Isnin, 24 Oktober 2011

KISAH PELIK TAPI BENAR



By: Ibnu Yusof

Semoga sesiapa yang berminat dengan hasil kajian akan menemukan sesuatu lantaran membaca artikel ini. Ianya agak panjang. Bacalah yang tersurat dan cuba fahami yang tersirat. Kali ini saya akan ceritakan dua kisah benar. Dicelah-celahnya ada catatan mengenai Mukjizat Al-Qur'an.



Saya berharap agar anda semua dapat membaca artikel ini dengan hati yang tenang dan terbuka serta sudi merenungkannya. Memang keadaan penyampaian artikel ini pelik sedikit, tapi harus difahami bahawa ia adalah satu pengalaman hasil kajian. Ada kalanya sesuatu itu berlaku di luar adat kebiasaan.

KISAH BENAR PERTAMA

Ketika saya berkursus di Kuala Lumpur lebih 20 tahun lampau, pensyarah kami, seorang wanita Kristian dari Universiti Malacanang Filipina, telah bertanya (dalam bahasa Inggeris) soalan-soalan kepada saya (saya pendekkan cerita), antaranya: 'Mengapa Islam itu zalim?.. Kenapa orang yang sudah kahwin bila berzina direjam sampai mati?.. Tapi Muhammad yang menulis Al-Qur'an..?" Sebagai proses menjawab, saya tanya pula dia beberapa perkara, antaranya: "Awak tahu siapa Namus (Jibril)..? Awak baca Bible..? Awak tahu kisah Conference of Nicea dan King Apollo..? Awak tahu siapa Paulus (St.Paul)..? Awak tahu siapakah 12 Apostles of Jesus..?"

Kemudian saya pun jawab soalan dan tohmahan dia dengan menolak tuduhan bahawa Islam itu zalim dan tuduhan bahawa Muhammad s.a.w. yang menulis Al-Qur'an, saya kemudian menceritakan mengenai kitab Bible (yang telah diubah) itu sendiri, dari segi sejarahnya, isi kandungannya dan sebagainya (saya memang ada baca kitab-kitab agama lain untuk tambah pengetahuan, dan Alhamdulillah rupanya ia berguna bila hadapi situasi seperti ini). Saya pun ceritakan beza Bible dari Injil yang asal, bagaimana Injil yang asalnya satu telah jadi 4 Gospel yang bercanggah tapi yang 4 itulah yang diterima sebagai betul pula oleh umat Kristian. Semua soalan saya dia tidak jawab, jadi saya jawablah sendiri untuk dia dengar. Kemudian saya berkata kepadanya 'Jika awak tidak baca Bible, awak jangan hendak mengata Islam dan menuduh melulu'. Saya teruskan hinggalah sampai masanya kelas bermula semula, dan dia berkata: 'Sungguh menarik! Saya ingin dengar selanjutnya dari awak, manalah tahu, bila saya pulang ke Filipina nanti, saya akan masuk Islam..'

Apa yang saya katakan sebelum itu kepadanya? Saya kata: 'Paderi awak ajar awak agar bencikan kami orang-orang Islam. Tapi kami semua kasihan pada awak. Mengapa? Kerana sebenarnya Isa a.s. adalah nabi kami. Nabi Adam, Noh, Ibrahim, Sulaiman, Musa, Isa, Muhammad, semuanya nabi kami. Nabi (palsu) awak orang-orang Kristian ialah Paulus sebenarnya, bukannya Jesus (Isa a.s.)..' Jadi, untuk pembaca artikel ini yang beragama Kristian, ketahuilah bahawa anda adalah saudara-saudara kami (our brethren), tapi akidah anda telah dipesongkan oleh Paulus, yang menyamar menjadi pengikut Isa a.s. dan mengaku sebagai antara 12 murid Isa a.s. tapi sebenarnya Paulus masih seorang Yahudi. Dialah yang tiba-tiba mencipta dan mengembangkan agama Kristian (setelah ketiadaan Isa a.s.) sedangkan Isa a.s. menyampaikan agama Islam, sama seperti Musa, Ibrahim, Nuh, Adam dan lain-lain. Itulah sebabnya kami kasihan pada anda, tapi sayangnya anda benci pada kami kerana anda telah dapat maklumat yang salah dari paderi dan Pope anda.

Wahai saudara-saudara yang beragama Kristian! Anda tahu di manakah anda perlu semak? Anda perlu semak mengapa agama anda menyalahkan semua rasul-rasul yang terdahulu dan terkemudian dari Isa a.s. dan menjadikan Isa a.s. sebagai Tuhan (salah satu dari tiga Tuhan anda) sedangkan kami orang-orang Islam berpegang teguh bahawa semua rasul-rasul itu, termasuk Isa a.s. adalah rasul-rasul yang benar, semua mereka adalah manusia biasa, dan mereka semuanya beragama Islam dan menyampaikan agama Islam sejak Adam a.s. dan Islamlah satu-satunya agama dari sisi Allah. Islam adalah agama anda sepatutnya tapi mengapa anda pilih Kristian? Kristian bukanlah agama Isa a.s. Agama Nabi Isa a.s. adalah Islam. Kristian adalah agama palsu ciptaan Paulus. Fikirkanlah dengan hati yang terbuka dan tenang. Pernahkah anda berfikir mengapakah agama anda dinamakan Kristian? Apakah agama Musa a.s.? Apa pula agama Ibrahim a.s.? Apa pula agama Adam a.s.? Mengapa agama-agama nabi-nabi itu anda 'batalkan' dan memilih Kristian agama ciptaan Paulus? Kemudian anda jadikan pula Jesus sebagai Tuhan anda sedangkan Isa a.s. hanyalah manusia biasa sebagaimana Muhammad s.a.w. dan rasul-rasul lain. Fikirkanlah.

Cabaran dari pensyarah Kristian itulah yang telah menyebabkan saya munajat pada waktu 'Asar di bulan September lebih 20 tahun lampau, memohon kepada Allah agar Dia tunjukkan bukti kebenaran Al-Qur'an, agar saya dapat tunjukkan bukti-bukti itu bila sampai masanya kepada orang-orang Kristian. Alhamdulillah, pada petang itu juga Allah telah memperkenankan permohonan saya, dan itu telah menyebabkan saya meneruskan kajian hingga ke hari ini. Dan kenyataan Pope Benedict XVI terhadap Islam telah menyebabkan saya tampil meluahkan berita kebenaran Islam ke seluruh dunia sebagai tindakbalas kepada penghinaan beliau. Saya hanya orang biasa, siapalah saya untuk melawan Pope, tapi saya yakin Allah bersama saya dan semua umat Islam yang prihatin. InsyaAllah. Manalah tahu, selepas ini mungkin Allah akan beri hidayah kepada Pope, lalu dia masuk Islam, sebab dia pun sudah sedia tahu bahawa KUNCI SYURGA adalah dua kalimah syahadah iaitu mengesakan Allah dan mengakui Muhammad s.a.w. adalah Rasulullah.

MUKJIZAT AL-QUR'AN

Al-Qur'an adalah satu-satunya komponen RUKUN IMAN yang dapat anda lihat dengan mata kepala anda. Sila rujuk Rukun Iman, iaitu percaya pada: (1) Allah (2) Rasul-rasul (3) Para Malaikat (4) Kitab-Kitab Allah (5) Hari Akhirat (6) Qadha dan Qadar Allah. Perhatikan bahawa Allah itu Maha Ghaib (hanya yang dikehendakiNya saja yang berpeluang melihatNya di akhirat nanti). Rasul-rasul itu ghaib (kita tidak berkesempatan hidup sezaman dengan salah satu Rasul). Para malaikat juga ghaib. Hari akhirat belum berlaku. Qadha dan Qadar adalah sesuatu yang sukar difahami oleh orang biasa. Al-Qur'an merupakan kitab yang jelas nyata, ia memberitakan segala yang tidak mampu dicapai oleh pancaindera manusia, antaranya ialah mengenai Rukun Iman itu sendiri.

Dari 104 kitab yang diturunkan pula, 100 suhuf itu sudah tiada, Zabur (mungkin) sudah tiada, Taurat dan Injil sudah diubah oleh rahib dan paderi Yahudi dan Nasrani. Yang tinggal hanya Al-Qur'an sebagai kitab yang terakhir dan teragung untuk umat akhir zaman. Al-Qur'an itu yang merupakan sebahagian dari Luh Mahfuz, diturunkan kepada umat Muhammad s.a.w. dari sisi Allah Yang Maha Kuasa, dan ia diturunkan menerusi lidah Jibril a.s. Semasa ia mula diturunkan, ayat-ayatnya direkodkan dengan amat teliti oleh para sahabat dan dihafal dalam dada Rasulullah sendiri dan para sahabat. Di zaman Saidina Usman semua ayat-ayat Al-Qur'an telah dikumpulkan dan disusun (menurut arahan Rasulullah s.a.w., yang menerima arahan Jibril a.s. secara taufiqi) menjadi mushaf seperti yang kita dapat lihat hari ini. Hanya Al-Qur'an saja yang masih terpelihara dari diubah oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab. Ia akan tetap terpelihara. Itu jaminan Allah.

Berbeza dari kitab-kitab yang pernah diturunkan sebelumnya, Al-Qur'an diturunkan secara beransur-ansur, sekadar lebih kurang 5 ayat sekali diturunkan. Dan berbeza dari kitab-kitab sebelumnya, Al-Qur'an turun bersebab, ada sebab turunnya atau Asbabun Nuzul. Ayat-ayat diturunkan bagi menjawab atau menjelaskan permasalahan yang berlaku pada ketika itu, di zaman Rasulullah s.a.w. Pada zahirnya Al-Qur'an telah lengkap turun selama 23 tahun di zaman Rasulullah, secara batinnya perincian Al-Qur'an akan terus-menerus turun hinggalah ke akhir zaman. Ianya diturunkan ke dada hamba-hambaNya yang terpilih. Sebab itulah ada diantara umat Islam yang diberi kelebihan oleh Allah untuk menjelaskan hatta sepotong ayat hingga berbulan-bulan lamanya. Itulah tanda kebesaran Allah dan kebenaran Islam.

Allah meletakkan Al-Qur'an di dalam dada orang-orang Islam yang beriman. Dan bagi setiap orang-orang Islam yang beriman, mereka memang membaca Al-Qur'an pada setiap waktu, terutama ketika melakukan solat. Malah, sebegitu ramai umat Islam sebenarnya menghafal Al-Qur'an, sekurang-kurangnya ayat-ayat lazim (yang dibaca dalam solat). Al-hafiz pula semakin hari semakin ramai sebenarnya, bukan semakin berkurangan. Ini menjadikan Al-Qur'an sebagai kitab yang paling banyak dibaca pada setiap saat, berbanding mana-mana kitab atau buku di muka bumi ini. Dan, surah yang paling banyak dibaca ialah Surah Al-Fatihah, Ibu Al-Qur'an. Surah itu memadai bagi mewakili seluruh isi kandungan Al-Qur'an dari segi segala rahsia dan tujuannya.

Cuba buat perkiraan sedikit. Kini umat Islam seluruh dunia ialah kira-kira 1.7 bilion orang. Katakan yang akil baligh ada 60%, maka jumlahnya ialah 1 bilion. Katakan dari jumlah itu 90% mengerjakan solat fardhu, maka jumlahnya 0.9 bilion. Sehari semalam ada 17 kali Al-Fatihah dibaca dalam solat fardhu. Maka jumlah Al-Fatihah dibaca dalam sehari semalam di muka bumi ini ialah 15.3 bilion kali! Itu belum termasuk Al-Fatihah yang dibaca dalam solat-solat sunat yang banyak jenisnya. Allah menggalakkan umat Islam membaca Al-Qur'an, memahami, memperhatikan dan mengkaji, berdasarkan kemampuan kurniaan Allah ke atas diri masing-masing. Umat Islam bukan setakat perlu membaca Al-Qur'an dalam solat, tapi mempraktikkan Al-Qur'an dalam kehidupan sehari-hari dan mendalami Al-Qur'an dalam usaha menjadi umat yang paling maju, paling bermutu dan paling berilmu.

Saya hendak catat mesej kepada penganut agama lain: Adakah umat agama anda menghafal 'surah' dari kitab anda dan membacanya sekerap orang-orang Islam? Nasrani? Yahudi? Buddha? Hindu? Zoroaster? Zen? Tao? Kalau anda freethinker atau athiest, anda tidak ada kitab, anda hendak baca apa? Atau adakah anda tidak pernah pun baca kitab-kitab anda dan serahkan kepada rahib, paderi atau sami anda untuk membacanya? Inilah cantiknya Islam, agama dari sisi Allah. Semua orang Islam belajar untuk gemar membaca Al-Qur'an, kalau ada yang tidak membacanya, mereka akan membacanya juga atas hidayah Allah. Beruntunglah orang-orang Islam sebab mereka adalah satu-satunya umat yang 'membaca'. Atau ada ungkapan pasar yang menyebut: 'Ada baca punya orang..'

Dan, untuk yang bukan Islam, anda patut tahu bahawa Al-Qur'an itu mukjizat yang terbesar dan teragung! Ianya bukan sekadar mukjizat di zaman Rasulullah atau para sahabat. Ia adalah mukjizat yang kekal hinggalah ke akhir zaman. Maksudnya, anda pun boleh melihat mukjizat Al-Qur'an di masa ini, di saat ini. Jika seorang Muslim memegang Al-Qur'an lantas membacanya, dia sedang memegang mukjizat Allah dan membaca ayat-ayat mukjizat Allah! Tidak percaya? Kalau anda bukan Muslim, memang sukar untuk anda percaya. Mudah-mudahan Allah akan berikan hidayah kepada anda untuk menerima cahaya Al-Qur'an, mukjizat terakhir, teragung dan kekal hingga ke akhir zaman. Semakin hari, mukjizat Al-Qur'an semakin terserlah, bukan semakin pudar, bukan semakin hilang. Semakin hari kebenaran Islam semakin jelas, bukan semakin pudar, bukan semakin hilang.

KISAH BENAR KEDUA

Ketika anak sulung saya hendak terbang ke Amerika Syarikat kerana menyambung pelajarannya, saya pun memberikan kepadanya sebuah Tafsir Al-Qur'an sebagai bekalan sebab saya mahu dia ke sana dan pulang sebagai Muslim sejati. Sebelum saya berikan Tafsir itu kepadanya, saya buka dan baca Tafsir tersebut 'untuk kesekian kalinya'. Selepas baca Taawudz saya pun buka Tafsir itu secara spontan, ayat yang mula-mula saya jumpa bila buka Tafsir itu ialah Surah Al-Syu'ara' 26 Ayat 8. Maksud ayat itu: 'Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat suatu tanda kekuasaan Allah. Dan kebanyakan mereka tidak beriman.'

Kalau anda semak dalam surah berkaitan, ayat tersebut diulang beberapa kali sebenarnya. Hendak dijadikan cerita, oleh kerana Tafsir yang telah saya berikan kepada anak saya itu agak nipis dan senang dibawa (saya selalu bawa Tafsir itu bila menjadi penceramah di serata negara) saya tercari-cari tafsir 'yang serupa' sebagai ganti. Ketika saya di Kuala Terengganu kerana berceramah di sana, kawan saya telah membawa saya ke sebuah kedai buku. Saya perhatikan tafsir-tafsir yang ada di situ, tidak ada yang benar-benar serupa dengan Tafsir yang telah diterbangkan ke Amerika Syarikat itu (penerbitan oleh syarikat lain, bentuk pun agak berbeza). Kerana tidak ada jenis yang saya cari, maka saya pun ambillah jenis yang paling hampir.

Sekembalinya saya ke rumah saya di Johor, saya pun sebagaimana biasa, akan membuka untuk membaca Tafsir baru itu buat pertama kali. Saya baca Taawudz dan buka Tafsir itu secara spontan. Apa sebenarnya berita baik yang hendak saya sampaikan kepada anda?

Ayat yang mula-mula saya jumpa setelah membuka Tafsir itu ialah Surah 26 Ayat 8. Ingat atau tidak surah ini? Subhanallah. Kemudian saya lihat pula muka suratnya, Muka 573. Saya catat itu semua, kemudian saya ke komputer dan terus hubungi anak saya, minta dia semak di muka berapakah letaknya Surah 26 Ayat 8. Dia hantar mesej, Muka 573. Dia tanya kenapa? Saya pun ceritakanlah apa yang berlaku..

KESIMPULAN

Al-Qur'an yang ada dalam simpanan anda itu (kalau sudah lama tidak baca, carilah ia, jangan sampai tidak jumpa pula) adalah mukjizat. Amatlah rugi jika anda baca segala buku tapi bila tiba pada Al-Qur'an anda jauhkan diri. Saya fikir cukuplah setakat itu dulu saya kongsikan apa yang patut untuk anda semua. Bacalah yang tersurat dan cuba fahami yang tersirat. Mungkin anda perlu baca artikel ini berkali-kali baru faham dan nampak, mungkin dengan sekali baca saja anda sudah diberi faham oleh Allah. Mudah-mudahan Allah tambahkan ilmu kepada kita semua. Amin.

Mafhum firman Allah: 'Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat suatu tanda kekuasaan Allah. Dan kebanyakan mereka tidak beriman.' (Surah Al-Syu'ara' 26 Ayat 8)

Wallahua'lam.

Semoga Allah SWT merahmati kita semua.

1 ulasan:

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...