhaka kepada Allah, maka bersegeralah bertaubat dan kembali ke jalan-Nya, mudah mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...